;

Rabu, Jun 16, 2010

Hukum Minum sesuatu yang ditulis dengan al-Quran


HUKUM MEMINUM SESUATU YANG TELAH DITULIS DENGAN AL-QURAN

Persoalan yang penulis kemukakan di atas mungkin menjadi pertanyaan sebahagian masyarakat kita di Malaysia khususnya dan di dunia umumnya. Terkadang ianya juga mungkin menjadi perdebatan dan pertengkaran kerana ada di sana golongan yang menganggapnya sebagai perbuatan bidaah dan sebagainya. Jelasnya, kita harus memahami persoalan sebegini ataupun persoalan-persoalan yang lain berkaitan al-Quran itu sendiri dengan kacamata Islam. Tiadalah kekuatan kita untuk memahaminya melainkan dengan ilmu yang telah Allah S.W.T kurniakan kepada Para Ulama’ terdahulu yang lebih dekat dan lebih teguh iman mereka kepada Allah S.W.T.

Persoalan di atas telah mengundang pelbagai pandangan para ulama’. Maka, terdapat dua pandangan ulama’ mengenai hukum meminum air yang telah ditulis dengan al-Quran.

Pandangan pertama:

Sesungguhnya meminum sesuatu yang ditulis dengan al-Quran adalah dilarang. Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh Imam ‘Izz Abd Salam (sila lihat kitab al-Burhan juz 1 m/s 105).

Ibrahim al-Nakhaie pula memakruhkannya . (sila lihat Musnaf Ibn Abi Syaibah Juz 5 m/s 40).

Pandangan kedua:

Sesungguhnya meminum sesuatu yang ditulis dengan al-Quran adalah harus hukumnya. Ia adalah pandangan keseluruhan salaf dan Ulama’. (lihat Zad al-Ma’ad Juz 3/326)

Diantara mereka yang berpandangan harus juga adalah Ibnu ‘Abbas R.A, Sa’id bin Al-Musayyab, Imam al-Auza’ie, Imam Ahmad bin hambal, Imam Ibnu al-Qayyim, daripada golongan Syafi’eyyah seperti; Al-Naihi (Imam Abdurrahman Ibn Abdullah bin Abdurrahman bin Hussin al-Syafie), Imam al-Rafie, dan lain-lain.

Tarjih Imam al-Zarkashi:

Al-Imam-Rahimahullah-berkata: Imam Izz bin Abd Salam memberi fatwa bahawa dilarang meminum sesuatu yang ditulis dengan ayat al-Quran , kerana terjadinya unsur percampuran dengan najis yang batin. Dan beliau memberi pandangan: larangan ini adalah pada keadaannya bukan pada hukumnya. Dan yang mengharuskannya adalah pemilik gelaran ‘Ummad al-Naihi (gelaran kepada Imam Abdurrahman Ibn Abdullah), merupakan anak murid kepada imam Al-Bughawi Rahimahullah.

Inilah Tarjih Imam al-Zarkashi yang mengikuti pandangan kedua, yang mana ianya telah disepakati oleh Para Salaf dan para Ulama’ keseluruhannya.

Dalil-dalil bagi setiap pandangan di atas:

Dalil bagi golongan yang melarang dan berbeza pandangan dengan Imam al-Zarkashi.

Bagi mereka, sesungguhnya al-Quran menjadikannya bercampur dengan najis yang batin, ini adalah merupakan satu bentuk penghinaan kepada Al-Quran.

Bagi golongan yang mengharuskan minum sesuatu yang ditulis dengan al-Quran pula seperti berikut:

Keumuman Ayat-ayat dan hadith-hadith yang menjadi dalil al-Quran adalah Syifaa’ (penyembuh) adalah;

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua “. (Surah al-Israa’ ayat 82)

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman”. (surah yunus ayat 57)

Seterusnya, Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“ Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) Dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatNya (dalam bahasa Yang Kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul Yang membawanya berbangsa Arab?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang Yang beriman…".(surah al-Fussilat ayat 44)

Begitu juga, terdapat hadith-hadith yang menyokong pengharusan ini, antaranya adalah:

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda:

عليكم بالشفاءين العسل والقرآن

Ke atas kamu dua penyembuh iaitu ‘Asal (madu) dan juga al-Quran”-Hadith riwayat Ibnu Majah.

Daripada ‘Ali R.A, beliau telah berkata; telah bersabda rasulullah S.A.W:

خير الدواء القرآن

“Sebaik-baik ubat itu adalah al-Quran”-hadith riwayat Ibnu Majah.

Maka ayat-ayat dan hadith-hadith di atas menjadi dalil di dalam keterangan agama agar melakukan pengubatan dengan al-Quran, dan lafaznya adalah bersifat umum, dan melalui asas inilah sebahagian ulama’ mengistinbatkan bahawa; “Sesungguhnya setiap wasilah (jalan) yang sampai kepadanya maksud pengubatan dengan al-Quran itu adalah tidak bercanggahan dengan Nas-nas yang Syarie dan harus untuk beramal dengannya”.(sila lihat ‘Al-Qaul al-Mufid ‘ala kitab al-Tauhid’ juz 1/232).

Daripada Ibnu ‘Abbas R.A, daripada nabi S.A.W baginda telah bersabda:

“Sekiranya seorang perempuan sukar untuk bersalin, maka ambil satu bekas yang bersih dan ditulis padanya (surah al-Ahqaf ayat 35), (surah al-Naaziat ayat 46), dan (surah Huud ayat 111)

Kemudian dimandikan dan dijiruskan ke atas perempuan tersebut dan dipancurkan ke atas badan dan kemaluannya.” –Hadith ini dikeluarkan oleh Ibnu al-Sunni, dan Ibnu Abi Syaibah di dalam musnafnya.


Ini adalah nas yang menunjukkan keharusan meminum sesuatu yang ditulis dengan al-Quran padanya.

Munaqasyah terhadap pandangan yang berbeza dengan Imam al-Zarkashi adalah seperti berikut:

1. Sesungguhnya najis yang batin itu adalah pada keadaannya bukan pada hukumnya (sila lihat ‘al-Burhan’ 2/105). Maka itu menafikan Syubhat yang menunjukkan penghinaan terhadap al-Quran.

2.Sesungguhnya meminum sesuatu yang ditulis dengan al-Quran tidak sampai kepada rongga dalaman badan , tetapi tulisan al-Quran tersebut akan hilang dan larut. Ini juga menafikan penghinaan terhadap al-Quran itu sendiri.(sila lihat ‘hasyiah al-Syarwaani ‘ala Tuhfah al-Minhaj’ Juz 1/156)

Kesimpulan:

Berdasarkan kepada dalil-dalil dan munaqasyah di atas, maka kita dapat mengambil pandangan yang Rajih (lebih sesuai) seperti berikut:

Harus meminum sesuatu yang ditulis dengan al-Quran berdasarkan kepada keumuman ayat-ayat seperti ayat Syifa’, dan hadith Ibnu ‘Abbas tentang bacaan/ayat-ayat untuk memudahkan bersalin , dan juga Lajnah al-Daaimah Lil Buhuth al-‘Ilmiyyah wal ifta’ memberi pandangan harus iaitu; “Penulisan sesuatu dengan al-Quran pada mentega atau kertas dan dan mandi serta minum dengannya adalah harus, berdasarkan keumuman ayat (surah al-isra' ayat 82).

Dan al-Quran itu adalah penyembuh bagi hati dan badan…(sila lihat ‘Fataawa al-lajnah al-Daiimah lil Buhuth al-‘Ilmiyyah wal Ifta’ , no Fatwa 143, 1/240)

Wallahu’alam…

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita