Penulis akan menyambung semula perbincangan kita pada entri kali ini.
Sesungguhnya, antara perkara yang ingin dijelaskan melalui Fiqh Isra’ Wa Mi’raj ini, adalah bagaimana kita mengambil pengajaran dan renungan keseluruhan kisah yang berlaku itu untuk diaplikasikan di dalam kehidupan kita. Jelasnya, kita akan mengambil rahsia-rahsia di sebalik beberapa peristiwa yang telah berlaku kepada Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
3) Rahsia di sebalik pemilihan susu oleh Rasulullah S.A.W.
-Antara rentetan peristiwa yang berlaku di dalam Isra’ Wa Mi’raj ini adalah hidangan dua mangkuk berisi arak dan juga susu.Namun, rasulullah S.A.W telahpun memilih susu. Ianya adalah pilihan yang tepat dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri. Inilah yang ada pada islam sebagai agama yang memenuhi firah setiap manusia di atas muka bumi.
Rasulullah S.A.W memilih sumber semulajadi iaitu susu adalah merupakan petunjuk yang besar kepada manusia. Ianya isyarat bahawa islam adalah agama yang punyai nilai tertinggi di sisi Allah S.W.T. benarlah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
الإسلام يعلوا ولا يعلى عليه
"Islam itu tinggi dan tiada yang boleh menandinginya”
Islam hadir kepada manusia sebagai pelengkap dan penyelesai terhadap seluruh masalah yang berlaku dalam konteks keperluan manusia itu sendiri baik dariapda sudut ekonomi, muamalat, akhlak, jenayah, dan sebagainya. Jelasnya, tidak ada satu agama pun di atas muka bumi ini mengambil tahu masalah manusia selengkap Islam hatta adab ketika memasuki tandas sekalipun akan dibincangkan oleh Islam.
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud:
“(Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: "Ugama Islam, Yang Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah Yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami Dengan corak Islam); dan siapakah Yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat".
Maka, walau setinggi mana sekalipun keperluan manusia terhadap pembinaan tamadun dan peradaban manusia, seolah-olah ianya tidak memberi makna apa-apapun kepada mereka..Kelihatan tamadun itu hebat dan agung pada panangan manusia lain, namun pada pandangan mereka yang menciptanya, mereka seringkali merasa kosong sehinggalah mereka dipakaikan dengan baju Islam yang secara jelas memberi keselesaan dan menyelesaikan kekerumitan yang melanda jiwa raga mereka sendiri. Namun ,tamadun yang dibina oleh Islam sendiri sentiasa memberi kekaguman dan sarat dengan nilai-nilai fitrah yang memenuhi citarasa manusia.
Lihatlah, orang-orang bukan Islam sekalipun sentiasa datang untuk melihat senibia dan tamadun Islam seperti di Mesir, Turki, Syria dan sebagainya dan secara jelas mereka mengakui ianya bertepatan dengan citarasa mereka juga.
Maka, tidak syak lagi Islam adalah cukup-cukup selari dengan kehendak semulajadi manusia itu sendiri.
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-A’raf ayat 26 yang bermaksud:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian Yang berupa taqwa itulah Yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”.
4) Perjalanan Rasulullah S.A.W berlaku dengan jasad dan roh sekali.
Persoalan ini sering menjadi perselisihan masyarakat. Kedapatan mereka yang kurang mempercayainya menganggap ianya sebagai mustahil kerana dalam keadaan yang begitu cepat dan sekejap, mana mungkin Rasulullah S.A.W pergi dengan jasadnya sekali. Mungkin hanya Rasulullah S.A.W bermimpi, dan hanya rohnya sahaja yang melakukan pengembaraan tersebut.
Hujjah dangkal tersebut sekali lagi dipatahkan oleh persoalan mukjizat yang telah kita bicarakan pada entri yang lepas. Golongan ini ingin sekali menjauhkan manusia daripada mempercayai kekuasaan Allah S.W.T terhadap perkara ini. Bagi mereka, kehidupan ini adalah apa yang berlegar di sekeliling pemikiran akal yang cetek. Maka, sesuatu yang diluar daripada batasan akal, hanyalah pisican daripada kehebatan diri dan bukannya berlaku mukjizat padanya.
Jelasnya, mereka amat takut sekiranya dengan melihat tanda-tanda kekuasaan Allah S.W.T melalui mukjizat tersebut, manusia akan bertambah keimanan mereka kepada Allah S.W.T. Secara jelas, sememangnya mukjizat itu berlaku adalah untuk melemahkan pemikiran manusia yang tidak beriman kerana ianya berlaku menyalahi apa yang mereka fikirkan. Maka, keadaan sebegitu akan melenyapkan kesangsian mereka terhadap Islam.
Lalu, propaganda diatur satu demi satu untuk menghilangkan kepercayaan manusia termasuklah juga dalam soal pemgembaraan Rasulullah S.A.W ini.
Sebenarnya pengembaraan roh bersekali dengan jasad yang berlaku kepada Rasulullah S.A.W, telahpun diakui oleh sebilangan terbesar umat Islam di zaman lampau dan sekarang . Imam Al Nawawi di dalam mengulas kitab Imam Muslim menyatakan:
“Pendapat yang sebenarnya seperti yang dipegang dan diperkatakan oleh sebahagian besar
(majoriti) orang awam dan para fuqaha’ Islam yang terdahulu dan yang terakhir bahawa Isra’ Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam berlaku sekali lagi dengan jasad baginda. Kesan peninggalan sejarah juga membuktikan sedemikian dan tidak dapat dan tidak mungkin kenyataan. Athar ini ditolak dan ditukar dengan yang lama dan tidak boleb diingkari melainkan kalau dapat dibawa suatu penafsiran yang lain”. [Al-Nawawi, Al-Sahih Muslim & Fathul Bari, Al-Sahih Al-Bukhari]
Imam Ibnu Hajar pula di dalam kitab pengulasan hadith Imam Bukhari menyatakan bahawa Isra’ dan Mi’raj itu berlaku kedua duanya di dalam waktu satu malam, ketika Rasulullah masih sedar dan jaga dengan kedua-dua jasad dan rohnya sekali. Inilah pendapat majoriti ‘ulama’ hadith dan fuqaha’ Islam dan ‘ulama’ tauhid. Berita peristiwa ini turut berpindah dari seorang ke seorang dan tidak seharusnya menarik diri dari mempercayai cerita ini kerana tidak ada suatu sebab pun yang membolehkan akal fikiran menolaknya.
Antara perkara yang menjadi bukti terhadap peristiwa ini adalah kegemparan dan kehairanan yang begitu ketara di kalangan masyarakat Quraisy. Ini menunjukkan perkara tersebut adalah mukjizat yang benar. Sekiranya ianya tidak berlaku, nescaya mereka tidaklah mempamerkan kegemparan dan kehairanan yang telalu ganjil sehingga kedapatan di antara mereka yang mendustakan peristiwa itu akibat tidak dapat menerimanya. Inilah rahsia disebalik apa yang telah berlaku kepada Rasulullah S.A.W.
Sesungguhnya al-Quran itu telah mempamerkan mukjizat-mukjizat dan perkara yang luar biasa untuk menjadi penguat keimanan kita bersama. Lihatlah alam ini, semuanya adalah perkara yang luar biasa bukan ?. Langitnya yang tidak bertiang, planetnya yang berputar mengikut paksi dan tidak berlanggar, warna-warni yang terdapat pada alam ini, manusia yang tidak punyai persamaan rupa paras, cap jari dan sebagainya dan banyak lagi perkara yang lain jelas merupakan perkara luar biasa yang perlu difikirkan oleh manusia.
Jadi, jikalau golongan tersebut boleh melihat alam ini, dan mempercayainya serta menerimanya, mengapa mereka pula tidak dapat menerima dan mempercayai apa yang telah berlaku terhadap rasulullah S.A.W tersebut?.
Kesimpulan
Kesimpulan,setelah kita meneliti serba-sedikit peristiwa yang besar ini, kita dapat mengambil satu pendirian bahawa Allah S.W.T menjadikan peristiwa ini dengan rahsia-rahsia yang tersendiri adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa tiada sesuatupun yang mustahil bagi Allah S.W.T.
Manusia tidak seharusnya sombong dan ego dengan kehidupan mereka, dan mereka perlu kembali kepada konsep kehambaan dan pengabdian kepada Allah S.W.t. Setiap apa yang mereka lakukan, tidak akan mengurangkan sedikitpun keagungan dan kehebatan Allah S.W.T kerana alam yang berdiri megah ini sendiri telah mempamerkan kehebatan Allah S.W.T yang Maha Hebat dan Maha Agung.
Seterusnya, penilaian yang penting juga di sepanjang pengamatan terhadap peristiwa ini adalah Istiqamah dan bersungguh-sungguh di dalam berjuang untuk menegakkan Kalimah Allah S.W.T. Tidak ada seorangpun yang akan dikenang kehidupannya setelah kematiannya, melainkan kematiannya adalah kerana mempertahankan Islam. Walaupun mereka telah pergi, namun jiwa mereka terus hidupa dan mekar di dalam hati pencinta-pencinta Islam itu sendiri. Malahan, tulisan dan kata-kata mereka menjadi rempah dan perencah did lam kehidupan masyarakat yang terus menerus menggunakannya walaupun mereka telahpun tiada di alam fana ini.
Hayatilah wasiat dan ingatan rasulullah S.W.T ini yang telah disabdakan oleh baginda kepada salah seorang sahabat baginda yang berbunyi:
آمنت بالله ثم استقم
“Berimanlah kepada Allah S.W.T, dan kemudian istiqamahlah”
Wallahu’alam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan