;

Sabtu, Disember 11, 2010

Hijrah: Menghayati Prinsip Percaya untuk Berjaya.

Sudah beberapa hari awal Muharram berlalu.

Ini bermakna umur kita pun sudah meningkat beberapa waktu.

Berlalunya 1431H pastinya menggamit seribu nostalgia yang telah terpatri menjadi ingatan memori kita.

Permesyuaratan yang berlaku di zaman Saidina Umar Al-Khattab R.A pada tahun ke 17 Hijrah yang memutuskan tarikh 1 Hijrah sebagai penentuan awal kalendar umat Islam mempunyai signifikannya tersendiri.

Ianya merupakan asas kepada perubahan yang besar yang disebutkan oleh Dr Mustafa Al-Sibaie sebagai bulan kemenangan bagi umat Islam.

Tanpa hijrah, manusia seluruhnya tidak mampu untuk menghayati konsep kesempurnaan dalam Islam dengan baik.

Islam sebagai Agama rahmat bagi sekalian alam amat menuntut umatnya agar lebih baik daripada hari ke hari.

Mana mungkin manusia mampu untuk menghayati konsep ini dengan baik sekiranya tidak mencerna konsep perubahan yang ditunjukkan dalam sirah Hijrah ini.

Berubah itu adalah untuk menghayati falsafah percaya untuk berjaya.

Keyakinan dan kepercayaan terhadap sesuatu perkara yang besar tentunya akan mengangkat motivasi diri untuk berusaha mencapai perkara tersebut.

Lihatlah bagaimana keadaan umat Islam di Mekkah ketika Pihak Quraisy mendapat tahu bahawa kekuatan umat Islam telah bertambah di Madinah.

Pihak Quraisy telah memulakan proses menghimpit umat islam dengan segala bentuk kekangan pemulauan, penyiksaan, penghinaan dan sebagainya yang sampai kepada kemuncak operasi pembunuhan Rasulullah S.A.W yang Dirancang oleh Abu Jahal dan sekutunya di Dar al-Nadwah.

Tekanan dan kekangan ini seterusnya diikuti dengan perintah daripada Allah S.W.T untuk berhijrah.

Secara signifikannya, Hijrah yang diperintahkan tersebut memberi makna agar umat Islam bergerak untuk membuat satu perubahan yang besar agar Islam mendapat manafaat dan natijah yang lebih besar daripada itu pada kemudiannya.

Jika tidak, pasti Allah S.W.T tidak akan memerintahkan untuk penghijrahan dilakukan dan pastinya segala proses penentangan semula terhadap puak Quraisy diselesaikan di Makkah.

Di sini konsep percaya untuk berjaya dicerna.

Dalam keadaan kaum Muhajirin terpaksa meninggalkan seluruh harta-benda dan anak-pinak terpaksa ditinggalkan di Makkah, pastinya timbul dalam benak hati mereka mampukah mereka melakukan perubahan tersebut yang sangat drastik dan besar.

Namun, persoalan demi persoalan tersebut membawa kepada kepercayaan terhadap satu perkara yang besar untuk menghasilkan natijah yang besar.

Akhirnya, natijah tersebut dicapai dengan terbinanya Negara Islam yang pertama di Madinah yang seterusnya membawa kepada tersebarnya islam di seluruh muka bumi sehingga hari ini.

Di dalam peperangan Ahzab contohnya, ketika mana umat Islam dihimpit dengan tekanan yang besar daripada pihak musuh yang bergabung, Rasulullah S.A.W datang memberi motivasi percaya untuk berjaya kepada tentera islam pada waktu tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W kepda mereka :

"Kota Konstantinopel pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya".

Janji yang telah dibuat oleh Rasulullah S.A.W itu adalah perkara yang sangat jauh dan sukar dicapai pada masa tersebut. Dalam keadaan umat islam masih tidak punyai negara sendiri dan Kota Konstantinopel merupakan kota yang terhebat dan terbesar di dunia pada masa tersebut, sudah tentu cabaran untuk mendapatkannya sangatlah berat, jauh, besar dan sukar.

Namun, rasulullah S.A.W memberi keyakinan yang penuh untuk menghayati kepercayaan dan keyainan seterusnya berusaha untuk mencapai kejayaan. Akhirnya, dengan keyakinan dan kepercayaan yang besar tersebut, apa yang dikatakan oleh Rasulullah S.A.W tersebut benar-benar berlaku.

Sekali lagi konsep percaya untuk berjaya diterapkan di dalam kisah Hijrah yang agung ini. Ketika mana seorang yahudi, Suraqah bin Malik bertemu dengan Rasulullah S.A.W, beliau berusaha untuk mengejarnya dengan pedang yang terhunus panjang dan tajam beserta kuda yang terhebat. namun, beliau bukan sahaja tidak mampu untuk menjamah batang tubuh rasulullah S.A.W, bahkan beliau rebah sebelum semapat mendekati Nabi S.A.W.

Tiga kali rebah di pertengahan menjadikan jiwa Suraqah yang asalnya berkobar-kobar pada awalnya turut rebah tidak bermaya. Beliau hanya mampu memanggil Rasulullah S.A.W dengan suara yang penuh kesayuan dan lemah.Tiada lagi derapan tapak kai kuda, tiada lagi suara gagah yang keluar dari mulut Suraqah, dan tiada lagi hunusan perang yang menjulang ke langit.

Rasulullah S.A.W datang menolong Suraqah dan berkata: "Hendakkah kamu jika aku hadiahkan kamu dengan Gelang Maharaja Kaisar? iaitu kamu hendaklah beriman kepada Allah S.W.T".

Jaminan yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W sungguh mengejutkan beliau. Beliau hanya terdiam dan kembali ke Makkah tanpa berkata apa-apa.

Namun, akhirnya apa yang dikatakan oleh nabi S.A.W itu benar-benar tejadi setelah beliau masuk Islam dan sama-sama berperang di zaman Saidina Umar Al-Khattab setelah Islam berjaya menakluk kota Rom dan Parsi. Gelang tersebut telah diberikan oleh Saidina Umar sendiri kepada beliau.

Lihat bagaimana nabi S.A.W memberikan keyakinan dan kepercayaan dengan perkara yang besar untuk mencapai kejayaan yang besar. Jika tidak, tentulah nabi S.A.W hanya akan menjanjikan sesuatu yang lebih dekat dan lebih mudah serta cepat untuk mendapatkannya.

Apa yang ingin dibawa oleh penulis khususnya kepda Mahasiswa dan mahasiswi yang sedang berada dalam fitrah Imtihan ini, agar kita mengahayati konsep Hijrah ini untuk mengaplikasikan "Percaya untuk berjaya" itu dengan sebaiknya.

Untuk mencapai kejayaan yang besar, tetapkan azam kita yang terbaik dan terbesar. Usahlah hanya berazam untuk mencapai natijah yang sekadarnya sahaja kerana kita pastinya akan berusaha dengan sekadarnya juga.

Namun, tetapkan azam dan niat untuk mendapat natijah yang terbaik, seterusnya dengan keyakinan dan kepercayaan tersebut akan membuahkan usaha yang terbaik untuk mencapainya.

Inilah yang telah diajar dan diimplimentasikan oleh rasulullah S.A.W melalui kisah hijrah yang penuh bermakna ini.

Di samping itu, janganlah lupa untuk menghayati dan mencerna konsep pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Saidina Abu bakar R.A. terhadap Rasululllah S.A.W, pengorbanan Abdullah bin Abu bakar sebagia penganalisis politik nabi S.A.W dan Asma' binti Abu Bakar, seorang serikandi berjiwa pejuang yang bertugasmembawa bekalan kepada rasulullah S.A.W dan Saidina Abu bakar Al-Siddiq R.A.

Begitu juga dengan pengorbanan Saidina Ali K.W.J kerana keberanian beliau untuk menggantikan tempat tidur Nabi S.A.W dan sifat amanah beliau memulangkan kembali barang-barang yang telah disimpan oleh golongan kafir Quraisy kepada nabi S.A.W.

Watak beramanah dengan prinsip yang telah ditunjukkan oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A juga turut memberi makna yang besar agar kita sebagai mahasiswa dan mahasiswa punyai jiwa yang sensetif dan cakna dengan isu yang melibatkan integriti dan hak mahasiswa itu sendiri.

Lihatlah bagaimana beliau dengan lantang mengistiharkan penghijrahan beliau kepada semua dengan pergi ke tengah-tengah kota Makkah dan berkata: "Barangsiapa yang ingin isteri-isterinya menjadi janda dan anak-anaknya menjadi yatim piatu, datanglah ke wadi ini esok untuk menghalang penghijrahan daku".

Namun, tiada seorangpun daripada kalangan kaum Quraisy yang datang untuk berhadapan dengan beliau.

Akhirnya, moga-moga ramuan yang telah dicerna melalui sirah yang agung ini akan memberi motivasi yang besar untuk melonjakkan paradigma kita seterusnya akan mampu untuk mencapai apa yang dihajatkan serta diimpikan seagai seorang mahasiswa islam.

Salam Imtihan 1432H.

Syeikh Muhd Mujahid in Sikh Nawawi,
Tahun 3, Takhassus Al-Quran Wal Qiraat,
Maahad Qiraat Shoubra, Kaherah, Mesir.








Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita