;

Jumaat, Disember 31, 2010

"Sesungguhnya aku telah dimakan pada hari dimakan lembu jantan yang berwarna putih itu"

Di bawah ini penulis nukilkan sebuah kisah yang diterjemah daripada kisah asalnya di dalam bahasa arab untuk tatapan kita bersama:

Di dalam sebuah hutan yang tebal, hidup seekor singa dan tiga ekor lembu jantan. Masing-masing berwarna putih, hitam dan juga merah.

Ketiga-tiga ekor lembu jantan ini hidup bersatu-padu, saling tolong-menolong dan mempertahankan kesatuan di antara mereka.

Jika salah seeokor daripada mereka cuba untuk diancam oleh singa tersebut, maka semuanya bangkit untuk mempertahankan kumpulan mereka.

Beberapa percubaan telah cuba untuk dilakukan oleh singa tersebut,namun ianya sangat sukar dan mustahil.

Satu ketika, si singa tersebut mendapat satu helah.

Ia datang mendekati lembu merah dan hitam, lalu berkata kepada keduanya.

"Wahai sahabatku, warna kita tidaklah banyak bezanya, bahkan warnaku juga seperti warna kamu berdua. Namun, warna putih pada sahabat kita itu adalah terang, dan pastinya pemburu mudah nampak warna tersebut. Jika pemburu nampak, maka ia adalah perkara yang amat merbahaya bagi kita. Pada pandanganku, kamu berikanlah aku ruang untuk memakan lembu putih itu agar kita terus aman di sini".

Beberapa ketika lembu merah dan hitam berfikir, lalu mereka merasa ada kebenarannya kata-kata si singa tersebut.

Maka mereka pun berkata "Makanlah wahai singa". Lalu, tamatlah riwayat lembu jantan yang putih itu.

Setelah beberapa waktu berlalu, si singa datang lagi untuk menjalankan helahnya.

Ia mendekati lembu jantan yang berwarna merah lalu berkata, "Jika engkau melihat, warna kita tidaklah jauh bezanya, namun lembu jantan yang berwarna hitam itu sungguh berbeza warnanya, dan ini adalah amat merbahaya bagi kita. Jadi, pada pandanganku, eloklah kiranya engkau memberiku keizinan untuk aku memakannya demi kepentingan kita bersama".

Lembu jantan itu berfikir sejenak. Ia merasa ada benarnya saranan si singa tersebut, dan ia membenarkan singa itu untuk memakannya.

Sebaik sahaja tubuh si lembu jantan yang berwarna hitam itu dimakan oleh singa, lantas si singa berkata kepada lembu jantan yang berwarna merah itu sambil tersenyum, "Sesungguhnya sekarang ini engkau hanya berseorangan, maka tidak mustahil aku akan memakan engkau!"

Menggeletar lembu jantan itu. Ia memandang kiri dan kanan, hanya ia berseorangan sahaja berhadapan dengan singa yang sangat licik itu. Saat itulah ia teringat kembali kawan-kawannya, namun apakan daya, keadaannya sekarang seumpama peribahasa arab yang bermaksud "Aku telah dimakan pada waktu dimakan lembu jantan yang berwarna putih itu".

Dalam kisah yang sederhana ini, ianya cukup cantik untuk menggambarkan perlunya mempertahankan kesatuan dan permuafakatan yang dibina.

Jangan sesekali kita menjadi golongan duri dalam daging yang memecahkan kesatuan yang telah terbina, kerana ianya hanya akan membuka ruang kepada pihak musuh untuk memusnahkan kita. Bahkan,golongan yang menjadi perosak inilah yang telah memusnahkan kehidupan mereka sejak awal lagi.

Moga-moga kisah ini akan menjadi pengajaran bagi mereka yang berfikir. Ingatlah, musuh sentiasa ada di sekeliling kita. Perkukuhkan ukhuwwah, eratkan kesatuan dan saling-bantu membantu antara satu sama lain.

P/S: Selamat menjalani peperiksaan bagi seluruh mahasiswa/mahasiswi di Perlembahan Nil. Moga-moga kejayaan bersama antum dan antunna. Bittaufiq wannajah.

Sekian..

Ahad, Disember 26, 2010

Ilusi dunia


Terkadang kehidupan dunia ini hanyalah seumpama sebuah ilusi yang yang zahirnya kelihatan cantik, ajaib, menakjubkan dan ingin dimiliki, tapi hakikatnya ianya hanyalah sebuah ujian untu melihat tahap keimanan manusia itu sendiri.

Allah S.W.T tidaklah menciptakan dunia ini selain sebagai medan ujian untuk melihat adakah setiap manusia menepati konsep kehambaan dan 'Ubudiyyah yang sebenar terhadapa Allah S.W.T.

Mak, tapisan tersebut telah dilakukan dengan ujian-ujian di atas muka bumi ini untuk dipilih mereka yang betul-betul layak mendapat ganjaran tang terhebat dan terbesar daripada Allah S.W.T, iaitu melihat wajah Allah S.W.T yang Maha Agung, dan mendiami mahligai mewah iaitu syurga Allah S.W.T .

Tiadalah yang bermanafaat untuk menjadi bekalan menuju negeri akhirat yang abadi melainkan hati yang bersih dan betul-betul sempurna dibawa menghadap Allah S.W.T

Allah S.W.T berfirman :

"Satu hari yang mana tidak adalah manafaat sebarang harta dan anak lelaki, kecuali mereka yang datang kepada Allah S.W.T dengan hati yang bersih"

Sesungguhnya, tidak adalah apa-apa manafaat untuk dikejar dunia yang penuh fatamorgana ini.

Sebagaimana kisah Nabi Muhammad S.W.T, yang diriwayatkan ketika baginda bersama para sahabat lalu di sebuah tempat, dan kelihatan seorang pengembala kambing yang membuang bangkai kambingnya, maka rasulullah S.A.W bertanya kepada para sahabat baginda, "Pada pandangan kalian, apakah nilai kambing tersebut di sisi tuannya".

Maka dijawab oleh para sahabat, "Tentulah bangkai tersebut tidak ada nilai sedikitpun di sisi tuannya, kerana ianya telah dibuang oleh tuannya".

Maka baginda berkata kepada para sahabat, "Begitulah diibaratkan dunia di sisi Allah S.W.T. Sekiranya dunia ini punyai nilai walau sebelah sayap nyamuk, nescaya orang kafir tidak akan dapat minum walau seteguk air".

Alangkah beruntungnya umat islam, nilai yang diiktiraf di sisi Allah S.W.T hanyalah diberikan kepada umat Islam.

Walaupun manusia melihat golongan kafir mendapat kesenangan dan kemewahan di atas muka bumi, tetapi itu disebabkan tidak ada nilaipun di sisi Allah kehidupan mereka.

Namun, kehidupan yang bernilai adalah di akhirat kelak, yang mana hanyalah diberikan kepada uamat Islam sahaja. Maka, usahlah kita merasa ragu sedih dengan segala ujian yang menimpa kita sewaktu berkelananya kita di atas pelayaran di muak bumi ini.

Gambar-gambar di bawah ini adalah beberapa ilusi-ilusi mata yang terkadang pening untuk difikirkan. Sumber gambar ini adalah daripada www.malaysiasensasi.net




Gambar-gambar di atas kelihatan hidup dan bergerak-gerak serta menakjubkan, namun hakikatnya ianya hanyalah sebuah corak yang pegun dan tidak mengandungi apa-apa di dalamnya.

Itulah kaitan yang cuba penulis letakkan dalam posting yang sederhana pada kali ini.

Moga-moga setiap kejadian yang berlaku pada diri kita di sepanjang kehidupan ini memberikan satu nilai yang besar untuk menjadi Muslim yang terbaik serta mengikut jalan-jalan yang telah dilakukkan oleh Ulama'- ulama' yang sentiasa hidup hati mereka dengan perjuangan serta tidak mudah tertipu dengan dunia yang penuh dengan ilusi dan fatamorgana.

Wallahu'alam...

Sabtu, Disember 11, 2010

Hijrah: Menghayati Prinsip Percaya untuk Berjaya.

Sudah beberapa hari awal Muharram berlalu.

Ini bermakna umur kita pun sudah meningkat beberapa waktu.

Berlalunya 1431H pastinya menggamit seribu nostalgia yang telah terpatri menjadi ingatan memori kita.

Permesyuaratan yang berlaku di zaman Saidina Umar Al-Khattab R.A pada tahun ke 17 Hijrah yang memutuskan tarikh 1 Hijrah sebagai penentuan awal kalendar umat Islam mempunyai signifikannya tersendiri.

Ianya merupakan asas kepada perubahan yang besar yang disebutkan oleh Dr Mustafa Al-Sibaie sebagai bulan kemenangan bagi umat Islam.

Tanpa hijrah, manusia seluruhnya tidak mampu untuk menghayati konsep kesempurnaan dalam Islam dengan baik.

Islam sebagai Agama rahmat bagi sekalian alam amat menuntut umatnya agar lebih baik daripada hari ke hari.

Mana mungkin manusia mampu untuk menghayati konsep ini dengan baik sekiranya tidak mencerna konsep perubahan yang ditunjukkan dalam sirah Hijrah ini.

Berubah itu adalah untuk menghayati falsafah percaya untuk berjaya.

Keyakinan dan kepercayaan terhadap sesuatu perkara yang besar tentunya akan mengangkat motivasi diri untuk berusaha mencapai perkara tersebut.

Lihatlah bagaimana keadaan umat Islam di Mekkah ketika Pihak Quraisy mendapat tahu bahawa kekuatan umat Islam telah bertambah di Madinah.

Pihak Quraisy telah memulakan proses menghimpit umat islam dengan segala bentuk kekangan pemulauan, penyiksaan, penghinaan dan sebagainya yang sampai kepada kemuncak operasi pembunuhan Rasulullah S.A.W yang Dirancang oleh Abu Jahal dan sekutunya di Dar al-Nadwah.

Tekanan dan kekangan ini seterusnya diikuti dengan perintah daripada Allah S.W.T untuk berhijrah.

Secara signifikannya, Hijrah yang diperintahkan tersebut memberi makna agar umat Islam bergerak untuk membuat satu perubahan yang besar agar Islam mendapat manafaat dan natijah yang lebih besar daripada itu pada kemudiannya.

Jika tidak, pasti Allah S.W.T tidak akan memerintahkan untuk penghijrahan dilakukan dan pastinya segala proses penentangan semula terhadap puak Quraisy diselesaikan di Makkah.

Di sini konsep percaya untuk berjaya dicerna.

Dalam keadaan kaum Muhajirin terpaksa meninggalkan seluruh harta-benda dan anak-pinak terpaksa ditinggalkan di Makkah, pastinya timbul dalam benak hati mereka mampukah mereka melakukan perubahan tersebut yang sangat drastik dan besar.

Namun, persoalan demi persoalan tersebut membawa kepada kepercayaan terhadap satu perkara yang besar untuk menghasilkan natijah yang besar.

Akhirnya, natijah tersebut dicapai dengan terbinanya Negara Islam yang pertama di Madinah yang seterusnya membawa kepada tersebarnya islam di seluruh muka bumi sehingga hari ini.

Di dalam peperangan Ahzab contohnya, ketika mana umat Islam dihimpit dengan tekanan yang besar daripada pihak musuh yang bergabung, Rasulullah S.A.W datang memberi motivasi percaya untuk berjaya kepada tentera islam pada waktu tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W kepda mereka :

"Kota Konstantinopel pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya".

Janji yang telah dibuat oleh Rasulullah S.A.W itu adalah perkara yang sangat jauh dan sukar dicapai pada masa tersebut. Dalam keadaan umat islam masih tidak punyai negara sendiri dan Kota Konstantinopel merupakan kota yang terhebat dan terbesar di dunia pada masa tersebut, sudah tentu cabaran untuk mendapatkannya sangatlah berat, jauh, besar dan sukar.

Namun, rasulullah S.A.W memberi keyakinan yang penuh untuk menghayati kepercayaan dan keyainan seterusnya berusaha untuk mencapai kejayaan. Akhirnya, dengan keyakinan dan kepercayaan yang besar tersebut, apa yang dikatakan oleh Rasulullah S.A.W tersebut benar-benar berlaku.

Sekali lagi konsep percaya untuk berjaya diterapkan di dalam kisah Hijrah yang agung ini. Ketika mana seorang yahudi, Suraqah bin Malik bertemu dengan Rasulullah S.A.W, beliau berusaha untuk mengejarnya dengan pedang yang terhunus panjang dan tajam beserta kuda yang terhebat. namun, beliau bukan sahaja tidak mampu untuk menjamah batang tubuh rasulullah S.A.W, bahkan beliau rebah sebelum semapat mendekati Nabi S.A.W.

Tiga kali rebah di pertengahan menjadikan jiwa Suraqah yang asalnya berkobar-kobar pada awalnya turut rebah tidak bermaya. Beliau hanya mampu memanggil Rasulullah S.A.W dengan suara yang penuh kesayuan dan lemah.Tiada lagi derapan tapak kai kuda, tiada lagi suara gagah yang keluar dari mulut Suraqah, dan tiada lagi hunusan perang yang menjulang ke langit.

Rasulullah S.A.W datang menolong Suraqah dan berkata: "Hendakkah kamu jika aku hadiahkan kamu dengan Gelang Maharaja Kaisar? iaitu kamu hendaklah beriman kepada Allah S.W.T".

Jaminan yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W sungguh mengejutkan beliau. Beliau hanya terdiam dan kembali ke Makkah tanpa berkata apa-apa.

Namun, akhirnya apa yang dikatakan oleh nabi S.A.W itu benar-benar tejadi setelah beliau masuk Islam dan sama-sama berperang di zaman Saidina Umar Al-Khattab setelah Islam berjaya menakluk kota Rom dan Parsi. Gelang tersebut telah diberikan oleh Saidina Umar sendiri kepada beliau.

Lihat bagaimana nabi S.A.W memberikan keyakinan dan kepercayaan dengan perkara yang besar untuk mencapai kejayaan yang besar. Jika tidak, tentulah nabi S.A.W hanya akan menjanjikan sesuatu yang lebih dekat dan lebih mudah serta cepat untuk mendapatkannya.

Apa yang ingin dibawa oleh penulis khususnya kepda Mahasiswa dan mahasiswi yang sedang berada dalam fitrah Imtihan ini, agar kita mengahayati konsep Hijrah ini untuk mengaplikasikan "Percaya untuk berjaya" itu dengan sebaiknya.

Untuk mencapai kejayaan yang besar, tetapkan azam kita yang terbaik dan terbesar. Usahlah hanya berazam untuk mencapai natijah yang sekadarnya sahaja kerana kita pastinya akan berusaha dengan sekadarnya juga.

Namun, tetapkan azam dan niat untuk mendapat natijah yang terbaik, seterusnya dengan keyakinan dan kepercayaan tersebut akan membuahkan usaha yang terbaik untuk mencapainya.

Inilah yang telah diajar dan diimplimentasikan oleh rasulullah S.A.W melalui kisah hijrah yang penuh bermakna ini.

Di samping itu, janganlah lupa untuk menghayati dan mencerna konsep pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Saidina Abu bakar R.A. terhadap Rasululllah S.A.W, pengorbanan Abdullah bin Abu bakar sebagia penganalisis politik nabi S.A.W dan Asma' binti Abu Bakar, seorang serikandi berjiwa pejuang yang bertugasmembawa bekalan kepada rasulullah S.A.W dan Saidina Abu bakar Al-Siddiq R.A.

Begitu juga dengan pengorbanan Saidina Ali K.W.J kerana keberanian beliau untuk menggantikan tempat tidur Nabi S.A.W dan sifat amanah beliau memulangkan kembali barang-barang yang telah disimpan oleh golongan kafir Quraisy kepada nabi S.A.W.

Watak beramanah dengan prinsip yang telah ditunjukkan oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A juga turut memberi makna yang besar agar kita sebagai mahasiswa dan mahasiswa punyai jiwa yang sensetif dan cakna dengan isu yang melibatkan integriti dan hak mahasiswa itu sendiri.

Lihatlah bagaimana beliau dengan lantang mengistiharkan penghijrahan beliau kepada semua dengan pergi ke tengah-tengah kota Makkah dan berkata: "Barangsiapa yang ingin isteri-isterinya menjadi janda dan anak-anaknya menjadi yatim piatu, datanglah ke wadi ini esok untuk menghalang penghijrahan daku".

Namun, tiada seorangpun daripada kalangan kaum Quraisy yang datang untuk berhadapan dengan beliau.

Akhirnya, moga-moga ramuan yang telah dicerna melalui sirah yang agung ini akan memberi motivasi yang besar untuk melonjakkan paradigma kita seterusnya akan mampu untuk mencapai apa yang dihajatkan serta diimpikan seagai seorang mahasiswa islam.

Salam Imtihan 1432H.

Syeikh Muhd Mujahid in Sikh Nawawi,
Tahun 3, Takhassus Al-Quran Wal Qiraat,
Maahad Qiraat Shoubra, Kaherah, Mesir.








Kerjasama Erat Melancarkan Urusan Pengebumian

KAHERAH, 10 Dis - PMRAM mengucapkan sekalung penghargaan kepada ahli yang telah terlibat secara lansung dan tidak lansung dalam menguruskan jenazah Almahumah Adik Sofiyatul Ulya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Malaysia Haiyu asyir selepas selesai solat jenazah yang diimamkan sendiri oleh Tuan Presiden PMRAM Saudara Shahrizan Mohd Hazime dilakukan di dataran haiyu asyir.

Kelihatan kepimpinan Badan Pengurus dan Pimpinan PMRAM cawangan turut serta dalam urusan solat jenazah dan pengkebumian. Turut hadir juga Pegawai Kewangan Selangor Encik Daud mewakili pihak Pegawai Pelajar Selangor.

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM Saudara Mohd Farkhan Md Zain ketika ditemui menyebut, kerjasama yang pantas dari pihak pimpinan PMRAM Cawangan Tanta menyelesaikan urusan di sana banyak membantu untuk mempercepatkan pengkebumian. Satu surat kebenaran dari Kementerian Kesihatan Mesir Cawangan Tanta diperlukan untuk keizinan pengkebumian dilakukan di Mesir.

Tambahan beliau, apabila kes kematian berlaku, proses yang perlu dijalankan agak rumit kerana status kita sebagai rakyat asing yang memerlukan beberapa prosedur yang melibatkan pihak berwajib Mesir.

Penghargaan juga ditujukan buat pihak PMRAM Cawangan Terengganu dan Selangor yang sudi menyediakan sarapan kepada pengiring jenazah dari Tanta.

Seluruh yang terlibat diucapkan jutaan penghargaan samada terlibat secara lansung atau tidak langsung. Semoga kerjasama ini diteruskan demi melancarkan segala gerak kerja Islam kita sebagai Mahasiswa Islam.

Sumber: PMRAM

Jumaat, November 26, 2010

Semoga Allah sentiasa pelihara ahli PMRAM.


Beberapa kemalangan jalan raya yang berlaku sejak akhir2 ini amat membimbangkan mahasiswa-mahasiswi terutama bagi mereka yang berada di Muhafazah.

Banyak kejadian yang khususnya berlaku pada malam hari yang disebabkan oleh kenderaan yang terlalu laju serta pemandu tidak dapat mengawal kenderaan mereka amat merisaukan.

Penulis sangat berharap agar setiap mahasiwa/wi yang melakukan perjalanan dengan menggunakan apa jua jenis kenderaan agar sentiasa berdoa dan berhati-hati.

Baru-baru ini, berlaku lagi kemalangan yang melibatkan 6 orang pelajar Tanta yang mengalami kemalangan di Quaisina ketika mereka balik dari lapangan terbang selepas selesai menghantar pulang rakan mereka.

Kemalangan tersebut boleh dikatakan agak teruk kerana mereka tercampak daripada kenderaan awam (Tramco) yang mengakibatkan beberapa orang cedera di bahgian telinga,bahagian kiri muka dan jari serta kecederaan ringan.

Berita lanjut boleh didapati di web PMRAM : www.pmram.org

Semalam pula, berlaku lagi satu kemalangan yang melibatkan dua orang mahasiswa iaitu saudara Hadi daripada Perak dan saudara Talhah daripada K.L.

Dilaporkan saudara Talhah telah dimasukkan besi di dalam betisnya kerana kakinya patah. Saudara Hadi jugak mengalamai kecederaan di kaki. Dilaporkan jugak mereka dirawat di Hospital Raba'ah.

Moga-moga Allah S.W.T sentisa melindungi dan memberikan keselamatan kepada ahli dan aktivis PMRAM yang sentiasa ikhlas dalam membantu PMRAM untuk melaksanakan dasar penerapan Islam kepada seluruh Mahasiswa/wi di perlembahan Nil ini.

Sesungguhnya setiap ujian yang melanda Hamba-Nya adalah tanda kasih sayang dan rahmat Allah S.W.T.

Amiin ya rabbal'Alamiin...


Jumaat, November 05, 2010

Syadid bukan pada tempat akan memusnahkan banyak maslahah Islamiah


Dr yusuf Al-Qardhawi membawa beberapa persoalan penting ini sekitar bagaimana sifat Syadid, atau membuat penilaian dalam agama secara tidak tepat akan meruntuhkan serta menyumbang kepada Mafaasid ( keburukan) yang besar, sebagaimana ia menghilangkan banyak maslahah (kepentingan ) yang sepatutnya dimiliki oleh ummah.

Penulis suka untuk membawa secebis persoalan ini pada keluaran kali ini untuk menjadi penilaian bagi kita semua bahawa berkembangnya fikrah-fikrah yang jelas terpesong daripada landasan islam seperti Liberalisme dan sebagainya jelas boleh merosakkan jatidiri umat.

Golongan-golongan yang berfahaman terpesong ini, seringkali melihat bahawa soal penetapan Syariah perlu mengalami proses إعادة نظر (penyemakan dan penilaian semula) kerana pandangan-pandangan para ulama' terdahulu telah tidak sesuai lagi untuk berfungsi dalam suasana hari ini.

Ini juga tidak terlepas daripada mereka mendesak kepada seluruk gerakan-gerakan Islam kontemporari agar membuat penilaian semual terhadap dasar perjuangan dan penetapan Syariah yang dilihat oleh mereka telah terpesong daripada Maqasid yang sebenar.

Antara hujjah yang digunakan oleh golongan ini adalah kaedah hukum Islam yang menyatakan bahawa "Berubahnya hukum dengan berubahnya masa".

Namun, sebenenarnya pemahaman mereka sangat jelas terpesong kerana mereka mahu menyesuaikan tuntutan syariat tersebut selaras hawa nafsu dan kepentingam mereka sendiri.

Kefahaman mereka ini sebenarnya telah dibenarkan oleh Para Oreintalis bahawa keterikatan manusia dengan peraturan-peraturan antarabangsa yang dikuasai oleh Amerika dan sekutunya menyebabkan Jihad menjadi perkara yang sangat ditentang.

Sebenarnya, pemikiran-pemikiran yang lahir ini adalah terhasil daripada kesempitan akal mereka dalam memahami Islam secara Waqii'yyah (setempat).

Walaupun mereka sebahagiannya beragama islam, namun kedangkalan yang ada pada mereka telah membuka ruang untuk pihak musuh mencari titik kelemahan umat islam itu sendiri.

Sebab itulah , Dr yusuf al-Qardhawi amat menekankan agar kita kembali menilai bagaimana Islam sebagai sebuah agama yang sentiasa menyeru kepada kemudahan serta keringanan dalam melaksanakanSyariat Islam serta menyahkan pemikiran-pemikiran Syadid yang boleh merosakkan kepentingan umat Islam .

Islam yang difahami oleh golongan ini sudah tentu akan menyempitkan ruang lingkup syariat itu sendiri yang hanya berlegar dengan ungkapan bidaah, haram dan sebagainya.

Di mana kewarasan jika hanya bidaah sahaja menjadi ukuran hukum sedangkan Islam telah menetapkan -hukumhukum yang berlegar dalam kondusi Syariat itu seperti Wajib, Sunat, Haram, Makruh dan Harus.

Bagaimana, sebahagian mereka terlalu terbuka dalam memahami Bidaah sehingga kefahaman mereka itu terpesong dan jauh daripada realiti Islam.

Dr yusuf al-Qardhawi membawa contoh, ada sebahagian golongan yang datang ke Pakistan, dan mereka mendengar Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Khatib tersebut di dalam bahasa arab, mengenai peringatan agama dan isu-isu tempatan di situ. Namun, mereka mempelajari urusan agama di dalam bahasa tempatan mereka sebelumnya serta tidak pernah mendengar persoalan agama dibahaskan dalam bahasa arab.

lalu, bangunlah salah seorang daripada mereka, dan mengatakan dengan lantang bahawa apa yang disampaikan oleh Khatib tersebut adalah sesuatu yang Bidaah dan tidak pernah dilakukan oleh rasulullah S.A.W dan para Sahabat.

Di sini, jelas dilihat kecuaian golongan tersebut mengenai perkara yang penting, bahawa Rasulullah S.A.W tidak melakukan sesuatu perkara kepada para sahabat baginda, bukanlah perkara tersebut adalah bidaah dan sebagainya. Namun, ianya tidak menjadi hajat serta Dharurah pada waktu tersebut kepada para sahabat untuk dilakukan dan dibuat oleh rasulullah S.A.W.

Golongan arab, mereka bertutur dan berfikir mengikut kondusi masyarakat mereka. Begitulah juga bangsa-bangsa yang lain.

Dr yusuf al-Qardhawi menyimpulkan, sekiranya Khatib tersebut orang 'Ajam (bukan arab), maka harus untuknya menyampaikan khutbah di dalam bahasanya hingga mampu difahami oleh pendengar, dan inilah yang menjadi pandangan sebahagian Fuqaha'. Sedangkan Khutbah di dalama bahasa 'Ajam itu pula, bukanlah perkara yang dilakukan nabi S.A.W mahupun Para Sahabat. Jadi, ianya boleh diselesaikan sama ada mengekalkan Khutbah di dalam bahasa Arab untuk menjaga Syakal (luarannya- iaitu bahasa arab tersebut), dengan jaminan digantikan dengan pembelajaran sebelum atau selepas solat, iaitu memberi peringatan Agama kepada masyarakat.

Inilah pengamalan sesetengah Ulama' di Hindi, Pakistan, Turki dan sebagainya untuk memberi manafaat agama kepada masyarakat dan bangsa mereka sendiri.

Begitu juga, terdapatnya sesetengah golongan yang memperkatakan tentang Islam dalam keadaan mereka tidak memahami dan mengerti.

Ketika Dr yusuf Al-Qardhawi menghadiri "Multaqa Fikri Islami" yang keenam belas di Jazaair, beliau telah melihat lahirnya pandangan-pandangan yang begitu asing dan jauh daripada ajaran Islam. Ada salah seorang daripada mereka yang memberi fatwa yang mengatakan kepada isterinya "Allah melaknat kamu", maka isterinya menjadi haram ke atasnya dan perlu diceraikan.

Pandangan sebegitu amat menghairankan kerana ianya tidak pernah disebutkan oleh mana-mana Ulama' Islam sepanjang 14 kurun.

Apabila ditanya kepada mereka, daripada mana datangnya pandangan sebegini? maka dijawab ia adalah ijtihad daripada tanpa taqlid kepada sesiapa, dan beliau mengambil daripada sebuah hadis nabi S.A.W mengenai seorang perempuan yang melaknat unta betinanya, maka sabda nabi S.A.W "Usirlah ia kerana ia telah dilaknat".

Inilah akibat daripada tidak menilai penetapan Syariah secara tepat sehingga membuat Qias hukum pada bukan pada tempat Qias, iaitu menyamakan perempuan dengan unta betina dan mengambil dalil hadis yang datang pada situasi keadaan yang berlaku, yang dimaksudkan dengan pengajaran dan pendidikan pada hadith tersebut.

Begitu juga, hadith tersbut bukanlah datang dengan lafaz yang umum, sehingga boleh diambil hukum yang umum padanya.

Kesimpulannya, lahirnya pemikiran-pemikiran yang menyempitkan urusan Aqama itu akan mendatangkan banyak kesan buruk kepada manusia dan masalahah Ummah sedangkan Allah S.W.T telahpun menyeru manusia dengan kemudahan di dalam islam itu sendiri.

Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Nisaa' ayat 28 yang bermaksud:

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah".

Sabda nabi S.A.W:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَو آيَة

"Sampaikanlah dripadaku walau satu ayat"

Akhirnya, kita telahpun mengetahui sebagahaian daripada Mazaahir (tanda) kemudahan dalam Islam itu adalah, setiap yang disukai oleh Allah S.W.T dan rasulNya. Maka, apa jua yang melanggari dan menyalahinya, adalah daripada tanda-tanda Ta'siir (kesusahan) yang dibenci oleh Allah S.W.T dan rasulNya. Wallahua'lam..

Isnin, Oktober 25, 2010

Di mana nilai Integriti Mahasiswa.


Sejak kebelakangan ini, isu yang melibatkan integriti mahasiswa sering kedengaran ke cuping telinga.

Isu-isu yang timbul ini seolah-olah mengajak kita untuk bertafakkur sejenak merenung di manakah nilainya integriti insan-insan yang bergelar mahasiswa.

Sudahkah mahasiswa bebas daripada belenggu penjajahan pemikiran yang telah sekian lama membayangi mahasiswa bahawa tugas mereka hanyalah belajar, belajar , dan belajar serta nyahkan soal sensitiviti dan integriti!

Maka, sekiranya pemikiran itu terpatri dalam diri mereka , jadilah mahasiswa itu seumpama seorang budak belasan tahun yang bersalut jasad seorang insan yang sudah matang dalam menilai dan membawa sesebuah idealisme. Gah pada luaran, tetapi jiwanya amat rapuh!

Umapama harimau atau singa yang gah pada taringnya, begitu juga mahasiswa patut gah dengan taringnya iaitu integriti mahasiswa itu sendiri!

Usah biarkan pihak2 yang hanya punyai sedikit kelebihan material dan sebagainya untuk mematahkan taring mahasiswa.

Di Mesir, isu-isu yang melanda seputar integriti mahasiswa sepatutnya mematangkan kita dalam menilai soal integriti itu sendiri.

Isu Di Mansurah, Tanta yang melibatkan keprofessionalan beberapa penjawat awam yang dipertikaikan serta seputar isu Islamic Fashion Festival yang sangat memberi kesan kepada imej Islam di negara kita. begitu juga, isu-isu seputar kebajikan yang melibatkan hak Badan Kebajikan Anak Negeri, soal penafian zakat, isu amanah pegawai dan sebagainya turut menjadi bukti bagaimana landskap perjalanan tanggungjawab Institusi yang sepatutnya membantu mahasiswa mahasiswi di luar negara berada di tahap yang cukup tidak memuaskan.

Jelasnya, isu integriti yang telah mula kedengaran ini adalah satu turning point untuk mahasiswa kembali bangkit mencari dan membina serta memperkukuhkan identiti dan jatidiri di bawah satu bumbung kesatuan dan fikrah.

Bahkan, inilah yang telah disemai oleh PMRAM, melalui amanat emas yang telah disampaikan oleh Pres PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime sendiri ketika jaulah ke seluruh Muhafazah, agar mahasiswa dan mahasiswi cakna dengan soal integriti serta hak dan maruah.

Gunakan saluran yang telah ada..borang aduan hak mahasiwa yang telah berlegar di sekitar anda melalui BKAN dan DPM masing-masing harus digunakan dengan sebaiknya kerana itu adalah satu bukti dan hujjah untuk mengembalikan soal hak dan maruah mahasiswa dan mahasiswi.

Ingatlah, pemuda itu seumpama matahari yang sedang terik membakar...usah sekali-kali dipertiakaikan teriknya cahaya matahari itu, kelak ia akan membakar dengan terik cahaayanya!

Kemantapan Fikrah, membina Syakhsiah!

Sabtu, Oktober 23, 2010

Video dan fikir.

Di bawah ini, penulis sisipkan satu video yang beroientasikan nasihat2 berdasarkan keindahan ciptaan alam untuk menjadi bahan resapan dan nilaian jiwa kita..Cukup sekadar beberapa minit untuk sedikit menyegarkan jiwa dengan peringatan Agama.

Sumber : www.zaharuddin.net


Menara Warisan Merdeka- Pertimbangan adalah wajar


Cadangan Kerajaan untuk membina Menara Warisan Merdeka yang berharga lebih 5 Bilion dan memakan masa lebih kurang 10 tahun, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2020 yang akan datang, wajar dipertimbangkan daripada segala aspek pembangunan dan taraf hidup masyarakat sebelum ianya direalisasikan.

Cadangan yang diumumkan di dalam Bajet 2011 itu, adalah di antara salah satunya untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu tarikan pada masa akan datang.

Namun, di sebalik daripada proses untuk terus membangunkan kemajuan negara mengikut rentak ketamadunan hari ini, tidak salah sekiranya asas terhadap keperluan rakyat itu dilihat sebagai salah satu agenda yang besar dalam pembangunan ketamadunan sesebuah negara.

Ini adalah sesuai mengikut acuan sesebuah ketamadunan kerana ahli atau rakyat memainkan peranan yang sangat penting dalam landskap pembangunan negara itu sendiri.

Maka, tidak salah sekiranya bahan asas ini diberikan keutamaan sebelum mencerna bahan-bahan tambahan demi untuk melengkapkan lagi kemajuan negara.

Penulis beranggapan, taraf hidup penduduk atau rakyat di luar bandar, khususnya di pedalaman masih banyak lagi yang perlu diberikan keutamaan untuk mereka keluar daripada kesempitan hidup serta merasa kebersamaan hidup yang senang dan tenang di dalam Negara yang berbilang kaum.

Begitu juga, Islam tidak menghilang sama sekali menghalang kemajuan sesebuh tamadun..Namun, bagaimana prinsip keadilan yang sebenarnya dapat diterapkan di kalangan rakyat itulah perkara asas yang lebih utama untuk diselesaikan.

Moga-moga, cadangan untuk memperuntukkan sebanyak 5 bilion tersebut yang jumlahnya adalah sangat besar, dapat dikaji dan dipertimbangkan agar wang tersebut dapat dimanafaatkan dengan lebih baik untuk membantu mereka yang lebih memerlukan serta menaiktaraf fungsi kebajikan dan pendidikan masyarakat itu sendiri.

Ulasan mengenai perkara ini boleh juga dilayari di web rasmi PMRAM : www.pmram.org

23 Oktober : Solat Hajat Perdana "Ya Allah Selamatkan Kutub Sittah" Dan Penerangan Isu Semasa

sumber: www.pmram.org

KAHERAH, 21 Oktober - PMRAM Pusat akan menganjurkan Solat Hajat Perdana "Ya Allah, selamatkan Kutub Sittah" dan penerangan isu-isu semasa pada 23 Oktober, iaitu pada hari Sabtu di Rumah Kelantan Baru, Hayyu Sabik.

Ini berikutan kepada 2 perkara besar yang ingin disampaikan kepada ahli semuanya iaitu berkenaan penerangan bagi program Kutub Sittah Siri II dan penjelasan isu-isu seputar yang berlaku di kalangan mahasiswa/wi Islam di Mesir baru-baru ini.

Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan berkata bahawa program ini dianjurkan bagi menjawab segala persoalan yang berlaku ke atas program Kutub Sittah Siri II dan isu-isu semasa. Dan ia merupakan kesinambungan daripada solat hajat "Ya Allah, selamatkan Kutub Sittah' di seluruh PMRAM Cawangan dilaksanakan pada 21 OKtober, malam ini.

PMRAM begitu optimis untuk menjayakan program Kutub Sittah Siri II pada tahun ini walaupun pada tahun lepas cuba digagalkan oleh pihak tertentu.

Pengarah Kutub Sittah Siri II, Saudara Yusuf A. Kadir berkata bahawa kini penyertaan sudah menjangkaui 1000 peserta dan ia merupakan satu sejarah agung bagi PMRAM dalam menganjurkan satu program talaqqi bersama Masyaikh Al-Azhar secara besar-besaran.

Bahkan pada tahun ini, pihak pengurusan Kutub Sittah Siri II akan meraikan mahasiswa/wi tahun akhir yang sudah pun berdaftar dengan Majlis Hi-Tea bersama Masyaikh Al-Azhar yang akan dilaksanakan pada 1 November, malam.

Pihak beliau juga berkata, pada 23 Oktober nanti, lokasi pengajian Kutub Sittah Siri II akan dimaklumkan secara rasmi yang mana menjadi tanda tanya bagi semua peserta yang sudah berdaftar khususnya.

Selepas itu, penerangan isu-isu semasa akan disampaikan oleh beberapa pihak terbabit dalam membawa dan menjelaskan isu-isu hangat yang berlaku ke atas mahasiswa/wi baru-baru ini.

Ia melibatkan hak dan maruah integriti mahasiswa Islam, dan mempunyai kaitan dengan usul PMRAM pada tahun ini iaitu 'mendesak pihak berwajib untuk meningkatkan peranan dan integriti dalam menangani isu mahasiswa dengan lebih adil dan serius'.

Pihak PMRAM berasa kesal dengan beberapa isu yang berlaku, dan atas inisiatif tersebut di bawah Badan Penerangan Dan Penerbitan penjelasan isu-isu semasa akan dilaksanakan bersama-sama dengan Solat Hajat Perdana "Ya Allah, Selamatkan Kutub Sittah" pada 23 Oktober ini di Rumah Kelantan Baru yang dijadualkan bermula pada waktu Maghrib.

Semua mahasiswa/wi dijemput untuk sama-sama berdoa akan keselamatan Kutub Sittah Siri II yang bakal berlangsung dan mendengar penjelasan isu-isu semasa yang berkaitan mahasiswa/wi Islam di Mesir ini.

Sabtu, Oktober 16, 2010

Masuk Syurga penuh penghormatan




Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T di atas kurniaan seluruh nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita.

Sehingga ke hari ini,nadi kita masih lagi berdenyut...Nafas kita masih lagi berfungsi..akal kita masih lagi bergerak...serta seluruh jasad anggota kita masih lagi hidup, untuk terus gagah melaksanakan seluruh tuntutan Allah S.W.T.

Ianya diciptakan oleh Allah S.W.T bukan dengan bayaran duit..bahkan bukan dengan bayaran kegagahan dan kekuatan tubuh badan kita..tapi ianya dikehendaki oleh Allah S.W.T untuk dibayar dengan 'Ubudiyyah' dan taat kepada seluruh perintah Allah S.W.T.

Jika dunia menghendaki sesuatu itu dibayar dengan nilaian dunia seperti wang, harta dan sebagainya, maka untuk jasad yang bergerak ini, bayarannya adalah nilai kehambaan seorang hamba kepada Rabb-Nya.

Adanya malam berpasangan dengan siang, bulan berpasangan dengan matahari, lelaki berpasangan dengan wanita..begitu juga jasad itu berpasangan dengan roh. Hilang salah satunya, maka tidak ada nilainya lagi salah satu yang lain.

Maka begitulah juga, jika waktu malam itu fungsinya berehat, maka siang itu fungsinya bekerja. Begitu juga,lelaki itu fungsinya bekerja, dan wanita itu fungsinya membahagia...maka begitulah juga halnya dengan roh dan jasad.

Bagaimana caranya jasad itu boleh membahagiakan roh..maka jawabnya adalah dengan memperbanyakkan amal..jasad itu berkorban untuk roh sebagaimana seorang lelaki berkorban untuk wanita, siang mengundur diri jika tiba malam dan sebagainya.

Inilah satu perkara yang jika difahami dengan sebaiknya, maka layaknya penghormatan syurga itu untuknya.

Inilah yang boleh difahami daripada sebuah hadith yang di antara hadith terawal yang disabdakan oleh Nabi S.A.W di Madinah, yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Salam. Nabi S.A.W bersabda:

أطعموا الطعام , وأفشوا السلام , وصلوا الأرحام , وصلوا الليل والناس نيام ,أن تدخلوا الجنة بسلام

'Berilah olehmu makanan, dan seberkanlah salam, sambungkanlah silaturrahim , dan bersolatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, sesungguhnya kamu akan memasuki syurga denagn penuh penghormatan'

Itulah antara bukti keseimbangan di antara tuntutan roh dan jasad.

Teori inilah yang telah dicerna oleh ulama' yang terdahulu sehingga bukan sahaja mereka kaya dengan amalan dan taqarrub keapda Allah S.W.T, namun jiwa mereka juga bergerak untuk membangunkan dan membawa obor Islam ke seluruh alam.

Fahami lima bentuk amalan jiwa dan jasad sebagaimana tulisan Saiid Hawwa' dalam Kitabnya 'Jundullah' berkenaan lima bentuk Jihad:

1-Jihad dengan Lisan.
2-Jihad dalam bentuk pendidikan (Ta'liim).
3-Jihad dengan tangan dan jiwa.
4-Jihad dalam bentuk politik Islam.
5-Jihad harta-benda.

Wallahua'lam...

Penyertaan Kutub Sittah Menjangkau Hampir 1000 Orang



KAHERAH, 16 Oktober - Penyertaan Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri 2 PMRAM 2010 kini menjangkau hampir 1000 penyertaan.

Ini adalah satu perkembangan yang baik setelah penyertaan melebihi 900 orang pada Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri pertama tahun lepas.

Menurut Jawatankuasa Pendaftaran Kutub Sittah Siri II, Saudara Mohamad Syafiq bin Ghani,sehingga kini, masih banyak penyertaan yang sedang diterima daripada seluruh BKAN dan DPM cawangan.

Pendaftaran yang diterima pula terdiri daripada peserta mahasiswa dan mahasiswi seluruh peringkat sama ada pengajian Islam, Perubatan dan sebagainya.

PMRAM Optimis dan berkeyakinan, penyertaan yang disasarkan sebanyak 1000 orang akan dapat dicapai dengan perkembangan penyertaan yang diterima sekarang.

Bagi sesiapa yang masih belum mendaftar sebagai peserta bolehlah berbuat demikian di Unit Pendidikan dan Pengetahuan PMRAM setiap cawangan sebelum 18 Oktober 2010 dengan bayaran yuran sebanyak LE 170.00.

Layari www.kutubsittah-pmram.blogspot.com

Sumber: Web PMRAM

Adakah Sampai Pahala Bacaan Al-Quran Yang Di Hadiahkan Kepada Si Mati ?

Sumber:Klik di sini

Persoalan ini sudah sekian lama di bahaskan dan di perbincangkan oleh masyarakat Islam, semenjak zaman dahulu hinggalah sekarang. Mengenai permasalahan ini, kita sebagai seorang muslim yang berfikiran waras tidak perlu menjadikan ia sebagai perbahasan utama dan bertelingkah sesama sendiri untuk menegakkan hujah masing-masing. Apa yang lebih penting adalah kesatuan ummah daripada berpecah dengan hanya berpunca daripada masalah furuq ( cabang ) sahaja, dan kita juga perlu memiliki sikap toleransi sesama kita dalam menyampaikan hujah dan menerima sesebuah pendapat, walaupun pandangan tersebut nyata berbeza dari kefahaman yang kita amalkan. Silapnya sesetengah golongan, terlampau menyempitkan hukum yang asalnya dibolehkan oleh syarak. Sikap inilah yang dikatakan sebagai bid’ah yang sebenar oleh Dr ‘Ali Jum’ah Mufti Kerajaan Mesir “menyempitkan sesuatu perkara yang dibolehkan oleh syarak”. Untuk menjawab pertanyaan daripada pengunjung blog ini, insyaAllah saya akan datangkan perselisihan pendapat daripada kalangan Ulamak secara ringkas sebagai panduan dan pedoman kita bersama.
Perselisihan Ulamak
a) Pendapat Pertama
Pendapat yang Mashur dalam Mazhab Imam Malik dan Mazhab Imam As-Syafie “sesungguhnya bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati”.
b) Pendapat Kedua
Pendapat dari Mazhab Imam Ahmad dan pendapat kebanyakkan dari kalangan Ulamak mutaqaddiminsesungguhnya bacaan Al-Quran itu sampai kepada si mati”.

Dalil Pendapat Pertama
Mereka mendatangkan dalil dengan firman Allah S.W.T :
وأن ليس للإنسان إلا ما سعى..
Maksudnya:
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang insan melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. (Surah An-Najm, ayat 39)

Imam Al-Hafiz Ibnu Khathir berkata dalam tafsirnya : “Dari ayat ini Imam As-Syafie dan pengikutnya berpendapat bahawa bacaan Al-Quran yang dihadiahkan tidak sampai kepada si mati, kerana bacaan itu bukan amalannya dan bukan juga dari usahanya”. (Tafsir Ibnu Khathir, surah An-Najm).

Penilaian Dalil Yang Digunakan Oleh Pendapat Pertama Seperti Berikut :

Ø Ayat ini tidak menafikan seseorang boleh mengambil manfaat dari amalan orang lain, akan tetapi maksud ayat ini hanya semata-mata menafikan memiliki amalan yang bukan dilakukan olehnya sahaja. Daripada kedua maksud ini, nyata sangat jelas perbezaannya. Allah S.W.T menjelaskan bahawa manusia tidak memiliki kecuali amalan yang dilakukan olehnya. Adapun amalan yang di miliki oleh pengamalnya, maka ia menjadi hak kepada pengamalnya sama ada pahala amalan tersebut ingin dihadiahkan kepada sesiapa sahaja atau ia membiarkan amalan tersebut untuk dirinya sendiri. Kerana jelas pada ayat ini, Allah S.W.T tidak berfirman “ Seseorang tidak akan mengambil manfaat melainkan apa yang dilakukannya”. Jika begini ayat Al-Quran nescaya secara mutlak tidak akan sampai pahala sesuatu amalan kepada si mati.

Ibn Qayyim berkata : “Guru kami ( Ibn Taimiyyah ) memilih pendapat ini dan mengatakan ia Rajih. ( Ar-Ruuh, m/s 179 ). Jika di lihat kepada pendapat ini, Ibnu Qayyim sendiri tidak menerima pendapat yang mengatakan “tidak sampai pahala bacaan Al-Quran kepada si mayat”.

Dalil Pendapat Kedua

1) Hadis riwayat dari Imam Tabrany dalam Al-Mu’jam Al-Kabir :

مارواه عبد الرحمن بن العلاء بن اللجلاج, عن أبيه قال : قال لي أبي - اللجلاج أبو خالد - : يابني! إذا أنا مت فالحدني, فإذا وضعتني غي لحدي فقل : بسم الله, وعلى ملة رسول الله, ثم سن علي التراب سنا, ثم اقرأ عند رأسي بفاتحة البقرة وخاتمتها, فإني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ذلك.

Maksudnya :
Berkata bapaku ( Al-Lajlal Abu Khalid ) : “Wahai anakku, jika aku meninggal dunia, maka kebumikan aku. Jika setelah engkau letakkan aku dalam liang lahad, katakanlah : ‘Dengan nama Allah di dalam agama Rasulullah S.A.W’, kemudian timbuskan tanah ke atas ku, kemudian bacakan di kepalaku permulaan Ai-Baqarah dan Akhirnya. Ini kerana aku mendengar Rasulullah S.A.W menyebut sedemikian. ( Mu’jam Al-Kabir, juzuk 19, m/s 220 ).

2) Hadis riwayat dari Imam Tabrany dan Imam Baihaqi meriwayatkan dari Ibn Umar r.a :

عن ابن عمر رضى الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : " إذا مات أحدكم فلا تحبسوه وأسرعوا به إلى قبره واليقرأ عند رأسه فاتحة الكتاب".

ولفظ رواية البيهقي : "بفاتحة البقرة وعند رجليه بخاتمة سورة البقرة في قبره".

Maksudnya :
Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : “Jika seseorang meninggal dunia, jangan dibiarkan ia terlalu lama, segerakanlah jenazah ke kubur dan bacakan di kepalanya permulaan Al-Quran ( dari awal surah hingga ayat yang kelima surah Al-Baqarah). ( Al-Mu’jam Al-Kabir, juzuk 12, m/s 444 ).

Dan melalui riwayat Imam Baihaqi : “Bacakan permulaan Al-Baqarah dan pada kakinya penutup surah Al-Baqarah ( ayat ke 285 dan 286 ) ketika dalam kuburnya”. ( Syu’ab Al-Iman, juzuk 7, m/s 173 ).

3) Terdapat juga dalil daripada Hadis berkenaan membaca surah Yasiin kepada si mati, seperti berikut :

حديث معقل بن يسار, عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " اقرءوا (يس) على موتاكم"

Maksudnya :
Daripada Nabi S.A.W bersada ia : “Bacalah surah Yasiin ke atas orang yang meninggal dikalangan kamu”. ( -Musnad Imam Ahmad, juzuk 5, m/s 26 -, - Sunan Abu Daud, no hadis 2131 -, - Sunan Ibn Majah, no hadis 1522 -, - Sohih Ibnu Hibban, juzuk 7, m/s 269 - ).

4) Imam Al-Bukhari juga ada meletakkan sebuah tajuk dalam sahihnya:

(باب قراءة فاتحة الكتاب على الجناجة )

Ini adalah dalil umum bahawa dibaca ayat Al-Quran itu ketika dalam solat jenazah atau di luarnya. Daripada bab ini juga membuktikan bahawa dibaca ayat Al-Quran ketika mengkafankan jenazah dan selepas mengkebumikannya sepertimana hadis riwayat Ibn Umar r.a yang telah dinyatakan pada sebelum ini.

5) Para Ulamak juga mendatangkan dalil bahawa sampai pahala bacaan kepada si mati, dengan mendatangkan qias daripada hadis Ibn ‘Abbas r.a mengenai kisah dua orang ahli kubur yang sedang di azab, lalu Rasulullah mengambil pelepah tamar yang dibahagi dua, dan ditanamkan ke atas kedua-dua kubur tersebut, seraya bersabda seperti berikut :

" لعله يخفف عنهما ما لم ييبسا ".
Maksudnya :
“Mudah-mudahan pelepah tamar tersebut boleh meringankan azab mereka berdua selagi pelepah itu masih basah ( tidak kering )”. (Sahih Imam Bukhari, juzuk 1, m/s458, no hadis 216 ).

Imam Al-Khattabi berkata : “Hadis ini membuktikan bahawa dibolehkan membaca dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati, kerana jika mereka yang diringankan azab hanya dengan disebabkan pelepah tamar sahaja yang bertasbih, apatah lagi seorang muslim membaca Al-Quran yang lagi besar fadhilat dan keberkatannya”. ( ‘Umdatul Qori, juzuk 3, m/s 118 )

Berdasarkan dalil ini, maka lebih utama pahala tersebut sampai kepada si mati, dengan bacaan dari seorang yang hidup.

6) Syeikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari berkata : “Solat jenazah tidak disyariatkan melainkan hanya untuk memberi manfaat kepada si mati dan memperoleh syafaat untuk si mati dalam solat dengan bacaan doa dan istighfar. Jika sampai kepada si mati berdasarkan apa yang terkandung dalam solat itu yang terdiri dari bacaan doa dan istighfar, maka begitu juga sampai apa yang terdapat di dalam Al-Quran, keduanya sama sahaja”. ( Taudhih Al-Bayan Li Wusul Thawab Al-Quran ).

Kesimpulan

Menurut pandangan Imam An-Nawawi berdasarkan kedua-dua pandangan ini, beliau berpendapat bahawa : Hendaklah kepada pembaca Al-Quran berdoa setelah selesai bacaannya : “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si fulan”. (Al-Azkar, m/s 193-194). Instinbat yang diberikan oleh Imam An-Nawawi ini merupakan penyelesaian kepada pertikaian di antara dua pendapat ini.
Pandangan ini boleh dikaitkan keharusannya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti berikut :
إذا مات ابن أدم انقطع عمله إلا من ثلاثة : صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له.
Maksudnya :
“Jika mati seorang anak Adam, nescaya akan putus amalannya kecuali tiga perkara : Sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat atau anak soleh yang mendoakannya”. ( Sahih Imam Muslim, juzuk 3, m/s 1255 ).
Ini adalah salah satu dalil yang menunjukkan doa seseorang kepada si mati sampai, sedangkan Al-Quran lebih afdhal berbanding doa. Kesimpulan yang boleh dibuat walaupun ada khilaf di antara ulamak berkenaan sampai ataupun tidak pahala bacaan seseorang kepada si mati, maka berdasarkan hadis ini doa kepada si mati tidak ada sebarang khilaf dikalangan ulamak salaf dan khalaf. Oleh itu, adalah lebih baik setelah selesai bacaan Al-Quran itu kita sertai dengan doa dan harapan agar Allah menerima amalan yang dilakukan dan moga-moga pahala bacaan tersebut sampai kepada si mati. Perbuatan ini juga bertepatan dengan amalan masyarat Melayu kita di Malaysia mahupun di nusantara umumnya, seperti bacaan yasiin, tahlil dan sebagainya. Segala amalan ini akan sampai pahalanya kepada si mati insyaAllah, kerana di akhir amalan tersebut akan diiringi dengan doa akan kesejahteraan kepada si mati. Waallahua’lam.

Penutup

Membaca Al-Quran kepada si mati merupakan permasalahan cabang yang berlaku khilaf di kalangan ulamak, dan ia tiada kaitan dengan persoalan akidah yang boleh menggugurkan pegangan seseorang muslim. Jadi mengenai perbahasan ini tidak perlu diperbesarkan lagi sehingga boleh menimbulkan puak-puak dikalangan masyarakat orang Islam, hanya disebabkan dengan masalah yang yang kecil ini.

Bersama Artikel ini dilampirkan beberapa cadangan nama-nama kitab kepada pembaca sebagai rujukan untuk mendapat pengetahuan dengan lebih mendalam lagi berkenaan permasalahan ini :

1) Kitab Jamik, bab Al-Qiraah ‘Ala Al-Kubur, oleh Imam Abu Bakar Al-Khallal Al-Hambali.
2) Perbahasan yang sama oleh Imam Al-Hafiz Syamsuddin bin Abdul Wahid Al-Maqdisi Al-Hambali.
3) Kitab At-Tazkirah Fi Ahwal Al-Mauta Wa Umur Al-Akhirah, oleh Imam Al-Qurthubi Al-Maliki.
4) Kitab Syarah As-Sydur Bi Syarhi Hal Al-Mauta Wa Al-Kubur, oleh Imam Al-Hafiz As-Sayuthi As-Syafie.
5) Taudhih Al-Bayan Li Wusul Thawab Al-Quran, oleh Al-Hafiz As-Sayyid Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari.


Disediakan oleh :
Mohamad Hanif B Haron
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM


Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita