Di bawah ini penulis nukilkan sebuah kisah yang diterjemah daripada kisah asalnya di dalam bahasa arab untuk tatapan kita bersama:
Di dalam sebuah hutan yang tebal, hidup seekor singa dan tiga ekor lembu jantan. Masing-masing berwarna putih, hitam dan juga merah.
Ketiga-tiga ekor lembu jantan ini hidup bersatu-padu, saling tolong-menolong dan mempertahankan kesatuan di antara mereka.
Jika salah seeokor daripada mereka cuba untuk diancam oleh singa tersebut, maka semuanya bangkit untuk mempertahankan kumpulan mereka.
Beberapa percubaan telah cuba untuk dilakukan oleh singa tersebut,namun ianya sangat sukar dan mustahil.
Satu ketika, si singa tersebut mendapat satu helah.
Ia datang mendekati lembu merah dan hitam, lalu berkata kepada keduanya.
"Wahai sahabatku, warna kita tidaklah banyak bezanya, bahkan warnaku juga seperti warna kamu berdua. Namun, warna putih pada sahabat kita itu adalah terang, dan pastinya pemburu mudah nampak warna tersebut. Jika pemburu nampak, maka ia adalah perkara yang amat merbahaya bagi kita. Pada pandanganku, kamu berikanlah aku ruang untuk memakan lembu putih itu agar kita terus aman di sini".
Beberapa ketika lembu merah dan hitam berfikir, lalu mereka merasa ada kebenarannya kata-kata si singa tersebut.
Maka mereka pun berkata "Makanlah wahai singa". Lalu, tamatlah riwayat lembu jantan yang putih itu.
Setelah beberapa waktu berlalu, si singa datang lagi untuk menjalankan helahnya.
Ia mendekati lembu jantan yang berwarna merah lalu berkata, "Jika engkau melihat, warna kita tidaklah jauh bezanya, namun lembu jantan yang berwarna hitam itu sungguh berbeza warnanya, dan ini adalah amat merbahaya bagi kita. Jadi, pada pandanganku, eloklah kiranya engkau memberiku keizinan untuk aku memakannya demi kepentingan kita bersama".
Lembu jantan itu berfikir sejenak. Ia merasa ada benarnya saranan si singa tersebut, dan ia membenarkan singa itu untuk memakannya.
Sebaik sahaja tubuh si lembu jantan yang berwarna hitam itu dimakan oleh singa, lantas si singa berkata kepada lembu jantan yang berwarna merah itu sambil tersenyum, "Sesungguhnya sekarang ini engkau hanya berseorangan, maka tidak mustahil aku akan memakan engkau!"
Menggeletar lembu jantan itu. Ia memandang kiri dan kanan, hanya ia berseorangan sahaja berhadapan dengan singa yang sangat licik itu. Saat itulah ia teringat kembali kawan-kawannya, namun apakan daya, keadaannya sekarang seumpama peribahasa arab yang bermaksud "Aku telah dimakan pada waktu dimakan lembu jantan yang berwarna putih itu".
Dalam kisah yang sederhana ini, ianya cukup cantik untuk menggambarkan perlunya mempertahankan kesatuan dan permuafakatan yang dibina.
Jangan sesekali kita menjadi golongan duri dalam daging yang memecahkan kesatuan yang telah terbina, kerana ianya hanya akan membuka ruang kepada pihak musuh untuk memusnahkan kita. Bahkan,golongan yang menjadi perosak inilah yang telah memusnahkan kehidupan mereka sejak awal lagi.
Moga-moga kisah ini akan menjadi pengajaran bagi mereka yang berfikir. Ingatlah, musuh sentiasa ada di sekeliling kita. Perkukuhkan ukhuwwah, eratkan kesatuan dan saling-bantu membantu antara satu sama lain.
P/S: Selamat menjalani peperiksaan bagi seluruh mahasiswa/mahasiswi di Perlembahan Nil. Moga-moga kejayaan bersama antum dan antunna. Bittaufiq wannajah.
Sekian..
1 ulasan:
salam moja..ni salh satu citer dlm modul kejora ari tuh..
Catat Ulasan