Isnin, Oktober 25, 2010
Di mana nilai Integriti Mahasiswa.
Sejak kebelakangan ini, isu yang melibatkan integriti mahasiswa sering kedengaran ke cuping telinga.
Isu-isu yang timbul ini seolah-olah mengajak kita untuk bertafakkur sejenak merenung di manakah nilainya integriti insan-insan yang bergelar mahasiswa.
Sudahkah mahasiswa bebas daripada belenggu penjajahan pemikiran yang telah sekian lama membayangi mahasiswa bahawa tugas mereka hanyalah belajar, belajar , dan belajar serta nyahkan soal sensitiviti dan integriti!
Maka, sekiranya pemikiran itu terpatri dalam diri mereka , jadilah mahasiswa itu seumpama seorang budak belasan tahun yang bersalut jasad seorang insan yang sudah matang dalam menilai dan membawa sesebuah idealisme. Gah pada luaran, tetapi jiwanya amat rapuh!
Umapama harimau atau singa yang gah pada taringnya, begitu juga mahasiswa patut gah dengan taringnya iaitu integriti mahasiswa itu sendiri!
Usah biarkan pihak2 yang hanya punyai sedikit kelebihan material dan sebagainya untuk mematahkan taring mahasiswa.
Di Mesir, isu-isu yang melanda seputar integriti mahasiswa sepatutnya mematangkan kita dalam menilai soal integriti itu sendiri.
Isu Di Mansurah, Tanta yang melibatkan keprofessionalan beberapa penjawat awam yang dipertikaikan serta seputar isu Islamic Fashion Festival yang sangat memberi kesan kepada imej Islam di negara kita. begitu juga, isu-isu seputar kebajikan yang melibatkan hak Badan Kebajikan Anak Negeri, soal penafian zakat, isu amanah pegawai dan sebagainya turut menjadi bukti bagaimana landskap perjalanan tanggungjawab Institusi yang sepatutnya membantu mahasiswa mahasiswi di luar negara berada di tahap yang cukup tidak memuaskan.
Jelasnya, isu integriti yang telah mula kedengaran ini adalah satu turning point untuk mahasiswa kembali bangkit mencari dan membina serta memperkukuhkan identiti dan jatidiri di bawah satu bumbung kesatuan dan fikrah.
Bahkan, inilah yang telah disemai oleh PMRAM, melalui amanat emas yang telah disampaikan oleh Pres PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime sendiri ketika jaulah ke seluruh Muhafazah, agar mahasiswa dan mahasiswi cakna dengan soal integriti serta hak dan maruah.
Gunakan saluran yang telah ada..borang aduan hak mahasiwa yang telah berlegar di sekitar anda melalui BKAN dan DPM masing-masing harus digunakan dengan sebaiknya kerana itu adalah satu bukti dan hujjah untuk mengembalikan soal hak dan maruah mahasiswa dan mahasiswi.
Ingatlah, pemuda itu seumpama matahari yang sedang terik membakar...usah sekali-kali dipertiakaikan teriknya cahaya matahari itu, kelak ia akan membakar dengan terik cahaayanya!
Kemantapan Fikrah, membina Syakhsiah!
Sabtu, Oktober 23, 2010
Video dan fikir.
Sumber : www.zaharuddin.net
Menara Warisan Merdeka- Pertimbangan adalah wajar
Cadangan Kerajaan untuk membina Menara Warisan Merdeka yang berharga lebih 5 Bilion dan memakan masa lebih kurang 10 tahun, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2020 yang akan datang, wajar dipertimbangkan daripada segala aspek pembangunan dan taraf hidup masyarakat sebelum ianya direalisasikan.
Cadangan yang diumumkan di dalam Bajet 2011 itu, adalah di antara salah satunya untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu tarikan pada masa akan datang.
Namun, di sebalik daripada proses untuk terus membangunkan kemajuan negara mengikut rentak ketamadunan hari ini, tidak salah sekiranya asas terhadap keperluan rakyat itu dilihat sebagai salah satu agenda yang besar dalam pembangunan ketamadunan sesebuah negara.
Ini adalah sesuai mengikut acuan sesebuah ketamadunan kerana ahli atau rakyat memainkan peranan yang sangat penting dalam landskap pembangunan negara itu sendiri.
Maka, tidak salah sekiranya bahan asas ini diberikan keutamaan sebelum mencerna bahan-bahan tambahan demi untuk melengkapkan lagi kemajuan negara.
Penulis beranggapan, taraf hidup penduduk atau rakyat di luar bandar, khususnya di pedalaman masih banyak lagi yang perlu diberikan keutamaan untuk mereka keluar daripada kesempitan hidup serta merasa kebersamaan hidup yang senang dan tenang di dalam Negara yang berbilang kaum.
Begitu juga, Islam tidak menghilang sama sekali menghalang kemajuan sesebuh tamadun..Namun, bagaimana prinsip keadilan yang sebenarnya dapat diterapkan di kalangan rakyat itulah perkara asas yang lebih utama untuk diselesaikan.
Moga-moga, cadangan untuk memperuntukkan sebanyak 5 bilion tersebut yang jumlahnya adalah sangat besar, dapat dikaji dan dipertimbangkan agar wang tersebut dapat dimanafaatkan dengan lebih baik untuk membantu mereka yang lebih memerlukan serta menaiktaraf fungsi kebajikan dan pendidikan masyarakat itu sendiri.
Ulasan mengenai perkara ini boleh juga dilayari di web rasmi PMRAM : www.pmram.org
23 Oktober : Solat Hajat Perdana "Ya Allah Selamatkan Kutub Sittah" Dan Penerangan Isu Semasa
KAHERAH, 21 Oktober - PMRAM Pusat akan menganjurkan Solat Hajat Perdana "Ya Allah, selamatkan Kutub Sittah" dan penerangan isu-isu semasa pada 23 Oktober, iaitu pada hari Sabtu di Rumah Kelantan Baru, Hayyu Sabik.
Ini berikutan kepada 2 perkara besar yang ingin disampaikan kepada ahli semuanya iaitu berkenaan penerangan bagi program Kutub Sittah Siri II dan penjelasan isu-isu seputar yang berlaku di kalangan mahasiswa/wi Islam di Mesir baru-baru ini.
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan berkata bahawa program ini dianjurkan bagi menjawab segala persoalan yang berlaku ke atas program Kutub Sittah Siri II dan isu-isu semasa. Dan ia merupakan kesinambungan daripada solat hajat "Ya Allah, selamatkan Kutub Sittah' di seluruh PMRAM Cawangan dilaksanakan pada 21 OKtober, malam ini.
PMRAM begitu optimis untuk menjayakan program Kutub Sittah Siri II pada tahun ini walaupun pada tahun lepas cuba digagalkan oleh pihak tertentu.
Pengarah Kutub Sittah Siri II, Saudara Yusuf A. Kadir berkata bahawa kini penyertaan sudah menjangkaui 1000 peserta dan ia merupakan satu sejarah agung bagi PMRAM dalam menganjurkan satu program talaqqi bersama Masyaikh Al-Azhar secara besar-besaran.
Bahkan pada tahun ini, pihak pengurusan Kutub Sittah Siri II akan meraikan mahasiswa/wi tahun akhir yang sudah pun berdaftar dengan Majlis Hi-Tea bersama Masyaikh Al-Azhar yang akan dilaksanakan pada 1 November, malam.
Pihak beliau juga berkata, pada 23 Oktober nanti, lokasi pengajian Kutub Sittah Siri II akan dimaklumkan secara rasmi yang mana menjadi tanda tanya bagi semua peserta yang sudah berdaftar khususnya.
Selepas itu, penerangan isu-isu semasa akan disampaikan oleh beberapa pihak terbabit dalam membawa dan menjelaskan isu-isu hangat yang berlaku ke atas mahasiswa/wi baru-baru ini.
Ia melibatkan hak dan maruah integriti mahasiswa Islam, dan mempunyai kaitan dengan usul PMRAM pada tahun ini iaitu 'mendesak pihak berwajib untuk meningkatkan peranan dan integriti dalam menangani isu mahasiswa dengan lebih adil dan serius'.
Pihak PMRAM berasa kesal dengan beberapa isu yang berlaku, dan atas inisiatif tersebut di bawah Badan Penerangan Dan Penerbitan penjelasan isu-isu semasa akan dilaksanakan bersama-sama dengan Solat Hajat Perdana "Ya Allah, Selamatkan Kutub Sittah" pada 23 Oktober ini di Rumah Kelantan Baru yang dijadualkan bermula pada waktu Maghrib.
Semua mahasiswa/wi dijemput untuk sama-sama berdoa akan keselamatan Kutub Sittah Siri II yang bakal berlangsung dan mendengar penjelasan isu-isu semasa yang berkaitan mahasiswa/wi Islam di Mesir ini.
Sabtu, Oktober 16, 2010
Masuk Syurga penuh penghormatan
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T di atas kurniaan seluruh nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita.
Sehingga ke hari ini,nadi kita masih lagi berdenyut...Nafas kita masih lagi berfungsi..akal kita masih lagi bergerak...serta seluruh jasad anggota kita masih lagi hidup, untuk terus gagah melaksanakan seluruh tuntutan Allah S.W.T.
Ianya diciptakan oleh Allah S.W.T bukan dengan bayaran duit..bahkan bukan dengan bayaran kegagahan dan kekuatan tubuh badan kita..tapi ianya dikehendaki oleh Allah S.W.T untuk dibayar dengan 'Ubudiyyah' dan taat kepada seluruh perintah Allah S.W.T.
Jika dunia menghendaki sesuatu itu dibayar dengan nilaian dunia seperti wang, harta dan sebagainya, maka untuk jasad yang bergerak ini, bayarannya adalah nilai kehambaan seorang hamba kepada Rabb-Nya.
Adanya malam berpasangan dengan siang, bulan berpasangan dengan matahari, lelaki berpasangan dengan wanita..begitu juga jasad itu berpasangan dengan roh. Hilang salah satunya, maka tidak ada nilainya lagi salah satu yang lain.
Maka begitulah juga, jika waktu malam itu fungsinya berehat, maka siang itu fungsinya bekerja. Begitu juga,lelaki itu fungsinya bekerja, dan wanita itu fungsinya membahagia...maka begitulah juga halnya dengan roh dan jasad.
Bagaimana caranya jasad itu boleh membahagiakan roh..maka jawabnya adalah dengan memperbanyakkan amal..jasad itu berkorban untuk roh sebagaimana seorang lelaki berkorban untuk wanita, siang mengundur diri jika tiba malam dan sebagainya.
Inilah satu perkara yang jika difahami dengan sebaiknya, maka layaknya penghormatan syurga itu untuknya.
Inilah yang boleh difahami daripada sebuah hadith yang di antara hadith terawal yang disabdakan oleh Nabi S.A.W di Madinah, yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Salam. Nabi S.A.W bersabda:
'Berilah olehmu makanan, dan seberkanlah salam, sambungkanlah silaturrahim , dan bersolatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, sesungguhnya kamu akan memasuki syurga denagn penuh penghormatan'
Itulah antara bukti keseimbangan di antara tuntutan roh dan jasad.
Teori inilah yang telah dicerna oleh ulama' yang terdahulu sehingga bukan sahaja mereka kaya dengan amalan dan taqarrub keapda Allah S.W.T, namun jiwa mereka juga bergerak untuk membangunkan dan membawa obor Islam ke seluruh alam.
Fahami lima bentuk amalan jiwa dan jasad sebagaimana tulisan Saiid Hawwa' dalam Kitabnya 'Jundullah' berkenaan lima bentuk Jihad:
1-Jihad dengan Lisan.
2-Jihad dalam bentuk pendidikan (Ta'liim).
3-Jihad dengan tangan dan jiwa.
4-Jihad dalam bentuk politik Islam.
5-Jihad harta-benda.
Wallahua'lam...
Penyertaan Kutub Sittah Menjangkau Hampir 1000 Orang
KAHERAH, 16 Oktober - Penyertaan Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri 2 PMRAM 2010 kini menjangkau hampir 1000 penyertaan.
Ini adalah satu perkembangan yang baik setelah penyertaan melebihi 900 orang pada Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri pertama tahun lepas.
Menurut Jawatankuasa Pendaftaran Kutub Sittah Siri II, Saudara Mohamad Syafiq bin Ghani,sehingga kini, masih banyak penyertaan yang sedang diterima daripada seluruh BKAN dan DPM cawangan.
Pendaftaran yang diterima pula terdiri daripada peserta mahasiswa dan mahasiswi seluruh peringkat sama ada pengajian Islam, Perubatan dan sebagainya.
PMRAM Optimis dan berkeyakinan, penyertaan yang disasarkan sebanyak 1000 orang akan dapat dicapai dengan perkembangan penyertaan yang diterima sekarang.
Bagi sesiapa yang masih belum mendaftar sebagai peserta bolehlah berbuat demikian di Unit Pendidikan dan Pengetahuan PMRAM setiap cawangan sebelum 18 Oktober 2010 dengan bayaran yuran sebanyak LE 170.00.
Layari www.kutubsittah-pmram.blogspot.com
Sumber: Web PMRAM
Adakah Sampai Pahala Bacaan Al-Quran Yang Di Hadiahkan Kepada Si Mati ?
Khamis, Oktober 14, 2010
Takziah kepada keluarga S/U DPM Zaqaziq
Didoakan semoga Saudara Fizree dan keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan di atas pemergian ayah yang tercinta.
Inilah yang dituntut dalam islam, agar kita mengucapkan takziah di atas kematian seseorang muslim dan menziarahi keluarga yang ditimpa musibah, agar kita juga dapat mengambil peringatan bersama dan memberikan sedikit kelegaan di atas perhatian kepada mereka.
Moga-moga roh Allahyarham ditempatkan bersama Para Solehiin dan Syuhada' insyaAllah.
Al-Fatihah untuk beliau.
Isnin, Oktober 11, 2010
Duduk lama depan komputer boleh maut.
Baru-baru ini, penulis menerima satu emel daripada sepupu penulis.Maka, penulis masukkan di sini sebagai renungan bersama.
Sejak akhir-akhir terdengar beberapa webmaster diserang dengan pelbagai jenis penyakit sehingga ada diantaranya begitu kritikal sehingga terpaksa dimasukkan ke wad hospital untuk pemantauan kesihatannya. Malah ada diantaranya telah sampai ke tahap kritikal sehingga diserang penyakit angina ahmar.
Ramai yang masih tidak sedar bahawa duduk terlalu lama di depan komputer atau bekerja selama berjam-jam secara pasif di atas kerusi akan membuat otot-otot tubuh kita terasa kaku, keras dan mata menjadi pedih. Malah selain keluhan ringan tersebut tersembunyi juga ancaman lain yang berisiko bagi kesihatan.
New Zealand Medical Journal dalam edisi terbaru, melaporkan kajian dari Institut Penyelidikan Perubatan New Zealand menunjukkan bahawa pekerja pejabat yang menghabiskan masa terlalu lama duduk di meja masing-masing berisiko tinggi menghadapi masalah darah beku. Penyelidik mendapati, satu pertiga daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana mengidap -trombosis pembuluh darah vena (DVT) atau darah beku, adalah mereka yang menghabiskan masa berjam-jam mengadap komputer.
Penyakit Deep Vein Thrombosis (DVT) ini adalah disebabkan darah beku yang menyebabkan salur pembuluh darah terutamanya di bahagian peha dan betis tersumbat. Keadaan ini berlaku kerana aliran darah yang tidak baik hasil dari aktiviti yang pasif dan rehat yang berlebihan.
Hal ini akan diperburukkan apabila bilik yang diduduki berhawa dingin dimana udara yang sejuk itu mempercepatkan kadar pembekuan darah terutama di bahagian kaki.
Ketua penyelidik, Profesor Richard Beasley berkata sebahagian pekerja pejabat yang mengidap masalah itu duduk di depan skrin komputer selama lebih 10 jam sehari. Masalah ini biasanya dihadapi oleh pekerja dalam industri teknologi maklumat dan pusat panggilan.
Sekitar 34 peratus dari 62 sampel yang mengalami gumpalan darah adalah mereka yang dalam jangka waktu lama bekerja dengan duduk di kerusi, sementara 21 peratus penderita lainnya adalah terdiri dari mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh menaiki kapal terbang, seperti disiarkan oleh AFP.
DVT itu sendiri merupakan menurut pakar kesihatan adalah pembentukan gumpalan darah nadi bahagian dalam, paling sering dijumpai di kaki. Gumpalan tersebut boleh pindah ke jantung, paru-paru atau otak dan bisa menyebabkan rasa sakit di dada, sesak nafas atau bahkan kematian akibat serangan jantung atau angin ahmar.
Pakar Perunding Paru-Paru, Institut Perubatan Respiratori, Dr Ashari Yunus berkata darah beku ini datang dari kaki, tetapi juga boleh berpunca daripada pembuluh darah di lengan, bahagian kanan jantung malah hujung kateter yang ditempatkan dalam pembuluh darah. Dalam kes yang sangat jarang berlaku, lemak atau tisu dari tumor atau kelompok bakteria mungkin boleh berkumpul di arteri paru-paru.
Mengapa pulmonari embolisme terjadi?
Manusia memiliki sepasang paru-paru. Darah secara konsisten dipam dari kanan jantung ke paru-paru dan kembali ke sebelah kiri jantung. Dalam paru-paru, darah mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida, sisa metabolisme.
Arteri membawa darah yang kaya oksigen ke seluruh tubuh. Pembuluh darah pula membawa darah kurang oksigen kembali ke jantung. Darah beku yang terjadi dalam pembuluh darah boleh mengalir ke salur darah di kanan jantung sebelum masuk ke arteri paru-paru, di situ sekatan mungkin boleh berlaku.
Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat ‘rapuh’ kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru setiap kali diedarkan. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru.
Simptom:
1. Cepat penat.
2. Mengah.
3. Sakit dada.
4. Denyutan nadi laju.
5. Lemah di bahagian kaki.
6. Kurang selera makan.
7. Batuk.
8. Nafas pendek sama ada dalam keadaan rehat atau aktif.
Cegahan:
1. Stokin untuk mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah (deep vein thrombosis). Ia berfungsi untuk mencengkam kulit dan mengempiskan vena supaya darah tidak bertakung.
2. Perbanyakkan gerakan terutama di bahagian kaki.
3. Elakkan meminum airbatu.
4. Elakkan membuka hawa dingin terlalu sejuk.
5. Sentiasa meminum air panas.
6. Amalkan bersenam.
Rawatan:
Biasanya pesakit dirawat dengan ubat yang menghentikan dan memperlahankan darah beku seperti heparin dan warfarin. Kedua-duanya membantu mencegah darah beku sedia ada daripada menjadi besar dan menghentikan pembentukan darah beku yang baru.
Jika pulmonari embolisme yang dialami mengancam nyawa, biasanya doktor akan menyarankan terapi thrombolitik (mengeluarkan darah beku dari sistem tubuh dengan enzim yang bertindak memecahkannya).
Ahad, Oktober 10, 2010
Pastikan anda tidak terlepas peluang untuk ke Kutub Sittah 2.
PMRAM mensasarkan 1000 penyertaan pada kali ini. Sekiranya anda tidak mendaftar diri sebelum tarikh tutup penyertaan, kebarangkalian untuk penyertaan anda diterima sekiranya jumlah penyertaan yang dikehendaki telah mencukupi adalah tipis. Jadi, pastikan anda mendaftarkan diri secepat mungkin.
Penyertaan yang akan diutamakan adalah bagi mereka yang menghantar borang yang telah lengkap beserta dengan bayaran bersama-sama dengan borang. Sekiranya anda hanya menghantar borang tanpa bayaran, maka ia tidak menjadi jaminan untuk penyertaan anda diterima. Jadi, bagi mereka yang telah menghantar borang pastikan disertakan dengan bayaran bersekali dengan borang.
Sila rujuk unit pendidikan dan pengetahuan cawangan masing-masing sesegera mungkin.
Diingatkan juga, kepada unit pendidikan dan pengetahuan cawangan masing-masing, anda bolehlah menyerahkan segala borang beserta bayaran peserta kepada Eksekutif pendaftaran Kutub Sittah PMRAM kali -2, saudara Mohd Syafiq bin Ghani bermula sekarang.
Ayuh, sama-sama kita semarakkan Program Kutub Sittah PMRAM kali kedua bagi tahun 2010. jangan lepaskan peluang untuk bertalaqqi bersama-sama para Masyaikh Al-Azhar yang sentiasa di hati kita semua. Jumpa anda di sana !