Tanpa Istighfar, Setiap individu Muslim akan sentiasa berada di dalam keadaan yang tidak tenang kerana dihimpit oleh dosa dan kesalahan.
Sebab itulah, Rasulullah S.A.W memperingati kita dengan sebaik-baik manusia adalah mereka yang bertaubat dengan sabda baginda:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم كل ابن آدم خطاء فخير الخطائين التوابون
"Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu adalah mereka yang bertaubat".-Hadith riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya.
Seseorang yang hidupnya tidak pernah terlintas untuk bermunajat bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T, maka tiadalah kelebihan hidupnya melainkan kehidupannya hanyalah sia-sia.
Mana mungkin kita akan mendapat rahmat dan kasih-sayang Allah sekiranya untuk memohon maafa dan ampun kepada Allah S.W.T melalui munajat dan Istighfar itupun sudah berat di mulut kita untuk melafazkannya!.
Banyak ayat-ayat Allah S.W.T yang menganjurkan agar kita sentiasa beristighfar memohon keampunan Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan”.
Firman Allah S.W.T lagi di dalam surah al-Maiidah ayat 65-66 yang bermaksud:
“Dan sekiranya ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke Dalam Syurga-syurga Yang penuh nikmat. Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa Yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). di antara mereka ada sepuak Yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya”.
Sesungguhnya Para nabi dan Rasul sentiasa memohon keampunan Allah S.W.T. Hati mereka sangat gentar kepada Allah S.W.T dan sesungguhnya mereka tergolong daripada golongan yang merasai kemanisan iman.
Alangkah baiknya jika kita menghayati bagaimana Istighfar para Nabi dan Rasul, agar kita dapat mengikuti jejak langkah mereka di dalam menjauhi dosa-dosa. lihatlah kehebatan iman mereka, walaupun mereka dipelihara oleh Allah S.W.T daripada dosa-dosa , namun mereka tetap istiqamah memohon keampunan Allah S.W.T. Maka, kita sebagai hamba yang sering leka dan lalai ini tentulah lebih dituntut untuk sentiasa memohon keampunan Allah S.W.T.
Nabi Adam A.S dan Hawwa,isteri baginda memohon kempunan Allah S.W.T di atas penyesalan dan taubat mereka apabila mengingkari perintah Allah S.W.T dengan memakan buah Khuldi di dalam syurga.Istighfar ini dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam surah al-A'raf ayat 23 yang bermaksud:
“Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".
Begitu juga Nabi Nuh A.S., baginda diuji dengan anaknya yang telah berpaling daripada kebenaran.Mengenai peristiwa ini, beberapa ayat telah dirakamkan oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T mengenai perkataan Nabi Nuh A.S di dalam surah Hud ayat 45 yang bermaksud:
“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya Dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan Bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak hakim Yang menghukum Dengan seadil-adilnya".
Namun, permintaan Baginda Nuh A.S tersebut telahpun dijawab oleh Allah S.W.T sebagaimana firman-Nya di dalam surah Hud ayat 46 yang bermaksud:
“Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); Sesungguhnya bawaannya bukanlah amal Yang soleh, maka janganlah Engkau memohon kepadaKu sesuatu Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang Yang jahil".
Di atas teguran Allah S.W.T itu, maka Nabi Nuh A.S bermunajat kepada Allah S.W.T dan beristighfar memohon kekeampunan-Nya. Allah S.W.T berfirman di dalam surah Hud ayat 47 yang bermaksud:
Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Aku berlindung kepadamu daripada memohon sesuatu Yang Aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah Aku dari orang-orang Yang rugi".
Begitu juga selepas Allah S.W.T menceritakan mengenai kisah Nuh A.S dengan kaumnya dan bencana yang telah menimpa kaumnya yang kafir serta kejayaan bagi kaumnya yang bersama-sama dengan baginda di atas bahtera. Maka nabi Nuh A.S berkata dan ia telah dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam surah Nuuh ayat 28 yang bermaksud:
"Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa Yang masuk ke Rumahku Dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam Segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang Yang zalim melainkan kebinasaan!"
Istighfar Nabi Ibrahim A.S pula dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam surah surah al-Syu'araa' ayat 82 yang bermaksud:
"Dan (Dia lah) Yang Aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;"
Nabi Musa pula beristighfar memohon keampunan Allah S.W.T sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah al-Qasas ayat 16 yang bermaksud:
“ia merayu (dengan sesalnya): "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku". (maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Firman Allah S.W.T juga mengenai kisah baginda dan Nabi Harun A.S di dalam surah al-A'raf ayat 151 yang bermaksud:
“Nabi Musa berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah Kami ke Dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari Segala Yang lain Mengasihani".
Istighfar Nabi Allah Yunus A.S semasa berada di dalam perut ikan Nuun dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam surah al-Anbiyaak ayat 87 yang bermaksud:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) Dalam keadaan marah, Yang menyebabkan ia menyangka Bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa Yang berlaku) maka ia pun menyeru Dalam keadaan Yang gelap-gelita Dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Yang menganiaya diri sendiri".
Nabi Sulaiman A.S pula beristighfar sebagaimana di firman Allah S.W.T di dalam surah Saad ayat 35 yang bermaksud:
“katanya: " Wahai Tuhanku! ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaKu sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) Yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; Sesungguhnya Engkaulah Yang sentiasa melimpah kurniaNya ".
Seterusnya, Nabi Daud A.S beristighfar memohon keampunan daripada Allah S.W.T di atas sangkaan dirinya sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah Saad ayat 24 yang bermaksud:
Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu Dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan Sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang Yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya Yang lain, kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda kepada sahabat nya yang datang kepada baginda di dalam sebuah majlis:
رب اغفرلي وتب علي إنك أنت التواب الرحيم
Di dalam riwayat yang lain, Nabi S.A.W bersabda:
إنك أنت التواب الغفور
Begitu juga, baginda S.A.W beristighfar bagi dirinya memohon keampunan Allah S.W.T dengan sabdanya:
والله إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة
"Demi Allah, sekiranya aku beristighfar memohon keampunan Allah S.W.T adalah lebih daripada 70 kali di dalam satu hari"-Hadith Riwayat al-Bukhari.
Allah S.W.T menerima Istighfar Baginda sebagaimana firmanNya di dalam surah Muhammad ayat 19 yang bermaksud:
“oleh itu, maka Tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap Yang Engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang Yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di Akhirat)”.
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Nasr ayat 3 yang bermaksud :
“Maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat”.
Demikianlah beberapa himpunan ayat-ayat Allah S.W.T yang menceritakan munajat dan istighfar yang telah dilantunkan oleh golongan yang dipelihara oleh Allah S.W.T iaitu para Rasul . Sesungguhnya mereka mengetahui hakikat keampunan dan rahmat Allah S.W.T, maka mereka tidak berat untuk menuturkannya.
Bagi mereka dan golongan yang beriman, Taubat itu adalah sebagai hadaf dan tujuan, serta istighfar itu sebagai Syiar dan setiap yang mereka lakukan adalah untuk Allah S.W.T.
Beristighfarlah dan ketahuilah bahawa Allah S.W.T bergembira sangat menyukai hamba-hambaNya yang bertaubat dan beristighfar memohon keampunan Allah S.W.T.
Sabda Rasulullah S.A.W :
لله أشد فرحا بتوبة أحدكم من أحدكم بضا لته إذا وجدها
"Allah S.W.T suka dan gembira dengan taubat setiap orang daripada kamu di atas kesalahannya jika ia mengetahui (kesalahannya)"-Hadith riwayat Muslim.
Wallahua'lam..
Rujukan : Kitab "Al-Istighfar" oleh Syeikh Abdullah al-'Adaawi.
|
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan