;

Selasa, Jun 30, 2009

Hak-hak Asasi manusia menurut Fiqh Aulawiyyat


Penulis tertarik dengan persoalan mengenai hak asasi manusia yang dihantar melalui kiriman email yang singgah di email penulis. Ia menerangkan mengenai perbincangan salah seorang sahabat dengan juniornya yang mana juniornya telah meragui tentang konsep hak asasi amnusia adalah relevan dengan kehendak Islam itu sendiri. Penulis telah postkan tulisan ini melalui Email namun penulis masukkan juga di dalam blog ini untuk perkongsian kita bersama Insyaallah...

Sebenarnya, bagi penulis sendiri, sesiapa saja yang meragui soal hak asasi manusia adalah meragui fitrah manusia yang telah Allah kurniakan. Lihatlah dalam mana-mana Ensiklopedia yang menerangkan mengenai konsep Hak Asasi manusia, pastinya akan diterangkan di situ bahawa ia adalah merupakan keperluan manusia yang dianugerahkan dan berasal daripada Tuhan!

Sebenarnya persoalan hak-hak asasi manusia datang daripada barat serta tidak sah untuk digunakan dalam Islam adalah pemikiran yang perlu dibuang jauh-jauh kerana dibimbangi ianya mengandungi unsur-unsur sekularisme yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Penulis lebih setuju lagi sekiranya pemikiran ini hadir kerana beliau tidak menilai secara serius konsep hak dalam Islam daripada sudut Fiqh Aulawiyat itu sendiri.

Beberapa persoalan yang mungkin boleh penulis kaitkan disini adalah seperti amalan poligami contohnya,adakah ia berasal daripada Islam. Tidak! tetapi poligami adalah amalan yang telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi kerana di antara adat masyarakat Jahiliyah pada ketika itu boleh mempunyai Isteri dan perempuan lebih daripada seorang serta terpulang kepada kehendak mereka sendiri sendiri tetapi islam Hadir sebagai agama rahmat yang menyatukan dan memberikan keadilan kepada semua umat manusia dengan meletakkan had hanya kepada 4 orang sahaja untuk memelihara kemuliaan wanita itu sendiri.

Kenapa amalan yang bukan berasal daripada Islam ini diterima dan apakah alasannya hak-hak Asasi manusia tidak diterima!

Begitu juga persoalan golongan yang bukan Islam yang telah berkahwin. Tetapi apabila mereka telah memeluk Islam, mereka tidak perlu lagi untuk mengulangi upacara pernikahan mereka tersebut kerana Islam telah mengiktiraf mereka. Ini juga bukti keadilan Islam dan rahmat Islam itu sendiri.

Jika seseorang yang mengatakan bahawa segala perkara yang datangnya daripada bukan Islam tidak boleh diterima oleh agama Islam, maka kenapakah rasulullah S.A.W meminta kepada tawanan perang untuk mengajarkan ilmu-ilmu yang dikuasai mereka kepada anak-anak orang Islam hingga mereka boleh belajar dan pandai membaca, menulis dan sebagainya. Sepatutnya rasulullah S.a.w. adalah manusia yang lebih utama untuk menghalang perbuatan tersebut sekiranya ia bercanggah dengan amalan Islam itu sendiri!

Sebenarnya, perkara yang harus kita sama-sama ketahui adalah Islam telah mengatur asas-asas yang berkaitan dengan hak-hak manusia yang hidup di atas muka bumi ini dan ianya telah terkandung di dalam Maqasid Syar'iyyah yang membicarakan keperluan-keperluan manusia yang melengkapi kehidupan mereka di atas muka bumi ini.

Dr Majdi Hilali dalam kitabnya 'Min Fiqhil Aulawiyyat fil Islam" menyebutkan bahawa sesungguhnya Maqasid al-Syari'yyah al-Islamiah, juga sebagai matlamat daripadanya, adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia dan menjauhkan daripada kemudharatan diri mereka di dunia dan di akhirat serta menjamin kebahagiaan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Ini kerana jelas menunjukkan dakwah Islam itu sebagai rahmat untuk menyatukan manusia (rujuk surah al-Anbiya' ayat 108). Rujuk juga (Surah Yunus ayat 57).

Seterusnya, Syariah itu pula sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu al-Qayyim, adalah merupakan keadilan semuanya, Rahmat semuanya, kemaslahatan semuanya, dan Hikmah semuanya, maka setiap masalah yang keluar daripada batasan keadilan kepada kezaliman, batasan rahmat kepada sebaliknya, batasan kemaslahatan kepada Mafsadah, batasan hikmah kepada sia-sia, maka ia bukanlah termasuk dalam konsep al-Syariah itu sendiri. Sesungguhnya sesuatu yang termasuk dalam konsepnya adalah dengan Takwilan (penjelasan). Maka. Syariah itu adalah hubungan di antara keadilan Allah dengan hamba-Nya, antara rahmat-Nya dengan penciptaan-Nya, dan antara naungan-Nya dengan bumi-Nya... Sila rujuk ( I'laam al-Mauqii'in lil Ibni al-Qayyim 1/3)

Imam al-Syatibi R.A. pula berpandangan: Sesungguhnya Syariat itu diletakkan adalah kerana ia merupakan penjamin kepada Maslahah hamba sama ada bersifat segera atau tidak. Serta kami bersepakat pada perkara tersebut di atas huraian, kajian serta penilaian daripada al-Ahkam al-Syariah, maka kami mendapati sesungguhnya ia memang diletakkan untuk menjaga kemaslahatan Ummah. Sebagaimana firman Allah S.W.T. pada pengutusan para rasul ( sila rujuk surah al-Nisaa' ayat 165), dan (sila rujuk juga surah al-Anbiya' ayat 107).

Allah S.W.T juga menjelaskan beberapa ayat yang berkaitan pensyariatan dalam Islam:

Sebagaimana selepas ayat wudhuk pada pensyariatan rukhsah untuk bertayammum. Boleh rujuk ( surah al-Baqarah ayat 183).

Seterusnya berkaitan puasa pula (boleh rujuk surah al-Baqarah ayat 183).

Berkaitan solat (sila rujuk surah al-Ankabut ayat 45).

Berkaitan jihad (sila rujuk surah al-Hajj ayat 39)

Berkaitan Qisas ( sila rujuk surah al-Baqarah ayat 179)

Berkaitan penjelasan prinsip-prinsip ketuhanan (sila rujuk surah al-A'raaf ayat 172).

Penjelasan-penjelasan lanjut juga boleh diperolehi dengan merujuk kitab ( Nazhariyyah al-Dhoruriyyah al-Syar'iyyah) oleh Dr Wahbah al-Zuhaili.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan bahawa:

Sesiapa yang meneliti al-Syariah daripada sudut perbahasan dan sumbernya maka mereka akan mendapati ia adalah bersifat tetap sebagaimana firman Allah S.W.T (sila rujuk surah al-Baqarah daripada ayat 183) dan (sila rujuk surah al-Maiidah ayat 3).

Maka, setiap apa yang menjadi keperluan dan hak-hak manusia dalam kehidupan mereka, dan bukan sebabnya adalah maksiat- seperti meninggalkan kewajipan dan perbuatan yang diharamkan-maka tidaklah diharamkan ke atas mereka mereka pada maksud yang dipaksa yang mana mereka bukanlah pelampau dan bukan musuh.(sila rujuk Majmu' al-Fatawa lil Ibni Taimiyyah 3/293)

Secara tamhidi di atas, sudah jelas bahawa Islam begitu menitikberatkan soal hak dalam Islam sama ada kepada individu dan masyarakat dan hak -hak ini tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya sebagaimana yang dijelaskan mengenai hak-hak asasi manusia yang terkandung dalam Maqasid al-Syari'yyah sendiri. Maka, dengan jelas jika keadilan tidak diberikan kepada Hak-Hak Asasi manusia itu maka telah terkeluar daripada konsep al-Syariah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu al-Qayyim!

Kemaslahatan Ummah atau Hamba terbahagi kepada tiga Maratib atau tingkatan-tingkatan yang berbeza mengikut keperluan dan kepentingannya.Tingkatan kemaslahatan Ummah ini dsusun oleh Ulama'-ulama' kita sebagai al-Dhoruriyyat (asasi), Hajiat ( keinginan atau kehendak ), Tahsiniat ( kebaikan ).

AL-DHORURIYYAT

Al-Dhoruriyyat adalah keperluan-keperluan manusia yang bersifat asasi serta manusia tidak akan mampu untuk menjalani kehidupannya tanpanya. Keperluan secara Dhoruri inilah yang menjamin kelangsungan kehidupan manusia serta ia turut termasuk dalam konsep rukun-rukun Islam Islam yang lima seperti shahadah,solat, puasa ,zakat, dan Haji. Ia merupakan ketentuan yang tidak boleh diubah serta bersifat tetap.Maka ianya turut termasuk dalam persoalan yang berkaitan pembalasan untuk orang yang membunuh: samaada al-Qisas atau al-i'daam (perlaksanaan hukuman mati).

Seterusnya, akal yang mana dengannya manusia boleh menilai sesuatu yang baik dan juga buruk. Maka, untuk menjaganya disyariatkan pengharaman seperti meminum Khamar dan memakan racun. Sesungguhnya akal itu adalah sumber kebaikan dan manafaat untuk ummah.

Nasab keturunan juga merupakan keperluan yang bersifat Dhoruri. Maka, untuk menjaga keperluan ini telah ditetapkan perturan dan had zina dengan 100 sebatan untuk yang belum berkahwin, dan rejam untuk yang telah berkahwin, serta hukuman Qazaf bagi yang berbuat kejahatan dengan 80 sebatan, kerana keharmonian nasab keturunan dan penjagaan kemuliaan menjadikan Masyarakat teguh dan kuat dan tidak akan berlaku fitnah dan kerosakan dalam masyarakat.

Harta pula menjadi keperluan yang asasi bagi manusia untuk bermuamalat dan mencari rezeki dalam kehidupan seharian. Jadi, untuk menjaga keperluan ini, hukuman potong tangan bagi pencuri telah disyariatkan oleh Allah S.W.T. dengan syarat-syarat tertentu, serta diharamkan pengamalan riba'. Sesungguhnya harta adalah asas kehidupan dan simbol kekuatan untuk manusia.

AL-HAJIAT

Al-Hajiat pula dikehendaki oleh manusia untuk menghilangkan kesempitan dan kesusahan.Namun begitu, ianya tidaklah dikehendaki oleh manusia sebagaimana keperluan Dhoruri tetapi ianya lebih kepada kemudahan dalam sesuatu urusan yang berkaitan dengan Tasyrii' al-Islami. Secara Umum, ianya terkandung dalam dua keadaan iaitu yang berkaitan dengan agama atau ibadat dan yang keduanya adalah diri sendiri.

Al-Hajiat yang berkaitan dengan Agama adalah seperti keringanan dalam syariat untuk menuturkan kalimah kufur di saat keterpaksaan yang begitu menghimpit, dan keharusan zakat fitrah kepada orang orang yang sakit dan bermusafir, keharusan untuk mengqasarkan solat yang 4 rakaat ketika bermusafir, tidak wajib bersolat bagi wanita yang haid dan nifas,dan harus menyapu di atas Khuf ketika perjalanan atau permusafiran.

Al-Hajiat yang berkaitan dengan diri pula ataupun adat kebiasaan bagi manusia adalah: Harus menikmati segala makanan yang lazat dan sedap, tetapi daripada sudut hukuman terdapat had bagi perkara-perkara yang syubhat atau samar-samar. Walaupun begitu, terdapat juga Al-hajiat yang berkaitan dengan harta. Umpamanya, melaksanakan pembangunan dan kemajuan yang berkaitan dengan harta,penghasilannya, dan penjagaannya daripada susut dan berkurang, kerana harta adalah sumber kekuatan bagi setiap ummah dan seterusnya yang berkaitan dengan pemeliharaan nasab keturunan seperti pemberian mahar, kehadiran dua saksi yang hadir,menjauhkan masyarakat daripada masalah zina dan sebagainya.

AL-TAHSINIYYAT

Al-Tahsiniyyat adalah merupakan perkara yang lebih bersifat penyempurna dan pelengkap perkara Dhoruriyyat dan Hajiat sebagaimana di atas. Secara jelas, ianya merupakan perkara yang bersangkutan dengan soal akhlak dan sakhsiyyah sama ada bersangkutan dengan ibadat, muamalat, adat dan hukuman.

Pada Ibadat : Disyariatkan solat itu sebagai prinsip kebersihan ataupun penjagaan terhadap kebersihan, menutup aurat, serta mengambil perhiasan dan tempat-tempat yang baik.

Pada sudut mendirikan rumahtangga: Memilih calon suami atau isteri yang sepadan atau yang sekufu untuk mencantikkan lagi kehidupan berkeluarga serta menjaga adab dalam bermusyawarah di antara keduanya. Serta lain-lain lagi perkara yang berkaitan dengan pelengkap kepada syariat itu sendiri dan lain-lain lagi.

Penulis merasa agak pelik jika beliau tidak menemukan sebarang dalil yang bersangkutan dengan hak-hak asasi manusia itu sendiri. Bahkan banyak ayat atau dalil yang menyebutkan mengenai hak-hak ke atas Ummah itu sendiri.

Dr Abdullah nasih Ulwan dalam bukunya "Al-Islam Syariah al-Zaman wal al-Makaan" menulis bahawa di antara perkara yang khusus di dalam al-Syariah adalah timbangan di antara kemaslahatan individu dan masyarakat.

Menurut beliau, perkara ini adalah perkara-perkara lain yang jelas serta merupakan kewajipan dalam pensyariatan Islam sebagai tanda wujudnya penyelarasan dan jalin gabung di antara kehidupan individu dan kehidupan jemaah. Tasyri' Islami meyakini kewujudan alam semulajadi yang bersifat syakhsi kepada setiap individu, dan dimaksudkan sebagai tanggungjawab di hadapan Allah, dirinya dan masyarakat. Sila rujuk (surah al-Shaffat ayat 24), (surah al-Israa' ayat 36), (surah al-a'raaf ayat 6).

Maka, daripada apa yang tersebut di atas jugalah terbentuknya hak-hak asasi manusia seperti:

Hak untuk Hidup: Sila rujuk surah al-Baqarah ayat 179.

Hak untuk merdeka: Sila rujuk surah al- Baqarah ayat 256.

Hak untuk menuntut ilmu: Sila rujuk surah al-Zumar ayat 9.

Hak untuk memiliki: Sila rujuk surah al-Nur ayat 33.

Hak untuk kebersamaan: Sila rujuk surah al-hujurat ayat 13.

Hak untuk kemuliaan: Sila rujuk surah al-Hujurat ayat 11.

Semua ini adalah hak-hak asasi untuk setiap manusia. Maka, al-Tasyrii' (pensyariatan) tidak mengharuskan setiap makhluk yang wujud di atas muka bumi ini untuk mempermainkan, atau merendah-rendahkannya!!.

Tentang perkara yang bersangkutan dengan hidup berjemaah atau bermasyarakat pula: Maka Tasyrii' Islami menanam di dalam hati setiap individu dengan perasaan tanggungjawab terhadap jemaah, dan mengikat di antara setiap manusia pada lapangan kemasyarakatan, penjagaan pandangan umum, pengukuhan pembinaan daulah, dan menyeru kepada setiap individu di dalam masyarakat untuk memelihara amal kebajikan yang soleh, dan apa yang diyakini adalah seruan kepada setiap individu dengan tanggungjawab terhadap jemaah dan fungsi kemasyarakatan itu sendiri. (Sila rujuk surah al-Taubah ayat 17).

PERTEMBUNGAN DUA MAFSADAH MASLAHAH MENURUT PANDANGAN FIQH AL-AULAWIYYAT.

Kehidupan manusia sememangnya tidak boleh lari daripada maslahah-maslahah atau kebaikan-kebaikan yang pastinya bertembung dan bercanggahan antara satu sama lain. Adapun menurut kaedah Fiqh Aulawiyyat sendiri, sekiranya ada dua Maslahah yang bercanggahan di antara satu sama lain serta ianya pada martabat yang satu, tidak kiralah daripada sudut al-Dhoruriyyat, atau al-Hajiat atau al-Tahsiniyyat: Maka akan diutamakan perkara yang berkaitan menjaga agama daripada menjaga diri, ketika bercanggah, dan menjaga diri diutamakan daripada menjaga akal ketika bercanggah, dan diutamakan penjagaan nasab keturunan daripada penjagaan harta ketika bercanggah.

Contoh yang boleh kita kemukakan di sini adalah dalam konteks kita sebagai mahasiswa pada hari ini, adakah perlu kita untuk terlibat dan mengikuti perkembangan politik di negara kita tetapi dalam masa yang sama kita ada tugas untuk belajar? Bagi penulis, adalah wajar untuk kita sama-sama terlibat dan mengikuti perkembangan politik di negara kita walaupun kita masih belajar dan menuntut Ilmu tetapi menurut konsep agama dan politik sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali adalah "Al-Diin wal Daulah Tauamaan" iaitu "Al-Diin dan Negara (politik) itu adalah berkembar.

Begitu juga, Jihad itu wajib untuk tujuan menjaga agama dan apa yang membawa kepada kerosakan diri sendiri kerana sesungguhnya menjaga agama itu didahulukan daripada menjaga diri, dan diharuskan meminum khamar dalam keadaan yang terpaksa dan memudaratkan kerana penjagaan diri itu lebih diutamakan daripada penjagaan akal. Sekiranya, dengan asbab berpolitik itu mampu menjaga agama, maka kita harus mengutamakannya di samping tidak mengabaikan akademik kita sendiri!

Walaupun begitu, sekiranya berlaku dua kemaslahatan yang bercanggahan pada tempat yang satu, umpamanya dalam soal agama, atau diri sendiri atau akal, maka didahulukan maslahah Ammah daripada maslahah Khassah (khusus). Contohnya dalam peristiwa Khalifah Islam pertama, Abu Bakar al-Siddiq. Telah bersepakat para sahabat untuk menegah Saidina Abu Bakar daripada bekerja dan berniaga ketika menjadi Khalifah, serta dibayar gaji daripada Baitul Mal, sebagai mengutamakan Maslahah Ammah kerana melihat kepada kemaslahatan kaum Muslimin berbanding maslahah khusus iaitu perniagaan yang dikehendakinya dan pertukangan yang dipilihnya.

Sesungguhnya para Fuqaha' telah menetapkan bahawa sekiranya bercanggahan dua keburukan atau mafsadah, maka tidak perlu tidak adalah memilih dan melakukan salah satunya dan melakukan yang paling kecil mudaratnya daripada sudut terhindarnya mudarat yang lebih besar.( Sila rujuk Al-Asybaahu wa al-Nazhaairu lil Al-Suyuuthi : 95)

NECARA TIMBANGAN KETIKA PERCANGGAHAN MASLAHAH DENGAN MAFSADAH.

Sekiranya bercanggah maslahah dengan mafsadah maka tidak perlu tidak kita perlu melakukan mafsadah sekiranya kita mengambil maslahah dan hilangnya maslahah sekiranya menghindarkan mafsadah.

Lihat kepada ukuran atau mana yang lebih besar di antara keduanya, maka sekiranya mafsadah itu lebih besar daripada maslahah, maka kita perlu menghindarkan mafsadah dan kita tidak kisah sekiranya hilangnya maslahah.

Contohnya, sekiranya jika kita tidak terlibat dengan politik dan ia boleh memberikan keburukan atau mengandungi mafsadah yang besar, maka ia wajar dihindarkan iaitu kita perlu terlibat dengan politik dan kita tidak kisah jika ia akan menghilangkan sedikit Maslahah atau kebaikan kepada diri kita dan orang lain kerana timbangan Aulawiyat adalah untuk menghindarkan Mafsadah itu sendiri. (sila rujuk surah al-Baqarah daripada ayat 219) ( Sila rujuk al-Qawaaid al-Ahkaam 98/1)

Begitulah sebaliknya, jika mafsadah tersebut lebih kecil berbanding maslahah, maka kita akan melakukan mafsadah kerana untuk mengambil Maslahah dan beberapa contoh yang boleh penulis kemukakan di sini adalah :

-Melafazkan kalimah kufur adalah satu mafsadah yang diharamkan tetapi ia menjadi harus sekiranya hati yang dipaksa tetapi penuh dengan keimanan kerana menjaga diri itu menyempurnakan maslahah berbanding mafsadah dengan lafaz kalimah yang tidak diiktikadkan dengan hati.( Sila rujuk Al-Qawaaid Aal-Ahkam lil Imam al-Izzuddin Abdul al-Salam 102,103/1)

-Membunuh orang perempuan, orang gila dan kanak-kanak daripada golongan Kuffar adalah satu bentuk mafsadah tetapi menjadi harus apabila mereka bersembunyi di sebalik kekufuran mereka dan tidak akan mengaku melainkan dengan cara membunuh mereka..( Sila rujuk Al-Qawaaid Aal-Ahkam lil Imam al-Izzuddin Abdul al-Salam 102,103/1)

"Sesungguhnya pengkhususan jalan kepada sesuatu yang diharamkan itu adalah haram, dan pengkhususan jalan kepada perkara yang wajib itu adalah wajib"

"Sesungguhnya Mafsadah itu adalah terhalang, dan apa sahaja yang membawa kepadanya juga adalah terhalang,dan Maslahah itu adalah dituntut, dan apa yang membawa kepadanya adalah dituntut"
KESIMPULAN

Maka, setelah kita meneliti sedikit tasawwur melalui Fiqh Aulawiyat bagaimana Islam mengikiraf konsep hak-hak Asasi Manusia, maka Kerajaan yang ada pada hari ini lebih perlu menekankan perkara-perkara yang berkaitan dengan konsep ini. Umpamanya mengkaji ISA dengan lebih mendalam agar ianya selari dengan kehendak Islam.

Begitu juga para mahsiswa pada hari ini perlu lebih serius untuk sama-sama terlibat dan mengikuti perkembangan politik di Negara kita sendiri agar kelahrian kita juga akan mampu mengimbangi keadaan ataupun suasana politik yang tidak stabil sekarang ini.Jelasnya, para mahasiswa mempunyai peranan yang cukup penting dalam memastikan survival Negara mampu bergerak selaras kehendak Islam sendiri kerana hakikat yang pasti adalah golongan yang ada pada hari ini akan menggantikan kepimpinan pada masa akan datang!

Isnin, Jun 22, 2009

Kerajaan Perpaduan-Menolak fitnah


Pengumuman Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk menolak sebarang bentuk perbincangan yang berhubung dengan pembentukan Unity-Goverment atau kerajaan Perpaduan adalah satu keputusan yang amat bersifat wajar sekali.

Keputusan tersebut yang telah diumumkan oleh Dato' Seri Tuan Guru Presiden sendiri pastinya akan menjernihkan kembali fitnah-fitnah yang telah melanda barisan pakatan rakyat untuk untuk meneruskan agenda pembangunan rakyat berteraskan prinsip keadilan dan kesejahteraan sejagat.

Tatkal mendengar khabaran-khabaran angin yang berbentuk fitnah yang menyebabkan seolah-olah telah wujud dua puak dalam PAS sendiri iaitu puak Pro Muqabalah yang menyokong kerajaan Perpaduan dan Pro Edrogan yang tidak menyokong gagasan tersebut sememangnya menimbulkan ketidakselesaan kepada ahli-ahli yang telah dipahat keyakinan mereka dengan dasar dan prinsip perjuangan berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Namun, pengumuman ini sememangnya mampu untuk kembali menjernihkan keadaan serta menghalang daripada fitnah-fitnah yang sedang tidur dikejutkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

Bagi penulis, cukuplah kita menyakini serta menilai segala permasalahan yang berlaku san fitnah-fitnah yang menimpa Barisan Pakatan Rakyat dengan kacamata kefahaman dan kebenaran berdasarkan panduan Nur Wahyu Ilahi.Sesungguhnya selagi mana PAS mampu kekal dengan dasar perjuangan bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah, maka selagi itulah PAS akan terus kekal di atas muka bumi ini.

Akhirnya, semoga setiap jiwa yang Ikhlas dalam melaksanakan amanah membawa risalah Allah S.W.T di muka bumi ini akan sentiasa diberikan petunjuk Hidayah dan Taufiq daripada Allah S.W.T insyaallah.

Renungilah Kata-kata Saidina Ali K.W.J. yang bermaksud:

"Janganlah kamu menilai kebenaran itu dengan sebab seseorang individu, tetapi nilailah kebenaran itu dengan sebab ianya adalah sebuah kebenaran!"

Ahad, Jun 07, 2009

Bicara kepimpinan


Kepimpinan atau al-Qiyadah merupakan satu konsep yang sangat penting untuk dihayati dan diketahui oleh setiap manusia yang diberikan panduan iman dan akal oleh Allah S.W.T di atas muka bumi ini..Jelas, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana Allah S.W.T telah jadikan kita sebagai makhluk yang mendapat jolokan sebaik-baik ciptaan di atas muka bumi.

Cukuplah kita teliti pada akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah S.W.T, maka ianya sudah mampu membuktikan bahawa kita adalah sebaik-baik makluk ciptaan yang Allah S.W.T jadikan.

Firman Allah S.W.T secara jelas di dalam surah al-Tiin ayat 4 yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya" .
Secara fitrahnya, Allah S.W.T tidak pernah membiarkan umat manusia berada dalam keadaan yang boleh disebutkan oleh penulis sebagai hidup tanpa arah tujuan kerana itu hanya akan membinasakan kehidupan manusia itu sendiri..Tetapi lebih daripada itu, Allah S.W.T telah membekali kehidupan manusia di atas muka bumi ini dengan panduan atau perlembagaan hidup untuk memandu kehidupan manusia seluruhnya ke jalan yang benar dan mengikuti kehendak Allah S.W.T yang maha mengetahui segala-galanya.

Penulis ingin mengajak teman-teman sekelian merenung beberapa persoalan sebentar…siapakah yang paling mengetahui tentang kehidupan kita dan perkara yang kita inginkan dalam hidup ini? Dalam ertikata yang mudah keperluan hidup kita ini, siapakah yang paling mengetahui tentangnya?

Mungkin ada yang beranggapan bahawa ibu kita, atau mungkin ayah kita, atau mungkin keluarga kita, atau juga mungkin teman-teman kita yang berada bersama-sama kita pada setiap ketika…yang paling mengetahui tentang diri kita sendiri.

Penjelasan di atas memungkinkan kita mampu memberi jawapan yang pasti setelah kita faham konsep kehambaan sewaktu kita menjalani kehidupan di atas muka bumi ini.Ya…Allah S.W.T jualah jawapan yang paling tepat terhadap persoalan di atas.

Mari kita ambil sedikit perumpamaan. Jika kita makan sebiji kuih atau sekeping biskut yang sedap, adakah kita mampu mengetahui apakah ramuan yang digunakan untuk membuatnya.Tentulah si pembuat kuih atau biskut tersebut yang lebih mengetahui tentangnya..Begitu juga Allah S.W.T, tuhan yang telah mencipta manusia daripada tiada kepada ada, maka tentulah tidak syak lagi Allah S.W.T. yang paling mengetahui tentang kehidupan manusia seluruhnya.

Oleh kerana, Allah S.W.T yang mencipta kita untuk memakmurkan muka bumi ini.maka, Allah S.W.T maha mengetahui apakah keperluan yang terbaik untuk membantu manusia hidup secara bersistem...maka Allah S.W.T telah menyediakan manusia dengan al-Quran untuk menjadi panduan hidup di atas muka bumi ini.

Bagi sesetengah golongan manusia yang tidak diberi Hidayah mahupun Taufiq oleh Allah S.W.T, maka kehidupan mereka hanya berasaskan akal fikiran dan logik akal mereka semata-mata. Oleh sebab itu, banyak perkara yang akan menjerumuskan mereka ke lembah kebinasaan sendiri.

Allah S.W.T telah memperlihatkan sifat-sifat yang buruk pada dua ekor bintang yang haram bagi orang Islam iaitu Khinzir dan Anjing..Inilah hikmahnya mengapakah kedua-dua binatang ini daharamkan oleh Allah S.W.T umat Islam yang beriman. Penulis pernah mendengar kisah perjalanan Syeikh Muhammad Abduh ke Eropah pada zamannya serta ditanya oleh golongan-golongan kafir di sana mengapakah orang Islam tidak memakan Khinzir sedangkan menurut mereka, daging Khinzir adalah daging yang mempunyai rasa paling sedap di dunia…Kita mungkin boleh mengambil Ibrah atau pengajaran di sini dengan keumuman lafaz atau pengkhususan sebabnya. Syeikh Muhammad Abduh dengan kebijakan mantiqnya meminta diletakkan 2 ekor khinzir jantan dan seekor khinzir betina di dalam sebuah sangkar..Maka, apakah yang berlaku?

Jika kita memerhatikan binatang lain seperti ayam dan sebagainya pasti mempertahankan pasangannya jika ada yang ingin menganggu hingga kadangkala sanggup mengorbankan diri mereka sendiri..Namun sifat itu tidak ada pada Khinzir. bahkan mereka saling tolong-menolong untuk melaksanakan hubungan dengan Khinzir betina tadi.

Maka, lihatlah natijah yang berlaku terhadap fenomena seks bebas yang berleluasa di Eropah hinggakan satu ketika dahulu memunculkan bala yang sangat payah dan sukar diubati iaitu AIDS..Inilah punca apabila tiada panduan yang digunakan dalam kehidupan.

Begitu juga jika kita mengambil pengajaran daripada sudut umum lafaznya, kita akan melihat kebanyakan golongan paderi tidak berkahwin..Maka, apabila mereka bertanyakan kepada ulama’-ulama’ Islam bahawa daging Khinzir adalah yang paling sedap di dunia, maka dijawab oileh ulama’-ulama’ Islam dengan mantiq pemikiran yang cukup cantik iaitu, bukan daging Khinzir yang paling sedap di dunia, tetapi daging perempuanlah yang paling sedap di dunia . Ia bermaksud bahawa , Allah S.W.T telah menyediakan perkahwinan sebagai satu ibadah yang penuh kenikmatan untuk umat yang memahami Islam dan ajarannya yang syumul.

Inilah gunanya panduan iaitu Al-Quran dan al-Sunnah dan lihatlah bagaimana Allah S.W.T mengatur perjalanan hidup manusia dengan panduan hidup serta membandingkannya dengan segolongan manusia lagi yang tidak beriman untuk menjadi pengajaran dan Ibrah yang sangat berguna bagi seluruh umat manusia.

Pereumpamaan ini sangat jelas jika kita umpamakan seperti barang-barang keperluan atau kehendak yang kita beli dan gunakan…ambil saja contoh sebuah mesin basuh…jika tidak disediakan oleh pengeluar syarikat mesin masuh tersebut dengan manual user atau buku panduan penggunaannya, mana mungkin mesin tersebut boleh digunakan denagn baik, malah mungkin akan mengalami kerosakan lebih cepat daripada tempoh yang diberikan…mudah bukan?

Maka,Allah S.W.T yang maha mengetahui tentang hamba-Nya jugalah yang menyediakan bagi setiap umat manusia dengan seorang rasul yang menjadi penunjuk jalan atau pemudah cara bagi manusia untuk memahami isi kandungan yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah itu tadi…Mana mungkin kita akan bisa memahami dengan baik isi kandungan al-Quran itu tanpa seorang rasul pilihan Allah S.W.T daripada kalangan manusia yang juga memahami kehidupan manusia itu sendiri sendiri baik daripada sudut kehidupannya, pergaulannya, cara beribadahnya dan lain-lain. Itulah juga hikmahnya, mengapa seorang rasul itu tidak diangkat daripada kalangan Malaikat ataupun jin kerana mereka tidak memahami selok-belok kehiudupan manusia itu sendiri.

Secara jelas, rasul inilah sebagai pemimpin yang terbaik dalam memandu kehidupan manusia untuk hidup sebagai seorang Muslim sejati serta menjadikan taqwa sebagai pakaian yang terbaik dalam kehidupan.

Firman, Allah S.W.T dalam surah al-A’raf ayat yang ke-26 yang bermaksud:

“ Hai anak Adam (umat manusia), Sesungguhnya kami Telah menurunkan kepadamu Pakaian untuk menutup auratmu dan Pakaian indah untuk perhiasan. dan Pakaian takwa ( selalu bertakwa kepada Allah.) Itulah yang paling baik. yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, Mudah-mudahan mereka selalu ingat.”
Berbalik kepada soal kepimpinan yang penulis sebutkan di awal tulisan tadi, penulis berminat untuk mengungkapkan intisari ringkas sebagai tasawwur al-Qiyadah atau gambaran konsep kepimpinan melalui penjelasan Al-Fadhil Jamal Hasan Sa’ad Madiy dalam bukunya al-Qiuadah al-Muassirah ataupun Kepimpinan Islam yang berkesan dan berpengaruh.

Secara umun, beliau telah mengungkapkan dengan baik bahawa al-Qiyadah atau konsep kepimpinan adalah satu keperluan yang menjadi fitrah dalam kehidupan manusia.
Cuba kita membayangkan satu bentuk kehidupan yang tidak ada kepimpinan padanya,atau hanya hidup berpandukan hati maisng-masing tanpa ada satu panduan khusus. Tentunya akan pincang bukan,

Lihatlah bagaimana Saidina Umar al-Khattab mengungkapkan satu rangkaian kehidupan yang berkempimpinan sebagai rangkaian yang membentuk satu jamaah atau kelompok yang kuat dan teguh.

“Tiada Islam tanpa jamaah, Tiada jamaah tanpa al-Qiyadah atau kepimpinan, Dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan”

Inilah tiga asas penting yang digariskan oleh seorang khlifah atau juga seorang pemimpin yang melihat Ummah melalui kacamata sebuah kepimpinan Islam..Kita sepatutnya melahirkan rasa kagum dan takjub kepada Rasulullah S.A.W bagaiamana baginda memimpin Ummah hingga Islam bertapak dengan kuat di seluruh dunia. Jika rasulullah S.A.W berdakwah tanpa adanya prinsip pada zaman baginda, tentunya Islam yang ada pada hari ini juga tiada prinsip...Namun, baginda adalah rasulullah S.A.W, seorang kekasih Allah S.A.W yang penuh dengan sifat tegas, berprinsip dan amanah hingga diakui dan diiktiraf oleh lawan dan juga kawan..Prinsip yang ingin penulis maksudkan di sini adalah dasar perjuangan itu sendiri..Rasulullah S.A.W tidak pernah berjuang atas dasar pangkat, darjat, material, bangsa dan sebagainya..bahkan, baginda menerima amanah pemimpin tersebut dengan penuh rasa kehambaan dan ketaqwaan...Maka, daripada sinilah lahirnya prinsip, dan prinsip itu tidak sama sekali mempunyai kepentingan diri tetapi hanya untuk Islam sahaja.

Konsep kepimpinan yang baik serta mengikut acuan Islam sendiri telah dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang mulia.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Nahl ayat 36 yang bermaksud:

”Dan sungguhnya kami Telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut[Thaghut ialah syaitan dan apa saja yang disembah selain dari Allah s.w.t.] itu", Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang Telah pasti kesesatan baginya[Thaghut ialah syaitan dan apa saja yang disembah selain dari Allah s.w.t.] Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Allah S.W.T berfirman lagi di dalam surah surah al-Nisaa’ ayat 65 yang bermaksud:

”Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.

Secara jelas, konsep kepimpinan dalam Islam adalah berkisar kepada tugas dakwah rasul dalam menyampaikan risalah Islam serta berterusan umpama rantai-rantai yang bersambung hingga ke hari ini dan terus menggerakkan roda Islam itu saendiri.

Tugas dakwah itu juga bermula daripada pembinaan Fardu al-Muslim atau individu Muslim sebagaimana yang telah dilakukan oleh rasulullah S,A.W dalam membina sakhsiah dan peribadi para sahabat baginda. Seterusnya diikuti dengan Bait al- Muslim atau rumahtangga Islam yang akan memperkemaskan lagi tugas dakwah tersebut. Daripada Bait al-Muslim itu, maka lahirlah Mujtama’ al-Muslim atau masyarakat Muslim yang mana hidup berpandukan nilai-nilai dan asas-asas Islam yang kukuh..Setelah masyarakat Muslim itu wujud dan terbina dalam kehidupan, maka proses seterusnya adalah membina Daulah Islamiah atyau negara Islam yang sering diimpi-impikan oleh seluruh aktivis Islam di seluruh negara yang sedang bergiat aktif pada masa ini. Akhirnya, setelah Daulah Islamiah itu wujud, maka ianya akan merealisasikan semula sistem Khilafah yang pernah berkuasa pada zaman kegemilangan Islam satu ketika dahulu sebelum jatuh pada 1924 masihi yang lalu pada zaman Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Pentingnya al-Qiyadah ini adalah kerana ianya akan membina satu sistem yang mengurus kehidupan manusia secara terbaik. Bukan sahaja dalam organisasi yang besar seperti sesebuah negara dan sebagainya sahaja yang memerlukan al-Qiyadah, bahkan hendak keluar bermusafir sekalipun perlu mempraktikkan konsep kepimpinan ini.

Rasulullah S.A.W bersabda dalam sebuah hadith riawayat Abu Daud yang bermaksud:

”Jika tiga orang keluar dalam satu perjalanan, maka hendaklah mengangkat salah seorang daripadanya menjadi pemimpin”
Secara jelasnya, konsep al-Qiyadah ini sangat dipentingkan oleh Ulamak-ulamak Islam sendiri, bahkan mereka melihatnya sebagai satu komponen yang berkaitan dan saling melengkapi agama atau al-Diin itu sendiri.

Imam al-Ghazali sendiri menjelaskan sesungguhnya Agama dan polittik itu adalah dua elemen yang berkembar dan tidak boleh dipisahkan..

Dalam menjelaskan perkara ini lagi, Syeikh Jamal telah memetik kalam Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitab Siasah al-Syar’iah yang mana Ibnu Taimiyah menjelaskan bahawa:

”Wajib diketahui bahawa mentadbir perkara manusia termasuk kewajipan agama teragung, bahkan agama tidak bernilai tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan umat manusia hanya akan dicapai dengan sempurna melalui perkumpulan, kerana anatara satu sama lain saling memerlukan. Dan ketika berklumpul, mereka harus memliki pemimpin.”
Kepentingan inilah yang telah mengangkat kepimpinan sebagai sebuah konsep yang lahir dengan tema yang cukup relevan sejak zaman nabi Muhammad S.A.W. lagi..Sirah telah mengajar kita bahawa kewafatan rasulullah S.A.W terus disambut dengan perlantikan khalifah Islam yang baru sebagai tanda mengangkat konsep kepimpinan di temapat yang tinggi dalam Islam. Para sahabat mungkin boleh sahaja untuk menangguhkan hingga ke satu masa kerana masih lagi bersedih dengafn kewafatan baginda tetapi mereka tidak melakukannya.

Penulis sebenarnya tertarik bila mana Syeikh Jamal menyebutkan dua bentuk al-Qidayah yang boleh menjadi asas kepada sesuah kepimpinan itu sendiri iaitu al-Qiyadah al- Tarbawiyyah. Konsep kepimpinan ini lebih kepada pembentukan sakhsiah ataupun rohaniah seseorang pemimpin itu. Dengan program tarbiyyah yang berkesan, maka pemimpin yang akan lahir bukan sahaja berjiwa pengajar atau Muallim tetapi juga pendidik yang mendidik untuk mengenal Allah S.W.T. atau Murrabi. Inilah yang telah ditunjukkan oleh rasulullah S.A.W dalam kehidupan baginda sehari-harian sebagaimana kalam baginda yang mulia :

”Sesungguhnya Allahlah yang menjadikan adab bagiku, dan memperelokkan tingkah lakuku”.

Yang kedua adalah al-Qiyadah al-Muassirah. Maka, bertepatan juga dengan tajuk buku ini, sebuah kepimpinan yang berpengaruh serta berkesan mampu untuk memberikan satu natijah yang baik dengan sesebuah kepimpinan itu sendiri.

Satu ungkapan yang menarik berbunyi: ”Berkhutbah dan berbicaralah dengan manusia mengikut kadar fikiran dan akal mereka.”

Sesetengah orang telah meletakkan persepsi yang sedikit silap kepada sesebuah kepimpinan. Mereka menganggap, kepimpinan adalah wibawa, kekuasaan, perlu dituruti semua kata-katanya serta semua orang yang dipimpimnya tidak boleh menegur kesilapannya. Ini bukan nilaian yang tepat terhadap konsep kepimpinan itu sendiri. Lihat sahaja kepada ungkapan Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. ketika masna beliau menggantikan rasulullah S.A.W sebagai khalifah Islam yang pertama. Beliau menyatakan:

”Taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah S.W.T. dan jika aku tidak tidak mentaati Allah S.W.T., maka kalian tidak wajib mentaati dan mengikutiku.”

Perhatikan kejujuran dan keikhlasan seorang pemimpin yang hatinya telah menerima tarbiyyah Islam serta penuh dengan Ubudiyyah kepada Allah S.W.T. Beliau tidak sama sekali menjadikan kepimpinan sebagai satu bentuk kemuliaan bagi beliau bahkan sebagai satu bebanan atau Taklifan yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah kepada Allah S.W.T.

Bagaimana pada satu ketika telah datang seorang lelaki dalam keadaan gementar kepada Rasulullah S.A.W yang menjadi pemimpin, maka rasulullah S.A.W. telah bersabda kepada lelaki tersebut:

”Tenangkan dirimu! Kerana sesungguhnya aku bukan seorang raja, namun aku hanyalah seorang anak perempuan yang biasa memakan dendeng (daging kering)”

Alangkahnya indahnya jika konsep sebegini dipraktikkan oleh setiap pemimpin yang ada pada hari ini, nescaya keamanan dan kemakmuran akan terjalin dengan baik di atas muka bumi ini. Sebab itulah zaman yang paling baik sebagaimana yang dinyatakan oleh rasulullah S.A.W. adalah zaman baginda sendiri kerana berbanding pada zaman kita pada hari ini, pengamalan Islam lahir begitu teguh di kalangan para sahabat yang menerima tarbiyyah secara langsung daripada rasulullah S.A.W. dan rasulullah S.A.W. sendiri menerima tarbiyyah daripada Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

”Sebaik-baik kurun adalah kurunku. Kemudian apa yang selepas itu. Kemudian apa yang selepas itu.”
Maka, secara kesimpulannya, Para ulama’ telah meletakkan satu nilai yang tersendiri kepada kepimpinan itu bahawa kejayaan sesebuah kepimpinan adalah bergantung kepada kemampuan menimbulkan kesan dan pengaruh yang timbal balik di antara pemimpin dan pengikut. Inilah intisari yang terhasil melalui kepimpinan yang cemerlang. Oleh kerana al-Qiyadah berperanan besar untuk melaksanakan proses menegakkan Islam di atas muka bumi ini, dan menjalankan politik di atas muka bumi dengannya, maka ianya kembali kepada ungkapan Saidina Umar tadi bahawa kepimpinan yang bergerak di peringkat pemimpin itu sendiri serta peranan dalam bentuk ketaatan yang di mainkan oleh rakyat untuk menyokong kepimpinan tersebut akan menjadi tiang yang kukuh dan teguh untuk terus menyokong jemaah kaum Muslimin yang tertegak di atas muka bumi ini.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Imram ayat 104 yang bermaksud:

”Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[Ma'ruf: segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya.]; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Wallahua’lam..Sekian, Bebaskan dirimu daripada cengkaman nafsu!

Khamis, Jun 04, 2009

Pasca Muktamar PAS kali ke-55: Muhasabah dan Tajdid dalam membawa agenda perubahan Umat.

Setelah 58 tahun yang lahir sebagai sebuah parti yang dasarnya adalah untuk membawa agenda perubahan umat dan rakyat melalui teras al-quran dan al-Sunnah, pastinya telah banyak ranjau-ranjau yang dilalui. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan seseorang umurnya sedewasanya ini mungkin telahpun mempunyai anak cucu serta sarat dengan pengalaman di dada. Pastinya juga, umur sebegini akan menzahirkan urat-urat dan kedut-kedut yang sedikit timbul di muka sebagai tanda sudah lama hidup.

Umur yang sebegini pastinya boleh menzahirkan dua keadaan, sama ada baik dan buruk. Jika kita pernah mendengar sebelum ini, apakah hikmah para ulama’ menggalakkan untuk beramal dengan mana-mana amalan ibadah yang baik sekurang-kurangnya 40 hari. Begitu juga, ganjaran yang besar bagi mereka yang mampu untuk bersama Imam di saf hadapan serta Takbiratul Ulaselama 40 hari..Apakah hikmahnya?


Hikmahnya adalah Istiqamah dalam beramal. Kebiasaannya, jika kita mampu untuk istiqamah selama 40 hari dalam beramal, insyaallah kita akan
terus istiqamah dan berterusan dalam beramal dengan amalan-amalan Ibadah.

Walaupun penulis lahir di kalangan generasi muda yang masih sempat untuk merasai tarbiyah pendidikan Islam mutakhir ini serta tidak sempat merasai suasana sewaktu awal penubuhannya, namun penulis yakin dan percaya bahawa keyakinan dan kepercayaan terhadap PAS sendiri adalah bertitik daripada dasar yang dipegang serta mampu diorientasikan secara Istiqamah hingga ke hari ini...

Inilah beza yang sangat ketara di antara 2 buah parti yang memperjuangkan KEADILAN untuk rakyat di negara malaysia yang kita cintai. Iaitu dasar perjuangannya.

Penulis sendiri melihat daripada sudut dasar i
nilah antara perkara yang menjadi kayu ukut terhadap keteguhan sesebuah parti kerana sebagaimana yang penulis pernah coretkan dalam artikel sebelum ini, bahawa sekiranya survival islam diangkat sebagai tunjang kekuatan, pastinya akan terzahir keadilan terhadap rakyat. Di sini ukurannya.

Generasi hari ini adalah generasi yang lahir dalam
suasana puncak teknologi yang sedang pesat menjalar ke seluruh dunia..ruang yang sedang cuba dibuka oleh kemajuan dunia abad 24 hijrah ini telah melahirkan generasi yang cerdik dan intelek.Maka,secara langsung mahupun tidak langsung, di mana-mana sahaja, umat dan rakyat mampu memperolehi maklumat yang terkini berkaitan perkembangan politik semamsa baik di negara kita mahupun di peringkat antarabanngsa..

Pastinya, setelah 55 kali bermuktamar serta
membincangkan perkara-perkara yang menyentuh berkaitan asas pembentukan masyarakat baru, maka setiap perkara yang dilalui serta pengalaman yang dimiliki harus dinilai sebagai satu muhasabah yang berkesan untuk melahirkan tadjid dalam orientasi perjalanan sebuah parti yang lahir serta hidup dalam dua buah kehidupan iaitu dahulu dan sekarang. Penulis melihat, persoalan-persoalan asas yang timbul serta dinilai sebagai masalah oleh sesetengah ahli perlu diselesaikan secara bijak tanpa menggugat.Penulis lebih bersetuju sekiranya setiap masalah yang timbul dinilai sebagai simptom kepada masalah. Maka, ianya lebih mudah diselesaikan.

Tidak dinafikan, apabila PAS sendiri bergabung menjadi pakatan rakyat, masalah memang akan wujud baik di peringkat bawahan mahupun atasan, namun bagi penulis parti-parti yang lain harus akur kepada prinsip PAS sebagai sebuah parti telah lama bertapak di negara ini dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa parti-parti yang lain a
dalah ibarat anak..jadi, apakah seorang anak boleh untuk melawan perkataan ayahnya jika ayahnya itu betul..Malah, penulis sangat bersetuju sekali dengan ungkapan Tuan Guru bahawa parti yang tumbuh dan lahir bukan atas dasar Islam pasti akan jatuh dan runtuh jua.

Dalam soal kepimpinan sendiri, penulis berpandangan bahawa tiada masalah untuk mencalonkan diri sendiri jika memang benar mereka mempunyai kebolehan dalam sudut itu sebagaimana kisah nabi Yusuf A.S. yang meminta untuk menjalankan pemerintahan daripada Raja Mesir sendiri...Cumanya, penulis lebih merasakan kepentingan agar barisan Ulama’ diperhebatkan di peringkat kepimpinan..Ini kerana, dalam kond
usi hari ini, golongan yang bergelar ulama’ seperti Tuan Guru Mursyidul am dan presiden sendiri serta mereka-mereka di barisan kepimpinan Ulama’ tidak keterlalulan jika dikatakan mereka juga telah lahir sebagai seeorang professional kerana mampu memimpin sebuah organisasi, negeri dan sebagainya.Lihatlah sepertimana Almarhum Dato’ Hj Fadzil Noor...beliau yang menempatkan dirinya dalam arena dakwah serta berlatang-belakangkan pendidikan mampu juga muncul sebagai seorang professional di peringkat kepimpinan.
Apa yang penting, para aktivis dakwah yang sedang teguh berada bersama PAS, menjadi tangan dan kaki untuk menggerakkan seluruh jentera PAS harus terus teguh bersama prinsip dan dasar yang menjadi tunjang kekuatan PAS daripada dahulu hingga sekarang kerana jika kita goyah dengan prinsip,maka kita akan lemah dan hanyut serta hilang jatidiri.

Dalam melaksanakan agenda pembangunan umat
berteraskan panduan risalah nabi Muhammad S.A.W yang telah diwarisi dan diteruskan sejak 1400 tahun dahulu, formula yang terbaik adalah dengan mewujudkan satu ikatan yang jitu diantara seluruh ahli yang semakin ramai hari ini kerana inilah prinsip yang telah terjalin dalam Ikhwanul Muslimin pimpinan Hassan al-Banna satu ketika dahulu..Jika, prinsip ini diteruskan serta diperteguhkan, maka penulis beranggapan bahawa Pas akan mampu menyelesaikan kemelut yang melanda yang boleh menggugat perjalanan PAS sendiri untuk mengemudi bahtera barisan pakatan rakyat secara baik dan lancar.
Satu perkara yang mungkin boleh difikirkan bersama adalah Qudwah pemimpin itu sendiri..Ketika mana Saidina Abu bakar al-Siddiq datang berjumpa rasulullah SA.W., maka beliau berkata. :Aku adalah di antara salah salah seorang yang telah mengembara ke seluruh tanah Arab, tetapi aku tidak menjumpai seorang pun yang lebih baik Qudwah dan akhlaknya daripada tuan”..lihat, bagaimana pengikitrafan yang diberikan oleh seorang sahabat kepada Rasulullah S.A.W..Tentunya ia tidak hadir sendiri tetapi dengan bukti yang telah ditunjukkan oleh rasullullah S.A.W sebagai seorang pemimpin Islam yang agung.

Bagi penulis, antara dua bentuk kepimpinan yang boleh menjadi nilai penerapan yang baik adalah kepimpinan yang berbentuk Tarbawi yang bukan sahaja akan melahrikan seorang Muasllim tetapi juga seorang Murabbi sebagaimana ciri-ciri yang ada pada rasulullah S.A.W. Seterusnya, kiepimpinan yang berbentuk Muassyirah yang akan melahirkan seorang pemimpin yang mampu memberikan pengaruh kepada ahlinya.Jika proses ini dapat dicerna dengan baik oleh setiap pemimpin, maka sudah tentu tidak menjadi masalah bagi mereka untuk berinteraksi bersam ahli dengan baik.

Penulis amat mengharapkan agar muktamar yang berlangsung minggu ini di stadiun melawati Shah Alam, akan mampu menjadi medan terbaik untuk menghasilkan satu momentum yang berupa gelombang perubahan satelah melaui proses muhasabah dan tajdid..dengan perubahan-perubahan yang berlaku di peringkat kepimpinan bagi tahun 2009-2011 yang akan datang, rakyat akan melihat bagaimana saf-saf kepimpinan yang baru akan mampu meningkatkan lagi keupayaan Pas untuk terus teguh dengan prinsip serta mampu untuk melakukan anjakan dan perbubahan yang besar.

Akhrinya, penulis berdoa agar muktamar pada kali ini akan berjalan dengan baik dan lancar insyallah. Sekian....Membangun bersama Islam!

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita