Pengertian:
Ilmu Qiraat merupakan salah satu daripada ilmu-ilmu asas di dalam memahami cara bacaan yang Mutawatir daripada Rasulullah S.A.W yang diambil oleh para sahabat baginda secara Talaqqi dan Musyafahah secara langsung daripada Baginda S.A.W dan diambil oleh rasulullah secara talaqqi dengan jibril A.S.
Ilmu ini amat berkaitan dengan bahasa serta penggunaan kalimah al-Quran kerana ia berkisar pada perubahan baris, perubahan harakat, al-Naqlu, al-Ibdal, hazaf dan ithbat dan sebagainya.
Pengertian daripada sudut bahasa:
Qiraat jama’ kepada Qiraah قراءة , dan Qiraah itu masdar Fe’el (قرأ يقرأ قراءة وقرآنا فهو قاريء وهم قراء وقارئون )
Ianya merujuk kepada kumpulan ( الجمع ) dan perkumpulan ( الإجتماع)
Sebahagiannya mengatakan ianya al-Quran, kerana menunjukkan padanya pengumpulan Hukum-hakam, Cerita dan sebagainya. Dan dikatakan juga, kerana ianya mengumpulkan di antara surah-surah berdalilkan ayat Allah di dalam surah al-Qiyamah, ayat 17 dan 18 :
17. Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);
18. oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;
Ayat 17 menunjukkan al-Jam’u dan al-Qiraah dan ayat 18 menunjukkan al-Qiraah.
Pengertian daripada sudut Istilah:
Takrifan Qiraat secara istilah telah mula diperkenalkan oleh Ulama’ Qiraat sekitar tahun 700 H ke atas.. Sebelum daripada itu, contohnya dalam tahun 300 H hinggalah 700 H, para ulama’ Tafsir, Ulum Quran dan Qiraat seperti Ibnu Mujahid (324 H), Ibni Khaliwiyyah (370 H), Abi Ali al-Farisi (377 H), Imam Makki bin Abi Talib (437 H) dan sebagainya, mereka tidak mengemukakan apa-apa teori berkaitan Ilmu Qiraat dan mereka menumpukkan Talaqqi dan pembelajaran ilmu al-Quran dan Qiraat ini baik Secara Riwayah dan juga Dirayah.
Beberapa ulama’ telah mengemukakan takrifan al-Qiraat secara istilah , antaranya:
Imam Ibnu Hayyan al-Andalusi (745 H), Imam Badruddin al-Zarkhashi (794 H), Imam Shamsuddin Ibnu al-Jazari (833 H), Imam Jalaluddin al-Syuyuthi (911 H), Imam Shihabuddin al-Qistillani (923 H), dan lain-lain.
Secara umum, antara pandangan Ibnu Jazari contohnya:
“Al-Qiraat itu adalah satu ilmu berkaitan cara-cara penuturan kalimah al-Quran dan perbezaaannya dengan ( (عزوnisbah ( الناقلة ) pembawaannya”.
Unsur-unsur di dalam pentakrifan ilmu Qiraat.
1. Tauqif wa al-Naql.
2. Hakikat perbezaan di antara Qiraat dan Mazahir yang berkaitan dengan perbezaan ini seperti I’rab, Hazaf, Ithbat, Ibdal dan sebagainya.
3. Cara-cara penggunaan dan penuturannya.
Perbezaan antara al-Quran dan al-Qiraat.
Para ulama’ Ulum Quran, tafsir dan Qiraat berselisih pandangan terhadap masalah ini.
Sesetengah daripada mereka menyatakan bahawa Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang berbeza. Imam Al-Zarkhashi menyebutkan:
“Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua hakikat yang berbeza , Al-Quran adalah Wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi Muhammad S.A.W sebagai penerangan dan mukjizat. Manakala Qiraat pula merupakan perbezaaan lafaz-lafaz wahyu yang disebut di dalam huruf-huruf dan cara-cara penuturannya seperti Takhfif dan tasydid dan sebagainya”.
Maka, ilmu Qiraat memerlukan kepada Talaqqi dan Musyafahah, kerana ianya tidak boleh dihukum melainkan dengan Al-Sama’ dan al-Musyafahah.
Namun, sebahagian ulama’ Mutaakhirin pula berpandangan bahawa ia adalah Hakikat yang punyai makna yang sama.
Sebagainya yang dijelaskan, bahawa Al-quran juga merupakan Masdar yang seerti dengan al-Qiraah. Maka, ia adalah hakikat yang sama.
Mereka berdalilkan Hadith nabi S.A.W yang di riwayatkan di dalam Shahih Muslim pada bab (Fadhail al-Quran). Nabi S.A.W bersabda:
“إن الله يأمرك أن تقريء أمتك القرآن على سبعة أحرف , فأيما حرف قرأوا عليه فقد أصابوا “
Dr Fadhl Abbas menyatakan:
Maksud perkataan Imam al-Zarkhashi tersebut adalah daripada sudut Qiraat yang Mutawatir dan tidak Mutawatir, berdasarkan kepada tulisan di dalam mashaf yang berbeza, pandangan beliau benar. Sebab itu kita tidak nyatakan bahawa Al-Quran tidak Mutawatir sebagai sebahagian Qiraat. Al-Quran diturunkan di dalam keadaan mutawatir keseluruhannya. Manakla sebahagian Qiraat adalah bersifat Ahad dan berbeza dengan al-Quran, dan kita tidak berbeza mengenai kondisi al-Quran itu sendiri.
Namun di sana adanya pandangan yang menyatakan bahawa Qiraat juga merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T, sebagainya al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya Wahyu itu diturunkan dengan setiap wajah yang mutawatir yang dibaca melaljui al-Quran. Contohnya dibaca نشزها ia adalah daripada al-Quran tanpa syak dan jika dibaca dengan Qiraat ننشرها ianya juga daripada al-Quran. Setiap bacaan daripada Qiraat yang Mutawatir adalah terikat secara langsung dengan ayat, sebagaimana al-Quran itu dibaca dengan mana-mana bacaan daripada Qiraat Mutawatir, dan keduanya adalah Wahyu daripada Allah untuk menerangkan dan menjadi Mukjizat. Contohnya kita membaca dengan Riwayat Hafs ‘An ‘Asim dan di negara Morocco dibaca dengan riwayat Nafii’, Riwayat Qalun dibaca di Negara Tunisia, dan di Jazaiir (Algeria) mengamalkan Qiraat Warsh, maka tidak syak ianya merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. Begitu juga di Somalia, dibaca dengan Qiraat Abu ‘Amru al-Basri juga adalah wahyu daripada Allah S.W.T.
Qiraat Mutawatir adalah sebahagian al- Quran dan Juzuk-juzuknya. Qiraat al-Quran itu mengambarkan wahyu yang turun daripada Allah S.W.T dan setiap Qiraat itu mengambarkan wajah-wajah yang benar daripada pengamalan al-Quran yang sempurna, sebagaimana diturunkan ke atas nabi S.A.W. Wallahu’alam…
Perkembangan Ilmu Qiraat.
Terdapat dua pandangan di dalam hal ini. Pandangan pertama menyatakan bahawa Al-QIraat itu turun di Mekah ketika awal penurunan al-Quran. Ini kerana sebahagian besar al-Quran adalah surah-surah al-Makiyyah sehingga dinyatakan melebihi 83 surah telah diturunkan di Makkah, dan bacaan tujuh huruf tersebut telah diterima oleh nabi S.A.W pada ketika itu.
Pandangan kedua pula menyatakan bahawa,Qiraat turun di Madinah setelah penghijrahan Nabi S.A.W ke Madinah al-Munawarah. Ketika itu, sudah ramai manusia yang memluk agama Islam. Maka, Qiraat diturunkan sebagai satu bentuk kemudahan kepada mereka.
Secara umumnya, pandangan pertama adalah lebih rajih.Wallahua’lam…
Pembahagian Qiraat.
Sebagaimana dinyatakan di dalam kitab "al-Itqan fi Ulum al-Quran", Qiraat daripada sudut sanad terbahagi kepada 6 bahagian iaitu:
Qiraat Mutawatir:
Qiraat Mutawatir adalah merupakan Qiraat yang mutawatir daripada rasulullah S.A.W dan disepakati oleh sekumpulan besar manusia yang sudah tentu mereka tidak akan melakukan penipuan dan pendustaan terhadap satu-satu bacaan. Contoh adalah Qiraat bagi tujuh imam yang masyhur yang disebut di dalam matan al-Syatibi oleh Imam al-Syatibi.
Qiraat Masyhur:
QIraat Masyhur adalah Qiraat yang sah sanadnya,di riwayatkan oleh Qurra’ yang Thiqah dan kuat ingatan, tidak bersalahan dengan kaedah nahu serta salah satu daripada Rasm Uthmani, Masyhur dan tidak salah di sisi Qurra’ serta banyak farsh huruf di dalamnya. Hanya ianya tidak mencapai taraf mutawatir. Contohnya seperti Qiraat tujuh, namun ianya tidak disepakati dan diriwayat oleh periwayat
yang tidak diriwayat oleh yang lain. Hasil karangan di dalam Qiraat ini adalah antaranya kitab al-Taisir oleh Imam al-Dani,al-Qasidah lil Imam al-Syatibi, Au’iyah al-Nasr dan Taqribun al-Nasr lil Imam Ibnu Jazari dan sebagainya.
Qiraat Ahad:
Qiraat Ahad adalah qiraat yang sah sanadnya, namun ianya bersalahan dengan kaedah nahu mahupun rRasm Uthmani. Ianya tidak masyhur dan tidak dibaca. Ianya dibenarkan oleh Imam al-TIrmidhi di dalam Jami’nya, dan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan lain-lain. Contohnya seperti yang telah dikeluarkan oleh al-Hakim daripada jalan ‘Asim al-Juhdari daripada Abi Bakrah, sesungguhnya Nabi S.A.W membaca:
متكئين على رفارف وعباقرى حسان
Qiraat Syaz:
Qiraat Syaz adalah qiraat yang tidak sah sanadnya, dan ditulis penulisannya. Contohnya bacaan ملك يوم الين dan إياك يعبد dengan Bina’ Maf’u.
Qiraat Maudhu’:
Qiraat yang tidak pernah diriwayatkan dan dinaqalkan, contohnya seperti qiraat Al-Khuzai’ yang dinaqalkan oleh Abu Qasim al-Huzaili :
إنما يخشى الله من عباده العلماء
Didhommahkan lafaz al-Jalalah da di baris fathahkan lafaz Ulama’.
Shibih daripada jenis-jenis Hadith Mudarraj,
Seperti yang ditambah di dalam Qiraat dariapda sudut tafsir, seperti QIraat Saad bin Abi Waqas yang dikeluarkan oleh Saiid bin Mansur :
وله أخ أو أخت من أم
Begitu juga sebagaimana Qiraat Ibnu Abbas:
أن تبتغوا فضلا من ربكم في موسم الحج
Imam Jalaluddin al- Bulqinii menyatakan:
“ Al-Qiraah itu terbahagi kepada Mutawatir, Ahad dan Syaz. Maka, Mutawatir itu adalah Qiraat tujuh yang masyhur, dan Ahad itu adalah Qiraat tiga yang melengkapkan Qiraat tujuh, dan dimaksudkan juga dengan Qiraat Sahabah. Dan Syaz itu adalah Qiraat Tabiin seperti al-A’Masyh, Yahya bin Wassab, Ibnu Jabir dan lain-lain”.
Ciri-ciri Qiraat yang Mutawatir dan Shahih.
Imam Ibnu Jazari menyebutkan pada permulaan kitabnya, “Al-Nasr”:
“Setiap Qiraah itu hendaklah mengikut bahasa arab walaupun satu wajah, dan mengikut salah satu daripada Mashaf-mashaf Uthmani walaupun terdapat Ihtimal, dan sah sanadnya, maka ia adalah QIraat yang shahih dan tidak harus dipertikaikan. Wajib seluruh manusia untuk menerimanya, sama ada Qiraat Tujuh yang masyhur, ataupun Qiraat sepuluh, serta daripada lain-lain mereka yang menerimanya.Jika terlerai salah satu rukun yang tiga itu maka qiraat tersebut akan jatuh kepada taraf Lemah atau Syaz atau Batil, sama ada daripada Qiraat yang tujuh ataupun yang lebih besar daripadanya. Perkara ini adalah benar dan disepakati di sisi seluruh ulama’ salaf dan khalaf, dan antaranya Imam Al-Dani, Imam al-Makki, Al-Mahdawi, da Abu Syaimah, yang merupakan mazhab salaf yang tidak mengetahui salah seorang daripada mereka perbezaannya”.
Secara ringkas, 3 ciri-ciri qiraat yang shahih dan mutawatir melalui kata-kata Imam Ibnu Jazari di atas adalah:
1. Sah sanadnya.
2. Mengikuti kaedah nahu walaupun hanya satu wajah.
3. Mengikuti salah satu Rasm Uthmani walupun terdapat ihtimal di antaranya.
Adakah Tujuh Huruf itu adalah Qiraat yang tujuh?
Sebahagian orang menganggap bahawa tujuh huruf yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah merupakan Qiraat tujuh Imam yang masyhur. Betulkah ?
Terdapat banyak hadith nabi S.A.W yang menyatakan bahawa al-Quran itu diturunkan dalam tujuh huruf. Antaranya rasulullah S.A.W bersabda melalui riwayat Ibnu Abbas:
أقراني جبريل عليه السلام على حرف واحد فراجعته فلم أزل أستزيده حتى انتهى إلى سبعة أحرف
“Jibril A.S telah membaca kepadaku satu huruf, maka aku kembali kepadanya dan tidak aku tinggalkan bacaan itu, dan aku meminta untuk menambahkannya sehingga menjadi tujuh huruf”.
Hadith di atas diturunkan ketika Nabi S.A.W berada di Makkah dan menjadi dalil bahawa nabi mengambil secara langsung bacaan daripada Jibril A.S.
Sebenarnya, tujuh huruf yang dimaksudkan di dalam hadith di atas bukanlah Qiraat tujuh sebagaimana tekaan dan pandangan sesetangah orang yang jahil mengenainya. Ini kerana, tidak dijumpai bukti yang menunjukkan sebelum tahun 200 Hijrah bahawa para ulama qiraat telah mengagaskan istilah Qiraat tujuh. Bahkan, QIraat itu sangat banyak sehingga ada yang mengatakan bahawa ianya mencapai seribu jalan ( Toriq ). Istilah ini mula diperkenalkan oleh sebahagian ulama’ Qiraat seperti Abi Ubaid al-Qasim bin Salam, Abi Jaafar al-Thabari, dan Abi Hatim al-Sajistani pada awal kurun ke 200 hijrah dan pada ketika itu umat Islam hanya menerima sebahagian daripada jalan-jalan bacaan sahaja.
Antara penerangan yang terbaik mengenai tujuh huruf ini, adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam Ibnu al-Jazari Rahimahullah iaitu:
1. Baris yang pelbagai dan tidak melibatkan makna dan bentuk tulisan. Contoh: يحسب .Dibaca dengan Fathah dan kasrah pada huruf siin.
2. Baris yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. Contohnya kalimah ءادم / كلمت dibaca dengan nasab dan kasrah atau sebaliknya.
3. Huruf yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. تتلوا / تبلوا
4. Huruf yang pelbagai dan hanya melibatkan perubahan pada bentuk tulisan sahaja.Makna tidak berubah الصراط / السراط
5. Huruf dan bentuk tulisan yang pelbagai. يأتل / يتال
6. Taqdim dan Ta’khir lafaz وقاتلوا / وقتلوا
7. Penambahan dan pengurangan huruf. ووصى / وأوصى
Qurra’Sepuluh.
1. Imam Nafii’ al-Madaani ( 70-169 H). Yang meriwayatkan bacaanya adalah Imam Warsh (110-197 H) dan Imam Qalun (110-120 H).
2. Imam Ibnu Kathir al-Makki ( 45-120 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Bazzi (170-250 H) dan Imam Qunbul (195-291 H).
3. Imam Abu Amru bin al-Ala’ al-Basri (68-154 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Duri (246 H) dan Imam al-Susi (291 H)
4. Imam Ibnu Amir al-Syamii (8-118 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Hisham (153-245 H) dan Imam Ibnu Zakwan (173-242 H).
5. Imam ‘Asim al-Kufi (127 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Syu’bah (95-193 H) dan Imam Hafs (90-180 H)
6. Imam Hamzah al-Kufi ( 80-156 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Khalaf (150-229 H) dan Imam Khallad (220 H).
7. Imam al-Kisaie (119-189 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Laith al-Baghdadi (240 H) dan Imam Hafs al-Duri (246 H).
8. Imam Abu Ja’afar al-Madani ( 130 H). yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam ‘Isa bin Wardan (160 H) dan Imam Ibnu Jammaz (170 H).
9. Imam Ya’aqub al-Basri (117-205 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ruwais (238 H) dan Imam Ruwh (234 H).
10. Imam Khalaf al-Asyir (150-229 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ishak al-Marwazi (286 H) dan Imam Idris al-Haddad (199-292 H).
Penulisan yang masyhur di dalam Ilmu Qiraat Tujuh.
1. Kitab “al-Tabsiraah” dan kitab “al-Kasyfu” oleh Imam al-Makki bin Abi Talib.
2. “Kitab al-Taisir” dan kitab “Jamii’ al-Bayaan” oleh Imam Abi Amru al-Dani.
3. Kitab “al-Kafi” oleh Ibnu Syarih.
4. Kitab Qasidah “Hizr al-Amaani Wa Wajh al-Tahaani” dan termasuk di dalamnya kitab “Al-Taisir” sebagai Bayaan.
Kesimpulan:
Ini adalah sebahagian daripada pengenalan asas terhadap ilmu Qiraat, untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, pembaca bolehlah merujuk kepada kitab-kitab dan kalam-kalam ulama' Ulum Quran yang telah membahaska ilmu yang sangat berharga ini. Semoga sisipan ini mampu memberi sedikti panduan kepada mereka yang ingin mendalami ilmu Qiraat. Wallahu'alam...
Bibliografi:
1. Al-Quran al-Karim.
2. Dr Muhammad Ahmad Jamal, “Al-Wuujuh al-Balaghah Fi Taujih Al-Qiraat Al-Quraaniah Al-Mutawatirah”, Cet Pertama 1430 h/ 2009 M, Dar al-Furqan.
3. Imam Jalaluddin Al-Syuyuthi, “Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran”, Cet Pertama 1427 H/2006 M, Dar Al-Hadis al-Qahirah.
4. Imam Badruddin al-Zarkhashi, “Al-Burhan Fi Ulum al-Quran”, Cet Pertama 1408 H/ 1988 M, Beirut, Dar Al-Fikr.
5. Imam al-Zabidi, “Taj Al-‘Arus Min Jawaahir al-Al-Qamus”, Cet tahun 1966, Juz 1, Matba’ah Hukumah Kuwait.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan