;

Sabtu, Februari 20, 2010

Menjauhi Kezaliman.

 

islamic04

Assalamualaikum buat seluruh teman, diharap kalian sentiasa di dalam rahmat Allah Ta’ala.

Tanpa sedar, masa semakin pantas berlalu meninggalkan kenangan-kenangan yang kadang-kadang manis, pahit, dan sebagainya buat  kita.

Kenangan-kenangan tersebut menjadi  pengalaman terbaik untuk mengajar erti kematangan dan kesabaran di dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini.

Maka, kalau kita mampu mengambil muhasabah daripada pengalaman kita itu, nescaya ianya mampu menjadikan kita insan yang faham erti hidup ini.

Malalui tajuk di atas, secara ringkas penulis ingin mengajak teman-teman untuk sentiasa melihat kepada akhlak jua peribadi baginda s.a.w di dalam apa jua tindakan,kerana baginda telah diutuskan sebagai Qudwah ikutan yang terbaik.

Apa yang melanda landskap politik tanah air kita mutakhir ini banyak memberi kita satu penilaian bahawa kita perlu menjauhi perkara yang dibenci ini.

Tiada siapa akan tenang dengan kezaliman…melihat kalimahnya saja sudah memberi ketidak senangan di dalam hati ini.

Bahkan setiap orang sudah mampu menilai implikasi yang bakal timbul daripadanya.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. hadir sebagai manusia yang terbaik daripada segala sudut.

Daripada Aisyah r.ah. telah berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

Aku telah berada di atas seekor unta, maka ia mengamuk, lalu bersabda Nabi s.a.w.: "Hendaklah kamu berlaku lembut, sesungguhnya tidaklah ia ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya, dan tidaklah ditanggalkan ia pada sesuatu melainkan ia akan menjelikkannya”- Hadith Riwayat Muslim di dalam bab Adab.

Lihat, binatang pun tidak suka kepada sifat yang kasar, apatah lagi manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir manakah yang buruk dan manakah yang baik.

Diriwayatkan jua oleh Abi Daud di dalam sunannya, bahawa nabi s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha lembut dan menyukai kelembutan, dan akan diberikan (kebaikan) kepada orang yang lembut hatinya apa yang tidak diberikan  kepada orang yang kasar dan zalim”.

Selagi mana kita menjaga akhlak dan tatacara kita dengan masyarakat, selagi itulah kita akan diberikan kebaikan oleh Allah s.w.t.Tetapi apabila kita meninggalkannya, maka kita akan mendapat kebencian daripada-Nya!

Seseorang yang di dalam hatinya penuh dengan kebencian dan kedengkian, maka segala perbuatannya yang tidak elok pasti tergambar pada pandangan masyarakat. Sebab itulah, kita perlu menjaga hati dengan sebaik mungkin agar kelak tidak mendapat tohmahan dan kebencian orang lain.

Daripada Abi Tayyah, beliau telah berkata:

“Aku telah mendengar Anas bin Malik berkata: Telah bersabda Nabi s.a.w. : Permudahkanlah, jangan menyusahkan, dan tenanglah, jangan tergesa-gesa (di dalam ibadat)”-Hadith Shahih yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim dan al-Nasaie.

Perkataan ringkas ini cukup memberi makna yang jelas tentang pentingnya adab walaupun sekecil mana ia..Apatah lagi di dalam sesebuah negara, lebih-lebih lagi kerajaan yang menaungi rakyat perlu sentiasa mempermudahkan kehidupan mereka serta tidak menyekat keamanan dan kesejahteraan yang diperlukan oleh rakyat!

Betapa kezaliman itu terlalu menyeksakan, sehingga menitis airmata melihat ianya bermaharajalela.

Oleh kerana kezaliman itulah adalah perkara yang sangat ditentang oleh Islam, maka Allah s.w.t. telah memberi kelebihan kepada mereka-mereka yang dizalimi iaitu doa-doa mereka cepat dikabulkan.

Daripada Abi Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., baginda telah bersabda:

“Tiga doa yang Mustajab (Cepat diterima oleh Allah s.w.t.): Doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa ibu-bapa ke atas anaknya”.

Begitu juga, kezaliman itu adalah merupakan kegelapan pada hari kiamat. Lalu ,orang-orang yang berlaku zalim itu pasti tidak akan nampak lagi petunjuk kebenaran setelah mereka disesatkan oleh Allah s.w.t. Maka, hendaklah sentiasa beringat dengan perkara ini!.

Telah menceritakan kepada kami Ubaidillah bin Miqsam, beliau telah berkata: Aku telah mendengar Jabir bin Abdillah berkata: Telah bersabda rasulullah s.a.w: Takutlah kepada kezaliman, kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat, dan takutlah kepada sifat kedekut, kerana ia telah membinasakan golongan sebelum kamu, membawa mereka kepada pertumpahan darah, dan menghalalkan perpecahan”.

Ianya juga bertepatan dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am ayat 63  yang bermaksud:

Katakanlah: "Siapakah Yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana (kezaliman) di darat dan di laut? (ketika) kamu berdoa merayu kepadanya Dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi Sesungguhnya jika Allah selamatkan Kami dari bencana ini nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang bersyukur".

Sesungguhnya sejak 14 abad yang lalu rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kepada kita bahawa bencara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan mereka yang zalim, maka amatlah rugi golongan ini, hidup dan mati mereka berada di dalam kebencian oleh Allah s.w.t.!

Daripada Jabir r.a, rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Akan berlaku pada akhir zaman di kalangan umatku pengubahan (sesuatu ciptaan Allah), lontaran baru, dan juga tanah runtuh, dan ianya akan dimulakan oleh golongan yang zalim”.

Peringatan Rasulullah di dalam hadis di atas sangat jelas kepada kita bahawa bencana yang berlaku di atas muka bumi adalah hasil kerosakan yang telah dilakukan oleh mereka yang zalim. Maka hendaklah kita menjauhinya!

Secara kesimpulannya, amat jelas kepada kita bahawa Islam sangat menolak kezaliman untuk dijadikan budaya di dalam masyarakat. bahkan, tidak mungkin sesiapa jua yang waras pemikirannya akan redha dan pasrah walalu seinci pun kezliman yang tersebar di kalangan manusia. Jika ianya terus berlaku, kita harus sentiasa meletakkan azam di dalam hati untuk menolak segala bentuk kezaliman yang berlaku agar kita tidak termasuk di dalam golongan yang bersama dengan mereka yang zalim.

Telah menceritakan kepada kami Abu Mas’ud Uqbah, Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesuatu yang sering dilupakan oleh manusia daripada kalam kenabian adalah : Jika kamu tidak malu, maka perbuatlah sesuka hatimu”- Hadith riwayat Imam al-Bukhari, Imam Abu daud, ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Imam Ahmad.

Moga-moga kita boleh mengambil muhasabah daripada sindiran rasulullah s.a.w. di atas. Wallahua’lam…

Rujukan Hadith : Kitab al-Adab al-Mufrad Lil Imam al-Bukhari Rahimahullah Ta’ala, Cet 1 2003, Dar ibn Kathir, Dimasyk-Beirut.

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita