;

Sabtu, Oktober 31, 2009

Ingatan Bersama

Assalamualaikum buat semua teman-teman yang dihormati sekelian..

Maaf kerana agak terlewat update blog...ketiadaan internet di rumah dan beberapa masalah memberikan sedikit kesukaran untuk update..walaubagaimanapun, insyaAllah penulis akan cuba juga mencari masa terluang untuk jengah ke blog dan menambah bahan-bahan bacaan di dalam blog ini.

Baru-baru ini, di YahooGroup penulis (YG), sampai satu emel yang di forwardkan oleh rakan-rakan. Emel itu menceritakan tentang satu kejadian aneh yang berlaku di Dagestan , wilayah selatan Rusia.

Ianya sangat memberi satu bentuk keinsafan kepada seluruh umat Islam di dunia umumnya dan umat Islam di wilayah tersebut.

Malah, kejadian aneh yang berlaku jarang sekali di alam Islami ini seolah-olah memberi satu isyarat agar umat Islam kembali bersatu di bawah ikatan Aqidah yang syumul serta mengelakkan sebarang bentuk perpecahan.

Begitulah permuafakatan yang telah dicapai sebulat suara oleh majlis mufti Russia terhadap seluruh penduduk di wilayah tersebut yang mana menurut mereka, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.

gambar-gambar ini membuktikan akan kebesaran Allah s.w.t. yang dipertontonkan kepada manusia sebagai muhasabah untuk seluruh umat Islam.









Sesungguhnya apa yang berlaku kepada bayi berusia 9 bulan yang bernama Ali Yakubov adalah cebisan daripada kebesaran Allah yang tetap mempunyai hikmah-hikmahnya yang tersendiri.

Jika kejadian seperti Tsunami, gempa di Padang Indonesia, ribut Katrina, dan sebagainya juga keadaan yang berlaku pada bayi ini contohnya tidak mampu juga memberi keinsafan kepada manusia selaku hamba Allah yang menyatakan keimanan baik dengan hati, lisan dan amal perbuatan kita, maka layaklah golongan-golongan ini menerima balasan yang setimpal bagi perbuatan mereka.


Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Ankaabut ayat 2,3, dan 4 yang bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? . Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu".
Penulis sisipkan kembali berita mengenai kejadian aneh ini untuk bacaan bersama:

MOSCOW - Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.

Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.

Salah satu ayat itu bermaksud: "Allah ialah Pencipta segala yang ada.".

Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan mengalami demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.

Semasa dia dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. - Agensi

MOSCOW - Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.

Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.

Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.

"Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia menangis," kata ibunya Madina Yagubova.

Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu.

aparan mengenai kejadian aneh di Dagestan , wilayah selatan Rusia yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video YouTube.

"Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi menyedarkan penduduknya supaya bersatu," kata seorang ahli parlimen di wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. - Agensi.
Semoga kita sentiasa ditetapkan hati-hati kita bersama insyaAllah ta'ala. moga Allah s.w.t. sentiasa merahmati dan mengampunkan dosa-dosa kita . Amiin..

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat baginda siapakah golongan yang selamat;
Maka rasulullah s.a.w. bersabda: "Mereka adalah orang-orang yang mengikutiku dan mengikuti sahabat-sahabatku. Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah s.w.t. laksana berada si atas mimbar yang terbuat daripada cahaya. Mereka itu orang-orang yang berlaku adil di dalam menetapkan hukum baik kepada rakyat mahupun keluarga".- Hadith Riwayat Muslim.










Isnin, Oktober 19, 2009

Jadikan diri Kunci Kebaikan.

Alhamdulillah, selaut kesyukuran kita ucapkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana masih memberi peluang kepada kita selaku hamba untuk merasai nikmat hidup di atas muka bumi Allah s.w.t. yang tidak terhitung nikmatnya kepada kita ini, seterusnya kita dipilih pula oleh Allah s.w.t. untuk diberi nikmat Iman dan Islam yang mana tidak diberi melainkan kepada orang yang dikehendaki oleh-Nya.

Di dalam seharian kehidupan kita, kita tidak terlepas daripada bebanan dan taklifan hidup sebagai seorang hamba yang dikurniakan iman oleh Allah s.w.t. Ramai tidak menyedari bahawa kehidupan di atas muka bumi ini tidak semata-mata disediakan oleh Allah s.w.t. tanpa sebarang hadaf atau objektif, tetapi Allah s.w.t. menghendaki setiap hamba-Nya untuk menghargai hidup sebagai seorang hamba berpandukan wahyu al-Quran dan al-Sunnah yang mulia lagi agung.

Fenomena kebejatan akhlak dan aqidah yang melanda seluruh dunia islam hari ini sangat membimbangkn kita. Di Mesir umpamanya, doktrinisasi barat dan yahudi ini sangat dilihat berjaya merubah kehidupan masyarakat arab di sini. Baik pakaian, makanan seperti K.F.C dan Pepsi, coca-cola dan sebagainya, menjadi kehidupan mereka. Di salah sebuah lorong yang berdekatan dengan rumah penulis sendiri di Shoubra, Qahirah, sering menjadi tempat lepak muda-mudi terutama perempuan untuk menikmati rasa Pepsi dan Coca-cola. Di Cyber café begitu juga, tidak ada urusan ilmiah yang dibuat dengan kemudahan computer dan internet, tetapi mereka lebih suka memenuhi tempat tersebut untuk bermain game, tengok cerita dan ada yang ambil kesempatan (tengok bahan porno). Apa nak jadi tak tahulah!

Di Malaysia pun mungkin lebih kurang keadaannya.Tak perlulah penulis ulas panjang kerana ada perkara yang lebih penting untuk dikongsi di sini. Apa yang utama, kita mesti sentiasa ambil berat masalah-masalah yang berlaku disekeliling kita terutama yang melibatkan umat Islam itu sendiri.

Bagi kaum Yahudi laknatullah ‘alaih, mereka punyai tiga peranan utama yang ingin dijalankan terhadap umat Islam di seluruh dunia iaitu Komunisme, Sekularisme, Kristianisme..Cuba kita perhatikan pada tungku kaki tiga yang kita perhatikan di kampung-kampung, yang mana digunakan untuk memasak air , nasi dan sebagainya ketika kenduri yang besar. Jika salah satu kakinya dikeluarkan, sudah tentu periuk tidak mampu diletakkan dalam keadaan stabil. Begitu juga dengan matlamat yahudi ini, jika salah satu daripada matlamat mereka mampu dipatahkan, maka kekuatan mereka akan semakin lumpuh serta keadaan mereka tidak lagi stabil. Di sinilah peranan seluruh umat Islam perlu dimainkan. Jangan jadi golongan yang hanyut di dalam dunia fantasi ciptaan mereka sendiri!.

Tajuk di atas sesuai untuk mengambarkan diri kita sebenarnya. Kita sebagai orang Islam harus sedar bahawa peranan kita sangat besar. Maksudnya, kehidupan kita di atas muka bumi ini haruslah sentiasa memberi manafaat kepada diri kita dan orang lain. Di situ terbinanya peranan setiap ilmu yang kita pelajari. Apa gunanya kita diberi peluang hidup oleh Allah s.w.t. tetapi dalam masa yang sama kita tidak sedar atau buat-buat tidak sedar peranan kita sendiri!

Orang yang beruntung itu adalah orang yang sentiasa menginginkan dirinya menjadi punca kepada orang lain mendapat hidayah Allah s.w.t. Sekiranya aktiviti kita seharian tidak dipenuhi dengan perkara yang boleh menguntungkan Islam dan Ummahnya, bagaimana mungkin diri kita mampu menjadi asbab kepada hidayah Allah s.w.t..bahkan kita telah diingati tentang azab Allah s.w.t. yang sangat pedih di hari akhirat kelak akibat ilmu yang kita ada tidak mampu memberi manafaat kepada diri kita sendiri.


Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata".
Sesungguhnya syaitan tidak akan mungkin berputus asa daripada terus menghasut anak Adam hingga ke hari kiamat kelak, kerana itulah sebesar-besar janji mereka kepada Allah s.w.t.

Saidina Ali k.w.j. pernah berkata:
“Setiap nikmat itu ada kunci yang membukanya dan ada kunci menyelaknya( menguncinya). Kunci yang membukanya adalah sifat sabar dan kunci yang menyelaknya ada sifat malas”.

Sesungguhnya kesabaran di dalam perkerjaan dan amal yang kita lakukan amatlah penting untuk menjadikan diri kita sentiasa ingat kepada perintah Allah s.w.t. serta takut untuk melakukan larangan-Nya.

Daripada Sahal bin Saad r.a. berkata, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kebaikan itu laksana beberapa gudang. Dan bagi gudang-gudang itu ada anak kuncinya. Maka untung sekali bagi seseorang hamba yang telah dijadikan oleh Allah s.wt sebagai anak kunci kebaikan, penutup bagi kejahatan. Dan celaka bagi seorang hamba yang menjadi anak kunci bagi kejahatan, dan penutup bagi kebaikan.”

Tidakkah kita merasa apa-apa tatkala rasulullah s.a.w. memberi peringatan sebegitu rupa!. Mahukah kita diletakkan sebagai golongan yang mendapat kecelakaan Allah s.w.t di akhirat kelak, akibat diri kita yang memlih untuk menjadi penyebab kepada orang lain untuk melakukan kejahatan.

Ketika penulis berjalan pulang sebelum memulakan tulisan ini, penulis melihat dua orang remaja bergaduh secara serius. Tidak tahu apa puncanya. Walaupun setelah ianya terlerai, seorang remaja yang masih tidak puas hati, mengambil batu lalu membaling ke arah lawannya itu, hampir-hampir saja terkena kepada seorang perempuan yang lalu berhampiran kawasan itu. Ia mungkin fenomena biasa yang berlaku, cuma penulis ingin bangkitkan persoalan bahawa ianya datang daripada diri manusia itu sendiri. Jika dia memilih untuk menjadi anak kunci kejahatan, maka yang akan menerima kesannya adalah dirinya juga, dan tidak akan ada untungnya!

Di mana-mana pun, bila kita sudah bersatu dan membina satu kesatuan yang paksinya al-Quran dan al-Sunnah, maka kita adalah merupakan anak-anak kunci kepada kebaikan itu sendiri. Kita juga, berperanan untuk menutup pintu-pintu ini daripada sebarang unsur kejahatan yang boleh memecah-belahkan kesatuan kita semua. Jika ada di kalangan mereka-mereka yang mencipta propaganda untuk meruntuhkan kesatuan tersebut atas apa jua jenama yang mereka cipta, maka secara jelas mereka itu adalah umpama anak-anak kunci kejahatan yang ingin menutup pintu-pintu kebaikan!.

Golongan-golongan ini harus sedar inzar dan peringatan yang telah diberikan oleh rasulullah s.w.t. sendiri serta balasan yang bakal menanti mereka!

Sebagai orang Islam, kita mesti mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenaran al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, malah ia merasa bangga pula dengan kejahatan yang dilakukannya, seolah-olah dia telah menolak segala kebenaran yang terdapat pada setiap sabdaan nabi s.a.w. itu sendiri.

Daripada Ibnu Umar bin al-Ash r.a. berkata: “ Adalah aku menulis segala sesuatu yang aku dengar daripada rasulullah s.a.w., lalu orang-orang Quraisy melarang aku daripada yang demikian itu dan mereka berkata: Apakah engkau menulis segala sesuatu yang diucapkan oleh rasulullah s.a.w., sedangkan beliau adalah seorang manusia biasa yang bercakap-cakap dalam keadaaan redha dan marah! Maka aku pun berhenti daripada menulis segala perkataan rasulullah s.a.w. yang aku dengar, sehingga sampai satu masa aku menyebutkan yang demikian itu kepada rasulullah s.a.w.Maka baginda mengisyaratkan dengan telunjuknya ke arah mulutnya sambil berkata: Tulislah olehmu apa-apa yang aku katakan. Maka demi tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar daripada mulutku ini kecuali perkataan yang benar”.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Sampai di sini dahulu secebis coretan penulis pada kali ini, moga-moga setiap hari yang berlalu di dalam kehidupan kita dipenuhi dengan perkara-perkara yang memberi manafaat kepada Islam itu sendiri insyaallah. Wallahu'alam...

Fudhail bin al-‘Iyadh berkata:
“Kamu menutup pintumu dan menurunkan tabirmu dan merasa malu kepada manusia, tetapi tidak malu kepada al-Quran yang berada di dadamu dan tidak malu kepada Allah s.w.t. yang Maha Besar yang tidak ada sesuatu yang dapat bersembunyi daripadanya”





Ahad, Oktober 18, 2009

Kelebihan-kelebihan Taqwa.

Kita sering mendengar ingatan yang diberikan oleh Khatib yang membaca khutbah pada setiap hari jumaat di saat berkumpulnya umat Islam untuk menunaikan kewajipan yang telah disyariatkan pada setiap minggu itu. Kata-kata ingatan untuk bertaqwa yang kemudiannya diikuti oleh ayat Allah s.w.t. yang menyeru sekelian orang yang beriman untuk bertaqwa kepada Allah s.w.t. dalam ertikata yang sebenar-benarnya, dan tidak mati melainkan dalam di dalam keadaan ia juga bertaqwa merupakan satu rukun yang tidak akan terlekang daripada lisan Khatib yang berkhutbah di atas mimbar pada setiap hari jumaat tersebut.

Bagi kita orang-orang yang menyatakan keimanan kepada Allah s.w.t., tidak perlu tidak haruslah untuk sentiasa berusaha mencapai matlamat untuk menjadikan ketaqwaan sebagai pakaian terbaik buat kita. Tiadalah kemenangan yang lebih bermakna, melainkan ketaqwaan yang menghiasi peribadi kita setelah kita hidup bermasyarakat di atas bumi pinjaman Allah s.w.t. ini.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Taqwa tidak akan boleh diperolehi secara mudah oleh sesiapa pun kecuali mereka benar-benar menjiwai kehidupan sebagai seorang hamba kepada tuhannya. Bukankah Allah s.w.t. sentiasa meletakkan cubaan dan dugaan terhadap manusia-manusia yang diberi keimanan? Hanya mereka yang sedar mengenai cubaan dan ujian yang disediakan oleh Allah s.w.t. di atas muka bumi ini yang mana tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji sejauh mana keikhlasan seseorang hamba dalam beramal kepada-Nya, lantas menyediakan bekalan dan persediaan yang secukupnya, sudah pasti layak mendapat keampunan Allah s.wt. dan seterusnya diberi tingkatan taqwa itu sendiri.

Daripada Jabir bin Abdillah r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w.telah berkhutbah kepada kami pada hari Tasyrik khutbah al-Widaa’ (perpisahan). Maka baginda telah bersabda: “Wahai sekelian manusia, ketahuilah sesungguhnya Tuhan-mu adalah Esa, sesungguhnya bapamu adalah satu, ketahuilah tidak ada kelebihan untuk orang arab ke atas orang ‘Ajam (bukan arab) , dan tidak juga orang ‘ajam ke atas orang arab, dan tidak ada perbezaan ke atas yang berkulit hitam dengan yang berkulit merah dan tidak juga yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, kecuali dengan Taqwa (( Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang paling bertaqwa)) tidakkah kamu menerimanya”? maka mereka berkata : “Benar ya Rasulullah s.a.w.” . Lalu rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”

Kelebihan taqwa banyak disebut di dalam al-Quran oleh Allah s.w.t. .Di dalam kitab "Qhasas al-Quran" yang telah dikumpul dan disusun oleh Mahmud al-Misri (Abu ‘Ammar), penulis kemukakan di dalam penulisan pada kali ini beberapa kelebihan taqwa itu sendiri untuk di ambil Ibrah (pengajaran) oleh kita bersama insyaallah ta’ala..

Taqwa sebagai asbab (penyebab) untuk masuk syurga.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami”-Surah al-Maryam ayat 63.

Taqwa sebagai sebab untuk diterima amalan.
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanya- sanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”-Surah al-Maaidah ayat 27.

Taqwa sebagai sebab untuk dimudahkan setiap urusan.
“…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”.-Surah al-Tallaq ayat 4.

Taqwa sebagai sebab kemurahan rezeki.
“Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah s.w.. telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.-Surah al-Tallaq ayat 2-3.

Taqwa sebagai sebab kejayaan daripada kecelakaan.
“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu..Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu”. -Surah al-Maryam ayat 71-72.

“Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita”.-Surah al-Zumar ayat 61.

Taqwa sebagai penyebab untuk mengingkari keburukan dan keampunan daripada dosa-dosa.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar”.-Surah al-Anfaal ayat 29.

Taqwa sebagai penyebab teguh hati di dunia.
“Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”.-Surah Yusuf ayat 56-57.

Taqwa sebagai sebab untuk ditambahkan kebaikan, rezeki dan keberkatan.
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.-Surah al-A’raaf ayat 96

Ketahuilah…ketaqwaan itu adalah punca segala kebaikan. Barangsiapa yang mendapat ketaqwaan, sesungguhnya ia akan mendapat kebahagiaan keseluruhannya.

Telah berkata al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hambali di dalam “Jamii’ al-Ulum wal Hikam”:

“Tidak aku melihat kebahagiaan itu mengumpulkan harta, tetapi ketaqwaan itu adalah kegembiraan, dan bertaqwa kepada Allah itu sebaik-baik tambahan bekalan, dan disisi Allah s.w.t. itu ketaqwaan bertambah”

Begitulah serba ringkas kelebihan taqwa yang dapat dinyatakan oleh penulis di sini . Sesungguhnya ia merupakan janji Allah s.w.t. melalui kalam-Nya yang mulia. Maka beruntunglah bagi golongan-golongan yang diberikan oleh Allah ta'ala dengan kemuliaan tersebut. Bahkan , taqwa itu sendiri menjadi lambang kesatuan umat Islam i. Ambillah pengajaran melalui dua kisah besar di dalam sejarah umat islam iaitu kisah Habil dan Qabil, serta kisah Bilal bin Rabah yang penuh keinsafan.

Ayuh kita sama-sama perteguhkan kesatuan dan perpaduan serta menolak sebarang anasir yang boleh memcahbelahkan kesatuan kita. Bersama realisasikannya!

Isnin, Oktober 12, 2009

Biah Solehah atau Biah Tolehah!

Tajuk di atas sengaja dipilih pada kali ini untuk sama-sama dinilai dan difikir oleh teman-teman sekelian selaku manusia-manusia yang bertaraf hamba kepada tuhan-Nya, ingin hidup di dalam satu biah atau suasana yang dipayungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Selain itu, ia merupakan langkah berterusan ke arah dakwah melalui media elektronik seperti blog dan sebagainya untuk memberi kesedaran kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mewujudkan biah solehah di tempat masing-masing. Penulis turut postkannya ke dalam blog rasmi Unit Biah Solehah PMRAM untuk perkongsian bersama.

Persoalan biah yang berada di tempat kita sudah betul-betul solehah atau tidak perlu dilontarkan ke dalam benak hati kita untuk dinilai, diteliti dan dimuhasabah. Mungkinkah apa yang berada di persekitaran kita telah mampu membentuk peribadi kita selaku penuntut-penuntut ilmu Allah s.w.t ataupun di dalam apa jua lapangan bidang yang dahagakan sebuah suasana yang diredhai dan diberkati oleh Allah s.w.t. ataupun sebaliknya.

Sebenarnya, proses pembentukan sesebuah masyarakat madani yang bersifat rabbani perlukan sebuah biah yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Sirah al-Nabawiyyah telah membawa kita menyelusuri kisah perjuangan Rasulullah s.a.w. yang mana baginda telah ditarbiyyah oleh Allah s.w.t. di dalam suasana yang dijaga dan dipelihara oleh Allah s.w.t..Kesulitan, kepayahan, pengorbanan, mehnah yang baginda tempuhi telah melahirkan rasulullah s.a.w. sebagai manusia 'Mukhtarah' (pilihan) sepanjang zaman.

Begitu juga, baginda telah mendidik para sahabat baginda hingga mereka semua yang lahir sebagai manusia yang sangat tinggi sifat tanggungjawabnya terhadap amanah Islam serta tersangat tinggi pengabdiannya kepada Allah s.w.t inilah hasil suasana yang dibina oleh Rasulullah s.a.w secara iltizam dan istiqamah hingga mampu melahirkan figure-figure yang sangat hebat di dalam memartabatkan kesyumulan Islam di atas muka bumi ini.

Pernahkah kita mengimpikan suasana biah usrah yang sentiasa mekar di sekeliling kita, ataupun suasana di mana rakan-rakan kita sentiasa dengan senyuman dan salam di saat berjumpa, bermuamalah di dalam suasana yang muhibbah dengan penuh adab yang dijaga, menjaga akhlak-akhlak Islam dengan penuh istiqamah, serta tidak melampaui batas di dalam apa jua yang mereka lakukan. Tidakkah ini menjadi satu impian kita?

Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani pernah mengambarkan suatu kepincangan yang berlaku di dalam kehidupan makhluk tuhan bernama manusia baik perpecahan, ketidakadilan dan sebagainya dengan katanya: "Di dalam masyarakat binatang tiada manusia jalang, tetapi di dalam masyarakat manusia ada binatang jalang". Golongan yang dilabelkan inilah menjadi perosak kepada suasana yang ingin kita capai dan realisasikan!.

Teman-teman…apakah tidak ada kekuatan di dalam diri kita untuk mengubah semua itu…kita punyai potensi dan kekuatan sebenarnya untuk membina biah yang kita impikan dengan kesatuan yang kita ada sekarang. Gunalah kesempatan yang kita ada bersama PMRAM untuk terus membina paradigma, Qudwah dan himmah agar masyarakat yang kita impikan dapat kita realisasikan.

Kita umpama benih-benih yang subur, namun apakah yang mampu kita lakukan untuk memastikan benih ini tumbuh mekar menjadi bunga-bunga yang indah dan cantik untuk merasai keindahan dan keadilan Islam itu sendiri tanpa bumi/ tanah yang juga subur untuk kita tanami benih itu dan bajainya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sebarkanlah salam, Berilah makanan kepada (orang yang memerlukan), teguhkanlah silaturrahim, dan bersolatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur"

Akhirnya, semoga kita yang berada di bumi Ardul Kinanah ini khususnya dan sesipa juga yang cintakan Islam di seluruh dunia, agar terus menyemarakkan obor semangat berteraskan kefahaman untuk memperkasakan biah solehah semampu kita. Biarlah orang memandng ia remeh, tetapi bagi kita, walaupun hanya sekadar memberi seekor anjing yang kehausan minum itupun,ia tetap dikira sebagai satu amal kebajikan yang akan dihitung oleh Allah s.w.t. insyaAllah.

Pak Hamka pernah berkata: "Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menjuju kebenaran yang mutlak. Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai. Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya".

"Salam Perjuangan, salam ukhuwwah, dan selamat merealisasikan biah solehah"!

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pemakaian Niqab

Adakah Wajib Ke Atas Seseorang Perempuan Memakai Niqab?

Bagimanakah kedudukan pemakaian purdah sebenarnya di kalangan masyarakat Islam? Lazimnya pemakaian Niqab ini banyak diamalkan di Arab Saudi oleh mereka-mereka yang berfahaman “Wahabiyyah” serta pengikut-pengikut mazhab Hambali.

Di dalam kitab “Al-Bayan Lammaa yash 'ghulu al-Azhaan” oleh Dr Syeikh Ali Jumaah, Mufti Negara Mesir yang memuatkan fatwa-fatwa berkaitan permasalahan semasa, beliau memberi jawapan terhadap permasalahan di atas. Di sini, penulis muatkan kembali perbahasan tersebut sebagai panduan kepada para muslimah khususnya dalam pemakaian niqab daripada sudut hukum sendiri.

Niqab merupakan alat yang digunakan sebagai penutup oleh kaum perempuan. Maka ia disebut sebagai penutup wanita. Secara jelas, ia bermaksud seseorang perempuan yang menutup wajahnya dengan niqab. Terdapat perbezaan di antara niqab dengan hijab, yang mana hijab itu menutupi secara am keseluruhan aurat wanita, dan niqab hanyalah menutupi wajah wanita sahaja.

Jumhur Fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat ketika bersama dengan lelaki ajnabi (yang bukan mahram dan halal dikahwini) melainkan muka dan kedua telapak tangan, kerana seseorang perempuan itu pastinya akan bermuamalah dengan lelaki, seperti memberi dan menerima sesuatu. Telah diriwayatkan daripada Abi Hanifah qaul (perkataan) mengenai keharusan menampakkan kedua kakinya; kerana sesungguhnya Allah s.w.t. menegah daripada menampakkan perhiasan dan mengecualikan apa yang (biasa) nampak. Dan kedua kaki itu adalah apa yang (biasa) nampak.

Menurut mazhab Ahmad bin Hambal, sesungguhnya setiap bahagian daripada perempuan itu semuanya adalah aurat ketika bersama dengan lelaki ajnabi sekalipun kukunya, dan diriwayatkan daripada al-Imam Ahmad bin Hambal bahawa beliau telah berkata: “Sesungguhnya sesiapa yang menjelaskan isterinya (kepada seseorang itu) maka ia tidak harus makan bersamanya, kerana semasa makan akan melihat kepada telapak tangannya,”. Dan telah berkata al-Qadhi daripada al-Hanaabilah: “Diharamkan seorang lelaki ajnabi melihat seorang perempuan ajnabiah kecuali muka dan kedua telapak tangan”.

Telah bersepakat Jumhur berdasarkan dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah, dan diantaranya firman Allah s.w.t. di dalam surah al-nuur ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang (biasa) nampak daripadanya, iaitu tempatnya. Celak itu perhiasan wajah, dan cincin itu perhiasan telapak tangan. Al-imam Ibnu Kathir rahimahullah telah memberitahu tentang ayat tersebut dan mengomentarinya dengan mengatakan: “Telah berkata al-A’masyh ; Daripada Saiid bin Jabiir, daripada Ibnu Abbas r.a. ((Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya)) maka dia telah berkata: iaitu wajahnya, kedua telapak tangannya, dan cincin, dan diriwayatkan daripada Ibnu Umar, ‘Atha’, Ikrimah, Saiid bin jabiir, Abi Syaksyak, al-Dhuhhak, Ibrahim al-Nakhaie dan yang lainnya seperti itu.”

Dan daripada al-Sunnah pula, apa yang diriwayatkan oleh Aisyah r.anh. : “Sesungguhnya Asma’ binti Abi Bakar telah masuk (pergi) kepada rasulullah s.a.w. dengan berpakaian yang nipis, maka rasulullah s.a.w. berpaling daripadanya , dan bersabda: Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang perempuan jika telah datang haid (sampai umur), tidak boleh seseorang melihat kepadanya, kecuali ini dan ini, dan baginda mengisyaratkan kepada wajah dan kedua telapak tangannya.”

Terdapat hadith yang merupakan peringatan nabi s.a.w. kepada perempuan berkaitan sedekah untuk menjauhi daripada api neraka, dan mengenainya: “Berkata seorang perempuan yang menjadi suttah (pilihan) kaum perempuan, iaitu Shufa’a al-Khaddain; Belum wahai rasulullah s.a.w….”. Periwayat Hadith ini adalah Jabiir r.a., dan ia memberikan isyarat (petunjuk) bahawa sesungguhnya perempuan ini mendedahkan wajahnya (ketika berjumpa rasulullah s.a.w.), dan sesungguhnya perawi hadith tersebut melihat seperti itu daripadanya (hadith). Dan selain itu daripada Lain-lain hadith, yang membawa kepada perbezaan ke atas salinan (sumber rujukan) ini berkaitan niqab, maka tidak ada dalil berkaitan salinan tersebut, sebagaimana mereka melihat daripada ayat 59 di dalam surah al-Ahzab yang bermaksud: “Hai (muhammad) katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya (menurut mu’jam al-Arabi al-Asasi , Jilbab bermaksud pakaian yang dipakai untuk menutup keseluruhan tubuh badan, baju sejuk yang dipakai di atas pakaian dan kain penutup yang digunakan oleh kaum wanita sewaktu berjalan). Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah s.w.t. adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Dan tiada padanya keterangan mengenai penutupan wajah.

Telah berkata al-Murqhinaani daripada ulama’ Hanafiah: “Tubuh badan yang panas (jasad) semuanya adalah aurat kecuali muka dan kedua telapak tangannya, sebagaimana sabda nabi s.a.w. ; ((Perempuan itu aurat yang tertutup)) dan dikecualikan dua anggota untuk menampakkannya. Beliau berkata; keterangan ini menunjukkan bahawa kaki adalah aurat (kerana ia merupakan dua anggota juga). Dan diriwayatkan juga bahawa ia bukanlah aurat dan itulah pandangan yang lebih ashah (tepat).

Menurut (ulama’) Malikiah pula, telah berkata Syeikh Ibnu Khalaf al-Baaji: “Semua (anggota) perempuan adalah aurat melainkan mukanya dan kedua telapak tangannya”. Dan beliau telah berkata pada tempat yang lain: “ Katanya: Sekiranya seorang perempuan makan bersama suaminya dan ada orang yang selainnya (turut) makan bersamanya, ataupun bersama saudaranya seperti contoh tersebut, maka melihat seorang lelaki kepada seorang perempuan (dalam keadaan tersebut) adalah harus; kerana ianya berlaku ketika mereka makan bersama-sama". Dan telah menaqalkan Ibnu Hajar al-Haitami daripada al-Qadhi ‘Iyyad, sesungguhnya seorang perempuan yang tidak melazimi dengan menutupi mukanya secara Ijmaa’an (keseluruhan) sebagaimana ia berkata: “ Telah menaqalkan al-Musannif (Ibnu Hajar) daripada Qadhi ‘Iyyad secara keseluruhan ke atas seseorang perempuan yang tidak melazimi bagi dirinya menutup wajahnya, maka ia adalah sunat dan ke atas lelaki perlulah menundukkan pandangan ke atas mereka sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ayat al-Quran.”

Situasi pakaian terikat dengan ikatan adat sesuatu kaum, dan mengikut suasana di Mesir sendiri, maka lebih sesuai bagi mereka untuk beriltizam dengan pandangan Jumhur; kerana menutup wajah mereka bagi orang perempuan adalah sesuatu yang asing bagi masyarakat di Mesir, dan menyebabkan keburukan perlindungan kepada penduduk/keluarga. Adapun masyarakat lain yang bersesuaian dengan mazhab al-Hanaabilah (Hambali), maka tidak mengapa untuk kaum perempuan beriltizam dengan mazhab ini untuk mengikuti adat mereka dan tiada keterikatan dengan agama perempuan tersebut. Dan sesungguhnya uruf (suasana) dan adat mereka adalah setiap perempuan menutup wajah mereka.

Dan untuk itulah kita mengutamakan pendapat (mazhab) Jumhur, iaitu membuka (tidak menutupi) wajah dan kedua telapak tangan, dan menutup apa yang selain itu daripada jasad perempuan, sebagimana kita melihat jika menutupi wajah menjadi tanda perpecahan di antara umat, atau menjadi syiar kepada perhambaan dan agama, maka sesungguhnya ia terkeluar daripada hukum sunat atau harus kepada al-Bid’iyyah (dijauhi), maka akan menjadi perkara yang Bida’ah, khasnya apabila sesuatu perkara yang diturunkan oleh Allah s.w.t. itu telah sempurna dilakukan oleh pemerintah. Wallahu ta’ala a’la wa a’lam.

Begitulah pandangan yang diberikan oleh Mufti Mesir, Dr Syeikh Ali Juma’ah terhadap persoalan hukum memakai niqab. Ini kerana, pertembungan fahaman yang pelbagai contohnya seperti Wahhabi dan Sunni telah memberi kesan kepada umat Islam sendiri khasnya di Mesir. Namun, bagi suasana dan adat kita di Malaysia, isu pemakaian niqab ini tidaklah timbul dan bagi kaum perempuan bebas untuk memakainya atau tidak. Apa yang paling penting, kefahaman kita terhadap setiap perkara yang kita lakukan agar kita tetap berada di atas landasan yang betul dan tidak tersasar.

Perkara yang paling penting sebagai ingatan kepada teman-teman, jangan sekali-kali kita terus mempercayai sesuatu berita yang timbul di dada akhbar yang belum tentu betul dan tepat faktanya. Kelak, kutukan Allah s.w.t. akan terhempap ke atas diri-diri yang mengkhianati para ulama'. selidikilah dahulu sebelum anda menghentam dan menghendik para ulama' yang mengeluarkan pandangan seperti Dr Syeikh Syed Tantawi Hafizahullah sendiri kerana telah berlaku beberapa kes, ada yang menghentam dan mempersendakan Dr Syeikh Tantawi akibat kontroversi yang berlaku baru-baru ini. Selidikilah daripada mana sumber anda mendapatkannya!.

Al-Azhar sendiri sebagai sebuah institusi yang bersifat terbuka, sentiasa menerima berbagai fikrah dan fahaman yang kadang-kadang mampu memecah-belahkan di antara umat. Namun, ulama’-ulama’ Azhar yang sentiasa prihatin terhadap masalah ummah sentiasa cuba untuk menyatukan di antara setiap umat Islam. Maka, tidak hairanlah dikatakan bahawa bertahannya Al-Azhar sehingga sekarang, menjadi bukti fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah masih mampu dipertahankan. Inilah bukti keprihatinan para ulama' kita dalam menjaga amanah Islam ini.

Penulis memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan di sepanjang penterjemahan teks asal di dalam kitab ini, dan penulis cuba memudahkan pemahaman teman-teman sekelian dengan menambah beberapa perkataan di dalam kurungan.

Akhirnya, marilah kita berdoa agar Allah s.w.t. sentiasa memberi Taufiq dan Hidayah serta menyatukan hati kita semua. Amiin. Wallahu’alam…

Khamis, Oktober 08, 2009

Jadilah orang yang cerdik!

Hampir sebulan sudah Syawwal berlalu..

Mungkin ada di kalangan teman-teman seaqidah yang telah selamat menunaikan puasa enam dan beraya buat kali keduanya, namun mungkin ada lagi yang belum menunaikannya...Walaubagaimanapun, diharapkan semoga kita dapat sama-sama mengambil manafaat yang diberikan oleh Allah s.w.t. melalui bulan yang mulia ini.

Penulis juga tertarik apabila meneliti pendapat Imam malik berkaitan puasa 6 hari di dalam bulan Syawwal ini. Beliau memakruhkan puasa tersebut kerana khuatir dan bimbang dengan iktikad sebahagian umat pada zamannya yang menggangap bahawa puasa itu adalah sambungan daripada puasa ramadhan walaupun beliau mengetahui tentang ganjaran-ganjaran yang disebut oleh rasulullah s.a.w. berkaitan kelebihan puasa 6 hari tersebut...Iniah contoh kebijakan para ulamak terdahulu dalam menjaga amanah ilmu demi kepentingan umat yang wujud pada setiap zaman.

Siapakah orang yang cerdik itu? pada anggapan penulis, golongan yang cerdik adalah golongan yang sentiasa mempersiapkan amal dan bekalan mereka secukupnya di atas muka bumi untuk di bawa ke hari akhirat kelak.

Sabda rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith al-Tirmizhi yang bermaksud:
"Orang yang cerdik itu adalah mereka yang mengawal nafsunya dan beramal untuk hari selepas kematian. Manakala orang yang lemah itu adalah mereka yang mengikuti hawa nafsunya dan dalam masa yang sama mengharapkan syurga Allah s.w.t."

Ini merupakan satu perlian yang sangat mendalam terhadap mereka yang sering lupa dan lalai terhadap hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Mereka menyusun peraturan hidup mereka dengan bimbingan hawa nafsu yang secara jelas membawa mereka ke lembah kebinasaan tetapi mereka juga hendakkan nikmat syurga. Tidakkah itu satu permintaan yang cukup sia-sia!

Sebenarnya, asas utama perlu dimainkan oleh para ibu-bapa dengan menanamkan asas agama yang kuat terhadap anak-anak sejak dari mula lagi. Jika mereka tidak diikat dengan asas agama yang kuat, maka mereka hanya akan mengenali jahiliyyah sebagai cara hidup yang terbaik..Inilah hakikat dunia hari ini, kejahiliyyahan di mana-mana!

Begitu juga, jika mereka tidak cukup dengan didikan agama, ditambah lagi dengan acuan yang dibina oleh pengaruh persekitaran dan kawan-kawan mereka, bakal mengundang natijah kepada pembentukan akhlak yang lebih buruk lagi.

Islam amat menekankan pemilihan sahabat sebagai salah satu aspek penting pembentukan Muslim sejati. Lihatlah bagaimana para sahabat rasulullah s.a.w yang bergaul secara langsung dengan nabi s.a.w., dengan jelas mereka mampu menjadi manusia-manusia yang teguh mempertahankan islam dengan dasar dan prinsip. Tidak seperti hari ini, umat Islam semakin ramai, tetapi ramai juga yang sanggup menggadaikan dasar dan prinsip hanya kerana kepentingan duniawi semata-mata!

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Manusia itu di atas agama sahabatnya, maka kamu lihatlah dengan siapa kamu bersahabat!"

Ibnu al-Qayyim ketika mengomentari hadith di atas mengatakan bahawa ada lima aspek pemilihan sahabat yang betul iaitu:

1. Dia hendaklah berakal.

2. Hendaklah mempunyai akhlak yang baik.

3. Bukan orang yang melakukan bidaah.

4. Bukan orang yang melakukan maksiat.

5. Tidak cinta dunia.

Memang bukan senang untuk mencari sahabat yang betul-betul sempurna...tetapi ingatlah bahawa dalam banyak-banyak perkara, sahabatlah yang boleh mencorakkan sebahagian besar peribadi seseorang individu tersebut kerana sebahagian manusia lebih banyak bersama dengan sahabat daripada bersama dengan keluarga di rumah.

Penulis sebenarnya cukup yakin jika umat Islam kembali kepada jalan yang sebenar sebagai seorang Hamba kepada Tuhan-Nya, pasti umat Islam akan menemui kejayaan. Cukuplah kita berharap kepada mereka-mereka yagn tidak mampu membalas kehidupan kita dengan keamanan dan keadilan tetapi hanya memarakkan api-api kehancuran yang tidak pernah padam. Kalau namanya kafir, yahudi, Amerika dan sebutlah apa lagi...tetap mereka adalah anjing-anjing jadian yang sentiasa kelaparan daging-daging umat Islam. Hanya tunggu masa untuk meratah kesemuanya!

Hayatilah kata-kata Hikam Ibnu Atha'illah al-Sakandari yang bermaksud:

"Daripada tanda-tanda kejayaan pada akhirnya, adalah kembali kepada Allah pada awalnya, kemuliaan pada awal, adalah kemuliaan pada akhirnya"

Jika kita hari ini telah mengecapi nikat sebuah kesatuan, janganlah cuba berniat untuk meruntuhkannya apalagi terus bersekongkol dengan sesiapa pun untuk terus meruntuhkannya.. Kalau itulah yang berlaku, apa bezanya golongan-golongan yang ada niat sebegini dengan peristiwa yang berlaku kepada tentera Abrahah yang sangat tidak senang melihat kesatuan umat Islam berdiri kukuh dengan tersergamnya Ka'abah yang menjadi kiblat umat Islam sehingga kini!

Di sinilah ingin dibuktikan sejauh mana keikhlasan mereka-mereka yang berjuang pada jalan Allah s.w.t.. Keikhlasan itu adalah "mengosongkan lintasan hati daripada seluruh kerosakan"

Jika kerosakan-kerosakan sama ada luaran mahupun dalaman tidak dibuang daripada hati, maka segala bentuk keikhlasan akan hilang. Inilah tapisan Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya yang betul-betul berjuang kerana-Nya. Bukan hanya melabelkan diri sebagai umat-Nya, tetapi penuh dengan kebencian terhadap Islam itu sendiri!

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke lembah kebinasaan"

Sebelum penulis mengakhiri coretan sederhana ini, penulis ingin mengingatkan agar kita sama-sama meneruskan semangat untuk menegakkan syiar Allah di atas muka bumi walau di mana pun posisi kita. Jika kita adalah mahasiswa, binalah identiti, ideologi dan kukuhkan kesatuan kita berlandaskan prinsip dan manhaj Islam . Begitu juga jika kita sebagai pemuda, belia, tokoh-tokoh akademik, ahli politik dan siapa juga. Jadikanlah ungkapaan Saidina Umar r.a. "Kita adalah kaum yang dimuliakan kerana Islam, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka Allah s.w.t. akan melaknat kita!" sebagai penguat semangat kita bersama insyaallah.

Selamat meneruskan perjuangan!

Selasa, Oktober 06, 2009

Tiada Gunanya Perpecahan!

Apa Faedahnya PERPECAHAN!

Sungguh memeningkan kepala akhir-akhir ini...

tanyalah siapa pun...soal perpecahan semakin parah di bumi Ardul Kinanah Mesir ini.

Kata orang, bumi Ardul Kinanah adalah satu bumi yang sangat unik dan ajaib...sebarang niat yang serong akan memakan diri sendiri.

Memang...KALAU TERSILAP LANGKAH, IA UMPAMA BUSUR PANAH YANG MENYUSUR LAJU MENIKAM ULU HATI si pelepasnya.

Ada sebahagian golongan, yang mengaku diri mereka sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang mengamalkan idenditi ISLAM, berpakaian cara ISLAM, ingin hidup cara ISLAM...tapi menolak manhaj Islam yang menganjurkan kesatuan.

Jelas ini satu bentuk kezaliman...bukanlah zalim itu
"Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya"!.

Apa maknanya, jika pelajar yang baru sampai...belum sepenuhnya mampu mengenal keadaan dan muamalah di Mesir, serta perlukan bimbingan...namun mereka disorok, disembunyikan dan dibawa ke tempat lain.

Apa yang tidak kena lagi dengan PMRAM!

Bahkan PMRAM yang telah lama wujud di bumi Mesir ini, patut mempunyai hak untuk bersama-sama dengan pelajar yang baru...untuk terus memperkukuhkan kesatuan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir ini.

Kalau ada kelemahan pun...salur idea, beri pandangan, bagi muhasabah, salurkan komen dan sebagainya..barulah kena dengan caranya...kalau menunjukkan sikap yang agresif dengan menjadikan pelajar-pelajar baru yang ingin mengenal alam Azhar di Mesir ini sebagai sasaran mangsa, adalah satu perkara yang sangat tidak beradab dan tidak
Professional.

di mana ingin dicampakkan kaedah yang menyebut "Kemerdekaan seseorang individu itu tertolak dengan kemerdekaan manusia seluruhnya"!- dengan jelas hak PMRAM adalah melebihi hak-hak golongan-golongan yang memeningkan ini!

Di manakah lagi ingin dtolak hadith nabi s.a.w. yang menyebut: "Sesungguhnya orang Muslim itu terikat dengan peraturan hidup mereka"- Adakah dengan senang hak-hak ini ingin dicerobohi tanpa satu pun alasan munasabah yang mampu di berikan.!

Hanya orang tiada akal sahaja akan melakukan perkara yang tidak menggunakan akal!

Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan kita tentang bahaya perpecahan:
"Kekeruhan di dalam Jemaah itu, lebih baik daripada ketenangan di dalam perpecahan"

Firman Allah s.w.t. : "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim, nescaya kamu akan disediakan tempatmu di dalam neraka"

Fikirkanlah dan renungilah apa yang berlaku di dalam kesatuan yang telah kita bina bersama PMRAM di Mesir ini. selagi mana PMRAM tidak memungkiri panduan Allah s.w.t. dan sunnah rasullullah s.a.w. melalui al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak ada sebab untuk kita menolak kewujudan PMRAM di Bumi Mesir ini...Mendokongi dan menyokong perjuangan mereka yang mendaulatkan Islam , seumpama menyokong dan meneruskan perjuangan rasulullah s.a.w., tetapi jika mewujudkan perpecahan dengan mereka, jika ada yang terlebih baik untuk dikatakan kepada mereka bahawa inilah golongan yang ingin menyekat jalan dakwah sebenarnya!

Moga akan ada hidayah ALLAH s.w.t. untuk mereka-mereka yang tersilap dan tersasar niatnya...sudahlah..tiada gunanya lagi Perpecahan!

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita