;

Jumaat, Disember 31, 2010

"Sesungguhnya aku telah dimakan pada hari dimakan lembu jantan yang berwarna putih itu"

Di bawah ini penulis nukilkan sebuah kisah yang diterjemah daripada kisah asalnya di dalam bahasa arab untuk tatapan kita bersama:

Di dalam sebuah hutan yang tebal, hidup seekor singa dan tiga ekor lembu jantan. Masing-masing berwarna putih, hitam dan juga merah.

Ketiga-tiga ekor lembu jantan ini hidup bersatu-padu, saling tolong-menolong dan mempertahankan kesatuan di antara mereka.

Jika salah seeokor daripada mereka cuba untuk diancam oleh singa tersebut, maka semuanya bangkit untuk mempertahankan kumpulan mereka.

Beberapa percubaan telah cuba untuk dilakukan oleh singa tersebut,namun ianya sangat sukar dan mustahil.

Satu ketika, si singa tersebut mendapat satu helah.

Ia datang mendekati lembu merah dan hitam, lalu berkata kepada keduanya.

"Wahai sahabatku, warna kita tidaklah banyak bezanya, bahkan warnaku juga seperti warna kamu berdua. Namun, warna putih pada sahabat kita itu adalah terang, dan pastinya pemburu mudah nampak warna tersebut. Jika pemburu nampak, maka ia adalah perkara yang amat merbahaya bagi kita. Pada pandanganku, kamu berikanlah aku ruang untuk memakan lembu putih itu agar kita terus aman di sini".

Beberapa ketika lembu merah dan hitam berfikir, lalu mereka merasa ada kebenarannya kata-kata si singa tersebut.

Maka mereka pun berkata "Makanlah wahai singa". Lalu, tamatlah riwayat lembu jantan yang putih itu.

Setelah beberapa waktu berlalu, si singa datang lagi untuk menjalankan helahnya.

Ia mendekati lembu jantan yang berwarna merah lalu berkata, "Jika engkau melihat, warna kita tidaklah jauh bezanya, namun lembu jantan yang berwarna hitam itu sungguh berbeza warnanya, dan ini adalah amat merbahaya bagi kita. Jadi, pada pandanganku, eloklah kiranya engkau memberiku keizinan untuk aku memakannya demi kepentingan kita bersama".

Lembu jantan itu berfikir sejenak. Ia merasa ada benarnya saranan si singa tersebut, dan ia membenarkan singa itu untuk memakannya.

Sebaik sahaja tubuh si lembu jantan yang berwarna hitam itu dimakan oleh singa, lantas si singa berkata kepada lembu jantan yang berwarna merah itu sambil tersenyum, "Sesungguhnya sekarang ini engkau hanya berseorangan, maka tidak mustahil aku akan memakan engkau!"

Menggeletar lembu jantan itu. Ia memandang kiri dan kanan, hanya ia berseorangan sahaja berhadapan dengan singa yang sangat licik itu. Saat itulah ia teringat kembali kawan-kawannya, namun apakan daya, keadaannya sekarang seumpama peribahasa arab yang bermaksud "Aku telah dimakan pada waktu dimakan lembu jantan yang berwarna putih itu".

Dalam kisah yang sederhana ini, ianya cukup cantik untuk menggambarkan perlunya mempertahankan kesatuan dan permuafakatan yang dibina.

Jangan sesekali kita menjadi golongan duri dalam daging yang memecahkan kesatuan yang telah terbina, kerana ianya hanya akan membuka ruang kepada pihak musuh untuk memusnahkan kita. Bahkan,golongan yang menjadi perosak inilah yang telah memusnahkan kehidupan mereka sejak awal lagi.

Moga-moga kisah ini akan menjadi pengajaran bagi mereka yang berfikir. Ingatlah, musuh sentiasa ada di sekeliling kita. Perkukuhkan ukhuwwah, eratkan kesatuan dan saling-bantu membantu antara satu sama lain.

P/S: Selamat menjalani peperiksaan bagi seluruh mahasiswa/mahasiswi di Perlembahan Nil. Moga-moga kejayaan bersama antum dan antunna. Bittaufiq wannajah.

Sekian..

Ahad, Disember 26, 2010

Ilusi dunia


Terkadang kehidupan dunia ini hanyalah seumpama sebuah ilusi yang yang zahirnya kelihatan cantik, ajaib, menakjubkan dan ingin dimiliki, tapi hakikatnya ianya hanyalah sebuah ujian untu melihat tahap keimanan manusia itu sendiri.

Allah S.W.T tidaklah menciptakan dunia ini selain sebagai medan ujian untuk melihat adakah setiap manusia menepati konsep kehambaan dan 'Ubudiyyah yang sebenar terhadapa Allah S.W.T.

Mak, tapisan tersebut telah dilakukan dengan ujian-ujian di atas muka bumi ini untuk dipilih mereka yang betul-betul layak mendapat ganjaran tang terhebat dan terbesar daripada Allah S.W.T, iaitu melihat wajah Allah S.W.T yang Maha Agung, dan mendiami mahligai mewah iaitu syurga Allah S.W.T .

Tiadalah yang bermanafaat untuk menjadi bekalan menuju negeri akhirat yang abadi melainkan hati yang bersih dan betul-betul sempurna dibawa menghadap Allah S.W.T

Allah S.W.T berfirman :

"Satu hari yang mana tidak adalah manafaat sebarang harta dan anak lelaki, kecuali mereka yang datang kepada Allah S.W.T dengan hati yang bersih"

Sesungguhnya, tidak adalah apa-apa manafaat untuk dikejar dunia yang penuh fatamorgana ini.

Sebagaimana kisah Nabi Muhammad S.W.T, yang diriwayatkan ketika baginda bersama para sahabat lalu di sebuah tempat, dan kelihatan seorang pengembala kambing yang membuang bangkai kambingnya, maka rasulullah S.A.W bertanya kepada para sahabat baginda, "Pada pandangan kalian, apakah nilai kambing tersebut di sisi tuannya".

Maka dijawab oleh para sahabat, "Tentulah bangkai tersebut tidak ada nilai sedikitpun di sisi tuannya, kerana ianya telah dibuang oleh tuannya".

Maka baginda berkata kepada para sahabat, "Begitulah diibaratkan dunia di sisi Allah S.W.T. Sekiranya dunia ini punyai nilai walau sebelah sayap nyamuk, nescaya orang kafir tidak akan dapat minum walau seteguk air".

Alangkah beruntungnya umat islam, nilai yang diiktiraf di sisi Allah S.W.T hanyalah diberikan kepada umat Islam.

Walaupun manusia melihat golongan kafir mendapat kesenangan dan kemewahan di atas muka bumi, tetapi itu disebabkan tidak ada nilaipun di sisi Allah kehidupan mereka.

Namun, kehidupan yang bernilai adalah di akhirat kelak, yang mana hanyalah diberikan kepada uamat Islam sahaja. Maka, usahlah kita merasa ragu sedih dengan segala ujian yang menimpa kita sewaktu berkelananya kita di atas pelayaran di muak bumi ini.

Gambar-gambar di bawah ini adalah beberapa ilusi-ilusi mata yang terkadang pening untuk difikirkan. Sumber gambar ini adalah daripada www.malaysiasensasi.net




Gambar-gambar di atas kelihatan hidup dan bergerak-gerak serta menakjubkan, namun hakikatnya ianya hanyalah sebuah corak yang pegun dan tidak mengandungi apa-apa di dalamnya.

Itulah kaitan yang cuba penulis letakkan dalam posting yang sederhana pada kali ini.

Moga-moga setiap kejadian yang berlaku pada diri kita di sepanjang kehidupan ini memberikan satu nilai yang besar untuk menjadi Muslim yang terbaik serta mengikut jalan-jalan yang telah dilakukkan oleh Ulama'- ulama' yang sentiasa hidup hati mereka dengan perjuangan serta tidak mudah tertipu dengan dunia yang penuh dengan ilusi dan fatamorgana.

Wallahu'alam...

Sabtu, Disember 11, 2010

Hijrah: Menghayati Prinsip Percaya untuk Berjaya.

Sudah beberapa hari awal Muharram berlalu.

Ini bermakna umur kita pun sudah meningkat beberapa waktu.

Berlalunya 1431H pastinya menggamit seribu nostalgia yang telah terpatri menjadi ingatan memori kita.

Permesyuaratan yang berlaku di zaman Saidina Umar Al-Khattab R.A pada tahun ke 17 Hijrah yang memutuskan tarikh 1 Hijrah sebagai penentuan awal kalendar umat Islam mempunyai signifikannya tersendiri.

Ianya merupakan asas kepada perubahan yang besar yang disebutkan oleh Dr Mustafa Al-Sibaie sebagai bulan kemenangan bagi umat Islam.

Tanpa hijrah, manusia seluruhnya tidak mampu untuk menghayati konsep kesempurnaan dalam Islam dengan baik.

Islam sebagai Agama rahmat bagi sekalian alam amat menuntut umatnya agar lebih baik daripada hari ke hari.

Mana mungkin manusia mampu untuk menghayati konsep ini dengan baik sekiranya tidak mencerna konsep perubahan yang ditunjukkan dalam sirah Hijrah ini.

Berubah itu adalah untuk menghayati falsafah percaya untuk berjaya.

Keyakinan dan kepercayaan terhadap sesuatu perkara yang besar tentunya akan mengangkat motivasi diri untuk berusaha mencapai perkara tersebut.

Lihatlah bagaimana keadaan umat Islam di Mekkah ketika Pihak Quraisy mendapat tahu bahawa kekuatan umat Islam telah bertambah di Madinah.

Pihak Quraisy telah memulakan proses menghimpit umat islam dengan segala bentuk kekangan pemulauan, penyiksaan, penghinaan dan sebagainya yang sampai kepada kemuncak operasi pembunuhan Rasulullah S.A.W yang Dirancang oleh Abu Jahal dan sekutunya di Dar al-Nadwah.

Tekanan dan kekangan ini seterusnya diikuti dengan perintah daripada Allah S.W.T untuk berhijrah.

Secara signifikannya, Hijrah yang diperintahkan tersebut memberi makna agar umat Islam bergerak untuk membuat satu perubahan yang besar agar Islam mendapat manafaat dan natijah yang lebih besar daripada itu pada kemudiannya.

Jika tidak, pasti Allah S.W.T tidak akan memerintahkan untuk penghijrahan dilakukan dan pastinya segala proses penentangan semula terhadap puak Quraisy diselesaikan di Makkah.

Di sini konsep percaya untuk berjaya dicerna.

Dalam keadaan kaum Muhajirin terpaksa meninggalkan seluruh harta-benda dan anak-pinak terpaksa ditinggalkan di Makkah, pastinya timbul dalam benak hati mereka mampukah mereka melakukan perubahan tersebut yang sangat drastik dan besar.

Namun, persoalan demi persoalan tersebut membawa kepada kepercayaan terhadap satu perkara yang besar untuk menghasilkan natijah yang besar.

Akhirnya, natijah tersebut dicapai dengan terbinanya Negara Islam yang pertama di Madinah yang seterusnya membawa kepada tersebarnya islam di seluruh muka bumi sehingga hari ini.

Di dalam peperangan Ahzab contohnya, ketika mana umat Islam dihimpit dengan tekanan yang besar daripada pihak musuh yang bergabung, Rasulullah S.A.W datang memberi motivasi percaya untuk berjaya kepada tentera islam pada waktu tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W kepda mereka :

"Kota Konstantinopel pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya".

Janji yang telah dibuat oleh Rasulullah S.A.W itu adalah perkara yang sangat jauh dan sukar dicapai pada masa tersebut. Dalam keadaan umat islam masih tidak punyai negara sendiri dan Kota Konstantinopel merupakan kota yang terhebat dan terbesar di dunia pada masa tersebut, sudah tentu cabaran untuk mendapatkannya sangatlah berat, jauh, besar dan sukar.

Namun, rasulullah S.A.W memberi keyakinan yang penuh untuk menghayati kepercayaan dan keyainan seterusnya berusaha untuk mencapai kejayaan. Akhirnya, dengan keyakinan dan kepercayaan yang besar tersebut, apa yang dikatakan oleh Rasulullah S.A.W tersebut benar-benar berlaku.

Sekali lagi konsep percaya untuk berjaya diterapkan di dalam kisah Hijrah yang agung ini. Ketika mana seorang yahudi, Suraqah bin Malik bertemu dengan Rasulullah S.A.W, beliau berusaha untuk mengejarnya dengan pedang yang terhunus panjang dan tajam beserta kuda yang terhebat. namun, beliau bukan sahaja tidak mampu untuk menjamah batang tubuh rasulullah S.A.W, bahkan beliau rebah sebelum semapat mendekati Nabi S.A.W.

Tiga kali rebah di pertengahan menjadikan jiwa Suraqah yang asalnya berkobar-kobar pada awalnya turut rebah tidak bermaya. Beliau hanya mampu memanggil Rasulullah S.A.W dengan suara yang penuh kesayuan dan lemah.Tiada lagi derapan tapak kai kuda, tiada lagi suara gagah yang keluar dari mulut Suraqah, dan tiada lagi hunusan perang yang menjulang ke langit.

Rasulullah S.A.W datang menolong Suraqah dan berkata: "Hendakkah kamu jika aku hadiahkan kamu dengan Gelang Maharaja Kaisar? iaitu kamu hendaklah beriman kepada Allah S.W.T".

Jaminan yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W sungguh mengejutkan beliau. Beliau hanya terdiam dan kembali ke Makkah tanpa berkata apa-apa.

Namun, akhirnya apa yang dikatakan oleh nabi S.A.W itu benar-benar tejadi setelah beliau masuk Islam dan sama-sama berperang di zaman Saidina Umar Al-Khattab setelah Islam berjaya menakluk kota Rom dan Parsi. Gelang tersebut telah diberikan oleh Saidina Umar sendiri kepada beliau.

Lihat bagaimana nabi S.A.W memberikan keyakinan dan kepercayaan dengan perkara yang besar untuk mencapai kejayaan yang besar. Jika tidak, tentulah nabi S.A.W hanya akan menjanjikan sesuatu yang lebih dekat dan lebih mudah serta cepat untuk mendapatkannya.

Apa yang ingin dibawa oleh penulis khususnya kepda Mahasiswa dan mahasiswi yang sedang berada dalam fitrah Imtihan ini, agar kita mengahayati konsep Hijrah ini untuk mengaplikasikan "Percaya untuk berjaya" itu dengan sebaiknya.

Untuk mencapai kejayaan yang besar, tetapkan azam kita yang terbaik dan terbesar. Usahlah hanya berazam untuk mencapai natijah yang sekadarnya sahaja kerana kita pastinya akan berusaha dengan sekadarnya juga.

Namun, tetapkan azam dan niat untuk mendapat natijah yang terbaik, seterusnya dengan keyakinan dan kepercayaan tersebut akan membuahkan usaha yang terbaik untuk mencapainya.

Inilah yang telah diajar dan diimplimentasikan oleh rasulullah S.A.W melalui kisah hijrah yang penuh bermakna ini.

Di samping itu, janganlah lupa untuk menghayati dan mencerna konsep pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Saidina Abu bakar R.A. terhadap Rasululllah S.A.W, pengorbanan Abdullah bin Abu bakar sebagia penganalisis politik nabi S.A.W dan Asma' binti Abu Bakar, seorang serikandi berjiwa pejuang yang bertugasmembawa bekalan kepada rasulullah S.A.W dan Saidina Abu bakar Al-Siddiq R.A.

Begitu juga dengan pengorbanan Saidina Ali K.W.J kerana keberanian beliau untuk menggantikan tempat tidur Nabi S.A.W dan sifat amanah beliau memulangkan kembali barang-barang yang telah disimpan oleh golongan kafir Quraisy kepada nabi S.A.W.

Watak beramanah dengan prinsip yang telah ditunjukkan oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A juga turut memberi makna yang besar agar kita sebagai mahasiswa dan mahasiswa punyai jiwa yang sensetif dan cakna dengan isu yang melibatkan integriti dan hak mahasiswa itu sendiri.

Lihatlah bagaimana beliau dengan lantang mengistiharkan penghijrahan beliau kepada semua dengan pergi ke tengah-tengah kota Makkah dan berkata: "Barangsiapa yang ingin isteri-isterinya menjadi janda dan anak-anaknya menjadi yatim piatu, datanglah ke wadi ini esok untuk menghalang penghijrahan daku".

Namun, tiada seorangpun daripada kalangan kaum Quraisy yang datang untuk berhadapan dengan beliau.

Akhirnya, moga-moga ramuan yang telah dicerna melalui sirah yang agung ini akan memberi motivasi yang besar untuk melonjakkan paradigma kita seterusnya akan mampu untuk mencapai apa yang dihajatkan serta diimpikan seagai seorang mahasiswa islam.

Salam Imtihan 1432H.

Syeikh Muhd Mujahid in Sikh Nawawi,
Tahun 3, Takhassus Al-Quran Wal Qiraat,
Maahad Qiraat Shoubra, Kaherah, Mesir.








Kerjasama Erat Melancarkan Urusan Pengebumian

KAHERAH, 10 Dis - PMRAM mengucapkan sekalung penghargaan kepada ahli yang telah terlibat secara lansung dan tidak lansung dalam menguruskan jenazah Almahumah Adik Sofiyatul Ulya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Malaysia Haiyu asyir selepas selesai solat jenazah yang diimamkan sendiri oleh Tuan Presiden PMRAM Saudara Shahrizan Mohd Hazime dilakukan di dataran haiyu asyir.

Kelihatan kepimpinan Badan Pengurus dan Pimpinan PMRAM cawangan turut serta dalam urusan solat jenazah dan pengkebumian. Turut hadir juga Pegawai Kewangan Selangor Encik Daud mewakili pihak Pegawai Pelajar Selangor.

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM Saudara Mohd Farkhan Md Zain ketika ditemui menyebut, kerjasama yang pantas dari pihak pimpinan PMRAM Cawangan Tanta menyelesaikan urusan di sana banyak membantu untuk mempercepatkan pengkebumian. Satu surat kebenaran dari Kementerian Kesihatan Mesir Cawangan Tanta diperlukan untuk keizinan pengkebumian dilakukan di Mesir.

Tambahan beliau, apabila kes kematian berlaku, proses yang perlu dijalankan agak rumit kerana status kita sebagai rakyat asing yang memerlukan beberapa prosedur yang melibatkan pihak berwajib Mesir.

Penghargaan juga ditujukan buat pihak PMRAM Cawangan Terengganu dan Selangor yang sudi menyediakan sarapan kepada pengiring jenazah dari Tanta.

Seluruh yang terlibat diucapkan jutaan penghargaan samada terlibat secara lansung atau tidak langsung. Semoga kerjasama ini diteruskan demi melancarkan segala gerak kerja Islam kita sebagai Mahasiswa Islam.

Sumber: PMRAM

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita