Persoalan ini sudah sekian lama di bahaskan dan di perbincangkan oleh masyarakat Islam, semenjak zaman dahulu hinggalah sekarang. Mengenai permasalahan ini, kita sebagai seorang muslim yang berfikiran waras tidak perlu menjadikan ia sebagai perbahasan utama dan bertelingkah sesama sendiri untuk menegakkan hujah masing-masing. Apa yang lebih penting adalah kesatuan ummah daripada berpecah dengan hanya berpunca daripada masalah furuq ( cabang ) sahaja, dan kita juga perlu memiliki sikap toleransi sesama kita dalam menyampaikan hujah dan menerima sesebuah pendapat, walaupun pandangan tersebut nyata berbeza dari kefahaman yang kita amalkan. Silapnya sesetengah golongan, terlampau menyempitkan hukum yang asalnya dibolehkan oleh syarak. Sikap inilah yang dikatakan sebagai bid’ah yang sebenar oleh Dr ‘Ali Jum’ah Mufti Kerajaan Mesir “menyempitkan sesuatu perkara yang dibolehkan oleh syarak”. Untuk menjawab pertanyaan daripada pengunjung blog ini, insyaAllah saya akan datangkan perselisihan pendapat daripada kalangan Ulamak secara ringkas sebagai panduan dan pedoman kita bersama.
Perselisihan Ulamak
a) Pendapat Pertama
Pendapat yang Mashur dalam Mazhab Imam Malik dan Mazhab Imam As-Syafie “sesungguhnya bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati”.
b) Pendapat Kedua
Pendapat dari Mazhab Imam Ahmad dan pendapat kebanyakkan dari kalangan Ulamak mutaqaddimin “sesungguhnya bacaan Al-Quran itu sampai kepada si mati”.
Dalil Pendapat Pertama
Mereka mendatangkan dalil dengan firman Allah S.W.T :
وأن ليس للإنسان إلا ما سعى..
Maksudnya:
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang insan melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. (Surah An-Najm, ayat 39)
Imam Al-Hafiz Ibnu Khathir berkata dalam tafsirnya : “Dari ayat ini Imam As-Syafie dan pengikutnya berpendapat bahawa bacaan Al-Quran yang dihadiahkan tidak sampai kepada si mati, kerana bacaan itu bukan amalannya dan bukan juga dari usahanya”. (Tafsir Ibnu Khathir, surah An-Najm).
Penilaian Dalil Yang Digunakan Oleh Pendapat Pertama Seperti Berikut :
Ø Ayat ini tidak menafikan seseorang boleh mengambil manfaat dari amalan orang lain, akan tetapi maksud ayat ini hanya semata-mata menafikan memiliki amalan yang bukan dilakukan olehnya sahaja. Daripada kedua maksud ini, nyata sangat jelas perbezaannya. Allah S.W.T menjelaskan bahawa manusia tidak memiliki kecuali amalan yang dilakukan olehnya. Adapun amalan yang di miliki oleh pengamalnya, maka ia menjadi hak kepada pengamalnya sama ada pahala amalan tersebut ingin dihadiahkan kepada sesiapa sahaja atau ia membiarkan amalan tersebut untuk dirinya sendiri. Kerana jelas pada ayat ini, Allah S.W.T tidak berfirman “ Seseorang tidak akan mengambil manfaat melainkan apa yang dilakukannya”. Jika begini ayat Al-Quran nescaya secara mutlak tidak akan sampai pahala sesuatu amalan kepada si mati.
Ibn Qayyim berkata : “Guru kami ( Ibn Taimiyyah ) memilih pendapat ini dan mengatakan ia Rajih. ( Ar-Ruuh, m/s 179 ). Jika di lihat kepada pendapat ini, Ibnu Qayyim sendiri tidak menerima pendapat yang mengatakan “tidak sampai pahala bacaan Al-Quran kepada si mayat”.
Dalil Pendapat Kedua
1) Hadis riwayat dari Imam Tabrany dalam Al-Mu’jam Al-Kabir :
مارواه عبد الرحمن بن العلاء بن اللجلاج, عن أبيه قال : قال لي أبي - اللجلاج أبو خالد - : يابني! إذا أنا مت فالحدني, فإذا وضعتني غي لحدي فقل : بسم الله, وعلى ملة رسول الله, ثم سن علي التراب سنا, ثم اقرأ عند رأسي بفاتحة البقرة وخاتمتها, فإني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ذلك.
Maksudnya :
Berkata bapaku ( Al-Lajlal Abu Khalid ) : “Wahai anakku, jika aku meninggal dunia, maka kebumikan aku. Jika setelah engkau letakkan aku dalam liang lahad, katakanlah : ‘Dengan nama Allah di dalam agama Rasulullah S.A.W’, kemudian timbuskan tanah ke atas ku, kemudian bacakan di kepalaku permulaan Ai-Baqarah dan Akhirnya. Ini kerana aku mendengar Rasulullah S.A.W menyebut sedemikian. ( Mu’jam Al-Kabir, juzuk 19, m/s 220 ).
2) Hadis riwayat dari Imam Tabrany dan Imam Baihaqi meriwayatkan dari Ibn Umar r.a :
عن ابن عمر رضى الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : " إذا مات أحدكم فلا تحبسوه وأسرعوا به إلى قبره واليقرأ عند رأسه فاتحة الكتاب".
ولفظ رواية البيهقي : "بفاتحة البقرة وعند رجليه بخاتمة سورة البقرة في قبره".
Maksudnya :
Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : “Jika seseorang meninggal dunia, jangan dibiarkan ia terlalu lama, segerakanlah jenazah ke kubur dan bacakan di kepalanya permulaan Al-Quran ( dari awal surah hingga ayat yang kelima surah Al-Baqarah). ( Al-Mu’jam Al-Kabir, juzuk 12, m/s 444 ).
Dan melalui riwayat Imam Baihaqi : “Bacakan permulaan Al-Baqarah dan pada kakinya penutup surah Al-Baqarah ( ayat ke 285 dan 286 ) ketika dalam kuburnya”. ( Syu’ab Al-Iman, juzuk 7, m/s 173 ).
3) Terdapat juga dalil daripada Hadis berkenaan membaca surah Yasiin kepada si mati, seperti berikut :
حديث معقل بن يسار, عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " اقرءوا (يس) على موتاكم"
Maksudnya :
Daripada Nabi S.A.W bersada ia : “Bacalah surah Yasiin ke atas orang yang meninggal dikalangan kamu”. ( -Musnad Imam Ahmad, juzuk 5, m/s 26 -, - Sunan Abu Daud, no hadis 2131 -, - Sunan Ibn Majah, no hadis 1522 -, - Sohih Ibnu Hibban, juzuk 7, m/s 269 - ).
4) Imam Al-Bukhari juga ada meletakkan sebuah tajuk dalam sahihnya:
(باب قراءة فاتحة الكتاب على الجناجة )
Ini adalah dalil umum bahawa dibaca ayat Al-Quran itu ketika dalam solat jenazah atau di luarnya. Daripada bab ini juga membuktikan bahawa dibaca ayat Al-Quran ketika mengkafankan jenazah dan selepas mengkebumikannya sepertimana hadis riwayat Ibn Umar r.a yang telah dinyatakan pada sebelum ini.
5) Para Ulamak juga mendatangkan dalil bahawa sampai pahala bacaan kepada si mati, dengan mendatangkan qias daripada hadis Ibn ‘Abbas r.a mengenai kisah dua orang ahli kubur yang sedang di azab, lalu Rasulullah mengambil pelepah tamar yang dibahagi dua, dan ditanamkan ke atas kedua-dua kubur tersebut, seraya bersabda seperti berikut :
" لعله يخفف عنهما ما لم ييبسا ".
Maksudnya :
“Mudah-mudahan pelepah tamar tersebut boleh meringankan azab mereka berdua selagi pelepah itu masih basah ( tidak kering )”. (Sahih Imam Bukhari, juzuk 1, m/s458, no hadis 216 ).
Imam Al-Khattabi berkata : “Hadis ini membuktikan bahawa dibolehkan membaca dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati, kerana jika mereka yang diringankan azab hanya dengan disebabkan pelepah tamar sahaja yang bertasbih, apatah lagi seorang muslim membaca Al-Quran yang lagi besar fadhilat dan keberkatannya”. ( ‘Umdatul Qori, juzuk 3, m/s 118 )
Berdasarkan dalil ini, maka lebih utama pahala tersebut sampai kepada si mati, dengan bacaan dari seorang yang hidup.
6) Syeikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari berkata : “Solat jenazah tidak disyariatkan melainkan hanya untuk memberi manfaat kepada si mati dan memperoleh syafaat untuk si mati dalam solat dengan bacaan doa dan istighfar. Jika sampai kepada si mati berdasarkan apa yang terkandung dalam solat itu yang terdiri dari bacaan doa dan istighfar, maka begitu juga sampai apa yang terdapat di dalam Al-Quran, keduanya sama sahaja”. ( Taudhih Al-Bayan Li Wusul Thawab Al-Quran ).
Kesimpulan
Menurut pandangan Imam An-Nawawi berdasarkan kedua-dua pandangan ini, beliau berpendapat bahawa : Hendaklah kepada pembaca Al-Quran berdoa setelah selesai bacaannya : “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si fulan”. (Al-Azkar, m/s 193-194). Instinbat yang diberikan oleh Imam An-Nawawi ini merupakan penyelesaian kepada pertikaian di antara dua pendapat ini.
Pandangan ini boleh dikaitkan keharusannya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti berikut :
إذا مات ابن أدم انقطع عمله إلا من ثلاثة : صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له.
Maksudnya :
“Jika mati seorang anak Adam, nescaya akan putus amalannya kecuali tiga perkara : Sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat atau anak soleh yang mendoakannya”. ( Sahih Imam Muslim, juzuk 3, m/s 1255 ).
Ini adalah salah satu dalil yang menunjukkan doa seseorang kepada si mati sampai, sedangkan Al-Quran lebih afdhal berbanding doa. Kesimpulan yang boleh dibuat walaupun ada khilaf di antara ulamak berkenaan sampai ataupun tidak pahala bacaan seseorang kepada si mati, maka berdasarkan hadis ini doa kepada si mati tidak ada sebarang khilaf dikalangan ulamak salaf dan khalaf. Oleh itu, adalah lebih baik setelah selesai bacaan Al-Quran itu kita sertai dengan doa dan harapan agar Allah menerima amalan yang dilakukan dan moga-moga pahala bacaan tersebut sampai kepada si mati. Perbuatan ini juga bertepatan dengan amalan masyarat Melayu kita di Malaysia mahupun di nusantara umumnya, seperti bacaan yasiin, tahlil dan sebagainya. Segala amalan ini akan sampai pahalanya kepada si mati insyaAllah, kerana di akhir amalan tersebut akan diiringi dengan doa akan kesejahteraan kepada si mati. Waallahua’lam.
Penutup
Membaca Al-Quran kepada si mati merupakan permasalahan cabang yang berlaku khilaf di kalangan ulamak, dan ia tiada kaitan dengan persoalan akidah yang boleh menggugurkan pegangan seseorang muslim. Jadi mengenai perbahasan ini tidak perlu diperbesarkan lagi sehingga boleh menimbulkan puak-puak dikalangan masyarakat orang Islam, hanya disebabkan dengan masalah yang yang kecil ini.
Bersama Artikel ini dilampirkan beberapa cadangan nama-nama kitab kepada pembaca sebagai rujukan untuk mendapat pengetahuan dengan lebih mendalam lagi berkenaan permasalahan ini :
1) Kitab Jamik, bab Al-Qiraah ‘Ala Al-Kubur, oleh Imam Abu Bakar Al-Khallal Al-Hambali.
2) Perbahasan yang sama oleh Imam Al-Hafiz Syamsuddin bin Abdul Wahid Al-Maqdisi Al-Hambali.
3) Kitab At-Tazkirah Fi Ahwal Al-Mauta Wa Umur Al-Akhirah, oleh Imam Al-Qurthubi Al-Maliki.
4) Kitab Syarah As-Sydur Bi Syarhi Hal Al-Mauta Wa Al-Kubur, oleh Imam Al-Hafiz As-Sayuthi As-Syafie.
5) Taudhih Al-Bayan Li Wusul Thawab Al-Quran, oleh Al-Hafiz As-Sayyid Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari.
Disediakan oleh :
Mohamad Hanif B Haron
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan