Fitrah yang mengundang parah
Entri kali ini adalah pandangan penulis berkaitan gejala sosial yang sedang meruncing dasawarsa ini. Moga-moga sama-sama kita fikirkan.
Kebejatan akhlak yang berlaku akhir-akhir ini semakin meruncing.Dada-dada akhbar sarat dengan paparan-paparan yang begitu menakutkan.Muda-mudi kian rosak. Bagai dunia hampir kiamat.
Sebenarnya, inilah zaman fitanah yang telah termaktub di dada Sunnah. Akhir zaman yang menjadi kebimbangan para sahabat Nabi telah pun kita lalui. Maka, satu perubahan perlu dibina.
Ibu-bapa perlu mengubah mentaliti.
Dalam keadaan hari ini yang begitu jauh bezanya dengan zaman 60-an 70-an dahulu, ibu-bapa sudah perlu mengubah mentaliti mereka. Seumpama mereka hidup dan berbelanja sesuai dengan taraf hidup mereka zaman dahulu dan sekarang, mentaliti terhadap soal perkahwinan anak-anak juga perlu disepadankan dengan peredaran zaman. Bagi penulis, soal perkahwinan anak-anak dalam usia mereka yang muda atau masih belajar seolah-olah telah menjadi kewajipan daripada satu sudut.Sebab apa? Sebabnya kita telah berada di satu zaman yang penuh dengan fitnah dan fitnah terbesar pada pandangan penulis adalah wanita itu sendiri. Bukan menyalahkan kaum wanita, tetapi itulah ingatan nabi S.A.W kepada seluruh umat Baginda di akhir zaman. Sesuai juga dengan kalam Imam Syafie sendiri bahawa Fitnah itu apabila timbul rasa ghairah terhadap diri individu itu sendiri. Dan kegairahan itu tentunya timbul akibat daripada keadaan wanita yang tidak menjaga auratnya.
Apa beza Dahulu dan Sekarang sampai nak kahwin awal?
Ibu bapa tentunya boleh menjawab persoalan ini kerana mereka telah pun melalui zaman tersebut. Dahulu, kaum wanita tidaklah seramai populasi pada hari ini bukan? Bahkan, dahulu ibu-bapa yang carikan jodoh untuk anak mereka, pun tidak jadi masalah besar untuk si anak. Anak-anak dara kurang keluar rumah. Bahkan, barangkali cukup payah hendak terserempak dengan kaum-kaum Hawa berpelesaran di pusat2 hiburan seperti hari ini. Maka, kemungkinan soal hendak kahwin itu tidaklah menjadi agenda besar si anak kerana tidak ada tekanan yang besar dalam soal itu. Tapi, hari ini tidak begitu. Tidak ada siapa pun yang mampu menjamin iman si anak hatta ibu-bapanya. Jika, sibu-bapa mencegah si anak daripada kahwin awal, apakah ibu-bapa mampu memastikan iman anak mereka terjaga apabila keluar daripada rumah. Mungkin betul, ada sahabat yang mengatakan punca si anak berkeinginan untuk kahwin awal adalah sebab mereka jauh daripada kasih-sayang dan perhatian ibu-bapa. Lalu, si anak pun mencari sesuatu untuk mendapatkan kasih-sayang dan perhatian. Akhirnya, mereka mencari pasangan untuk melepaskan bebanan yang berbuku di hati mereka. Hendak minta kahwin pun, mungkin ibu bapa tidak bagi. Persoalannya, berapa ramai muda-mudi yang duduk di rumah dan dikawal oleh ibu-bapa seperti 40 50 tahun dahulu?. Hakikatnya, mereka telahpun berada di dunia kebebasan yang penuh dengan fitnah dan mereka tetap akan berjumpa dengan golongan yang berlainan jantina di mana-mana pun.Maka, ianya pasti akan membuka pintu-pintu fitnah!
Adat VS Syariat.
Mungkin ramai ibu-bapa yang masih tebal dengan adat. Ya, kita semua meraikan adat, tetapi tidak sekali-kali meminggirkan syariat. Kadang-kadang, persoalan yang timbul adalah persoalan kewangan betul? Atau juga si anak masih belum bersedia, dapat kerja atau habis belajar.Mungkin ada jugak yang tidak mahu langkah bendul.Jadi macam mana nak tanggung isteri dan anak-anak. Masing-masing ada pandangan tersendiri. Tetapi Syariat tetap mengajar kita agar mendahulukan syariat daripada adat. Mungkin ibu-bapa terpaksa berkorban sedikit untuk mengahwinkan anak-anak, namun sekurang-kurangnya mereka telah mendahulukan syariat dan sunnah. Jika sahabat Nabi sendiri pun tidak diminta oleh rasulullah S.A.W untuk menangguhkan perkahwinannya kerana hanya ada sepasang selipar dan ada yang hanya ada sebentuk cincin batu untuk dibuat mahar, apatah lagi kita sebagai seorang Hamba yang tak lekang daripada dosa. Tidak salah kiranya kita mendahulukan sunnah berbanding adat daripada melihat iman dan maruah si anak dan ibu-bapa tercalar dek kerana keterlanjuran si anak. Tidak ada nilainya lagi adat jika iman dan maruah telah tercalar!
Keberkatan itu adalah pada mahar yang sederhana.
Mungkin kedapatan ibu-bapa yang inginkan kenduri dan hantaran besar-besaran. Sebab itulah mereka ingin agar si anak kahwin sebelum kerja. Penulis sebenarnya sangat yakin, jika kita mendahulukan syariat dan sunnah, insyaallah keberkatan itu akan datang. Persoalan kenduri yang besar itulah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tidak perlu terikut-ikut dengan adat yang terlampau seperti hantaran yang mencecah puluhan ribu, serta dibandingkan pula dengan adik-beradik yang lain.Takut-takut ianya hanya akan menjauhkan keberkatan di dalam perkahwinan tersebut. Apa yang penting, bebanan Hukum itu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Sebab itulah keterangan agama mengajar kita, bahawa lebih rendah mahar yang yang diberikan, maka lebih berkatlah sesebuah perkahwinan itu. Dan Islam juga mengajar kita agar mendahulukan soal Ibadah itu terhadap diri kita kerana ia adalah sunnah dan menangguhkannya dan mendahulukan orang lain dalam soal ibadah adalah makruh hukumnya. Bahkan, soal perkahwinan juga adalah satu ibadah bukan? Jelasnya, itulah cara Islam menjagar kita agar perkahwinan itu dipermudahkan bukan dipayahkan dengan adat-adat yang kadangkala membebankan!
Apa jaminan tidak susahkan ibu-bapa?
Seorang anak perlu mentaati ibu-bapa. Itu sangat penting. Kita sebagai anak-anak tidak boleh menafikan pengalaman ibu-bapa yang lebih dahulu makan garam daripada kita. Tetapi, berbincanglah dalam suasana yang baik. Hormati mereka di samping bagi pandangan kita. Kita juga punyai secebis hak untuk menjadikan masjid yang bakal dibina bertepatan dengan sunnah dan syariat. Itulah yang kadangkala bermain di fikiran penulis sendiri, supaya ibu-bapa faham keadaan dunia hari ini yang sangat-sangat menakutkan iman yang nipis ini. Ibu-bapa mungkin inginkan anak mereka punyai jaminan yang kukuh agar rumahtangga yang dibina akan berkekalan dan mereka punyai sumber ekonomi yang kukuh untuk hidup sebagaimana orang lain. Maka, menjadi tanggungjawab kita jugalah untuk memberi jaminan hidup bahawa kita juga mampu mencari rezeki dan menyara isteri dan anak jika telah berkahwin nanti.
Apa yang ibu-bapa dan anak-anak boleh lakukan?
Pada pandangan penulis, walaupun kita masih belajar, kita perlu sedaya upaya menabung dan mengurus kewangan kita sedari awal lagi. Ia penting agar bila timbul keinginan untuk berkahwin, maka tidak akan menjadi pertikaian di pihak keluarga. Ibu-bapa pula hendaklah bermentaliti jika si anak hendak kahwin, maka sebenarnya Allah S.W.T telah ilhamkan kepada mereka perkara yang hanya Allah S.W.T sajalah yang mengetahui rahsia dan hikmahnya. Kerana bagi penulis, si anak tidak akan meminta untuk berkahwin jika tiada sebab-musababnya bukan? Sebagai satu cadangan juga, Ibu-bapa pula mungkin boleh menyediakan akaun khusus untuk urusan pernikahan anak-anak mereka sedari awal lagi. Perkara inilah yang mungkin boleh menjadi jalan keluar jika timbul kesulitan atau kesusahan untuk anak-anak kelak.
Moga-moga dengan entri yang sedernaha penulis nukilkan pada kali ini, mampu menjadi satu pencerahan kepada kita semua. Penulis tidaklah mahu menyalahkan sesiapa, hanya sekadar satu luahan daripada sebuah kebimbangan…
Kita masih belum diuji, kalau kita diuji nanti, apakah yang boleh kita katakan kepada iman kita. Mampukah kita menjaganya!
“Ya Allah ya Tuhan kami, selamatkanlah diri kami dan keluarga kami daripada fitnah dunia yang menakutkan ini dan jauhkanlah diri kami daripada dosa dan maksiat kepadaMu.Amiin”
Apakah pula yang akan kita katakan pada zuriat kita satu hari nanti bila mereka mengatakan “Saya ingin berkahwin” ye?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan