;

Selasa, Jun 30, 2009

Hak-hak Asasi manusia menurut Fiqh Aulawiyyat


Penulis tertarik dengan persoalan mengenai hak asasi manusia yang dihantar melalui kiriman email yang singgah di email penulis. Ia menerangkan mengenai perbincangan salah seorang sahabat dengan juniornya yang mana juniornya telah meragui tentang konsep hak asasi amnusia adalah relevan dengan kehendak Islam itu sendiri. Penulis telah postkan tulisan ini melalui Email namun penulis masukkan juga di dalam blog ini untuk perkongsian kita bersama Insyaallah...

Sebenarnya, bagi penulis sendiri, sesiapa saja yang meragui soal hak asasi manusia adalah meragui fitrah manusia yang telah Allah kurniakan. Lihatlah dalam mana-mana Ensiklopedia yang menerangkan mengenai konsep Hak Asasi manusia, pastinya akan diterangkan di situ bahawa ia adalah merupakan keperluan manusia yang dianugerahkan dan berasal daripada Tuhan!

Sebenarnya persoalan hak-hak asasi manusia datang daripada barat serta tidak sah untuk digunakan dalam Islam adalah pemikiran yang perlu dibuang jauh-jauh kerana dibimbangi ianya mengandungi unsur-unsur sekularisme yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Penulis lebih setuju lagi sekiranya pemikiran ini hadir kerana beliau tidak menilai secara serius konsep hak dalam Islam daripada sudut Fiqh Aulawiyat itu sendiri.

Beberapa persoalan yang mungkin boleh penulis kaitkan disini adalah seperti amalan poligami contohnya,adakah ia berasal daripada Islam. Tidak! tetapi poligami adalah amalan yang telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi kerana di antara adat masyarakat Jahiliyah pada ketika itu boleh mempunyai Isteri dan perempuan lebih daripada seorang serta terpulang kepada kehendak mereka sendiri sendiri tetapi islam Hadir sebagai agama rahmat yang menyatukan dan memberikan keadilan kepada semua umat manusia dengan meletakkan had hanya kepada 4 orang sahaja untuk memelihara kemuliaan wanita itu sendiri.

Kenapa amalan yang bukan berasal daripada Islam ini diterima dan apakah alasannya hak-hak Asasi manusia tidak diterima!

Begitu juga persoalan golongan yang bukan Islam yang telah berkahwin. Tetapi apabila mereka telah memeluk Islam, mereka tidak perlu lagi untuk mengulangi upacara pernikahan mereka tersebut kerana Islam telah mengiktiraf mereka. Ini juga bukti keadilan Islam dan rahmat Islam itu sendiri.

Jika seseorang yang mengatakan bahawa segala perkara yang datangnya daripada bukan Islam tidak boleh diterima oleh agama Islam, maka kenapakah rasulullah S.A.W meminta kepada tawanan perang untuk mengajarkan ilmu-ilmu yang dikuasai mereka kepada anak-anak orang Islam hingga mereka boleh belajar dan pandai membaca, menulis dan sebagainya. Sepatutnya rasulullah S.a.w. adalah manusia yang lebih utama untuk menghalang perbuatan tersebut sekiranya ia bercanggah dengan amalan Islam itu sendiri!

Sebenarnya, perkara yang harus kita sama-sama ketahui adalah Islam telah mengatur asas-asas yang berkaitan dengan hak-hak manusia yang hidup di atas muka bumi ini dan ianya telah terkandung di dalam Maqasid Syar'iyyah yang membicarakan keperluan-keperluan manusia yang melengkapi kehidupan mereka di atas muka bumi ini.

Dr Majdi Hilali dalam kitabnya 'Min Fiqhil Aulawiyyat fil Islam" menyebutkan bahawa sesungguhnya Maqasid al-Syari'yyah al-Islamiah, juga sebagai matlamat daripadanya, adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia dan menjauhkan daripada kemudharatan diri mereka di dunia dan di akhirat serta menjamin kebahagiaan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Ini kerana jelas menunjukkan dakwah Islam itu sebagai rahmat untuk menyatukan manusia (rujuk surah al-Anbiya' ayat 108). Rujuk juga (Surah Yunus ayat 57).

Seterusnya, Syariah itu pula sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu al-Qayyim, adalah merupakan keadilan semuanya, Rahmat semuanya, kemaslahatan semuanya, dan Hikmah semuanya, maka setiap masalah yang keluar daripada batasan keadilan kepada kezaliman, batasan rahmat kepada sebaliknya, batasan kemaslahatan kepada Mafsadah, batasan hikmah kepada sia-sia, maka ia bukanlah termasuk dalam konsep al-Syariah itu sendiri. Sesungguhnya sesuatu yang termasuk dalam konsepnya adalah dengan Takwilan (penjelasan). Maka. Syariah itu adalah hubungan di antara keadilan Allah dengan hamba-Nya, antara rahmat-Nya dengan penciptaan-Nya, dan antara naungan-Nya dengan bumi-Nya... Sila rujuk ( I'laam al-Mauqii'in lil Ibni al-Qayyim 1/3)

Imam al-Syatibi R.A. pula berpandangan: Sesungguhnya Syariat itu diletakkan adalah kerana ia merupakan penjamin kepada Maslahah hamba sama ada bersifat segera atau tidak. Serta kami bersepakat pada perkara tersebut di atas huraian, kajian serta penilaian daripada al-Ahkam al-Syariah, maka kami mendapati sesungguhnya ia memang diletakkan untuk menjaga kemaslahatan Ummah. Sebagaimana firman Allah S.W.T. pada pengutusan para rasul ( sila rujuk surah al-Nisaa' ayat 165), dan (sila rujuk juga surah al-Anbiya' ayat 107).

Allah S.W.T juga menjelaskan beberapa ayat yang berkaitan pensyariatan dalam Islam:

Sebagaimana selepas ayat wudhuk pada pensyariatan rukhsah untuk bertayammum. Boleh rujuk ( surah al-Baqarah ayat 183).

Seterusnya berkaitan puasa pula (boleh rujuk surah al-Baqarah ayat 183).

Berkaitan solat (sila rujuk surah al-Ankabut ayat 45).

Berkaitan jihad (sila rujuk surah al-Hajj ayat 39)

Berkaitan Qisas ( sila rujuk surah al-Baqarah ayat 179)

Berkaitan penjelasan prinsip-prinsip ketuhanan (sila rujuk surah al-A'raaf ayat 172).

Penjelasan-penjelasan lanjut juga boleh diperolehi dengan merujuk kitab ( Nazhariyyah al-Dhoruriyyah al-Syar'iyyah) oleh Dr Wahbah al-Zuhaili.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan bahawa:

Sesiapa yang meneliti al-Syariah daripada sudut perbahasan dan sumbernya maka mereka akan mendapati ia adalah bersifat tetap sebagaimana firman Allah S.W.T (sila rujuk surah al-Baqarah daripada ayat 183) dan (sila rujuk surah al-Maiidah ayat 3).

Maka, setiap apa yang menjadi keperluan dan hak-hak manusia dalam kehidupan mereka, dan bukan sebabnya adalah maksiat- seperti meninggalkan kewajipan dan perbuatan yang diharamkan-maka tidaklah diharamkan ke atas mereka mereka pada maksud yang dipaksa yang mana mereka bukanlah pelampau dan bukan musuh.(sila rujuk Majmu' al-Fatawa lil Ibni Taimiyyah 3/293)

Secara tamhidi di atas, sudah jelas bahawa Islam begitu menitikberatkan soal hak dalam Islam sama ada kepada individu dan masyarakat dan hak -hak ini tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya sebagaimana yang dijelaskan mengenai hak-hak asasi manusia yang terkandung dalam Maqasid al-Syari'yyah sendiri. Maka, dengan jelas jika keadilan tidak diberikan kepada Hak-Hak Asasi manusia itu maka telah terkeluar daripada konsep al-Syariah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu al-Qayyim!

Kemaslahatan Ummah atau Hamba terbahagi kepada tiga Maratib atau tingkatan-tingkatan yang berbeza mengikut keperluan dan kepentingannya.Tingkatan kemaslahatan Ummah ini dsusun oleh Ulama'-ulama' kita sebagai al-Dhoruriyyat (asasi), Hajiat ( keinginan atau kehendak ), Tahsiniat ( kebaikan ).

AL-DHORURIYYAT

Al-Dhoruriyyat adalah keperluan-keperluan manusia yang bersifat asasi serta manusia tidak akan mampu untuk menjalani kehidupannya tanpanya. Keperluan secara Dhoruri inilah yang menjamin kelangsungan kehidupan manusia serta ia turut termasuk dalam konsep rukun-rukun Islam Islam yang lima seperti shahadah,solat, puasa ,zakat, dan Haji. Ia merupakan ketentuan yang tidak boleh diubah serta bersifat tetap.Maka ianya turut termasuk dalam persoalan yang berkaitan pembalasan untuk orang yang membunuh: samaada al-Qisas atau al-i'daam (perlaksanaan hukuman mati).

Seterusnya, akal yang mana dengannya manusia boleh menilai sesuatu yang baik dan juga buruk. Maka, untuk menjaganya disyariatkan pengharaman seperti meminum Khamar dan memakan racun. Sesungguhnya akal itu adalah sumber kebaikan dan manafaat untuk ummah.

Nasab keturunan juga merupakan keperluan yang bersifat Dhoruri. Maka, untuk menjaga keperluan ini telah ditetapkan perturan dan had zina dengan 100 sebatan untuk yang belum berkahwin, dan rejam untuk yang telah berkahwin, serta hukuman Qazaf bagi yang berbuat kejahatan dengan 80 sebatan, kerana keharmonian nasab keturunan dan penjagaan kemuliaan menjadikan Masyarakat teguh dan kuat dan tidak akan berlaku fitnah dan kerosakan dalam masyarakat.

Harta pula menjadi keperluan yang asasi bagi manusia untuk bermuamalat dan mencari rezeki dalam kehidupan seharian. Jadi, untuk menjaga keperluan ini, hukuman potong tangan bagi pencuri telah disyariatkan oleh Allah S.W.T. dengan syarat-syarat tertentu, serta diharamkan pengamalan riba'. Sesungguhnya harta adalah asas kehidupan dan simbol kekuatan untuk manusia.

AL-HAJIAT

Al-Hajiat pula dikehendaki oleh manusia untuk menghilangkan kesempitan dan kesusahan.Namun begitu, ianya tidaklah dikehendaki oleh manusia sebagaimana keperluan Dhoruri tetapi ianya lebih kepada kemudahan dalam sesuatu urusan yang berkaitan dengan Tasyrii' al-Islami. Secara Umum, ianya terkandung dalam dua keadaan iaitu yang berkaitan dengan agama atau ibadat dan yang keduanya adalah diri sendiri.

Al-Hajiat yang berkaitan dengan Agama adalah seperti keringanan dalam syariat untuk menuturkan kalimah kufur di saat keterpaksaan yang begitu menghimpit, dan keharusan zakat fitrah kepada orang orang yang sakit dan bermusafir, keharusan untuk mengqasarkan solat yang 4 rakaat ketika bermusafir, tidak wajib bersolat bagi wanita yang haid dan nifas,dan harus menyapu di atas Khuf ketika perjalanan atau permusafiran.

Al-Hajiat yang berkaitan dengan diri pula ataupun adat kebiasaan bagi manusia adalah: Harus menikmati segala makanan yang lazat dan sedap, tetapi daripada sudut hukuman terdapat had bagi perkara-perkara yang syubhat atau samar-samar. Walaupun begitu, terdapat juga Al-hajiat yang berkaitan dengan harta. Umpamanya, melaksanakan pembangunan dan kemajuan yang berkaitan dengan harta,penghasilannya, dan penjagaannya daripada susut dan berkurang, kerana harta adalah sumber kekuatan bagi setiap ummah dan seterusnya yang berkaitan dengan pemeliharaan nasab keturunan seperti pemberian mahar, kehadiran dua saksi yang hadir,menjauhkan masyarakat daripada masalah zina dan sebagainya.

AL-TAHSINIYYAT

Al-Tahsiniyyat adalah merupakan perkara yang lebih bersifat penyempurna dan pelengkap perkara Dhoruriyyat dan Hajiat sebagaimana di atas. Secara jelas, ianya merupakan perkara yang bersangkutan dengan soal akhlak dan sakhsiyyah sama ada bersangkutan dengan ibadat, muamalat, adat dan hukuman.

Pada Ibadat : Disyariatkan solat itu sebagai prinsip kebersihan ataupun penjagaan terhadap kebersihan, menutup aurat, serta mengambil perhiasan dan tempat-tempat yang baik.

Pada sudut mendirikan rumahtangga: Memilih calon suami atau isteri yang sepadan atau yang sekufu untuk mencantikkan lagi kehidupan berkeluarga serta menjaga adab dalam bermusyawarah di antara keduanya. Serta lain-lain lagi perkara yang berkaitan dengan pelengkap kepada syariat itu sendiri dan lain-lain lagi.

Penulis merasa agak pelik jika beliau tidak menemukan sebarang dalil yang bersangkutan dengan hak-hak asasi manusia itu sendiri. Bahkan banyak ayat atau dalil yang menyebutkan mengenai hak-hak ke atas Ummah itu sendiri.

Dr Abdullah nasih Ulwan dalam bukunya "Al-Islam Syariah al-Zaman wal al-Makaan" menulis bahawa di antara perkara yang khusus di dalam al-Syariah adalah timbangan di antara kemaslahatan individu dan masyarakat.

Menurut beliau, perkara ini adalah perkara-perkara lain yang jelas serta merupakan kewajipan dalam pensyariatan Islam sebagai tanda wujudnya penyelarasan dan jalin gabung di antara kehidupan individu dan kehidupan jemaah. Tasyri' Islami meyakini kewujudan alam semulajadi yang bersifat syakhsi kepada setiap individu, dan dimaksudkan sebagai tanggungjawab di hadapan Allah, dirinya dan masyarakat. Sila rujuk (surah al-Shaffat ayat 24), (surah al-Israa' ayat 36), (surah al-a'raaf ayat 6).

Maka, daripada apa yang tersebut di atas jugalah terbentuknya hak-hak asasi manusia seperti:

Hak untuk Hidup: Sila rujuk surah al-Baqarah ayat 179.

Hak untuk merdeka: Sila rujuk surah al- Baqarah ayat 256.

Hak untuk menuntut ilmu: Sila rujuk surah al-Zumar ayat 9.

Hak untuk memiliki: Sila rujuk surah al-Nur ayat 33.

Hak untuk kebersamaan: Sila rujuk surah al-hujurat ayat 13.

Hak untuk kemuliaan: Sila rujuk surah al-Hujurat ayat 11.

Semua ini adalah hak-hak asasi untuk setiap manusia. Maka, al-Tasyrii' (pensyariatan) tidak mengharuskan setiap makhluk yang wujud di atas muka bumi ini untuk mempermainkan, atau merendah-rendahkannya!!.

Tentang perkara yang bersangkutan dengan hidup berjemaah atau bermasyarakat pula: Maka Tasyrii' Islami menanam di dalam hati setiap individu dengan perasaan tanggungjawab terhadap jemaah, dan mengikat di antara setiap manusia pada lapangan kemasyarakatan, penjagaan pandangan umum, pengukuhan pembinaan daulah, dan menyeru kepada setiap individu di dalam masyarakat untuk memelihara amal kebajikan yang soleh, dan apa yang diyakini adalah seruan kepada setiap individu dengan tanggungjawab terhadap jemaah dan fungsi kemasyarakatan itu sendiri. (Sila rujuk surah al-Taubah ayat 17).

PERTEMBUNGAN DUA MAFSADAH MASLAHAH MENURUT PANDANGAN FIQH AL-AULAWIYYAT.

Kehidupan manusia sememangnya tidak boleh lari daripada maslahah-maslahah atau kebaikan-kebaikan yang pastinya bertembung dan bercanggahan antara satu sama lain. Adapun menurut kaedah Fiqh Aulawiyyat sendiri, sekiranya ada dua Maslahah yang bercanggahan di antara satu sama lain serta ianya pada martabat yang satu, tidak kiralah daripada sudut al-Dhoruriyyat, atau al-Hajiat atau al-Tahsiniyyat: Maka akan diutamakan perkara yang berkaitan menjaga agama daripada menjaga diri, ketika bercanggah, dan menjaga diri diutamakan daripada menjaga akal ketika bercanggah, dan diutamakan penjagaan nasab keturunan daripada penjagaan harta ketika bercanggah.

Contoh yang boleh kita kemukakan di sini adalah dalam konteks kita sebagai mahasiswa pada hari ini, adakah perlu kita untuk terlibat dan mengikuti perkembangan politik di negara kita tetapi dalam masa yang sama kita ada tugas untuk belajar? Bagi penulis, adalah wajar untuk kita sama-sama terlibat dan mengikuti perkembangan politik di negara kita walaupun kita masih belajar dan menuntut Ilmu tetapi menurut konsep agama dan politik sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali adalah "Al-Diin wal Daulah Tauamaan" iaitu "Al-Diin dan Negara (politik) itu adalah berkembar.

Begitu juga, Jihad itu wajib untuk tujuan menjaga agama dan apa yang membawa kepada kerosakan diri sendiri kerana sesungguhnya menjaga agama itu didahulukan daripada menjaga diri, dan diharuskan meminum khamar dalam keadaan yang terpaksa dan memudaratkan kerana penjagaan diri itu lebih diutamakan daripada penjagaan akal. Sekiranya, dengan asbab berpolitik itu mampu menjaga agama, maka kita harus mengutamakannya di samping tidak mengabaikan akademik kita sendiri!

Walaupun begitu, sekiranya berlaku dua kemaslahatan yang bercanggahan pada tempat yang satu, umpamanya dalam soal agama, atau diri sendiri atau akal, maka didahulukan maslahah Ammah daripada maslahah Khassah (khusus). Contohnya dalam peristiwa Khalifah Islam pertama, Abu Bakar al-Siddiq. Telah bersepakat para sahabat untuk menegah Saidina Abu Bakar daripada bekerja dan berniaga ketika menjadi Khalifah, serta dibayar gaji daripada Baitul Mal, sebagai mengutamakan Maslahah Ammah kerana melihat kepada kemaslahatan kaum Muslimin berbanding maslahah khusus iaitu perniagaan yang dikehendakinya dan pertukangan yang dipilihnya.

Sesungguhnya para Fuqaha' telah menetapkan bahawa sekiranya bercanggahan dua keburukan atau mafsadah, maka tidak perlu tidak adalah memilih dan melakukan salah satunya dan melakukan yang paling kecil mudaratnya daripada sudut terhindarnya mudarat yang lebih besar.( Sila rujuk Al-Asybaahu wa al-Nazhaairu lil Al-Suyuuthi : 95)

NECARA TIMBANGAN KETIKA PERCANGGAHAN MASLAHAH DENGAN MAFSADAH.

Sekiranya bercanggah maslahah dengan mafsadah maka tidak perlu tidak kita perlu melakukan mafsadah sekiranya kita mengambil maslahah dan hilangnya maslahah sekiranya menghindarkan mafsadah.

Lihat kepada ukuran atau mana yang lebih besar di antara keduanya, maka sekiranya mafsadah itu lebih besar daripada maslahah, maka kita perlu menghindarkan mafsadah dan kita tidak kisah sekiranya hilangnya maslahah.

Contohnya, sekiranya jika kita tidak terlibat dengan politik dan ia boleh memberikan keburukan atau mengandungi mafsadah yang besar, maka ia wajar dihindarkan iaitu kita perlu terlibat dengan politik dan kita tidak kisah jika ia akan menghilangkan sedikit Maslahah atau kebaikan kepada diri kita dan orang lain kerana timbangan Aulawiyat adalah untuk menghindarkan Mafsadah itu sendiri. (sila rujuk surah al-Baqarah daripada ayat 219) ( Sila rujuk al-Qawaaid al-Ahkaam 98/1)

Begitulah sebaliknya, jika mafsadah tersebut lebih kecil berbanding maslahah, maka kita akan melakukan mafsadah kerana untuk mengambil Maslahah dan beberapa contoh yang boleh penulis kemukakan di sini adalah :

-Melafazkan kalimah kufur adalah satu mafsadah yang diharamkan tetapi ia menjadi harus sekiranya hati yang dipaksa tetapi penuh dengan keimanan kerana menjaga diri itu menyempurnakan maslahah berbanding mafsadah dengan lafaz kalimah yang tidak diiktikadkan dengan hati.( Sila rujuk Al-Qawaaid Aal-Ahkam lil Imam al-Izzuddin Abdul al-Salam 102,103/1)

-Membunuh orang perempuan, orang gila dan kanak-kanak daripada golongan Kuffar adalah satu bentuk mafsadah tetapi menjadi harus apabila mereka bersembunyi di sebalik kekufuran mereka dan tidak akan mengaku melainkan dengan cara membunuh mereka..( Sila rujuk Al-Qawaaid Aal-Ahkam lil Imam al-Izzuddin Abdul al-Salam 102,103/1)

"Sesungguhnya pengkhususan jalan kepada sesuatu yang diharamkan itu adalah haram, dan pengkhususan jalan kepada perkara yang wajib itu adalah wajib"

"Sesungguhnya Mafsadah itu adalah terhalang, dan apa sahaja yang membawa kepadanya juga adalah terhalang,dan Maslahah itu adalah dituntut, dan apa yang membawa kepadanya adalah dituntut"
KESIMPULAN

Maka, setelah kita meneliti sedikit tasawwur melalui Fiqh Aulawiyat bagaimana Islam mengikiraf konsep hak-hak Asasi Manusia, maka Kerajaan yang ada pada hari ini lebih perlu menekankan perkara-perkara yang berkaitan dengan konsep ini. Umpamanya mengkaji ISA dengan lebih mendalam agar ianya selari dengan kehendak Islam.

Begitu juga para mahsiswa pada hari ini perlu lebih serius untuk sama-sama terlibat dan mengikuti perkembangan politik di Negara kita sendiri agar kelahrian kita juga akan mampu mengimbangi keadaan ataupun suasana politik yang tidak stabil sekarang ini.Jelasnya, para mahasiswa mempunyai peranan yang cukup penting dalam memastikan survival Negara mampu bergerak selaras kehendak Islam sendiri kerana hakikat yang pasti adalah golongan yang ada pada hari ini akan menggantikan kepimpinan pada masa akan datang!

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita