;

Khamis, September 16, 2010

TASSAWWUR ASAS ILMU QIRAAT.


TASSAWWUR ASAS ILMU QIRAAT.

Pengertian:

Ilmu Qiraat merupakan salah satu daripada ilmu-ilmu asas di dalam memahami cara bacaan yang Mutawatir daripada Rasulullah S.A.W yang diambil oleh para sahabat baginda secara Talaqqi dan Musyafahah secara langsung daripada Baginda S.A.W dan diambil oleh rasulullah secara talaqqi dengan jibril A.S.

Ilmu ini amat berkaitan dengan bahasa serta penggunaan kalimah al-Quran kerana ia berkisar pada perubahan baris, perubahan harakat, al-Naqlu, al-Ibdal, hazaf dan ithbat dan sebagainya.

Pengertian daripada sudut bahasa:

Qiraat jama’ kepada Qiraah قراءة , dan Qiraah itu masdar Fe’el (قرأ يقرأ قراءة وقرآنا فهو قاريء وهم قراء وقارئون )

Ianya merujuk kepada kumpulan ( الجمع ) dan perkumpulan ( الإجتماع)

Sebahagiannya mengatakan ianya al-Quran, kerana menunjukkan padanya pengumpulan Hukum-hakam, Cerita dan sebagainya. Dan dikatakan juga, kerana ianya mengumpulkan di antara surah-surah berdalilkan ayat Allah di dalam surah al-Qiyamah, ayat 17 dan 18 :

17. Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

18. oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

Ayat 17 menunjukkan al-Jam’u dan al-Qiraah dan ayat 18 menunjukkan al-Qiraah.

Pengertian daripada sudut Istilah:

Takrifan Qiraat secara istilah telah mula diperkenalkan oleh Ulama’ Qiraat sekitar tahun 700 H ke atas.. Sebelum daripada itu, contohnya dalam tahun 300 H hinggalah 700 H, para ulama’ Tafsir, Ulum Quran dan Qiraat seperti Ibnu Mujahid (324 H), Ibni Khaliwiyyah (370 H), Abi Ali al-Farisi (377 H), Imam Makki bin Abi Talib (437 H) dan sebagainya, mereka tidak mengemukakan apa-apa teori berkaitan Ilmu Qiraat dan mereka menumpukkan Talaqqi dan pembelajaran ilmu al-Quran dan Qiraat ini baik Secara Riwayah dan juga Dirayah.

Beberapa ulama’ telah mengemukakan takrifan al-Qiraat secara istilah , antaranya:

Imam Ibnu Hayyan al-Andalusi (745 H), Imam Badruddin al-Zarkhashi (794 H), Imam Shamsuddin Ibnu al-Jazari (833 H), Imam Jalaluddin al-Syuyuthi (911 H), Imam Shihabuddin al-Qistillani (923 H), dan lain-lain.

Secara umum, antara pandangan Ibnu Jazari contohnya:

“Al-Qiraat itu adalah satu ilmu berkaitan cara-cara penuturan kalimah al-Quran dan perbezaaannya dengan ( (عزوnisbah ( الناقلة ) pembawaannya”.

Unsur-unsur di dalam pentakrifan ilmu Qiraat.

1. Tauqif wa al-Naql.

2. Hakikat perbezaan di antara Qiraat dan Mazahir yang berkaitan dengan perbezaan ini seperti I’rab, Hazaf, Ithbat, Ibdal dan sebagainya.

3. Cara-cara penggunaan dan penuturannya.

Perbezaan antara al-Quran dan al-Qiraat.

Para ulama’ Ulum Quran, tafsir dan Qiraat berselisih pandangan terhadap masalah ini.

Sesetengah daripada mereka menyatakan bahawa Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang berbeza. Imam Al-Zarkhashi menyebutkan:

“Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua hakikat yang berbeza , Al-Quran adalah Wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi Muhammad S.A.W sebagai penerangan dan mukjizat. Manakala Qiraat pula merupakan perbezaaan lafaz-lafaz wahyu yang disebut di dalam huruf-huruf dan cara-cara penuturannya seperti Takhfif dan tasydid dan sebagainya”.

Maka, ilmu Qiraat memerlukan kepada Talaqqi dan Musyafahah, kerana ianya tidak boleh dihukum melainkan dengan Al-Sama’ dan al-Musyafahah.

Namun, sebahagian ulama’ Mutaakhirin pula berpandangan bahawa ia adalah Hakikat yang punyai makna yang sama.

Sebagainya yang dijelaskan, bahawa Al-quran juga merupakan Masdar yang seerti dengan al-Qiraah. Maka, ia adalah hakikat yang sama.

Mereka berdalilkan Hadith nabi S.A.W yang di riwayatkan di dalam Shahih Muslim pada bab (Fadhail al-Quran). Nabi S.A.W bersabda:

“إن الله يأمرك أن تقريء أمتك القرآن على سبعة أحرف , فأيما حرف قرأوا عليه فقد أصابوا “

"Sesungguhnya Allah S.W.T memrintahkanmu (wahai Muhammad) membacakan ke atas umatmu Al-Quran dengan tujuh Huruf ( wajah), maka mana-mana huruf (wajah) yang mana mereka membacanya, maka akan diberi ganjaran kepada mereka".

Dr Fadhl Abbas menyatakan:

Maksud perkataan Imam al-Zarkhashi tersebut adalah daripada sudut Qiraat yang Mutawatir dan tidak Mutawatir, berdasarkan kepada tulisan di dalam mashaf yang berbeza, pandangan beliau benar. Sebab itu kita tidak nyatakan bahawa Al-Quran tidak Mutawatir sebagai sebahagian Qiraat. Al-Quran diturunkan di dalam keadaan mutawatir keseluruhannya. Manakla sebahagian Qiraat adalah bersifat Ahad dan berbeza dengan al-Quran, dan kita tidak berbeza mengenai kondisi al-Quran itu sendiri.

Namun di sana adanya pandangan yang menyatakan bahawa Qiraat juga merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T, sebagainya al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya Wahyu itu diturunkan dengan setiap wajah yang mutawatir yang dibaca melaljui al-Quran. Contohnya dibaca نشزها ia adalah daripada al-Quran tanpa syak dan jika dibaca dengan Qiraat ننشرها ianya juga daripada al-Quran. Setiap bacaan daripada Qiraat yang Mutawatir adalah terikat secara langsung dengan ayat, sebagaimana al-Quran itu dibaca dengan mana-mana bacaan daripada Qiraat Mutawatir, dan keduanya adalah Wahyu daripada Allah untuk menerangkan dan menjadi Mukjizat. Contohnya kita membaca dengan Riwayat Hafs ‘An ‘Asim dan di negara Morocco dibaca dengan riwayat Nafii’, Riwayat Qalun dibaca di Negara Tunisia, dan di Jazaiir (Algeria) mengamalkan Qiraat Warsh, maka tidak syak ianya merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. Begitu juga di Somalia, dibaca dengan Qiraat Abu ‘Amru al-Basri juga adalah wahyu daripada Allah S.W.T.

Qiraat Mutawatir adalah sebahagian al- Quran dan Juzuk-juzuknya. Qiraat al-Quran itu mengambarkan wahyu yang turun daripada Allah S.W.T dan setiap Qiraat itu mengambarkan wajah-wajah yang benar daripada pengamalan al-Quran yang sempurna, sebagaimana diturunkan ke atas nabi S.A.W. Wallahu’alam…

Perkembangan Ilmu Qiraat.

Terdapat dua pandangan di dalam hal ini. Pandangan pertama menyatakan bahawa Al-QIraat itu turun di Mekah ketika awal penurunan al-Quran. Ini kerana sebahagian besar al-Quran adalah surah-surah al-Makiyyah sehingga dinyatakan melebihi 83 surah telah diturunkan di Makkah, dan bacaan tujuh huruf tersebut telah diterima oleh nabi S.A.W pada ketika itu.

Pandangan kedua pula menyatakan bahawa,Qiraat turun di Madinah setelah penghijrahan Nabi S.A.W ke Madinah al-Munawarah. Ketika itu, sudah ramai manusia yang memluk agama Islam. Maka, Qiraat diturunkan sebagai satu bentuk kemudahan kepada mereka.

Secara umumnya, pandangan pertama adalah lebih rajih.Wallahua’lam…

Pembahagian Qiraat.

Sebagaimana dinyatakan di dalam kitab "al-Itqan fi Ulum al-Quran", Qiraat daripada sudut sanad terbahagi kepada 6 bahagian iaitu:

Qiraat Mutawatir:

Qiraat Mutawatir adalah merupakan Qiraat yang mutawatir daripada rasulullah S.A.W dan disepakati oleh sekumpulan besar manusia yang sudah tentu mereka tidak akan melakukan penipuan dan pendustaan terhadap satu-satu bacaan. Contoh adalah Qiraat bagi tujuh imam yang masyhur yang disebut di dalam matan al-Syatibi oleh Imam al-Syatibi.

Qiraat Masyhur:

QIraat Masyhur adalah Qiraat yang sah sanadnya,di riwayatkan oleh Qurra’ yang Thiqah dan kuat ingatan, tidak bersalahan dengan kaedah nahu serta salah satu daripada Rasm Uthmani, Masyhur dan tidak salah di sisi Qurra’ serta banyak farsh huruf di dalamnya. Hanya ianya tidak mencapai taraf mutawatir. Contohnya seperti Qiraat tujuh, namun ianya tidak disepakati dan diriwayat oleh periwayat

yang tidak diriwayat oleh yang lain. Hasil karangan di dalam Qiraat ini adalah antaranya kitab al-Taisir oleh Imam al-Dani,al-Qasidah lil Imam al-Syatibi, Au’iyah al-Nasr dan Taqribun al-Nasr lil Imam Ibnu Jazari dan sebagainya.

Qiraat Ahad:

Qiraat Ahad adalah qiraat yang sah sanadnya, namun ianya bersalahan dengan kaedah nahu mahupun rRasm Uthmani. Ianya tidak masyhur dan tidak dibaca. Ianya dibenarkan oleh Imam al-TIrmidhi di dalam Jami’nya, dan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan lain-lain. Contohnya seperti yang telah dikeluarkan oleh al-Hakim daripada jalan ‘Asim al-Juhdari daripada Abi Bakrah, sesungguhnya Nabi S.A.W membaca:

متكئين على رفارف وعباقرى حسان

Qiraat Syaz:

Qiraat Syaz adalah qiraat yang tidak sah sanadnya, dan ditulis penulisannya. Contohnya bacaan ملك يوم الين dan إياك يعبد dengan Bina’ Maf’u.

Qiraat Maudhu’:

Qiraat yang tidak pernah diriwayatkan dan dinaqalkan, contohnya seperti qiraat Al-Khuzai’ yang dinaqalkan oleh Abu Qasim al-Huzaili :

إنما يخشى الله من عباده العلماء

Didhommahkan lafaz al-Jalalah da di baris fathahkan lafaz Ulama’.

Shibih daripada jenis-jenis Hadith Mudarraj,

Seperti yang ditambah di dalam Qiraat dariapda sudut tafsir, seperti QIraat Saad bin Abi Waqas yang dikeluarkan oleh Saiid bin Mansur :

وله أخ أو أخت من أم

Begitu juga sebagaimana Qiraat Ibnu Abbas:

أن تبتغوا فضلا من ربكم في موسم الحج

Imam Jalaluddin al- Bulqinii menyatakan:

“ Al-Qiraah itu terbahagi kepada Mutawatir, Ahad dan Syaz. Maka, Mutawatir itu adalah Qiraat tujuh yang masyhur, dan Ahad itu adalah Qiraat tiga yang melengkapkan Qiraat tujuh, dan dimaksudkan juga dengan Qiraat Sahabah. Dan Syaz itu adalah Qiraat Tabiin seperti al-A’Masyh, Yahya bin Wassab, Ibnu Jabir dan lain-lain”.

Ciri-ciri Qiraat yang Mutawatir dan Shahih.

Imam Ibnu Jazari menyebutkan pada permulaan kitabnya, “Al-Nasr”:

“Setiap Qiraah itu hendaklah mengikut bahasa arab walaupun satu wajah, dan mengikut salah satu daripada Mashaf-mashaf Uthmani walaupun terdapat Ihtimal, dan sah sanadnya, maka ia adalah QIraat yang shahih dan tidak harus dipertikaikan. Wajib seluruh manusia untuk menerimanya, sama ada Qiraat Tujuh yang masyhur, ataupun Qiraat sepuluh, serta daripada lain-lain mereka yang menerimanya.Jika terlerai salah satu rukun yang tiga itu maka qiraat tersebut akan jatuh kepada taraf Lemah atau Syaz atau Batil, sama ada daripada Qiraat yang tujuh ataupun yang lebih besar daripadanya. Perkara ini adalah benar dan disepakati di sisi seluruh ulama’ salaf dan khalaf, dan antaranya Imam Al-Dani, Imam al-Makki, Al-Mahdawi, da Abu Syaimah, yang merupakan mazhab salaf yang tidak mengetahui salah seorang daripada mereka perbezaannya”.

Secara ringkas, 3 ciri-ciri qiraat yang shahih dan mutawatir melalui kata-kata Imam Ibnu Jazari di atas adalah:

1. Sah sanadnya.

2. Mengikuti kaedah nahu walaupun hanya satu wajah.

3. Mengikuti salah satu Rasm Uthmani walupun terdapat ihtimal di antaranya.

Adakah Tujuh Huruf itu adalah Qiraat yang tujuh?

Sebahagian orang menganggap bahawa tujuh huruf yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah merupakan Qiraat tujuh Imam yang masyhur. Betulkah ?

Terdapat banyak hadith nabi S.A.W yang menyatakan bahawa al-Quran itu diturunkan dalam tujuh huruf. Antaranya rasulullah S.A.W bersabda melalui riwayat Ibnu Abbas:

أقراني جبريل عليه السلام على حرف واحد فراجعته فلم أزل أستزيده حتى انتهى إلى سبعة أحرف

“Jibril A.S telah membaca kepadaku satu huruf, maka aku kembali kepadanya dan tidak aku tinggalkan bacaan itu, dan aku meminta untuk menambahkannya sehingga menjadi tujuh huruf”.

Hadith di atas diturunkan ketika Nabi S.A.W berada di Makkah dan menjadi dalil bahawa nabi mengambil secara langsung bacaan daripada Jibril A.S.

Sebenarnya, tujuh huruf yang dimaksudkan di dalam hadith di atas bukanlah Qiraat tujuh sebagaimana tekaan dan pandangan sesetangah orang yang jahil mengenainya. Ini kerana, tidak dijumpai bukti yang menunjukkan sebelum tahun 200 Hijrah bahawa para ulama qiraat telah mengagaskan istilah Qiraat tujuh. Bahkan, QIraat itu sangat banyak sehingga ada yang mengatakan bahawa ianya mencapai seribu jalan ( Toriq ). Istilah ini mula diperkenalkan oleh sebahagian ulama’ Qiraat seperti Abi Ubaid al-Qasim bin Salam, Abi Jaafar al-Thabari, dan Abi Hatim al-Sajistani pada awal kurun ke 200 hijrah dan pada ketika itu umat Islam hanya menerima sebahagian daripada jalan-jalan bacaan sahaja.

Antara penerangan yang terbaik mengenai tujuh huruf ini, adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam Ibnu al-Jazari Rahimahullah iaitu:

1. Baris yang pelbagai dan tidak melibatkan makna dan bentuk tulisan. Contoh: يحسب .Dibaca dengan Fathah dan kasrah pada huruf siin.

2. Baris yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. Contohnya kalimah ءادم / كلمت dibaca dengan nasab dan kasrah atau sebaliknya.

3. Huruf yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. تتلوا / تبلوا

4. Huruf yang pelbagai dan hanya melibatkan perubahan pada bentuk tulisan sahaja.Makna tidak berubah الصراط / السراط

5. Huruf dan bentuk tulisan yang pelbagai. يأتل / يتال

6. Taqdim dan Ta’khir lafaz وقاتلوا / وقتلوا

7. Penambahan dan pengurangan huruf. ووصى / وأوصى

Qurra’Sepuluh.

1. Imam Nafii’ al-Madaani ( 70-169 H). Yang meriwayatkan bacaanya adalah Imam Warsh (110-197 H) dan Imam Qalun (110-120 H).

2. Imam Ibnu Kathir al-Makki ( 45-120 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Bazzi (170-250 H) dan Imam Qunbul (195-291 H).

3. Imam Abu Amru bin al-Ala’ al-Basri (68-154 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Duri (246 H) dan Imam al-Susi (291 H)

4. Imam Ibnu Amir al-Syamii (8-118 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Hisham (153-245 H) dan Imam Ibnu Zakwan (173-242 H).

5. Imam ‘Asim al-Kufi (127 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Syu’bah (95-193 H) dan Imam Hafs (90-180 H)

6. Imam Hamzah al-Kufi ( 80-156 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Khalaf (150-229 H) dan Imam Khallad (220 H).

7. Imam al-Kisaie (119-189 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Laith al-Baghdadi (240 H) dan Imam Hafs al-Duri (246 H).

8. Imam Abu Ja’afar al-Madani ( 130 H). yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam ‘Isa bin Wardan (160 H) dan Imam Ibnu Jammaz (170 H).

9. Imam Ya’aqub al-Basri (117-205 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ruwais (238 H) dan Imam Ruwh (234 H).

10. Imam Khalaf al-Asyir (150-229 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ishak al-Marwazi (286 H) dan Imam Idris al-Haddad (199-292 H).

Penulisan yang masyhur di dalam Ilmu Qiraat Tujuh.

1. Kitab “al-Tabsiraah” dan kitab “al-Kasyfu” oleh Imam al-Makki bin Abi Talib.

2. “Kitab al-Taisir” dan kitab “Jamii’ al-Bayaan” oleh Imam Abi Amru al-Dani.

3. Kitab “al-Kafi” oleh Ibnu Syarih.

4. Kitab Qasidah “Hizr al-Amaani Wa Wajh al-Tahaani” dan termasuk di dalamnya kitab “Al-Taisir” sebagai Bayaan.

Kesimpulan:


Ini adalah sebahagian daripada pengenalan asas terhadap ilmu Qiraat, untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, pembaca bolehlah merujuk kepada kitab-kitab dan kalam-kalam ulama' Ulum Quran yang telah membahaska ilmu yang sangat berharga ini. Semoga sisipan ini mampu memberi sedikti panduan kepada mereka yang ingin mendalami ilmu Qiraat. Wallahu'alam...


Bibliografi:


1. Al-Quran al-Karim.

2. Dr Muhammad Ahmad Jamal, “Al-Wuujuh al-Balaghah Fi Taujih Al-Qiraat Al-Quraaniah Al-Mutawatirah”, Cet Pertama 1430 h/ 2009 M, Dar al-Furqan.

3. Imam Jalaluddin Al-Syuyuthi, “Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran”, Cet Pertama 1427 H/2006 M, Dar Al-Hadis al-Qahirah.

4. Imam Badruddin al-Zarkhashi, “Al-Burhan Fi Ulum al-Quran”, Cet Pertama 1408 H/ 1988 M, Beirut, Dar Al-Fikr.

5. Imam al-Zabidi, “Taj Al-‘Arus Min Jawaahir al-Al-Qamus”, Cet tahun 1966, Juz 1, Matba’ah Hukumah Kuwait.

Disediakan oleh:

Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi,

Takhassus Qiraat Shoubra, Qahirah, Mesir.


Jumaat, September 10, 2010

Rancangan Pembakaran al-Quran Dikecam!

Rancangan pembakaran al-Quran yang dirancang oleh sebuah gereja kecil di Gainesville, Florida sempena memperingati kejadian 11 september 2001 amat mencabar maruah seluruh umat Islam.

Sudahlah kita baru sahaja selesai menjalani bulan Ramadhan al-Mubarak yang di dalamnya diturunkan Al-Quran yang begitu agung...Kini, ada pula pihak yang dengan sewenang-wenangnya menodai kesucian Islam dengan melakukan perkara yang sangat terkutuk.

Jelas, mereka tiada agenda lain melainkan untuk mempersenda umat Islam yang ketika ini dilihat lemah kesatuan mereka dengan wujudnya blok-blok negara-negara Umat Islam yang sudah terpecah sejak sekian lama.

Jika kita soroti, tidak berlebihan jika dikatakan bahawa apa yang mereka lakukan itu jelas bertentangan dengan keseluruhan nilai-nilai dan norma-norma di dalam diri manusia walau mereka berfahaman apapun.

Apakah yang akan dirasai jika tempat dan sesuatu yang dirasakan suci oleh mereka diperlakukan sedemikian rupa, apakah mereka hanya akan duduk diam!

Begitu juga, perkara ini harus mendapat sensitiviti yang besar daripada umat Islam kerana ia melibatkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Al-Quran merupakan kitab yang sangat mulia. Bahkan ,dikatakan oleh sesetengan para ulama', jika al-Quran itu sekalipun turun bukan pada waktu malam Lailatul Qadar, maka malam yang diturunkan al-Quran itu tetap akan menjadi lebih mulia daripada malam lailatul Qadar sendiri.

Ia bermaksud, Kemuliaan bulan ramadhan dan malam al-Qadar itu, adalah kerana diturunkan padanya al-Quran yang mengandungi seluruh peringatan dan rahmat buat manusia dan ia menjadi kesepakatan seluruh ahli ilmu.

Jaid, di bulan syawwal yang mulia ini, penulis ingin mengajak seluruh umat Islam agar kita sama-sama mengecam dan mengutuk upacara yang cukup bertentangan dengan nilai dan norma maunsia itu sendiri sehingga ianya juga dibenarkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat walaupun mereka dikatakan sebagai musuh Islam.

Apakah lagi yang akan dilakukan oleh Musuh Islam selepas ini setelah satu-persatu kebobrokan yang mereka lakukan..sama-samalah kita berdoa agar Allah S.W.T sentiasa melindungi agama Islam dan Janji Allah itu bahawa cahaya Islam tidak akan lenyap dari muka bumi ini adalah pasti.

Apa yang pasti, kita harus sentiasa memperlengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman agar kita betul-betul faham dan cakna dengan isu yang membabitkan maruah umat islam ini, dan memhami konsep Jahiliyyah itu dengan kefahaman yang benar. Moga-moga, kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang ingin memadamkan sinar Islam di atas muka bumi ini.Na'uzubillah...

Kata Saidina Umar al-Khattab R.A :

إنما تنقض عرى الإسلام عروة عروة إذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية

'Sesungguhnya ikatan Islam itu akan terurai satu-persatu, sekiranya seseorang yang lahirnya di dalam keluarga Islam, namun ia tidak mengenal Jahiliyyah'

Wallahua'lam..Selamat hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin dan selamat mengerjakan puasa 6 hari di bulan syawwal.

Ahad, September 05, 2010

Ayuh Meriahkan Kempen "Jom Balik Kampung"


Sila layari www.pmram.org

Alhamdulillah, selaut pujian kita tujukan kepada Allah S.W.T, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W beserta ahli keluarga Baginda yang mulia, seterusnya kepada Para Tabiin, tabi’ Tabiin dan seluruh seluruh umat Islam yang sentiasa gigih menjunjung agama Islam yang hanif ini.

Bahang aidilfitri semakin hampir dirasai, yang menjadi satu hari kemenangan buat umat islam. Satu hari yang penuh bermakna bagi mereka yang Berjaya untuk melepasi Tarbiyyah dan didikan selama sebulan di bulan ramadhan yang mulia.

Hal ini dapat dilihat melalui sebuah kata-kata yang menyebutkan:

ليس العيد لمن لبس الجديد , ولكن العيد لمن تقواه تزيد

‘Bukanlah Hari Raya itu untuk mereka yang hanya berpakaian serba baru sahaja, tetapi hari raya itu adalah untuk mereka yang bertambah ketaqwaannya’

Sesuai dengan tema ‘Kita PMRAM’ dan konsep kebersamaan BKAN dan DPM yang diterapkan oleh PMRAM, maka tahun ini kita sama-sama menjayakan kempen ‘Jom Balik Kampung’.

Kempen ‘Jom Balik Kampung’ adalah salah satu usaha untuk mengajak ahli PMRAM yang berada di seluruh pelusuk bumi Mesir ini untuk sama-sama pulang ke Kaherah untuk meriahkan Aidilfiti di sini.

Sekurang-kurangnya, kemeriahan beraya bersama keluarga di Malaysia dapat juga kita rasai dengan sama-sama kita berkumpul dan meraikan aidiltri yang bakal tiba tidak lama lagi bersama keluarga besar PMRAM.

Ayuh, kita sama-sama semarakkan dan jayakan kempen ‘Jom Balik Kampung’ yang menyediakan aktiviti menarik kepada seluruh ahli seperti solat sunat Aidilfitri PMRAM, rumah terbuka DPM, rumah terbuka BKAN, dan kemuncaknya adalah Haflah Aidilfitri PMRAM 2010 (HATI ’10).

Kita akan bersama-sama bergotong-royong untuk memasak dan menghidupkan suasana beraya di kampong pada malam harinya dan bersama-sama menyambut kemeriahan Aidilfitri pada siang harinya. Semuanya akan kita sama-sama saksikan di Haflah Aidilfiri PMRAM yang akan berlangsung pada 18 September bersama 9 Syawwal.

Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan untuk megimbau kembali kenangan kemeriahan menyambut Aidilfitri di sini. Nantikan kemeriahannya di Haflah Aidilfiti PMRAM (HATI ‘ 10 ).

Sekian, Wassalam.

Jom Balik Kampung!

Syeikh Muhammad Mujahid Sikh Nawawi
Pengarah Haflah Aidilfitri PMRAM (HATI 2010)

Selasa, Ogos 31, 2010

Setin biskut untuk Ibu dan Ayah

Sumber : Di sini

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tidak mengenang budi apabila sanggup mengumpan ibu bapanya yang tinggal di sebuah rumah jagaan di sini, dengan setin biskut untuk memujuk mereka supaya jangan pulang ke rumah sempena Aidilfitri nanti, sebaliknya mahu mereka menyambut 1 Syawal di pusat jagaan itu.

SEDIH...pasangan warga emas terbabit  di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.
SEDIH...pasangan warga emas terbabit di Pusat Jagaan Warga Tua Nur Ehsan.

Pada mulanya, kehadiran anak lelaki berusia 40-an itu disambut gembira pasangan warga emas berkenaan kerana menyangka mahu membawa mereka pulang menyambut hari raya bersama di rumahnya, tetapi lain pula berlaku.

Lelaki tidak mengenal budi itu sebaliknya memujuk ibu bapanya supaya beraya di pusat jagaan itu, malah enggan mendengar rintihan orang tuanya supaya tidak diperlakukan sedemikian.

Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin, berkata kisah sedih pasangan penghuni pusat jagaan warga emas itu mengakibatkan kakitangan di situ terkilan dengan perangai lelaki terbabit.

Menurutnya, anak pasangan berkenaan yang tinggal di luar bandar raya ini mendakwa dia sibuk pada Aidilfitri nanti sebagai alasan tidak dapat membawa pulang orang tuanya beraya di rumah.

“Hanya Tuhan mengetahui kegembiraan pasangan itu apabila melihat kelibat anak yang disangka mahu menjemput mereka pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarganya".

“Namun, anak tunggal pasangan itu yang hidup senang seolah-olah tidak berminat membawa mereka pulang sebelum menyerahkan buah tangan iaitu setin biskut bagi mengubati luka hati mereka.

“Ibu bapa mana tidak mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sudahlah anak itu tidak menjenguk mereka lebih setahun, malah turut tidak mengambil tahu hal mereka,” katanya yang menambah lelaki itu juga hanya meluangkan masa kurang 10 minit bersama kedua-dua orang tuanya.



Menurut Norijah, berikutan kebanyakan warga emas di pusat jagaan itu diabai keluarga, mereka akan meraikan Aidilfitri bersama keluarganya yang menganggap penghuni di situ sebagai ibu dan bapa angkat.

Menurutnya, kebanyakan mereka hanya menangis mengenangkan nasib terpaksa berjauhan keluarga biarpun masih mempunyai waris.

“Sempena Aidilfitri ini, kami berharap waris warga emas yang mendapatkan perlindungan di sini datang berkunjung bagi menggembirakan mereka".

“Bukan hadiah mahupun wang kehendak mereka, tetapi kasih sayang,” katanya sambil memberitahu 64 warga emas mendapatkan perlindungan di dua cawangan pusat jagaan berkenaan.

Kelmarin, penghuni pusat jagaan itu menerima kunjungan 18 pelajar luar kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai Program Masih Ada Yang Sayang.

Mereka bergotong-royong membersih dan mengecat sebahagian bangunan pusat jagaan dan menyerahkan sumbangan lampin pakai buang dan barangan keperluan kepada warga emas.

P/S : Moga2 sesiapa jua yang masih punyai ibu dan bapa, haragailah mereka, ingatilah kasih-sayang mereka sewaktu kita kecil dan jangan sekali-kali derhaka kepada mereka..Kelak,seikiranya kita melukakan hati mereka, bau syurga pun tidak akan dapat dihidu oleh kita!.

Ahad, Ogos 15, 2010

Dekatnya kiamat

Salam Ramadhan buat semua..Moga-moga kita sentiasa berada di dalam keadaan yang dirahmati dan diredhai oleh Allah S.W.T di sepanjang bulan ramadhan ini.

Penulis memohon maaf disebabkan agak lama tidak menulis kerana memfokuskan kepada perkara yang lebih utama lagi.

Penulisan itu penting, namun bila bertembung dengan banyak perkara yang lebih diutamakan maka perkara yang diutamakan itulah yang harus diselesaikan terlebih dahulu.

Inilah yang diajar oleh Islam melalui kefahaman terhadap Fiqh Al-Aulawiyyat dan Fiqh al-Muwazanat (timbangan ) dalam kita menyelesaikan apa jua permasalahan menurut posisi masing-masing.Teringat bilamana Imam Hassan Al-Banna ditanya mengapakah beliau tidak mengarang buku atau kitab..Maka beliau menjawab "Aku tidak mengarang buku kerana aku mengarang Rijal-rijal". Ia bermaksud beliau memahami keutamaan untuk membina jiwa-jiwa yang mampu menggerakkan proses tarbiyyah untuk menegakkan Islam itu lebih utama dan berkesan daripada penulisan pada zamannya.

Namun ,jika kita merasa penuliasan itu satu medium terbaik untuk menggerakkan paradigma Dakwah itu sendiri, maka utamakanlah dan fokuskan terhadapanya kerana ianya juga merupakan satu sunnah yang telah dihidupkan oleh sebahagian ulama'-ulama' kita sendiri baik dahulu mahupun sekarang.

Di dalam sebuah hadith yang panjang, Rasulullah S.A.W mengingatkan kepada umatnya berkaitan salah satu tanda-tanda kiamat iaitu lahirnya anak-anak yang berpangkat tuan kepada ibunya dan timbulnya bangunan- bangunan pencakar langit.

Ertinya:

Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …………kemudian Jibrail bertanya kepada RasululIah saw., "Maka khabarkan kepada ku tentang hari qiamat?". Lalu Nabi saw. menjawab, "Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya". Maka Jibrail lalu berkata, "Kalau begitu cuba khabarkan kepada ku tanda-tandanya", maka Nabi saw. menjawab, "Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan".

(H.R. Muslim)

Keterangan

Di antara tanda qiamat ialah, bila hamba melahirkan tuannya. Maksudnya akan banyak bilangan hamba yang kemudiannya akan digauli oleh tuannya dan melahirkan anak. Maka anak ini adalah berpangkat ayahnya, iaitu sebagai tuan kepada ibunya sendiri. Ada juga sebahagian yang memberikan pandangan, bahawa contoh ini alalah merupakan simbolik kepada suasana yang sudah terbalik, di mana hamba menguasai tuan, bukan sebaliknya. Jadi pemikiran manusia sudah terbalik, di mana yang baik dikatakan jahat dan yang sebenarnya jahat dikatakan baik.

Tanda kedua pula bilamana orang yang tidak berkasut, orang miskin yang semestinya ia mendahulukan membeli kasut dari yang lain, tiba-tiba ia telah mendirikan bangunan yang tinggi yang tentunya terpaksa berhutang daripada orang lain. Ada pula yang mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang miskin pada akhir zaman akan menjadi kaya dengan mengejut sehingga yang pada waktu kelmarin masih sahaja tidak berkasut , tiba-tiba pada hari ini ia sudah dapat membuat bangunan yang indah-indah dan sangat mewah.

Lihat gambar ini :





Gambar di atas menunjukkan sebuah jam gergasi yang berharga 3 Juta USD bakal dibina di Makkah al-Mukarramah yang hampir setaraf dengan menara- pencakar langit di dunia.

Gambar-gambar seterusnya boleh dilihat di sini

Inilah di antara hakikat atau realiti terhadap apa yang telah dibuktikan oleh rasulullah S.A.W di dalam sabdaan Baginda tentang dekatnya kiamat sejak 1400 tahun dahulu lagi.

Secara ringkasnya, apa yang ingin penulis ungkapkan di sini adalah persediaaan kita untuk menghadapi hari kebangkitan yang semakin hampir ini.

Usahlah kita hanya merasa seronok dengan kenikmatan yang berada di sekeliling kita..namun , sentiasalah bersedia dengan tanda-tanda yang telah ditunjukkan oleh Allah S.W.T di sekeliling kita juga.

Ramadhan yang ada ini belum tentu akan dapat dinikmati oleh kita pada tahun yang akan datang. Ambillah peluang yang ada dengan penuh keimanan dan penghisaban..Moga-moga kita akan beroleh kemenangan InsyaAllah.

Wallahua'lam...


Isnin, Ogos 09, 2010

Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza.

Bulan yang ditunggu-tunggu menjelma kembali..Seluruh penduduk bumi dan langit bergembira di atas kehadirannya. Satu bulan yang diangkat oleh Allah S.W.T sebagai bulan keagungan dan kemuliaan..Itulah bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang awalnya adalah Rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada Api Neraka.

Sebagai seorang yang menjiwai watak sebagai seorang hamba, seharusnya kita merasa gembira dengan pemberian dan anugerah yang tidak ternilai daripada Allah S.W.T ini. Bulan ini disambut dengan penuh kegembiraan dan meriah oleh setiap makhluk di bumi mahupun di langit. maka, apakah kita yang turut menjadi hamba Allah S.W.T tidak mahu menyambut dan meraikannya dengan meriah?.

Mengapa Ramadhan?

Ramadhan dijadikan sebagai satu bulan yang istimewa kerana di dalamnya penuh dengan keberkahan dan kemuliaan. Setiap pahala digandakan 10 kali ganda. Amalan yang sunat digandakan pahalanya menyerupai amalan wajib. Setiap perbuatan termasuk tidur adalah dikira sebagai ibadah. Begitu juga Syaitan dirantai dan diikat sebagai satu kemerdekaan untuk seluruh umat sepanjang bulan Ramadhan ini serta mereka yang terseksa turut terlepas daripada Azab api neraka sepanjang Ramadhan yang mulia ini.

Anugerah paling berharga adalah malam lailatul Qadar yang melebihi seribu bulan sebagai satu anugerah yang besar buat umat nabi Muhammad S.A.W.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Qadr ayat 3 yang bermaksud:

"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan".

Begitu juga nabi S.A.W bersabda mengenai keadaan Amalan orang yang berpuasa :

"Tidur orang yang berpuasa itu ibadah, dan diamnya adalah tasbih, amalannya berlipat kali ganda, doanya mustajab, dan dosanya diampunkan".

Nabi S.A.W turut memberikan motivasi terhadap orang yang menghayati Ramdahan sebagai bulan yang penuh keberkatan ini dengan sabdanya:

"Barangsiapa yang berpuasa satu hari daripada bulan Ramadhan, diampunkan dosanya yang terdaluhu dan terkemudian. maka, apabila sempurna ia berpuasa pada bulan Ramadhan, maka akan diampunkan dosanya pada tahun yang akan datang, dan sesungguhnya apabila ia mati sebelum tiba kepada Ramadhan yang akan datang, maka ia datang pada hari kiamat tanpa sebarang dosa".

Banyak lagi perkara yang kita boleh nyatakan untuk mengungkapkan mengapa Ramadhan, dan teman-teman bolehlah sama-sama berfikir dan meneliti.

Ramadhan : Bulan memimpin diri.

Ramadhan bukan sahaja dijadikan oleh Allah S.W.T dengan pelbagai kelebihan di dalamnya. bahakan, bulan ramadhan itu sangat istimewa sehingga ia dianalogikan oleh Rasulullah S.A.W seperti zakat.

Ini kerana zahir zakat itu akan mengurangkan harta-benda, namun hakikatnya ia akan membersihkan harta kita sendiri.

Begitu juga puasa, zahirnya ia akan melemahkan dan menjadikan tubuh-badan tidak bermaya. namun, hakikatnya Ramadhan itu berfungsi untuk memberi manafaat yang begitu besar kepada manusia daripada segala sudut serta membersihkan jasad mereka dariapda sebarang keburukan.

Sabda Rasulullah S.A.W :

لكل شيئ زكاة , وزكاة الجسد الصوم

"Setiap sesuatu itu mempunyai zakat, dan zakat bagi diri itu adalah puasa"

Sekiranya kita meneliti, ramadhan turut dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai bulan untuk kita memimpin diri. Sedar tidak sedar, kita hanya berlawan dan berhadapan dengan nafsu dan bayang-bayang keburukan diri. Syaitan-syaitan sebagai musuh utama kita pula telah dirantai dan dipenjarakan..Maka, bulan ini adalah kesempatan yang terbaik untuk kita memimpin diri dan nafsu kita dengan kewasaran akal dan pimpinan Iman agar kita dapat memperlengkap dan menutup kekurangan di sepanjang 11 bulan yang lalu.

Bahkan, kepimpinan walau siapapun kita adalah satu sunnatullah dan perkara yang sangat di titikberatkan di dalam Agama Islam sendiri.

Imam Ibnu khladun menyatakan di dalam Kitabnya "Muqaddimah Ibnu Khaldun" bahawa konsep dan hakikat di sebalik makna Kepimpinan itu sendiri adalah إجتماع الضروري للبشر iaitu satu perhimpunan yang bersifat Dharuri atau mendesak untuk sekelian manusia.

Ianya bermaksud, kepimpinan itu adalah satu kewjipan yang mesti ada untuk melaksanakan segala amalan Islam dengan teratur dan baik demi untuk kepentingan dan kemaslahatan umat Islam..Hadaf yang utama daripada konsep kepimpinan yang benar itu adalah untuk melaksanakan apa yang dinamakan sebagai السياسة الدينية النافعة iaitu politik Islam yang bermanafaat terhadap kemaslahatan manusia itu sendiri.

Jika diteliti, kepimpinan itu dilihat hanya hadafnya untuk dunia semata-mata kerana kepimpinan itu berlaku di atas muka bumi dan memakmurkan muka bumi ini. Namun, Imam Ibnu Khaldun menyatakan bahawa, hakikat dunia ini, tetap akan musnah dan hancur apabila tiba waktunya..Namun, kesan daripada kepimpinan Islam yang terlaksana itu akan berkekalan sehingga ke hari kebangkitan kerana kesan daripada kepimpinan yang benar adalah manafaat yang sangat besar buat manusia, ganjaran yang sangat besar dan nilaian syurga itu sendiri. Maka, sebab itulah kepimpinan itu dilihat sebagai sesuatu yang sangat mendesak untuk berlaku di dalam kondisi masyarakat yang begitu dahagakan pimpinan dan panduan Islam itu sendiri.

Maka, tidak keterlaluan jika penulis nyatakan, asas kepada Rahmat, Maghfirah (keampunan) dan 'Itqun Min al-Naar (Pembebasan daripada api neraka) yang menjadi method pengamalan di bulan Ramadhan ini adalah salah satu daripada asas-asas untuk melatih kepimpinan agar memahami bagaimana sebuah kepimpinan itu bergerak mengikut asas-asas yang tersusun.

Kesimpulan.

Penulis tidaklah berhasrat untuk memanjangkan lagi sisipan pada kali ini. Apa yang penting, ambillah peluang untuk beribadah sebanyak-banyaknya di dalam bulan yang mulia dan sentiasa berusaha untuk mempersiapkan diri kerana Imam Yusuf al-Qardhawi mengatakan bahawa di antara asas yang perlu difahami di dalam bulan ramadhan ini, adalah kita mempersiapkan diri kita untuk berjihad daripada perlabagai sudut.

Inilah oreintasi yang terbaik yang diserap daripada pengalaman ulama'-ulama' yang terdahulu dan dibuktikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W bahawa di anatara Jihad peperangan yang terkerap berlaku, adalah di dalam bulan yang mulia ini, iaitu bulan Ramadhan.

Hayatilah juga segala isi kandungan Al-Quran yang memperlihatkan kepada kita pecahan pengamalan yang cukup baik iaitu:

Aqidah,

Ibadah (Feqah)

Tasauf (Akhlak)

Maka, sekiranya kita mampu menghayati konsep yang tiga ini dengan baik ,maka kita akan digolongkan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

" (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah..."

Akhirnya, selamat menyambut Nuzul Al-Quran dan selamat menhayati dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran. Ramadhan yang sama, Natijah yang berbeza.

Wallahua'lam...



Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita