;

Rabu, Disember 02, 2009

Neraka Untuk Si Angkuh, Syurga Untuk Si Miskin..

 

chutes_019 Assalamualaikum dan salam juang buat semua teman yang sentiasa segar jiwanya untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t., semoga kalian semua tetap berada di dalam keadaan yang sihat di samping mendapat Hidayah dan Taufiq Allah s.w.t.

Seketika, selepas menunaikan solat subuh di masjid berhampiran, penulis terpanggil untuk menghadap laptop yang berada di tepi katil. Pagi-pagi begini, eloklah diisi dengan perkara  yang bermanafaat seperti membaca al-Quran, menghafal madah-madah yang dipelajari di sekolah, universiti mahupun di mana-mana, dan bagi mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, tentulah akan bersiap-siap untuk keluar bekerja.

Selamat menghadapi peperiksaan bagi teman-teman yang akan mengahadapi peperiksaan di bumi Anbiya’ ini tidak lama lagi. Semoga diberikan kejayaan oleh Allah s.w.t. insyaAllah.

Nabi s.a.w. amat menghargai waktu pagi sebagai waktu untuk mencari rezeki. Selepas subuh,pintu rezeki dibuka oleh Allah s.w.t. Jika waktu pagi ini diisi dengan aktiviti tidur sahaja, pastinya akan merugikan si empunya diri sahaja.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, rahmatilah umatku pada pagi-pagi hari begini”

Tajuk di atas sesuai untuk kita jadikan sebagai muhasabah dan motivasi bersama. Oleh kerana jiwa manusia mudah lalai dan leka dengan fatamorgana  dunia, sesekali kita harus memberi masa untuk merenung dan muhasabah diri kita tentang  apakah tugas kita sebagai hamba Allah s.w.t. di muka bumi, dan kemanakah hala tuju kita nanti?

Apa yang pasti, destinasi kita hanyalah dua…sama ada ke neraka atau syurga. Ianya telah diketahui dan diimani oleh kita semua, hanya tinggal diri kita sahaja untuk memilih tempat tinggal yang terbaik di akhirat kelak.

Al-Quran sebagai panduan hidup manusia, mengajar manusia untuk mengambil pengajaran daripada setiap perkara yang telah,sedang dan akan berlaku. la-quran menterjemahkan lima perkara yang perlu difahami oleh manusia iaitu Doa, kisah umat terdahulu, persoalan dosa dan pahala, dan persoalan syurga dan neraka.

islam

Di dalam hadith riwayat al-Tirmidzhi, abu Nuaim, Imam Ahmad dan lain-lain, rasulullah s.a.w. telah bersabda:

 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الكيس من دان نفسه من عمل بما بعد الموت , والعاجز من أتبع هواه نفسها وأتمني الله ألأماني

Sabda rasulullah s.a.w.: “orang yang cerdik itu adalah mereka yang menjaga diri mereka dan orang yang mempersiapkan amal untuk hari kebangkitan, dan orang yang lemah itu adalah orang yang mengikuti nafsu mereka tetapi mengharapkan syurga Allah s.w.t.”

Adalah sangat nampak lemah dan jahil manusia yang mengaku beriman, inginkan syurga di hari pembalasan tetapi dalam masa yang sama tidak langsung menunaikan perintah Allah s.w.t malah senang dengan keburukan yang dizahirkan hadapan manusia yang ramai.

Golongan sebegini tidak akan mendapat kejayaan di dunia mahupun di akhirat.

Ibnu ‘Atha’Illah al-Skandari telah menyebut di dalam Hikamnya:

“من علامات النجاح في النهايات , الرجوج الى الله في البدايات , أشرقت البدايات , أشرقت النهايات”

Di antara tanda-tanda kejayaan di akhir itu, adalah kembali kepada Allah s.w.t.di awalnya, bersinarnya pada permulaan, adalah tanda bersinarnya pada pangakhiran.

kata-hikmah-51

Sesungguhnya, neraka dan syurga adalah merupakan makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang ditugaskan sebagai tempat tinggal untuk dua golongan manusia. Golongan yang ingkar dan golongan yang taat kepada Allah s.w.t.

Dalam hal ini, al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa dia telah berkata: Telah bersabda rasulullah s.a.w.":

احتيجت الجنة والنار فقالت هذه : يدخلني الجبارون والمتكبرون , وقالت هذه : يدخلني الضعفاء والمساكين , فقال الله لهذه : أنت عذابي أعذب بك من اشاء , وقال لهذه : أنت رحمتي أرحم بك من أشاء , ولكل واحدة منكما ملوءها

“Syurga dan neraka itu berhajat kepada penghuninya, maka ia (neraka) berkata untuk ini: Akan masuk ke dalamku golongan yang angkuh dan sombong, dan berkata (syurga) untuk ini; Akan masuk ke dalamku golongan yang lemah dan miskin, dan berkata Allah s.w.t. untuk ini; Kamu adalah azabKu dan Aku akan mengazab sesiapa jua yang Aku kehendaki, dan Ia berkata untuk ini (syurga): Kamu adalah rahmatKu, dan Aku akan merahmati sesiapa jua yang aku kehendaki, dan setiap satu akan dipenuhi”.-Hadith hasan Shohih, dikeluarkan oleh al-Bukhari dan al-Tirmidzhi.

Telah berkata al-Hakim bin Abdullah di dalam ilmu Ulum al-Hadith: “Telah ditanya Muhammad bin Khuzaimah mengenai perkataan rasulullah s.a.w. : ((Berhajat neraka dan syurga, maka berkata ia untuk ini: Akan memasukiku orang yang lemah…)) siapa orang yang lemah itu? Maka beliau berkata bahawa mereka adalah orang yang berlepas dirinya dirinya daripada kekuatan dan tempoh masa, yakni contohnya pada hari yang kedua puluh sekali atau pada hari yang lima puluh sekali.

Maka, Imam al-Qurthubi di dalam kitab “التذكرة” menyebut :Contoh seperti ini tidaklah dikatakan  dalam sudut pandangan atau logik akal, tetapi ianya adalah Marfuq , Wallahu a’lam”.

Adapun orang-orang yang miskin itu adalah golongan yang tawadhuk (merendah diri) dan mereka adalah sebagaimana yang disebutkan di dalam sabdaan nabi s.a.w. :

“أللهم أحييني مسكينا , وأمتني مسكينا , واحشرني في زمرة المساكين”

Ya Allah ya tuhanku, hidupkanlah aku sebagai orang yang miskin, dan matikanlah aku sebagai orang miskin, dan kumpulkan daku bersama orang-orang yang miskin”.

berdoa

Apabila nabi s.a.w. sebagai seorang kekasih Allah s.w.t yang mendapat tempat dan Maqam tertinggi melebihi para nabi dan malaikat itupun berdoa untuk menjadi manusia yang miskin dan merendah diri  berdoa sebegitu, maka jelaslah terpancar keikhlasan baginda untuk menegakkan Islam.

Kadang-kadang, dengan sebab pangkat, harta kekayaanlah menyebabkan hati manusia cepat leka dan lalai daripada jalan Allah s.w.t. Apalah yang ada pada dunia yang penuh penipuan ini hinggakan nabi s.a.w. memperingati para sahabat baginda ": “Kalaulah dunia ini mempunyai nilai sebelah dairpada sayap nyamuk, nescaya orang kafir tidak akan minum walaupun seteguk air”.

Kerana tiada nilailah , orang-orang yang tiada beriman kepada Allah mampu mendapat rezeki yang banyak di atas muka bumi ini. Jadi, apakah lagi yang dikejar sehingga mewujudkan perpecahan setelah sama-sama membenarkan dengan hati dan berikrar dengan lidah akan keesaan Allah s.w.t. dan kerasulan nabi Muhammad s.a.w.!

Kita boleh melihat dan menimbang sendiri, siapa yang betul-betul berjuang kerana agama-Nya. Kita harus sedar, jika orang-orang yang hanya berjuang untuk bangsanya , tanpa mengutamakan agama, pasti akan menemui kegagalan dan perpecahan yang berpanjangan kerana satu hakikat yang tidak boleh dielak adalah kita hidup berbilang bangsa di atas muka bumi. Jadi, mana mungkin bangsa mampu menyatukan bangsa.

Hanya Agama sahaja mampu menyatukan bangsa, kerana agama adalah merupakan rahmat dan Agama yakni Islam ini tidak pernah mengira bangsa, warna kulit, mahupun darjatnya. Itulah hebatnya Islam!

images

Untuk kekal hidup di dalam keadilan dan keamanan, perasaan cinta dunia, cinta pangkat mesti dicabut, umpama mencabut duri yang tercucuk ke dalam ibu jari. Jika tidak dicabut dan dibuang, pastinya akan bernanah dan semakin parah!

Berbahagialah siapa yang mengatakan:

اذا أردت شريف الناس كلهم               فانظر الى ملك في زي مسكين

ذاك عظمت في الله رغبته                    ذاك يصلح للدنيا وللدين

“Jika kamu mahukan kemuliaan manusia kesemuanya, maka kamu lihatlah apa yang dipunyai oleh orang yang miskin, itulah yang memuliakan kamu pada kehebatan Allah s.w.t., itulah yang membaiki dunia dan Agama”.

Di akhir tulisan sederhana ini, penulis ingin mengajak kita semua untuk menyedari hakikat bahawa syurga dan neraka berkehandakkan kepada penghuninya, Jika kita inginkan syurga, maka jauhilah daripada sukakan dunia, pangkat, harta dan sombong tetapi sebaliknya lakukan ia jika kita memilih neraka sebagai tempat tinggal di akhirat kelak.

قال ابن مسعود رضي الله عنه : حفت الجنة بالمكاره , والنار حفت بالشهوات , فمن أطلع الحجاب فقد واقع ما وراءه , كل من تصورها من خارج فقد ضل عن معنى الحديث وعن حقيقة ألحال

Ibnu Mas’ud berkata: “Terhalang syurga itu dengan kesusahan, dan neraka itu terhalang dengan Syahwat, maka barangsiapa yang mengangkat hijab maka ianya (syurga dan neraka) berada di belakangnya, setiap orang yang mengambarkannya daripada luar sahaja (tanpa menyingkap tabir) maka akan merosakkan makna hadith dan hakikat keadaan sebenar”.

Singkaplah tabir kesusahan, pasti kamu akan melihat syurga di sebaliknya, tetapi jika kamu singkap tabir Syahwat dan nafsumu, nescaya kamu akan lihat neraka di sebaliknya”.

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita