;

Sabtu, September 25, 2010

4 Kewajipan Pemuda Islam.

Pemuda merupakan unsur penting dalam pembinaan ketamadunan sesebuah negara.

Ini disebabkan oleh pemuda amat memainkan peranan penting terhadap perkembangan Dakwah Islamiyyah itu sendiri.

Jiwa pemuda adalah jiwa yang disifatkan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai Matahari yang memancar terik di tengah hari. Cahaya yang terik itulah seumpama semangat yang dipunyai oleh golongan pemuda yang begitu berkobar-kobar dan hebat.

Golongan in idisebutkan juga sebagai golongan sedang membentuk paradigma dan identiti tersendiri setelah melalui fasa kanak-kanak yang hanya mampu melihat dan berfikir secara terhad.

Mereka ini sedang berada pada Marhalah memberi ( العطاء ), memakaikan ( البذل ) dan marhalah kekuatan( القوة ) yang amat sesuai untuk membawa obor Islam itu sendiri.

Hakikat yang perlu diketahui oleh para pemuda hari ini adalah mereka merupakan generasi Syabab Muslim yang amat dinantikan untuk membawa perubahan yang besar ke dalam masyarakat bagi memerangi kejahilan umat yang sedang hebat melanda masyarakat pada ketika ini.

Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan 4 kewajipan dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh generasi pemuda agar mereka memahami tujuan dan hadaf jiwa-jiwa mereka dibentuk dan dididik oleh Acuan Islam.

1. واجب الفهم الصحيح للإسلام

- Kewajipan pertama dan asas yang perlu ada pada jiwa pemuda atau syabab adalah kefahaman yang shahih dan betul tentang Islam. Kefahaman yang betul tentang Islam amat penting untuk mereka mengetahui cara yang terbaik untuk memerangi dan memadamkan api kejahilan di dalam umat Islam. Bahkan , Dr Yusuf al-Qardhawi sendiri menyatakan bahawa sekarang adalah satu zaman yang disebut sebagai zaman 'Ideologi'. Masing-masing dengan identiti dan ideologi yang dibawa agar masyarakat menyedari dan menyambut kehadiran mereka. Namun, malangnya sebahagian Ideologi dan pemikiran ini ditolak oleh Islam sendiri kerana mereka telah memandu umat kepada kefahaman yang serong dan tersasar di dalam memahami Islam yang syumul seperti sekularisme, pluralisme, Nasionalisme, Komunisme dan sebagainya. Maka, asas penting di sebalik perlunya kefahaman yang betul itu berfungsi agar prinsip menegakkan Islam di atas runtuhan Jahiliyyah atau apa yang disebut sebagai الإنقلبية mampu dicapai.

2. واجب العمل بالإسلام

-Kewajipan kedua pula yang perlu ada pada jiwa setiap pemuda setelah mereka memahami Islam dengan kefahaman yang betul adalah kewajipan beramal itu sendiri.

Sememangnya Islam yang dikehendaki oleh dakwah Islamiyyah itu sendiri adalah Islam yang membawa mesej Amal dan Dakwah. Tidak boleh seseorang individu Muslim yang mengaku beriman itu hanya mencukupkan diri mereka dengan mendapatkan ilmu semata-mata tanpa dibuahkan dengan amalan yang mampu untuk membina perubahan ke dalam masyarakat. Dr Yusuf al-Qardhawi sendiri menegaskan bahawa Islam yang dikehendaki oleh kita bukanlah Islam yang hanya membuahkan kata-kata dan perdebatan semata-mata tetapi Islam yang dikehndaki oleh kita adalah Islam yang membuahkan amal itu sendiri.

Inilah oreintasi yang telah dibawa oleh pejuang-pejuang Islam yang terdahulu kerana kehebatan mereka beramal dengan kefahaman Islam. Kata-kata Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah amat sesuai untuk membina semangat kita apabila beliau pernah menyatakan "Jika aku dipenjara, maka aku boleh berehat, jika aku dibunuh, maka ia adalah jalan pintasku untuk berjumpa Allah S.W.T, dan jika aku dibuang negeri, maka aku boleh melancong". Mungkin juga kita masih terngiang-ngiang kata-kata yang pernah disebutkan oleh As-Syahid Abdel Aziz Ar-Ransiti sebelum ajal beliau "Jika aku diberi pilihan untuk mati dengan penyakit jantung atau Apache, maka aku memilih Apache". Dan akhirnya Allah S.W.T memakbulkan permintaan beliau itu.

3. واجب الدعوة إلى الإسلام

-Kewajipan ketiga sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi pula adalah kewajipan dan tanggungjawab untuk berdakwah kepada Islam. Dakwah adalah asas yang sangat penting dalam melengkapkan kehidupan Bergama itu sendiri. Bahkan, kehidupan bermasyarakat yang menjadi fitrah di atas muka bumi ini sebagai tanda yang besar terhadap kewajipan berdakwah itu sendiri.

Dalam kata lainnya, Dakwah Islamiyyah itu menjadi satu kewajipan terhadap setiap individu Muslim agar mereka dapat beramal dan seterusnya melaksanakan segala bentuk Amal Islami yang telah diperintahkan ke atas mereka.

Nabi S.A.W bersabda:

بلغوا عني ولو آية

"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat"

Hadith ringkas ini menunjukkankepada kita kewajipan untuk mnenyampaikan Islam walaupun hanyalah dengan satu peringatan daripada peringatan Islam sendiri. Sampaikan itu adalah merupakan satu bebanan terhadap setiap yang mengucap kalimah لا إله إلا الله atau dalam ertikata lain mereka merupakan individu-individu Muslim yang beriman kepada Allah dan rasulnya. Manakala, menyampaikan risalan Islam daripada nabi itu sendiri adalah merupakan satu kemuliaan kerana termasuk golongan yang dipilih oleh Allah untuk membawa Islam yang sangat mulia daripada seorang manusia agung yang menjadi kekasih Allah S.W.T iaitu Nabi junjungan besar Muhammad S.A.W. Sampaikanlah walau satu ayat itu pula adalah satu bentuk keringanan agar kita memahami bahawa Islam itu sentiasa bersifat mudah dan memudahkan untuk umatnya kerana seungguhnya Allah S.W.T mengetahui di mana kedudukan dan kekuatan hamba-hamba-Nya.

4. واجب رابطة بالإسلام

-Kewajipan terkahir yang dinyatakan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi adalah keperluan untuk adanya keterikatan dalam Islam itu sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan amal Jamaie itu sendiri. Kita tidak boleh merasakan kehidupan kita telah cukup lengkap untuk membawa risalah Islam tanpa adanya keterikatan dengan Muslim yang lain. Bahkan, keberjayaan Dakwah Islamiyyah itu sendiri dapat dilihat dan dinilai dengan kekuatan Islam yang dibina dan dikumpul. nabi S.A.W sendiri walaupun baginda merupakan manusia pilihan Allah, namun Baginda sekali-kali tidak memlihi untuk menggerakkan Dakwah Islamiyyah itu secara sendirian, bahkan baginda membina kekuatan dan ketumbukan Islam dengan membina dan menyuburkan jiwa-jiwa para sahabat bainda sehingga mereka mampu untuk menjadi benteng-benteng yang terhebat di dalam membawa obor Islam. Akhirnya, kejayaan Islam itu dilihat dengan terbina Negara Islam yang pertama iaitu Negara Islam Madinah al-Munawwarah.

Sebab itulah dinyatakan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, perpecahan dan kelemahan Islam hari ini adalah disebabkan mereka tidak bersatu. Masing-masing dan ideologi dan fikrah yang ingin dipertahankan. maka, ruang inilah yang membuka jalan kepada musuh untuk mengoyakkan dan menodai kesucian.

Jika ada di antara kita yang menjadi golongan yang membawa kepada perpecahan itu, maka cepatlah untuk sedar diri serta kembali untuk membina kesatuan di bawah payung Islam yang syumul. Hanya disebabkan fikrah dan Ideologi yang berlainan, kesatuan Islam dihancurkan dengan begitu senang. Akhirnya yang ketawa adalah syaitan-syaitan yang bertopengkan manusia iaitu golongan Yahudi sendiri keran mereka telah berjaya melihat umat Islam berpecah.

Kesimpulannya, kewajipan dan tanggungjwap yang telah digariskan oleh Imam Dr Yusuf al-Qardhawi amat sesuai di kala Syabab hari ini memerlukan formula kekuatan untuk menggerakkan ketumbukkan Islam itu sendiri. Jelasnya, generasi pemuda hari ini hendaklah berpijak di bumi yang nyata serta membina identiti mereka dengan prinsip "Di mana islam dipijak, maka di situ Islam dijunjung".

Wallahua'lam..




Jumaat, September 24, 2010

Jangan lepaskan peluang untuk sertai Kutub Sittah PMRAM!

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir kali kedua. Tarikh akhir untuk mendaftar bagi tahun akhir adalah pada hari esok, Sabtu 25 September 2010 dan selain tahun akhir adalah pada 18 oktober 2010. Pastikan anda cepat kerana tempat adalah terhad. Pengisian istimewa bakal menanti pakej istimewa bagi tahun akhir sahaja. Sila daftarkan diri dengan mengisi borang yang telah diedarkan melalui unit pendidikan BKAN dan DPM masing-masing bersama bayaran. Bersama meraikan kenangan manis bersama Para Masyaikh di Kutub Sittah kali kedua pada akhir oktober nanti.. Jumpa anda di sana!

Rabu, September 22, 2010

3 golongan manusia


Manusia yang beruntung hidupnya adalah mereka yang sentiasa mendapat keberkatan dalam hidup.

Keberkatan itu pula sinonim dengan ketaqwaan kerana orang yang bertaqwa sentiasa beruntung hidupnya.

Itulah juga yang menjadi impian seluruh orang yang beriman termasuk sahabat-sahabat Nabi S.A.W walaupun mereka telah dijamin masuk syurga. Contohnya Saidina Umar Al-Khattab menyatakan kebimbangan beliau tatkala beliau menyatakan apabila semua orang masuk syurga dan hanya seorang yang tidak masuk syurga, maka beliau bimbangi beliaulah yang seorang itu.

Lihatlah kehebatan iman dan ketaqwaan seorang sahabat..Walaupun Nabi S.A.W sudah menjamin dengan jaminan syurga, namun beliau sentiasa memuhasabah diri.

Begitu juga dengan sahabat yang lain..Saidina Abu Bakar al-Siddiq contohnya, tatkala beliau bersolat, keluar bau hangit seakan-akan terbakar daripada hatinya. Melambangkan hebatnya keimanan dan kekhusyukan beliau.

Begitu juga dengan Saidina Ali K.W.J, beliau mengambil air wudhuk sehingga pengsan kerana perasaan takutnya kepada Allah S.W.T.

Alangkah seronoknya jika kita juga memiliki keimanan seperti mereka.

Pada posting kali ini, penulis ingin berkongsi mengenai tiga jenis perangai manusia.

Manusia pertama adalah seumpama tanah .Walaupun hujan agak jarang turun contohnya, namun tanahr ini akan cepat-cepat mengambil manafaat dengan air hujan tadi lalu menumbuhkan buahan yang menjadi manafaat untuk manusia.

Golongan manusia kedua pula adalah seumpama batu-batuan dan pasir..Walaupun hujan selalu turun, namun tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku. batuan tadi tetap kekal sebagai batuan tidak tidak menumbuhkan sesuatu yang bermanafaat seperti buah dan sebagainya.

Manakala golongan manusia ketiga pula diibaratkan sebagai air kolam/tasik yang bertakung. Keadaan air ini tetap akan kekal sebagai air dan tidak membuahkn apa-apa hasil yang lain. Apabila hujan turun, air tadi hanyalah akan bertambah, namun tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku.

Sidang pembaca yang budiman,

Tiga analogi di atas sangat sesuai untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kita.

Golongan pertama yang diibaratkan seperti tanah tadi adalah golongan yang paling baik dan kehidupan mereka di atas muka bumi tidak sia-sia. Hubungan mereka dengan Allah S.W.T dan manusia tidak sama sekali disiakan, Bahkan mereka cuba untuk menjadi Mukmin yang terbaik. Segala ilmu yang dipelajari tidak hanya disimpan, namun ianya digunakan sebaik-baiknya untuk dimafaatkan dan dimakmurkan kepada manusia. Inilah golongan yang berjaya dan beruntung.

Golongan yang kedua pula adalah golongan yang hidupnya tidak mendapat apa-apa manafaat. Sudahlah mereka tidak mahu menerima nasihat, malahan mereka dengan keras hati menolak dan menghina pula golongan yang ingin membawa mereka ke jalan yang benar.Golongan inilah yang diumpamakan sebagai batuan dan pepasir yang tidak membawa apa-apa manafaat walaupun hujan kerap turun menyirami mereka.. Golongan ini hanya memberikan kesusahan kepada masyarakat kerana mereka tidak mampu dan mahu membawa apa-apa perubahan kepada masyarakat keran disebabkan sifat ego yang ada pada mereka.

Ini boleh difahami daripada ingatan Nabi S.A.W yang berbunyi:

الرياء بطر الحق وغمط الناس

"Riya' itu adalah menolak / membelakangkan kebenaran dan mempersenda/tidak memandang baik mereka yang membawa kebenaran tersebut'

Seterusnya, golongan yang ketiga pula adalah golongan yang diumpamakan sebagai air yang bertakung. Mereka ini diberi nasihat agama, bahkan mungkin menghadiri majlis pengajian ilmu serta mendengar nasihat agama. Namun, apa yang mereka dengar itu hanyalah ibarat mencurah air di daun keladi. Hanya menerima nasihat, namun tidak berubah dan tidak ingin melakukan perubahan. Jika mereka melihat kemungkaran yang berlaku di sekeliling mereka, mereka hanyalah melihat sahaja serta menyerahkan kepada orang lain untuk menyelesaikannya. Golongan ini walaupun tidak menentang Dakwah Islamiyyah itu contohnya, namun kehadiran mereka juga seolah-olah tidak dirasai oleh masyarakat, kerana mereka menjadi golongan yang tidak ada sensitiviti dan kesedaran untuk membangunkan ummah dengan wasilah Islam yang syumul.

Maka, terpulanglah kepada kita untuk memilih golongan yang mana. Bersama-samalah kita koreksi dan muhasabah diri kita agar berjaya menjadi golongan yang diumpamakan seperti tanah itu tadi. Walaupun kia tidak punyai kelebihan yang banyak, ataupun mungkin kita tidak dikenal dan disanjung di dalam masyarakat, namun kehadiran kita membawa erti yang besar kepada Dakwah Islamiyyah. InsyaAllah, apabila kita telah pergi kelak, masyarakat pastinya akan mengenang dan menyedari apa yang kita lakukan.

Hidup ini bukan satu kemuliaan, Bukan juga satu sanjungan, Bahkan hidup ini untuk menanam kebaikan, Yang hasilnya untuk dituai di akhirat, demi menebus syurga yang Abadi.

Wallahua'lam..

Al-Faqir Ilallah:

Syeikh Muhd Mujahid Sikh Nawawi,
Tahun 3, Takhassus Qiraat Shoubra Qahirah.

Khamis, September 16, 2010

TASSAWWUR ASAS ILMU QIRAAT.


TASSAWWUR ASAS ILMU QIRAAT.

Pengertian:

Ilmu Qiraat merupakan salah satu daripada ilmu-ilmu asas di dalam memahami cara bacaan yang Mutawatir daripada Rasulullah S.A.W yang diambil oleh para sahabat baginda secara Talaqqi dan Musyafahah secara langsung daripada Baginda S.A.W dan diambil oleh rasulullah secara talaqqi dengan jibril A.S.

Ilmu ini amat berkaitan dengan bahasa serta penggunaan kalimah al-Quran kerana ia berkisar pada perubahan baris, perubahan harakat, al-Naqlu, al-Ibdal, hazaf dan ithbat dan sebagainya.

Pengertian daripada sudut bahasa:

Qiraat jama’ kepada Qiraah قراءة , dan Qiraah itu masdar Fe’el (قرأ يقرأ قراءة وقرآنا فهو قاريء وهم قراء وقارئون )

Ianya merujuk kepada kumpulan ( الجمع ) dan perkumpulan ( الإجتماع)

Sebahagiannya mengatakan ianya al-Quran, kerana menunjukkan padanya pengumpulan Hukum-hakam, Cerita dan sebagainya. Dan dikatakan juga, kerana ianya mengumpulkan di antara surah-surah berdalilkan ayat Allah di dalam surah al-Qiyamah, ayat 17 dan 18 :

17. Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

18. oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;

Ayat 17 menunjukkan al-Jam’u dan al-Qiraah dan ayat 18 menunjukkan al-Qiraah.

Pengertian daripada sudut Istilah:

Takrifan Qiraat secara istilah telah mula diperkenalkan oleh Ulama’ Qiraat sekitar tahun 700 H ke atas.. Sebelum daripada itu, contohnya dalam tahun 300 H hinggalah 700 H, para ulama’ Tafsir, Ulum Quran dan Qiraat seperti Ibnu Mujahid (324 H), Ibni Khaliwiyyah (370 H), Abi Ali al-Farisi (377 H), Imam Makki bin Abi Talib (437 H) dan sebagainya, mereka tidak mengemukakan apa-apa teori berkaitan Ilmu Qiraat dan mereka menumpukkan Talaqqi dan pembelajaran ilmu al-Quran dan Qiraat ini baik Secara Riwayah dan juga Dirayah.

Beberapa ulama’ telah mengemukakan takrifan al-Qiraat secara istilah , antaranya:

Imam Ibnu Hayyan al-Andalusi (745 H), Imam Badruddin al-Zarkhashi (794 H), Imam Shamsuddin Ibnu al-Jazari (833 H), Imam Jalaluddin al-Syuyuthi (911 H), Imam Shihabuddin al-Qistillani (923 H), dan lain-lain.

Secara umum, antara pandangan Ibnu Jazari contohnya:

“Al-Qiraat itu adalah satu ilmu berkaitan cara-cara penuturan kalimah al-Quran dan perbezaaannya dengan ( (عزوnisbah ( الناقلة ) pembawaannya”.

Unsur-unsur di dalam pentakrifan ilmu Qiraat.

1. Tauqif wa al-Naql.

2. Hakikat perbezaan di antara Qiraat dan Mazahir yang berkaitan dengan perbezaan ini seperti I’rab, Hazaf, Ithbat, Ibdal dan sebagainya.

3. Cara-cara penggunaan dan penuturannya.

Perbezaan antara al-Quran dan al-Qiraat.

Para ulama’ Ulum Quran, tafsir dan Qiraat berselisih pandangan terhadap masalah ini.

Sesetengah daripada mereka menyatakan bahawa Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang berbeza. Imam Al-Zarkhashi menyebutkan:

“Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua hakikat yang berbeza , Al-Quran adalah Wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi Muhammad S.A.W sebagai penerangan dan mukjizat. Manakala Qiraat pula merupakan perbezaaan lafaz-lafaz wahyu yang disebut di dalam huruf-huruf dan cara-cara penuturannya seperti Takhfif dan tasydid dan sebagainya”.

Maka, ilmu Qiraat memerlukan kepada Talaqqi dan Musyafahah, kerana ianya tidak boleh dihukum melainkan dengan Al-Sama’ dan al-Musyafahah.

Namun, sebahagian ulama’ Mutaakhirin pula berpandangan bahawa ia adalah Hakikat yang punyai makna yang sama.

Sebagainya yang dijelaskan, bahawa Al-quran juga merupakan Masdar yang seerti dengan al-Qiraah. Maka, ia adalah hakikat yang sama.

Mereka berdalilkan Hadith nabi S.A.W yang di riwayatkan di dalam Shahih Muslim pada bab (Fadhail al-Quran). Nabi S.A.W bersabda:

إن الله يأمرك أن تقريء أمتك القرآن على سبعة أحرف , فأيما حرف قرأوا عليه فقد أصابوا

"Sesungguhnya Allah S.W.T memrintahkanmu (wahai Muhammad) membacakan ke atas umatmu Al-Quran dengan tujuh Huruf ( wajah), maka mana-mana huruf (wajah) yang mana mereka membacanya, maka akan diberi ganjaran kepada mereka".

Dr Fadhl Abbas menyatakan:

Maksud perkataan Imam al-Zarkhashi tersebut adalah daripada sudut Qiraat yang Mutawatir dan tidak Mutawatir, berdasarkan kepada tulisan di dalam mashaf yang berbeza, pandangan beliau benar. Sebab itu kita tidak nyatakan bahawa Al-Quran tidak Mutawatir sebagai sebahagian Qiraat. Al-Quran diturunkan di dalam keadaan mutawatir keseluruhannya. Manakla sebahagian Qiraat adalah bersifat Ahad dan berbeza dengan al-Quran, dan kita tidak berbeza mengenai kondisi al-Quran itu sendiri.

Namun di sana adanya pandangan yang menyatakan bahawa Qiraat juga merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T, sebagainya al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya Wahyu itu diturunkan dengan setiap wajah yang mutawatir yang dibaca melaljui al-Quran. Contohnya dibaca نشزها ia adalah daripada al-Quran tanpa syak dan jika dibaca dengan Qiraat ننشرها ianya juga daripada al-Quran. Setiap bacaan daripada Qiraat yang Mutawatir adalah terikat secara langsung dengan ayat, sebagaimana al-Quran itu dibaca dengan mana-mana bacaan daripada Qiraat Mutawatir, dan keduanya adalah Wahyu daripada Allah untuk menerangkan dan menjadi Mukjizat. Contohnya kita membaca dengan Riwayat Hafs ‘An ‘Asim dan di negara Morocco dibaca dengan riwayat Nafii’, Riwayat Qalun dibaca di Negara Tunisia, dan di Jazaiir (Algeria) mengamalkan Qiraat Warsh, maka tidak syak ianya merupakan wahyu daripada Allah S.W.T. Begitu juga di Somalia, dibaca dengan Qiraat Abu ‘Amru al-Basri juga adalah wahyu daripada Allah S.W.T.

Qiraat Mutawatir adalah sebahagian al- Quran dan Juzuk-juzuknya. Qiraat al-Quran itu mengambarkan wahyu yang turun daripada Allah S.W.T dan setiap Qiraat itu mengambarkan wajah-wajah yang benar daripada pengamalan al-Quran yang sempurna, sebagaimana diturunkan ke atas nabi S.A.W. Wallahu’alam…

Perkembangan Ilmu Qiraat.

Terdapat dua pandangan di dalam hal ini. Pandangan pertama menyatakan bahawa Al-QIraat itu turun di Mekah ketika awal penurunan al-Quran. Ini kerana sebahagian besar al-Quran adalah surah-surah al-Makiyyah sehingga dinyatakan melebihi 83 surah telah diturunkan di Makkah, dan bacaan tujuh huruf tersebut telah diterima oleh nabi S.A.W pada ketika itu.

Pandangan kedua pula menyatakan bahawa,Qiraat turun di Madinah setelah penghijrahan Nabi S.A.W ke Madinah al-Munawarah. Ketika itu, sudah ramai manusia yang memluk agama Islam. Maka, Qiraat diturunkan sebagai satu bentuk kemudahan kepada mereka.

Secara umumnya, pandangan pertama adalah lebih rajih.Wallahua’lam…

Pembahagian Qiraat.

Sebagaimana dinyatakan di dalam kitab "al-Itqan fi Ulum al-Quran", Qiraat daripada sudut sanad terbahagi kepada 6 bahagian iaitu:

Qiraat Mutawatir:

Qiraat Mutawatir adalah merupakan Qiraat yang mutawatir daripada rasulullah S.A.W dan disepakati oleh sekumpulan besar manusia yang sudah tentu mereka tidak akan melakukan penipuan dan pendustaan terhadap satu-satu bacaan. Contoh adalah Qiraat bagi tujuh imam yang masyhur yang disebut di dalam matan al-Syatibi oleh Imam al-Syatibi.

Qiraat Masyhur:

QIraat Masyhur adalah Qiraat yang sah sanadnya,di riwayatkan oleh Qurra’ yang Thiqah dan kuat ingatan, tidak bersalahan dengan kaedah nahu serta salah satu daripada Rasm Uthmani, Masyhur dan tidak salah di sisi Qurra’ serta banyak farsh huruf di dalamnya. Hanya ianya tidak mencapai taraf mutawatir. Contohnya seperti Qiraat tujuh, namun ianya tidak disepakati dan diriwayat oleh periwayat

yang tidak diriwayat oleh yang lain. Hasil karangan di dalam Qiraat ini adalah antaranya kitab al-Taisir oleh Imam al-Dani,al-Qasidah lil Imam al-Syatibi, Au’iyah al-Nasr dan Taqribun al-Nasr lil Imam Ibnu Jazari dan sebagainya.

Qiraat Ahad:

Qiraat Ahad adalah qiraat yang sah sanadnya, namun ianya bersalahan dengan kaedah nahu mahupun rRasm Uthmani. Ianya tidak masyhur dan tidak dibaca. Ianya dibenarkan oleh Imam al-TIrmidhi di dalam Jami’nya, dan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan lain-lain. Contohnya seperti yang telah dikeluarkan oleh al-Hakim daripada jalan ‘Asim al-Juhdari daripada Abi Bakrah, sesungguhnya Nabi S.A.W membaca:

متكئين على رفارف وعباقرى حسان

Qiraat Syaz:

Qiraat Syaz adalah qiraat yang tidak sah sanadnya, dan ditulis penulisannya. Contohnya bacaan ملك يوم الين dan إياك يعبد dengan Bina’ Maf’u.

Qiraat Maudhu’:

Qiraat yang tidak pernah diriwayatkan dan dinaqalkan, contohnya seperti qiraat Al-Khuzai’ yang dinaqalkan oleh Abu Qasim al-Huzaili :

إنما يخشى الله من عباده العلماء

Didhommahkan lafaz al-Jalalah da di baris fathahkan lafaz Ulama’.

Shibih daripada jenis-jenis Hadith Mudarraj,

Seperti yang ditambah di dalam Qiraat dariapda sudut tafsir, seperti QIraat Saad bin Abi Waqas yang dikeluarkan oleh Saiid bin Mansur :

وله أخ أو أخت من أم

Begitu juga sebagaimana Qiraat Ibnu Abbas:

أن تبتغوا فضلا من ربكم في موسم الحج

Imam Jalaluddin al- Bulqinii menyatakan:

“ Al-Qiraah itu terbahagi kepada Mutawatir, Ahad dan Syaz. Maka, Mutawatir itu adalah Qiraat tujuh yang masyhur, dan Ahad itu adalah Qiraat tiga yang melengkapkan Qiraat tujuh, dan dimaksudkan juga dengan Qiraat Sahabah. Dan Syaz itu adalah Qiraat Tabiin seperti al-A’Masyh, Yahya bin Wassab, Ibnu Jabir dan lain-lain”.

Ciri-ciri Qiraat yang Mutawatir dan Shahih.

Imam Ibnu Jazari menyebutkan pada permulaan kitabnya, “Al-Nasr”:

Setiap Qiraah itu hendaklah mengikut bahasa arab walaupun satu wajah, dan mengikut salah satu daripada Mashaf-mashaf Uthmani walaupun terdapat Ihtimal, dan sah sanadnya, maka ia adalah QIraat yang shahih dan tidak harus dipertikaikan. Wajib seluruh manusia untuk menerimanya, sama ada Qiraat Tujuh yang masyhur, ataupun Qiraat sepuluh, serta daripada lain-lain mereka yang menerimanya.Jika terlerai salah satu rukun yang tiga itu maka qiraat tersebut akan jatuh kepada taraf Lemah atau Syaz atau Batil, sama ada daripada Qiraat yang tujuh ataupun yang lebih besar daripadanya. Perkara ini adalah benar dan disepakati di sisi seluruh ulama’ salaf dan khalaf, dan antaranya Imam Al-Dani, Imam al-Makki, Al-Mahdawi, da Abu Syaimah, yang merupakan mazhab salaf yang tidak mengetahui salah seorang daripada mereka perbezaannya”.

Secara ringkas, 3 ciri-ciri qiraat yang shahih dan mutawatir melalui kata-kata Imam Ibnu Jazari di atas adalah:

1. Sah sanadnya.

2. Mengikuti kaedah nahu walaupun hanya satu wajah.

3. Mengikuti salah satu Rasm Uthmani walupun terdapat ihtimal di antaranya.

Adakah Tujuh Huruf itu adalah Qiraat yang tujuh?

Sebahagian orang menganggap bahawa tujuh huruf yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah merupakan Qiraat tujuh Imam yang masyhur. Betulkah ?

Terdapat banyak hadith nabi S.A.W yang menyatakan bahawa al-Quran itu diturunkan dalam tujuh huruf. Antaranya rasulullah S.A.W bersabda melalui riwayat Ibnu Abbas:

أقراني جبريل عليه السلام على حرف واحد فراجعته فلم أزل أستزيده حتى انتهى إلى سبعة أحرف

“Jibril A.S telah membaca kepadaku satu huruf, maka aku kembali kepadanya dan tidak aku tinggalkan bacaan itu, dan aku meminta untuk menambahkannya sehingga menjadi tujuh huruf”.

Hadith di atas diturunkan ketika Nabi S.A.W berada di Makkah dan menjadi dalil bahawa nabi mengambil secara langsung bacaan daripada Jibril A.S.

Sebenarnya, tujuh huruf yang dimaksudkan di dalam hadith di atas bukanlah Qiraat tujuh sebagaimana tekaan dan pandangan sesetangah orang yang jahil mengenainya. Ini kerana, tidak dijumpai bukti yang menunjukkan sebelum tahun 200 Hijrah bahawa para ulama qiraat telah mengagaskan istilah Qiraat tujuh. Bahkan, QIraat itu sangat banyak sehingga ada yang mengatakan bahawa ianya mencapai seribu jalan ( Toriq ). Istilah ini mula diperkenalkan oleh sebahagian ulama’ Qiraat seperti Abi Ubaid al-Qasim bin Salam, Abi Jaafar al-Thabari, dan Abi Hatim al-Sajistani pada awal kurun ke 200 hijrah dan pada ketika itu umat Islam hanya menerima sebahagian daripada jalan-jalan bacaan sahaja.

Antara penerangan yang terbaik mengenai tujuh huruf ini, adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam Ibnu al-Jazari Rahimahullah iaitu:

1. Baris yang pelbagai dan tidak melibatkan makna dan bentuk tulisan. Contoh: يحسب .Dibaca dengan Fathah dan kasrah pada huruf siin.

2. Baris yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. Contohnya kalimah ءادم / كلمت dibaca dengan nasab dan kasrah atau sebaliknya.

3. Huruf yang pelbagai dan hanya berubah pada makna sahaja. تتلوا / تبلوا

4. Huruf yang pelbagai dan hanya melibatkan perubahan pada bentuk tulisan sahaja.Makna tidak berubah الصراط / السراط

5. Huruf dan bentuk tulisan yang pelbagai. يأتل / يتال

6. Taqdim dan Ta’khir lafaz وقاتلوا / وقتلوا

7. Penambahan dan pengurangan huruf. ووصى / وأوصى

Qurra’Sepuluh.

1. Imam Nafii’ al-Madaani ( 70-169 H). Yang meriwayatkan bacaanya adalah Imam Warsh (110-197 H) dan Imam Qalun (110-120 H).

2. Imam Ibnu Kathir al-Makki ( 45-120 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Bazzi (170-250 H) dan Imam Qunbul (195-291 H).

3. Imam Abu Amru bin al-Ala’ al-Basri (68-154 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Duri (246 H) dan Imam al-Susi (291 H)

4. Imam Ibnu Amir al-Syamii (8-118 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Hisham (153-245 H) dan Imam Ibnu Zakwan (173-242 H).

5. Imam ‘Asim al-Kufi (127 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Syu’bah (95-193 H) dan Imam Hafs (90-180 H)

6. Imam Hamzah al-Kufi ( 80-156 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Khalaf (150-229 H) dan Imam Khallad (220 H).

7. Imam al-Kisaie (119-189 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam al-Laith al-Baghdadi (240 H) dan Imam Hafs al-Duri (246 H).

8. Imam Abu Ja’afar al-Madani ( 130 H). yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam ‘Isa bin Wardan (160 H) dan Imam Ibnu Jammaz (170 H).

9. Imam Ya’aqub al-Basri (117-205 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ruwais (238 H) dan Imam Ruwh (234 H).

10. Imam Khalaf al-Asyir (150-229 H). Yang meriwayatkan bacaannya adalah Imam Ishak al-Marwazi (286 H) dan Imam Idris al-Haddad (199-292 H).

Penulisan yang masyhur di dalam Ilmu Qiraat Tujuh.

1. Kitab “al-Tabsiraah” dan kitab “al-Kasyfu” oleh Imam al-Makki bin Abi Talib.

2. “Kitab al-Taisir” dan kitab “Jamii’ al-Bayaan” oleh Imam Abi Amru al-Dani.

3. Kitab “al-Kafi” oleh Ibnu Syarih.

4. Kitab Qasidah “Hizr al-Amaani Wa Wajh al-Tahaani” dan termasuk di dalamnya kitab “Al-Taisir” sebagai Bayaan.

Kesimpulan:


Ini adalah sebahagian daripada pengenalan asas terhadap ilmu Qiraat, untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, pembaca bolehlah merujuk kepada kitab-kitab dan kalam-kalam ulama' Ulum Quran yang telah membahaska ilmu yang sangat berharga ini. Semoga sisipan ini mampu memberi sedikti panduan kepada mereka yang ingin mendalami ilmu Qiraat. Wallahu'alam...


Bibliografi:


1. Al-Quran al-Karim.

2. Dr Muhammad Ahmad Jamal, “Al-Wuujuh al-Balaghah Fi Taujih Al-Qiraat Al-Quraaniah Al-Mutawatirah”, Cet Pertama 1430 h/ 2009 M, Dar al-Furqan.

3. Imam Jalaluddin Al-Syuyuthi, “Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran”, Cet Pertama 1427 H/2006 M, Dar Al-Hadis al-Qahirah.

4. Imam Badruddin al-Zarkhashi, “Al-Burhan Fi Ulum al-Quran”, Cet Pertama 1408 H/ 1988 M, Beirut, Dar Al-Fikr.

5. Imam al-Zabidi, “Taj Al-‘Arus Min Jawaahir al-Al-Qamus”, Cet tahun 1966, Juz 1, Matba’ah Hukumah Kuwait.

Disediakan oleh:

Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi,

Takhassus Qiraat Shoubra, Qahirah, Mesir.


Jumaat, September 10, 2010

Rancangan Pembakaran al-Quran Dikecam!

Rancangan pembakaran al-Quran yang dirancang oleh sebuah gereja kecil di Gainesville, Florida sempena memperingati kejadian 11 september 2001 amat mencabar maruah seluruh umat Islam.

Sudahlah kita baru sahaja selesai menjalani bulan Ramadhan al-Mubarak yang di dalamnya diturunkan Al-Quran yang begitu agung...Kini, ada pula pihak yang dengan sewenang-wenangnya menodai kesucian Islam dengan melakukan perkara yang sangat terkutuk.

Jelas, mereka tiada agenda lain melainkan untuk mempersenda umat Islam yang ketika ini dilihat lemah kesatuan mereka dengan wujudnya blok-blok negara-negara Umat Islam yang sudah terpecah sejak sekian lama.

Jika kita soroti, tidak berlebihan jika dikatakan bahawa apa yang mereka lakukan itu jelas bertentangan dengan keseluruhan nilai-nilai dan norma-norma di dalam diri manusia walau mereka berfahaman apapun.

Apakah yang akan dirasai jika tempat dan sesuatu yang dirasakan suci oleh mereka diperlakukan sedemikian rupa, apakah mereka hanya akan duduk diam!

Begitu juga, perkara ini harus mendapat sensitiviti yang besar daripada umat Islam kerana ia melibatkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Al-Quran merupakan kitab yang sangat mulia. Bahkan ,dikatakan oleh sesetengan para ulama', jika al-Quran itu sekalipun turun bukan pada waktu malam Lailatul Qadar, maka malam yang diturunkan al-Quran itu tetap akan menjadi lebih mulia daripada malam lailatul Qadar sendiri.

Ia bermaksud, Kemuliaan bulan ramadhan dan malam al-Qadar itu, adalah kerana diturunkan padanya al-Quran yang mengandungi seluruh peringatan dan rahmat buat manusia dan ia menjadi kesepakatan seluruh ahli ilmu.

Jaid, di bulan syawwal yang mulia ini, penulis ingin mengajak seluruh umat Islam agar kita sama-sama mengecam dan mengutuk upacara yang cukup bertentangan dengan nilai dan norma maunsia itu sendiri sehingga ianya juga dibenarkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat walaupun mereka dikatakan sebagai musuh Islam.

Apakah lagi yang akan dilakukan oleh Musuh Islam selepas ini setelah satu-persatu kebobrokan yang mereka lakukan..sama-samalah kita berdoa agar Allah S.W.T sentiasa melindungi agama Islam dan Janji Allah itu bahawa cahaya Islam tidak akan lenyap dari muka bumi ini adalah pasti.

Apa yang pasti, kita harus sentiasa memperlengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman agar kita betul-betul faham dan cakna dengan isu yang membabitkan maruah umat islam ini, dan memhami konsep Jahiliyyah itu dengan kefahaman yang benar. Moga-moga, kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang ingin memadamkan sinar Islam di atas muka bumi ini.Na'uzubillah...

Kata Saidina Umar al-Khattab R.A :

إنما تنقض عرى الإسلام عروة عروة إذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية

'Sesungguhnya ikatan Islam itu akan terurai satu-persatu, sekiranya seseorang yang lahirnya di dalam keluarga Islam, namun ia tidak mengenal Jahiliyyah'

Wallahua'lam..Selamat hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin dan selamat mengerjakan puasa 6 hari di bulan syawwal.

Ahad, September 05, 2010

Ayuh Meriahkan Kempen "Jom Balik Kampung"


Sila layari www.pmram.org

Alhamdulillah, selaut pujian kita tujukan kepada Allah S.W.T, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W beserta ahli keluarga Baginda yang mulia, seterusnya kepada Para Tabiin, tabi’ Tabiin dan seluruh seluruh umat Islam yang sentiasa gigih menjunjung agama Islam yang hanif ini.

Bahang aidilfitri semakin hampir dirasai, yang menjadi satu hari kemenangan buat umat islam. Satu hari yang penuh bermakna bagi mereka yang Berjaya untuk melepasi Tarbiyyah dan didikan selama sebulan di bulan ramadhan yang mulia.

Hal ini dapat dilihat melalui sebuah kata-kata yang menyebutkan:

ليس العيد لمن لبس الجديد , ولكن العيد لمن تقواه تزيد

‘Bukanlah Hari Raya itu untuk mereka yang hanya berpakaian serba baru sahaja, tetapi hari raya itu adalah untuk mereka yang bertambah ketaqwaannya’

Sesuai dengan tema ‘Kita PMRAM’ dan konsep kebersamaan BKAN dan DPM yang diterapkan oleh PMRAM, maka tahun ini kita sama-sama menjayakan kempen ‘Jom Balik Kampung’.

Kempen ‘Jom Balik Kampung’ adalah salah satu usaha untuk mengajak ahli PMRAM yang berada di seluruh pelusuk bumi Mesir ini untuk sama-sama pulang ke Kaherah untuk meriahkan Aidilfiti di sini.

Sekurang-kurangnya, kemeriahan beraya bersama keluarga di Malaysia dapat juga kita rasai dengan sama-sama kita berkumpul dan meraikan aidiltri yang bakal tiba tidak lama lagi bersama keluarga besar PMRAM.

Ayuh, kita sama-sama semarakkan dan jayakan kempen ‘Jom Balik Kampung’ yang menyediakan aktiviti menarik kepada seluruh ahli seperti solat sunat Aidilfitri PMRAM, rumah terbuka DPM, rumah terbuka BKAN, dan kemuncaknya adalah Haflah Aidilfitri PMRAM 2010 (HATI ’10).

Kita akan bersama-sama bergotong-royong untuk memasak dan menghidupkan suasana beraya di kampong pada malam harinya dan bersama-sama menyambut kemeriahan Aidilfitri pada siang harinya. Semuanya akan kita sama-sama saksikan di Haflah Aidilfiri PMRAM yang akan berlangsung pada 18 September bersama 9 Syawwal.

Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan untuk megimbau kembali kenangan kemeriahan menyambut Aidilfitri di sini. Nantikan kemeriahannya di Haflah Aidilfiti PMRAM (HATI ‘ 10 ).

Sekian, Wassalam.

Jom Balik Kampung!

Syeikh Muhammad Mujahid Sikh Nawawi
Pengarah Haflah Aidilfitri PMRAM (HATI 2010)

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita