Khamis, Januari 27, 2011
Golongan Yang Dicemburui oleh Para Anbiya' dan Syuhada'
Di antara golongan manusia yang hidup di atas muka bumi ini, ada di antara mereka yang mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T walaupun mereka itu bukanlah tergolong daripada para Nabi dan para Syuhada' yang telah diketahui akan ketinggian darjat mereka di sisi Allah S.W.T
Firman Allah Ta'ala di dalam surah Ali-Imran ayat 169 yang bermaksud:
"Dan Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; Bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki".
Namun,mereka ini adalah golongan manusia biasa, yang punyai cara hidup juga seperti manusia biasa. Namun,ada satu perkara yang membolehkan kedudukan mereka diiktiraf disisi Allah S.W.T
Itulah yang dinamakan ukhuwwah dan berkasih-sayang semata-mata kerana Allah S.W.T walaupun tanpa pertalian keluarga dan saudara serta tidak ada kepentingan harta-benda, pangkat dan darjat,kekuasaan dan sebagainya.
Di dalam dunia hari ini, cukup sukar untuk mencari segolongan manusia yang saling berkasih-sayang, tolong menolong serta melakukan sesuatu amalan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T tanpa mengharapkan apa-apa kepentingan melainkan segolongan kecil di atas muka bumi ini.
Contoh yang besar yang boleh kita ambil tentang golongan yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T adalah sebagaimana golongan Muhajirin dan Ansar.
Walaupun dalam keadaan mereka masih baru dan belum mengenali secara mendalam antara satu sama lain, bahkan di kalangan merekapun ada yang tidak punyai ikatan kekeluargaan dan persaudaan, namun mereka mampu untuk menyatakan perasaan kasih sayang dan ukhuwwah sesama mereka sehingga segolongan besar daripada kaum Ansar sanggup untuk menyerahkan isteri dan harta benda yang paling disayangi oleh mereka kepada saudara mereka yang baru diikatkan oleh Rasulullah S.A.W ketika tiba di Madinah.
Sebab itulah, mahalnya dan tingginya nilai persaudaraan yang dilakukan tanpa apa-apa kepentingan melainkan semata-mata kerana Allah S.W.T dinilai sebagai isyarat kemenangan bagi sesuatu kaum.
Allah S.W.T sangat melarang umat-Nya untuk saling berbantah-bantahan dan menimbulkan perpecahan didalam kelompok umat Islam agar mereka tidak menjadi lemah dan membinasakan kekuatan mereka.
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Anfaal ayat 46 yang bermaksud:
"Dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar".
Persoalannya, mengapa sebilangan besar umat Islam pada hari ini tidak mampu lagi untuk bersatu terhadap perkara-perkara yang hak untuk menegakkan keadilan Islam, namun sebahagian mereka lebih suka bersatupada perkara yang hanya memberi kepentingan dan kesenangan hidup kepada mereka. Benarlah firman Allah di atas.
Benar kata-kata Imam Hassan :
"Berkasih-sayanglah kamu antara satu sama lain, berusalahke atas ikatan sesama kamu. Ia adalah rahsia kekuatanmu, dan tonggak kejayaan kamu, Thabatlah kamu sehingga Allah S.W.T membuka pintu hati antara kamu terhadapa agama Yang hak, sesungguhnya Allah S.W.T Maha Pembuka".
Dalam sebuah Hadith Qudsi yang diriwayatkan di dalam Kitab Al-Muwattha' Imam Malik, Nabi S.A.W telah bersabda bahawa Allah S.W.T telah berfirman yang bermkasud:
"Kasih-sayangKu lebih utama untuk mereka yang berkasih-sayang pada jalanKu, golongan berhimpun dan berkelompok semata-mata keranaKu, golongan yang saling ziarah-menziarahi keranaKu,dan golongan yangsentiasa berbelanja dijalanKu"
Hadith di atas dapat disimpulkan dalam erti kata "Cinta dan kasih-sayang ketuhanan". Ianya kerana setiap perkara yang dilakukan disandarkan kepada Allah S.W.T. Mana mungkin golongan yang tidak menyandarkan kasih-sayang mereka kepada Allah akan mampu untuk melaksanakan segala perintah Allah S.W.T.
Rasulullah S.A.W menyatakan ketinggian golongan yang berkasih-sayang kerana Allah S.W.T melalui Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Asy'ari yang bermaksud:
"Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang bukan daripada golongan Anbiya' dan bukan juga daripada golongan Syuhada'. Mereka dicemburui oleh para Anbiya' dan Syuhada' kerana ketinggian dan kedudukan mereka di sisi Allah. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah,bagitahulah kami siapakah mereka itu ?" Rasulullah S.A.W bersabda: "Mereka itu adalah golongan yang berkasih-sayang kerana Allah tanpa ada pertalian persaudaraan antara mereka dan bukan kerana harta-benda. Demi Allah, muka-muka mereka adalah "cahaya" dan mereka beradadi atas "cahaya". Mereka tidak takut meskipun manusia lain berasa takut, dan tidak bersedih ketika orang lain bersedih. " Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya penolong-penolong agama Allah S.W.T itu, meraka tidak takutdan tidak bersedih (surah Yunuus Ayat 62)".
Keimanan yang benar terpancar daripada keikhlasan dalam beramal dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T
Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud:
"Pada hari itu sahabat-sahabat karib ; sesetengah mereka akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)".
Wallahua'lam..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Assalamualaikum!
Maaf jika menganggu. Saya ingin bantuan mendapatkan contact nombor h/p student Malaysia di Mesir yang menjual minyak habatus sauda kerana saya ingin membelinya. Dulu saya pernah membeli dari seorang student di Mesir tapi nombornya dah hilang.
Sekian dan wassalam!
Bagaimana Nabi mengutus para anbiya sebagai manusia disisinya Dan allah
Catat Ulasan