;

Ahad, Januari 16, 2011

Ucapan Salam dan seputar perbahasan mengenainya.


Ucapan salam merupakan salah satu ucapan yang besar nilainya dalam Islam. Tatkala umat Islam bertemu di mana-mana, maka mereka akan memberi salam dan yang lainnya akan menjawab salam. Ianya telah menjadi salah satu syiar keagungan dan kebesaran islam itu sendiri.

Dalam kita beramal dengan ucapan yang besar ini, eloklah jika kita sama-sama meneliti pandangan para ulama’ berkaitan ucapan salam dan bagaimana cara melaksanakannya sesuai dengan tuntutan Syara’ kerana kedapatan akhir-akhir ini, masyarakat kita seolah-olah hanya melihat salam sebagai satu adat budaya bukan lagi satu ibadah.

Bahkan tidak keterlaluan ada yang mengungkapkan salam dengan ungkapan yang tidak tepat dengan maksudnya yang sebenar.

Jadi, eloklah kiranya kita melihat pandangan-pandangan ulama’ yang disandarkan kepada dalil-dalil al-Quran dan Hadith agar kita mampu beramal dengan sandaran yang benar serta menjadi panduan kita bersama.

Kepentingan Ucapan Salam.

Berkaitan kepentingan dan kelebihan ucapan salam, maka di sana terdapat beberapa Hadith yang menyebut secara jelas kelebihan memberi salam itu sendiri dan penulis nukilkan beberapa Hadith di sini.

Diriwayatkan di dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdillah bin Amru bin Al-‘As R.A, sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: “Bagaimanakah (amalan) Islam yang terbaik ? Maka Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu memberi makanan, dan mengucapkan salam kepada sesiapa yang kamu kenali dan tidak kenali”.

Diwayatkan di dalam Musnad Ad-Darimi dan di dalam Sunan Al-Tirmizhi dan Ibnu Majah, dan lain-lainnya dengan sanad yang baik, daripada Abdullah bin Salam R.A, beliau telah berkata: “Akutelah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Wahai sekelian manusia, sampaikanlah salam, berilah olehmu makanan, dan sambungkan silaturrahim, dan bersolatlah di waktu manusia sedang tidur, maka kamu akan masuk syurga dengan penuh sejahtera”. Telah berkata Imam Al-Tirmizhi, hadith ini adalah shahih.

Diriwayatkan di dalam Kitab Ibnu Majah dan Ibnu Sunni, daripada Abi Umamah R.A, beliau telah berkata: “Nabi S.A.W telah memerintahkan kami agar menyebarkan (mengucapkan) salam”.

Diriwayatkan di dalam Shahih Muslim, daripada Abi Hurairah R.A , beliau telah berkata: “Nabi S.A.W telah bersabda: “Tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan tidak dikira beriman sehingga kamu saling mengasihi, seutama-utama sesuatu perkara yang aku lakukan maka kamu akan saling mengasihi, adalah kamu saling menyebarkan salam di antara kamu”.

Cara-cara (Kaifiyyah) Ucapan Salam.

Sebahagian masyarakat kita khususnya, mereka tidak mengambil penting soal ucapan salam. Mereka menganggap ucapan salam itu hanyalah sekadar adat dan budaya yang telah dipraktikkan sejak sekian lama, lalu mereka pun meneruskan tradisi tersebut tanpa kefahaman yang jelas mengenainya.

Perlu diketahui, ucapan salam dengan kefahaman dan tatacara yang betul akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T kerana kita mengungkapkan satu nama yang paling agung iaitu Lafzul Jalaalah ألله yang turut terkandung di dalam ucapan salam tersebut.

Imam Al-Nawawi Al-Syafie Rahimahullah Ta’ala menyebut:

“Ketahuilah bahawa ucapan yang paling baik, adalah seorang Muslim menuturkan:

السلام عليكم ورحمت الله وبركاته" dan ia datang dalam Dhomir (kata nama) Jama’ (keseluruhan/ramai) walaupun diucapkan kepada seorang. Dan orang yang menjawab salam berkata: وعليكم السلام ورحمت الله وبركاته" " yang dimulai dengan huruf Wau (الواو العطف .)

Di antara ulama’ yang meriwayatkan tentang ucapan salam yang paling baik (السلام عليكم ورحمت الله وبركاته ) ialah Imam Abu Hassan Al-Mawardi di dalam kitabnya “ Al-Haawi” pada bab Al-Siyaar, Imam Abu Saiid Al-Mutawaali, salah seorang ulama’ al-Syafi'eyyah di dalam bab “Solat Jumaat” dan lain-lain”.

Dalil-dalil yang menyokong kenyataan di atas:

Diriwayatkan di dalam Musnad Al-Daarimi, Sunan Abu Daud dan Al-Tirmizhi, daripada ‘Imran bin Al-Hussain R.Anhuma, beliau berkata: “Telah datang kepada Nabi S.A.W , maka beliau berkata: Assalamualaikum, maka dijawab oleh rasulullah S.A.W salam tersebut lalu beliau duduk. Maka, Rasulullah S.A.W berkata kepadanya: Sepuluh (Ya’ni sepuluh kebaikan). Kemudian datang seorang lagi, dan beliau mengucapkan: Assalamualaikum Warahmatullah, maka dijawab oleh rasulullah S.A.w ke atasnya dan beliau duduk. Lalu Rasulullah S.A.W berkata kepadanya: Dua puluh. Kemudian datang lagi seorang lelaki yang lain dan mengucapkan: Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh, lalu dijawab oleh Nabi dan beliau duduk. Maka Rasulullah S.A.W berkata kepadanya: Tiga puluh”. Imam Al-Tirmizhi berkata: “Hadith ini adalah Hadith Hasan”.

Di dalam Riwayat Imam Abu Daud, daripada Riwayat Muaz bin Anas R.A sebagai tambahan ke atas hadith di atas, Nabi S.A.W bersabda: “Kemudian datang seorang lelaki yang lain, maka beliau berkata: Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh Wa Maghfiratuh. Lalu Rasulullah S.A.W menyatakan: Beginilah kelebihan-kelebihan (ucapan salam)”.

Menurut Imam Al-Nawawi Rahimahullah lagi, ulama’- ulama Al-Syaafi’eyyah berpandangan: Sekiranya golongan yang memulakan ucapan salam mengucapkan: Assalaamualaikum, maka ia dikira sebagai ucapan salam yang mencukupi. Sekiranya ia mengucapkan: Assalaamualaika, atau Salaamun ‘Alaika, maka ia juga dikira sebagai ucapan salam.Dan jawapan kepada ucapan tersebut, sekurang-kurangnya adalah : "وعليك السلام" (Wa’alaika salam), atau وعليكم السلام . Sekiranya dibuang huruf wau pada Wa’alaikumussalam tersebut, maka ia juga adalah sebagai satu ucapan dan diperbolehkan. Inilah pandangan yang benar dan masyhur di sisi Imam Al-Syaafie seperti yang disebut di dalam kitab beliau iaitu “Al-Umm” dan turut disepakati oleh Jumhur Mazhab Al-Syaafi’e. Manakala Imam Abu Saiid Al-Mutawalli Al-Syaafie di dalam kitabnya "التممة ", Sesungguhnya ia (iaitu jawapan untuk ucapan salam dengan dibuang huruf Wau) adalah tidak sempurna dan tidak boleh menjadi satu jawapan. Sesungguhnya pandangan ini adalah lemah dan tidak tepat, kerana ia bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan yang telah dikeluarkan oleh Imam Al-Syafie sendiri.

Manakala dalil Al-Quran, sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam surah Hud ayat 69 yang bermaksud:

“Dan Sesungguhnya utusan-utusan kami (Malaikat-malaikat) Telah datang kepada lbrahim dengan membawa kabar gembira, mereka mengucapkan: "Selamat." Ibrahim menjawab: "Selamatlah," Maka tidak lama Kemudian Ibrahim menyuguhkan daging anak sapi yang dipanggang”.

Berdasarkan ayat di atas, sesungguhnya syariat yang terdahulu adalah datang dalam bentuk ucapan, sebagaimana dalam Hadith Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim tentang salam yang diucapkan oleh Nabi Adam A.S selepas daripada penciptaannya, dan dijawab oleh sekelian para Malaikat dengan ucapan “Assalaamu'alaika Warahmatullah”, dan ditambah : “Wabarakaatuh”. (Sila rujuk dalam Shahih Bukhari Hadith no 3326,dan Shahih Muslim Hadith no 2841).

Sesungguhnya Nabi S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya Allah S.W.T memuliakan dirimu (diri nabi Adam A.S., dan memuliakan zuriatmu” dan sesungguhnya Ummat ini termasuk di dalam zuriat Nabi Adam A.S.

Sesungguhnya Para Ulama’ Al-Syaafi’eyyah telah bersepakat bahawa sekiranya dijawab : عليكم

السلام, adalah tidak dikira sebagai jawapan, maka sekiranya dijawab : وعليكم السلام adakah dikira sebagai jawapan?

Maka di sisi Ulama’ Al-Syaafi’eyyah, persoalan ini terbahagi kepada dua keadaan.

Pertama, sekiranya pemberi salam mengucapkan: سلام عليكم , ataupun ia berkata: السلام عليكم , maka bagi orang yang menjawab, mereka boleh menjawab di dalam dua keadaan, iaitu bagi ucapan : سلام عليكم, maka mereka boleh berkata : السلام عليكم , sebagaimana firman Allah dalam surah Huud di atas " قالوا سلاما قال سلام ".

Imam Abu Hassan Al-Waahidi Al-Syaafi’e mengatakan: “Kamu boleh memilih untuk mengucapkan salam dalam keadaan Ta’rif , السلام عليكم , atau Tankiir, سلام عليكم .

Imam Al-Nawawi Rahimahullahu Ta’ala berkata: “Tetapi ucapan dengan Aliif dan Laam (Ta’rif) lebih utama”.

Kadar Ucapan Salam.

Sekurang-kurangnya kadar ucapan salam yang diberikan,secara sunnahnya hendaklah diangkat sedikit suara sekadar mampu untuk didengar oleh orang yang memberi salam. Sekiranya ia tidak mendengarnya, maka ia tidak dikira memberi atau mengucapkan salam. Maka tidak wajib untuk dijawab.

Manakala kadar kefardhuan dan kewajipan seseorang itu untuk menjawab salam adalah sekadar diangkat suaranya sehingga mampu didengarinya sebagaimana didengari oleh orang yang memberi salam.

Imam Al-Nawawi Rahimahullahu Ta’ala berpandangan: “Dan disunatkan untuk orang yang memberi salam mengangkat suaranya agar didengari dengan jelas oleh orang yang menjawab salam. Sekiranya kurang jelas ucapan salam tersebut, maka perlu diangkat sedikit lagi suaranya sehingga ucapan salam itu jelas didengar dan difahami. Adapun, sekiranya ucapan salam diberi kepada orang yang bangun daripada tidur dan di sisinya masih ada orang yang sedang tidur, maka hendaklah memperlahankan suaranya sekadar yang didengar oleh orang yang bangun tersebut tanpa menganggu orang yang sedang tidur”.

Imam Abu Muhammad Al-Qadhi Al-Hussain, Imam Abu Hassan Al-Waahidi dan lain-lain Ulama’ Al-Syafieyyah berpandangan: “Disyaratkan untuk orang yang menjawab salam agar mereka menjawab salam dengan segera. Sekiranya sengaja dilambatkan dan baru dijawab, maka ia tidak dikira sebagai jawapan, dan menjadi dosa kepadanya kerana tidak menjawab salam”.

Menggunakan Isyarat tangan dan sebagainya dalam ucapan salam tanpa lafaz.

Sesungguhnya adalah dimakruhkan menggunakan isyarat ucapan salam tanpa dilafazkan ucapan salam tersebut kerana ianya adalah seumpama meniru perbuatan kaum yahudi dan Nasrani.

Diriwayatkan di dalam Sunan Al-Tirmizhi, daripada ‘Amru bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya, daripada Nabi S.A.W, bahawa baginda telah bersabda: “Bukanlah daripada kalangan kami sesiapa yang meniru selain daripada kami, janganlah kamu meniru golongan Yahudi dan golongan Nasrani, sesungguhnya golongan Yahudi mengucapkan salam dengan isyarat jari-jari mereka, dan golongan Nasrani mengucapkan salam dengan isyarat tapak tangan mereka.

Diriwayatkan di dalam Sunan Al-Tirmizhi daripada Asma’ binti Zaid: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah berjalan di dalam masjid pada satu hari, dan sekumpulan wanita sedang duduk, maka Nabi mengucapkan salam dan mengisyaratkan tangan baginda. Berkata Imam Al-Tirmizhi : Hadith ini adalah Hasan, dan ianya memberi maksud sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah mengumpulkan lafaz ucapan salam bersama-sama isyarat, dan Imam Abu Daud turut meriwayatkan lafaz hadith ini dengan berkata: “Maka baginda memberi salam ke atas kami”.

Seputar Hukum Ucapan Salam.

Memberi salam atau memulai ucapan salam adalah sunat muakkad dan tidak wajib, dan ia tergolong di dalam Fardhu Kifayah yang sangat dituntut.

Sekiranya seorang muslim berada dalam kelompok Jamaah yang ramai, maka cukup sekadar salah seorang daripada mereka untuk mengucapkan salam, dan afdhal sekiranya kesemuanya turut mengucapkan salam.

Majoriti Ulama’ Al-Syaafi’eyyah berpandangan: “Adapun menjawab salam, sekiranya seorang Muslim itu berseorangan, maka wajib untuk dijawab, manakala sekiranya mereka berada dalam kelompok yang ramai, maka menjadi Fardhu Kifayah untuk mereka menjawab. Sekiranya salah seorang daripada mereka menjawab, maka terlepaslah bebanan hukum bagi yang lain. Dan sekiranya mereka meninggalkannya, maka dosa akan tertanggung ke atas kesemuanya. Sekiranya kesemuanya menjawab, maka itu adalah satu bentuk kelebihan dan kebaikan”.

Imam Al-Nawawi Rahimahullahu Ta’ala mengatakan : “Ulama’-ulama kami bersepakat bahawa sekiranya yang menjawab salam tersebut adalah selain daripada kelompok mereka maka tidaklah dikira salam tersebut, bahkan hendaklah kelompok mereka yang menjawabnya. Sekiranya individu selain daripada kelompok mereka (tidak berada di dalam kelompok mereka) yang menjawab salam yang ditujukan kepada mereka, maka menjadi satu dosa bagi mereka”.

Diriwayatkan di dalam sunan Abu Daud, daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, Daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda: “Dibolehkan bagi Jama’ah (kelompok manusia) jika mereka berjalan makasalah seorang daripada mereka mengucapkan salam, dan dibolehkan untuk salah seorang daripada kelompok yang sedang duduk menjawabnya”.

Ucapan salam yang diucapkan terhadap kanak-kanak, tidaklah diwajibkan untuk mereka menjawab kerana mereka tidak termasuk golongan yang ditaklifkan dengan bebanan hukum. Tetapi sekiranya dijawab itu adalah sunat hukumnya dan lebih menepati adab. Sekiranya kanak-kanak memberi salam kepada orang yang baligh maka ianya bergantung kepada tahap keislaman kanak-kanak tersebut. Sekiranya kanak-kanak tersebut punya tahap keislaman yang betul dan kukuh, maka salam mereka adalah sebagaimana salam orang yang baligh dan wajib dijawab. Dan sekiranya thap keislamanya tidak kukuh, maka tidak perlu dijawab, tetapi sunat jika dijawab.

Imam Al-Nawawi pula berpandangan: “Yang paling benar daripada dua keadaan tersebut adalah wajib untuk menjawab salam mereka”. Ianya berdalilkan firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Nisaa’ ayat 86 yang bermaksud:

“Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan (Penghormatan dalam Islam ialah: dengan mengucapkan Assalamu'alaikum), Maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu”

Dimakruhkan kepada orang yang sedang membuang air untuk menjawab salam.

Disunatkan untuk menjawab salam bagi orang yang makan, minum dan seumpamanya pada keadaan dan tempat yang tidak diwajibkan untuk menjawab salam.

Bagi orang yang bersolat, diharamkan untuk mengucapkan “Wa’alaikumussalam”. Sekiranya ia mengatakan begitu, maka akan terbatal solatnya sekiranya ia mengetahui perbuatannya itu. Sekiranya ia jahil dan tidak tahu, maka tidak batal menurut pandangan yang lebih benar. Keadaan ini terbahagi kepada dua keadaan menurut Mazhab Al-Syaafie’, iaitu :

-Sekiranya ia mengucapkan lafaz salam dengan mengingatinya di dalam hati maka tidak terbatal solatnya kerana ia dikira doa bukan lafaz.

-Disunatkan untuk menjawab di dalam solat dengan isyarat tanpa dilafazkan.

Sekiranya ia menjawab selepas selesai dan lapang daripada solatnya, maka tidak menjadi masalah dan diperbolehkan untuk menjawabnya. Adapun Muazzin atau Bilal tidak dimakruhkan untuk menjawab salam dengan lafaz, kerana itu adalah satu bentuk kemudahan dan tidak akan membatalkan azannya.

Ucapan salam yang ditulis dan diucapkan daripada belakang tabir.

Berkata Imam Abu Saiid Al-Mutawalli Al-Syaafi’e dan lain-lainnya: “Sekiranya seorang insan memanggil insan yang lain daripada belakang tabir atau penghalang, lalu ia berkata: Assalaamu’alaika wahai si fulan! Atau ditulis padanya perkataan : Assalaamu’alaika wahai si fulan, ataupun Salam ke atas si Fulan, ataupun ditutus seorang rasul dan baginda berkata: sampaikan salam ke atas si fulan, maka Rasul atau tulisan itu sampai kepadanya, Wajib untuk dijawab salam tersebut. Itulah yang disebut oleh Imam Al-Waahidi dan yang lain-lainnya jika ucapan salam yang ditulis sampai kepadanya, maka wajib untuk dijawab”

Kesimpulan:

Secara kesimpulannya setelah kita meneliti pandangan ulama’ berkaitan permasalahan di atas, kita mendapati bahawa ucapan salam adalah ucapan yang penuh dengan adab-adab dan tatacara yang perlu dijaga kerana mengucapkan salam termasuk dalam perkara sunat yang amat dituntut dan menjawab salam adalah wajib dan fardhu bagi sesiapa jua.

Perbahasan mengenainya sebenarnya lebih jauh, dalam dan mendasar, namun cukuplah beberapa buah khazanah ilmu ulama’ silam yang mampu dikutip oleh penulis di dalam kitab Al-Azkaar karangan Imam Abi Zakaria Mahyuddin Yahya Al-Nawawi yang mak’ruf dengan panggilan Imam Al-Nawawi untuk menjadi panduan dan asas bagi kita dalam beramal menurut mazhab Al-Syaafi’e dengan kaedah dan tatacara yang betul dan diterima di sisi Allah S.W.T. Segala kekurangan dan kesalahan, penulis mohon keampunan Allah S.W.T. Wallahu’alam…

Al-Faqir Ila Allah Ta’ala:

Syeikh Muhd Mujahid Sikh Nawawi,

Tahun Akhir, Takhassus Qiraat Shoubra,

Cairo, Egypt.

13 Safar 1432H bersamaan 17 January 2011, 3.07 A.M

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita