;

Sabtu, Jun 26, 2010

Menghayati Fiqh Isra' wa Mi'raj Vol 1


Assalamualaikum dan salam rejab buat semua. Moga-moga kita akan diberikan kemudahan di bulan yang mulia ini. Dalam entri kali ini, penulis ingin mengajak kita semua untuk menghayati Fiqh Isra' Wa Mi'raj dan Ibrah di sebaliknya.

Peristiwa Isra' Wa Mi'raj merupakan salah satu peristiwa besar yang telah berlaku di dalam bulan rejab yang mulia ini.

Peristiwa ini telah mengambarkan kepada kita tentang kemukjizatan yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Para sejarawan telah berbeza pandangan tentang masa berlakunya mu’jizat Isra’ dan Mi’raj. Ada yang mengatakan ia berlakunya dalam tahun kesepuluh selepas kebangkitan dan pengutusan baginda.

Namun, pendapat Ibnu Sa’d yang telah diganiskan di dalam kitabnya “Al-TABAQAT AL-KUBRA” mencatatkan bahawa mu’jizat ini berlaku sebelum lapan belas bulan hijrah Rasulullah S.A.W.

Peristiwa Isra' wa Mi'raj ini membawa beberapa isi penting yang menjadi pengajaran dan hikmah yang besar buat umat Islam bahawa tiada yang mustahil bagi Allah S.W.T dan menafikan pandangan dan teori-teori yang mengatakan bahawa peristiwa ini adalah sesuatu perkara yang biasa dan tiada kena mengena dengan mukjizat yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Sebab itulah, Allah S.W.T menjadikan perjalanan sebegitu jauh hanyalah memakan masa sebahagian malam sehingga menimbulkan kehairanan manusia terhdapnya. jelasnya, keraguan mereka tentunya terjawab jika memahami persoalan mukjizat tersebut.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Isra' ayat pertama:

Maksudnya: "Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui".

Perjalanan sebahagian malam yang membawa hikmah yang besar.

Isra' bermaksud perjalanan 'Dunia' iaitu dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Seterusnya Mikraj itu bermaksud perjalanan 'langit' iaitu daripada Masjidil Aqsa hingga ke langit pertama seterusnya ke Sidratul Muntaha, bertemu Allah S.W.T yang Maha Agung. Baginda telah membawa hikmah yang cukup besar iaitu syariat solat lima waktu yang menyamai ganjarannya solat lima puluh waktu.

Dalam peristiwa ini, Nabi S.A.W telah melalui beberapa rentetan perjalanan, antaranya:

-Nabi S.A.W telah menaiki Buraq, binatang tunggangan yang paling laju di dunia. Kelajuannya melebihi kelajuan cahaya dan kelajuan bunyi. Ianya besar sikit daripada keldai dan kecil sedikit daripada Baqhal.

-Setelah solat dua rakaat di Masjidil Aqsa, Nabi S.A.W telah disuakan dengan dua minuman, satu mangkuk berisi dengan arak dan satu mangkuk berisi dengan susu. Namun, nabi S.A.W telah memilih susu dan ianya pilihan yang tepat sebagaimana yang telah dinyatakan oleh malaikat Jibril A.S:

"قد إخترتك الفطرة"

"Sesungguhnya kamu telah memilih fitrah".

-Kemudian Nabi S.A.W di bawa menaiki langit pertama hingga ketujuh seterusnya ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah S.W.T dan menerima wahyu yang besar iaitu solat lima waktu sehari semalam, yang disyariatkan bagi seluruh lelaki dan perempuan.

-Seterusnya, Rasulullah S.A.W meceritakan segala pengalaman baginda kepada khalayak pada keesokannya, namun Baginda ditertawakan kerana membawa berita yang bukan-bukan. lalu, terdapat golongan daripada kaum Musyrikin Makkah yang mencabar Rasulullah S.A.W agar baginda menceritakan bentuk Baitul Maqdis secara tepat dan terperinci jika benar baginda pergi ke sana dan bersembahyang di dalamnya. Sememangnya agak menjadi kesukaran bagi rasulullah S.A.W untuk menceritakannya kerana baginda tidaklah meneliti secara halus berapa tiang, pintu dan sebagainya, namun Allah S.W.T telah mengilhamkan bentuk Maitul Maqdis di hadapan baginda dan baginda dapat menceritakan bentuk Baitul Maqdis dengan tepat.

-Setelah itu, mereka pergi pula menceritakan berita tersebut kepada Saiyyidina Abu Bakar al-Siddiq dengan harapan agar beliau tidak mempercayainya dan terperanjat. Namun, Saiyydina Abu Bakar dengan tenang menjawab :

"Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad tentang perkara—perkara lain yang lebih dari itu".

-Pada subuh pagi hari Isra’ tersebut jibnil telah datang dan mengajar Nabi Muhammad S.A.W cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu sembahyang dan waktu-waktunya. Adapun sebelum diturunkan syariat sembahyang itu kepada Rasulullah S.A.W kepadanya, baginda telah sembahyang dua raka’at pagi dan dua raka’at petang. Segala—galanya adalah mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.

Fiqh Isra' wa Mikraj.

Melalui Isra' wa Mikraj, kita diajar supaya mempercayai dan beriman dengan Mukjizat sebagai bukti kehebatan dan keagungan Allah S.W.T. Kita mendapati, golongan orientalis seperti Gustov Lobon, Ojist Kont, Hume, Gold Ziher dan lain-lain lagi, telah berusaha untuk menyuburkan fahaman pembezaan Mukjizat dengan penghidupan Nabi S.A.W. Mereka juga turut berusaha menyuburkan pemikiran bahawa nabi S.A.W hanyalah sebagai manusia biasa yang hidupnya tiada punyai apa-apa keistimewaan. Hakikatnya, teori mereka ini jauh tersasar.

Antara ayat yang digunakan oleh merek untuk mengaburi pemikiran umat Islam adalah Firman Allah S.W.T di dalam Surah A1-An’am ayat 109 yang bermaksud:

“Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya perkara perkara mu’jizat itu berada di sisi Allah”.

Namun, Allah S.W.T telah menjadikan peristiwa besar ini sebagai satu jawapan yang terang terhadap kecelaruan yang telah dilakukan oleh mereka dengan mendustakan ayat Allah S.W.T.

Dalam kita mengungkap Kenabian dan kemukjizatan Nabi S.A.W, ianya tidak boleh disamakan dengan kepintaran, kecerdikan dan keperwiraan Nabi S.A.W kerana Kenabian dan sifat-sifat manusia yang ada pada baginda adalah dua perkara yang berbeza. Kenabian adalah satu hakikat yang tidak dapat disukat atau dipertimbangkan mengikut perasaan biasa manusia. Demikian juga mu’jizat, yang merupakan anugerah istimewa dan unggul kepada peribadi Muhammad S.A.W yang tidak boleh dilucutkan sebegitu sahaja. ianya tidak boleh ditimbang dengan akal kerana hakikat mu'jizat itu adalah menyalahi adat dan akal manusia biasa.

Namun, Inilah tujuan para Orientalis yang sangat besar kebencian mereka kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Mereka punyai matlamat yang sangat besar, iaitu untuk melucutkan sifat-sifat kenabian dengan memomokkan Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang yang pintar, cerdik,hebat dan mustahil ianya ada kaitan dengan kemu'jizatan.

Akhirnya, tujuan mereka yang terbesar darinya atau akibat akhirnya ialah mengingkari agama itu sendiri.

Antaranya, peristiwa di mana baginda S.A.W mengeluarkan air dari antara jari—jarinya yang mulia. Peristiwa ini telah diceritakan oleh Imam Bukhari di dalam kitab hadithnya di bawah tajuk ‘Air Sembahyang’, Imam Muslim pula mencatatkannya di dalam bab sifat, atau tingkah laku, Imam Malik meriwayatkannya di dalam kitabnya Al-Muwatta’ di bawah judul ‘Kebersihan’ dan dan para imam hadith terkemuka yang lain mengikut aliran masing-masing. Imam Al-Zarqani sendiri yang mengambil pandangan daripada Imam Al Qurtubi menceritakan dengan katanya:

‘Sesungguhnya pengaliran air antara jari—jari Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam
disebut beberapa kali di dalam beberapa tempat kejadian yang bersejarah, sirahnya mengikut berbagai aliran yang kesemuanya membawa kepada pengetahuan yang benar dan sahih terhadap peristiwa ini'.

Dan di antara yang lain pula ialah hadith pembelahan bulan di zaman Rasulullah iaitu ketika itu
puak musyrikin meminta baginda melakukan sedemikian. Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam kitab hadithnya di dalam fasal ‘Ahadithul Anbiya’ dan Imam Muslim di dalam fasal ‘Sifatul Qiyamah’. Begitu juga para ‘Ulama’ hadith yang lain. Ibnu Kathir R.A berkata:

‘.... tentang ini banyak hadith mutawattir dengan sandaran yang benar dan boleh dipercayai telah memperkatakan bahawa seluruh ‘ulama’ sepakat memperkatakan tentang peristiwa yang bersejarah ini berlakunya di zaman RasuluLlah, di mana ianya merupakan antara mu’jizat-mu’jizat yang teragung'.

Kaum Kuffar dan para orientalis berusaha menafikan kemu'jizatan yang benar ini dengan mencanangkan ianya berlaku adalah dengan sebab kepintaran dan kecerdikan Rasulullah S.A.W sendiri bukan dengan sebab Mu'jizat.Tujuan terbesar mereka adalah ingin meracuni pemikiran manusia bahawa Islam mengajar perkara yang bukan-bukan dan Tahyul dan akhirnya meninggalkan Agama yang Hanif ini..Alangkah sulitnya dan liciknya propaganda mereka!

2. Isra' Wa mikraj mengajar erti sunnah dalam berjuang:

Berlakunya peristiwa besar ini adalah rentetan daripada musibah yang telah menimpa baginda dalam siri dakwah baginda ke Thaif. ketika itu, baginda tidak mendapat layanan yang istimewa sebaliknya layanan yang diterima adalah herdikan dan lemparan batu. Namun, rasulullah S.A.W tidak membalasnya sedikitpun sehinggalah baginda ditawarkan oleh Malaikat Jibril untuk memberi pembalasan ke atas mereka. Namun , Rasulullah S.A.W menolaknya. Dalam suasana itu, Rasulullah S.A.W turut terfikir adakah ianya merupakan tanda kemarahan Allah S.W.T kepada baginda. Ianya termaktub di dalam doa pengaduan dan restu Baginda "Sekiranya ini tidak mendapat murka maka tidaklah hamba hiraukan” . Namun, Allah S.W.T menjadikan peristiwa ini untuk memberi ketenangan, kemuliaan kepada Rasulullah, menafikan kemarahan ALlah S.W.T terhadapa baginda S.A.W serta mengajar Rasulullah S.A.W bahawa setiap ujian yang berlaku itu adalah sebagai sunnatullah dan itulah sunnah di dalam Dakwah Islamiyyah.

Maka, melalui Fiqh Isra' Wa Mi'raj ini kita diajar agar sentiasa berlapang dada dan menganggap setiap ujian yang menimpa kita adalah sebagai cubaan Allah S.W.T serta sunnah dan dasar di dalam Dakwah Islamiyyah yang akan memberikan kekuatan kepada jatidiri umat Islam itu sendiri. Maka, usahlah kita berputus asa sekiranya dakwah kita ditentang dan ingatlah bahawa Nabi S.A.W telah melaluinya terlebih dahulu.

Bersambung dalam keluaran akan datang...








Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita