"Hijrah, Hakikat Amanah dan Cinta"
Penulis pada kali ini ingin mengajak para sahabat sekelian untuk berfikir sejenak dan meneliti satu tajuk yang begitu penting kepada kita semua selaku mahasiswa yang sedang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t., lebih-lebih lagi ilmu yang sedang kita tuntut ini adalah ilmu agama, yang menjadi kefadhuan buat semua umat Islam itu sendiri iaitu "Hijrah, hakikat Amanah dan Cinta"
Maka, kita harus meninggalkan persoalan di dalam benak kita, apakah aku telah benar-benar berhijrah?. Persoalan inilah yang akan mengungkapkan hakikat di sebalik apakah amanah yang dimaksudkan itu dan bagaimana sebenarnya tanda cinta kita kepada Allah s.w.t.
Hakikat Amanah.
Tatkala mengungkap bicara tentang amanah,ianya amat menggerunkan sesiapa jua. Ianya tidak lain adalah kerana beratnya amanah yang perlu ditanggung oleh manusia yang mukhallaf dan dibebani dengan bebanan hukum ke atas mereka.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan"
Hakikatnya, kesannya akan kembali kepada manusia sendiri jika mereka tidak mampu untuk mengotakan kesanggupan tersebut. Apatah yang akan mampu diucapkan di hadapan Allah s.w.t. jika ianya memang tidak mampu untuk dilaksanakan?
Hijrah membawa makna yang besar untuk dihayati oleh insan yang berakal. Kezaliman dan membuat perkara yang sia-sia yang menjadi tabiat manusia harus dimuhabah oleh manusia keseluruhannya kerana ia adalah tempelak yang sangat jelas dariapda Allah s.w.t..Ketiadaan hijrah pada masa ini membawa erti akan amanah yang lebih besar yang perlu diselesaikan perjalanannya oleh manusia.
Maka, siapakah yang akan mengemudi bahtera amanah tersebut?...jawapannya tetap ada pada kita selaku golongan yang bermulaazamah dengan ilmu.
Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Tidak ada hijrah selepas al-Fath (pembukaan kota makkah), tetapi yang ada hanyalah Jihad dan Niat"-Hadith Riwayat al-Bukhari.
Ibnu Qayyim al- Jauzi menyebutkan : "Penghubung di antara hijrah itu adalah niat dan jihad…"
Kita harus sedar bahawa kita tidak mungkin mampu untuk mengulangi penghijrahan sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum Muhajirin, namun hijrah yang boleh kita lakukan adalah dalam bentuk niat dan jihad kita sendiri.
Selaku golongan yang bertaamul dengan kalam Allah s.w.t. yang agung serta menuntut ilmu ikhlas keranaNya, dua perkara inilah yang menjadi amanah yang besar buat kita sebenarnya. Kita harus sedar tugas kita sebagai penuntut ilmu bukan hanya memenuhi kehidupan di atas muka bumi ini, tetapi lebih daripada itu ianya mengajar kita untuk matang menilai, berfikir, dan menghargai kehidupan dengan iman dan hati kita sendiri.
Seseorang yang sedar tentang hakikat amanah pastinya tidak akan sanggup untuk mengkhianati hijrah mereka sendiri setelah mereka meletakkan niat yang betul dan bersungguh-sungguh dalam berusaha untuk menegakkan Islam.
Kita sedih dengan keadaan sebahagian daripada golongan penuntut ilmu yang tidak sedar akan amanah yang mereka pikul. Mereka membenarkan dan menyakini akan peristiwa hijrah tersebut, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran daripadanya. Bahkan, ucapan hijrah itu hnya jadi siulan di mulut-mulut mereka, tetapi tidak masuk pun ke dalam hati nurani.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Saff ayat ke-3 yang bermaksud:
”Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya".
Saidina Umar al-Khattab pula menyatakan:
"Barangsiapa yang menempatkan dirinya di tempat yang boleh menimbulkan persangkaan, maka janganlah menyesal kalau orang menyangka buruk kepadanya."
Sesungguhnya amanah itu adalah segala bentuk ketaatan terhadap setiap perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Maka, itulah juga sebagai asas kepada sifat Taqwa seseorang Muslim itu sendiri.
Ulama menyebutkan bahawa Taqwa itu: "Mengikuti segala perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala laranganNya sama ada Zahir mahupun Batin"
Maka, beruntunglah bagi mereka yang mengambil pengajaran dan muhasabah daripada hijrah itu sendiri kerana mereka telah mengerti hakikat amanah tersebut.
Sabda rasulullah s.a.w.; "Tiada keimanan bagi yang tidak beramanah, dan tidak agama bagi yang tidak menunaikan janjinya"-Hadith riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Ibnu Hibban di dalam shahihnya.
Taat itu tanda Cinta
Kadang-kadang orang selalu memberi tafsiran yang salah terhadap makna cinta itu. Mereka hanya melihat cinta daripada sudut lahiriah (luaran) semata-mata tanpa melihatnya daripada kacamata hati dan iman. Sebab itulah ramai orang mudah kecundang dengan fantasi mereka terhadap cinta tersebut.
Cinta itu sebenarnya adalah satu bentuk kataatan kepada yang dicintai dan pastinya ianya adalah Allah s.w.t. dan rasul..Tidak ada ketaatan yang melebihi ketaatan kepada Allah s.w.t. dan juga rasul. Apabila manusia memesongkan hati mereka daripada taat kepada Allah s.w.t dan rasulullah s.a.w., maka mereka hanya membawa diri mereka ke lembah kebinasaan.
Kita sebagai mahasiswa Islam lebih-lebih lagi bagi yang bergelar hamalatul Quran,perlu sedar akan perkara ini. Hijrah tidak mengajar kita untuk berkorban kerana manusia, harta, pangkat dan sebagainya, tetapi hijrah mengajar kita erti untuk cinta dalam erti kata taat kepada perintah Allah s.w.t. dan rasulullah s.a.w. Kita pasti akan kecewa dan menyesal di akhirat kelak jika kita tidak mampu untuk memilih cinta yang sebenarnya.
Fudhail bin Iyad pernah ditanya: "Wahai ayah Ali,Bilakah seorang lelaki itu menjadi soleh?".
Maka beliau menjawab: "Apabila nasihat itu berada pada niatnya, dan takut (kepada Allah s.w.t.) itu berada pada hati, dan kebenaran itu berada pada lisannya dan amalan Soleh itu berada pada anggotanya".
Oleh kerana kita merupakan golongan yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. dengan kemuliaan Islam dan juga al-Quran, maka kita perlu mengambil peluang yang sebaiknya untuk menterjemahkan isi kandungan al-Quran melalui contoh yang terbaik kepada masyarakat. Tiada alasan untuk kita mengatatakan bahawa kita tidak mampu kerana hakikatnya, kita juga sedang berhijrah daripada keburukan, kelemahan , dan kekurangan kita, kepada kebaikan, ketaatan dan kekuatan melalui cinta yang mendalam kepada Allah s.w.t. dan rasulullah s.a.w. Mungkin sebahagian orang pastinya memandang sinis kepada sahabat-sahabat kita yang ingin berubah untuk menjadi baik, tetapi hakikatnya golongan yang telah dipandang sinis itulah golongan yang mengikuti jalan kebenaran sebagaimana yang telah dirintis oleh kaum Muhajirin melalui hijrah mereka. Ambillah motivasi daripada ungkapan ini :
"Perbaiki diri kamu dan berdakwahlah kepada orang lain”
"اصلاح نفسك وادعوا غيرك"
Kesimpulannya, melalui tarbiah Hijrah itu sendiri, marilah kita sama mentajdidkan niat kita, dan memperkuatkan amal kita di dalam beramal dan berjihad kerana kita sentiasa sedar bahawa Islam tidak pernah memerlukan kita, tetapi hakikat yang pasti adalah kita jualah yang memerlukan Islam itu sendiri. Jika kita lalai dan leka, kita pasti akan hanyut di dalam lautan fatamorgana dunia dan akhirnya tertinggal jauh di belakang.
Salam Juang, selamat berhijrah!.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan