Salam Aidiladha

Salam Aidiladha

A song for gaza

Aidiladha: Erti Cinta dan Pengorbanan


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Walillah al-Hamdi

10 Zulhijjah menjelang lagi. Panggilan Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya yang bertuah untuk menjadi tetamu Allah di bumi yang suci lagi agung, Makkah al-Mukarramah bertandang lagi buat sekelian tahun..Seruan yang begitu memberi erti dan kesan ini berkumandang di mana-mana, menambah lagi kesyahduan yang telah terpateri di hati di saat menatap wajah-wajah yang bersih lagi suci, membawa bersama sekeping hati yang begitu mendambakan cinta dan redha ilahi.

Seketika insan-insan kerdil bernama hamba, berpayung panas mentari di bumi barakah Arafah yang agung, memuhasabah dan menilai kekerdilan diri dengan peristiwa-peristiwa agung yang telah tersemat jitu di dada sirah al-Nabawiyyah.

Kisah pengorbanan agung, yang beradun pada erti cinta dan sebuah pengorbanan suci, Nabi Allah Ibrahim a.s. dan Ismail a.s, memberikan kita kesan mendalam dalam jiwa untuk menjadi insan matang dalam mengenal erti cinta yang sebenar serta menterjemahkannya kepada sebuah pengorbanan.

Sesungguhnya, cinta tidak mengajar manusia yang dikurnia akal dan fitrah Insani , menjadi insan yang lemah imannya, rapuh jiwanya, buntu fikirannya, rosak akalnya, dan luluh jiwanya, bahkan cinta itu mengajar dan mendidik jiwa menjadi cekal ,teguh dan tabah dalam menghadapi liku-liku hidup.

Kita tidak menilai dengan bulatnya bumi yang berputar itu, tetapi lebih daripada itu, bumi yang sentiasa berputar umpama roda itu, jelas sekali berliku-liku serta tidak sekata isinya. Bahkandi atas bumi yang berliku itulah kita menghayunkan layunan langkah, satu-persatu demi menuju cinta abadi.

Cinta itu mengajar manusia untuk berkorban…ya benar, dengan cinta yang buta, bersandarkan nafsu amarah yang membarah dalam diri, manusia mudah sahaja berkorban untuk sesuatu yang tidak menguntungkan diri,bahkan hanya lebih memberi kesakitan pada diri yang kerdil.

Cintakan manusia, ia akan tua dan pergi…cintakan bunga, ia akan layu dan hilang serinya, cintakan harta, ia akan berkurangan, cintakan keluarga, mereka turut akan pergi jua…pastinya ia amat menyeksakan…bahkan ia mungkin saja mampu memcahkan sekeping hati yang rapuh serta lemah denyutannya….inilah cinta yang disalah ertikan!

Sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang asyik kepada seseorang, maka ia tahan jiwanya, serta ia sembunyikan, maka matinya kelak adalah mati syahid”.

Namun, cita itu jika disandarkan kepada yang maha pencipta, ianya tidak akan sekali-kali memberi satu penyesalan, bahkan lebih daripada itu, ianya mampu membajai jiwa serta memberikan nafas yang tidak putus dengan sumber ilham dan kekuatan iman.

Hukama ada menuturkan:

Cinta kepada harta ertinya bakhil
Cinta kepada perempuan ertinya alam
Cinta kepada diri ertinya bijaksana
Cinta kepada mati ertinya hidup
Dan cinta kepada Tuhan ertinya takwa.

Cinta itu apabila disandarkan kepada Allah ‘Azzawajalla yang maha kudus dan suci, ianya tidak akan memberikan penyelasan, kerana sesungguhnya, kita telah meletakkan pengorbanan itu di tempat terpuji yang paling tinggi.

Apalah yang ada pada cinta, kalau kita hanya mampu mendamba cinta seorang wanita yang akan pergi meninggalkan kita satu hari nanti tanpa mampu mendamba cinta sejati pada Allah s.w.t.?…maka itulah penyesalan sebenarnya, penyesalan yang tidak akan bererti di saat kita bersimpuh di hadapan Allah s.w.t. kelak.

Tepat sebagaimaan yang telah diperingati oleh Imam al-Syafie kepada kita: “Awal derita itu adalah kamu mencintai wanita yang tidak mencintai dirimu…'”

Memberikan cinta untuk manusia itu tidak salah, tapi jangan sekali-kali cintamu kepada makhluk melebihi cintamu kepada Allah, kelak kamu akan ditinggalkan oleh Allah s.w.t. dalam keadaan yang hina!

Cintanya Nabi Ibrahim kepada Allah s.w.t., bukan bererti baginda tidak sayangkan anaknya, Nabi Ismail a.s. Tidak ada seorang ayah yang tergamak untuk meyembelih anak sendiri, lebih-lebih lagi anak itu adalah seorang insan mulia yang bakal menggantikan tempatnya untuk meneruskan risalah perjuangan Islam… tetapi itulah jiwa seorang nabi, sekeping hati yang telah subur cintanya dan erti cinta dan kasih-sayang sejati. Akhirnya, Allahlah yang tetap diutamakan walau apapapun keadaanya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Saffat ayat 102-110 yang bermaksud:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.

Bukti cintanya juga kepada keluarga dan anaknya itu adalah doa yang dilafazkan oleh baginda sendiri agar dijauhkan dirinya dan diri Ismail daripada kesesatan, serta nabi Allah Ibrahim a.s meletakkan zuriat keturunan baginda di tempat yang paling mulia, iaitu baitullah al-Haram sendiri.

Firman ALlah s.w.t. di dalam Ibrahim ayat 35-41 yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat)."Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! "Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan. "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"

Benarlah…Cinta kepada Allah s.w..t itu mengajar manusia untuk berkorban segala-galanya, hatta hati dan perasaan. Jika mereka mengetahui dan beriman, pastinya mereka daripada golongan yang mendapat kejayaan.

Di saat berkumpulnya manusia di Jabal Arafah, pasti jiwa akan terasa bagai berada di zaman pengorbanan agung seorang nabi, iaitu Adam a.s…Di situlah Adam a.s bertemu dengan cintanya iaitu Hawa a.s, memadu cinta kerana Allah s.w.t. , dan terus berkembangnya zuriat hingga ke hari ini.

Kehidupan yang istimewa di dalam syurga Allah s.w.t., tidak sekali-kali menghalang untuk mereka akur kepada perintah tuhan mereka kerana mereka mengenal erti sebuah cinta sejati. Itulah merupakan sebuah pengorbanan agung, yang perlu dimuhasabah oleh manusia agar mereka ingat, jika mereka berada di atas, belum tentu selama-lamanya mereka akan berada di atas, mungkin sahaja kerana satu kesalahan mereka akan kembali berada di bawah.

Bumi tetap akan terus berputar…selagi belum kiamat!

Sabda rasulullah s.a.w. dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jagalah dirimu daripada api neraka,meskipun dengan sedekah separuh daripada biji kurma, jika tidak sebutlah perkataan yang baik”

Besarnya pengorbanan Nabi Ibrahim a.s juga dilihat daripada sudut pengorbanannya kepada keluarganya, hingga terpaksa meninggalkan isteri tercinta, Siti Hajar bersama anaknya, Ismail yang ketika itu masih kecil, di tempat yang jauh darpada manusia serta tiada tanaman sedikitpun, demi menunaikan perintah dan rasa cinta yang mendalam kepada Allah s.w.t. Kehidupannya yang senang ditinggalak demi sebuah pengorbanan. Namiun, Nabi Ibrahim tidak pernah lalai dan leka kepada duniawi yang penuh dengan fitnah, hinggalah Allah s.w.t memberi rezeki yang lebih istimewa kepadanya, Air zamzam yang terpancut daripada celahan jari Ismail a.s serta dikurniakan seorang lagi putera yang hebat iaitu Ishak a.s, bahkan keduanya adalah pewaris kenabian. Sesungguhnya itulah kurnia Allah s.w.t. yang maha pemurah kepada hamba-Nya yang taat dan patuh.

Sesungguhnya, hari raya aidiladha yang hadir pada setiap tahun ini hendaklah sama-sama dihayati sepenuhnya oleh setiap orang yang beriman. Tidak ada kehidupan yang tidak memerlukan pengorbanan. Kerana kita wajib meyakini, Allah s.w.t. telah menyediakan dunia yang sementara ini sebagai pentas latihan untuk menguji sejauh mana manusia yang diberikan akal, nafsu dan iman itu mampu untuk lahir sebagai golongan yang berjaya dan bertaqwa.Wallahua’lam…

Kata Pak HAMKA: “Cinta manusia datang dari pelbagai pintu, ada pintu kasih..pintu sayang dan pintu rindu, tetapi cinta yang paling abadi ialah cinta melewati pintu simpati”.

Selamat Hari Raya Aidiladha, 1430-H (Kullu Sanah Wa antum fi Alfikhair)

Sifat Lelaki dalam Pandangan Perempuan vol 2

Sambungan daripada keluaran lepas.

Isteri kelapan mengungkapkan pula: “Suami saya, kalau disentuh bagaikan arnab (lembut dan halus), dan apabila dicium bagaikan Zarnab (salah satu buah-buahan yang wangi baunya”.

Dalam hal ini, beliau ingin mengatakan bahawa suaminya seorang yang baik perangainya, halus hatinya, bagus perilakunya, wangi bau badannya, lembut tutur katanya dan selalu menyenangkan isterinya. Maka, beliau ingin memuji suaminya sebagai seorang yang bagus akhlaknya.

Isteri kesembilan berbicara: “Suami saya adalah seorang yang tinggi tiangnya (mulia orangnya), panjang perawakannya, besar dapurnya dan banyak abunya; rumahnya dekat dengan tempat berkumpulnya orang ramai”.

Beliau ingin memberitahu bahawa suaminya seorang bangsawan yang sangat dihormati oleh masyarakat. Meskipun begitu, beliau juga adalah seorang yang sangat dermawan sehingga ramai tetamu yang singgah ke rumahnya. banyak abu menandakan beliau sering memasak dan sering memasak menandakan ramai tetamu singgah ke rumah beliau.

Seterusnya, cerita isteri kesepuluh: “Suami saya memliki segalanya. Tahukah kamu apa yang beliau miliki? beliau memiliki unta yang berada dekatnya, bila unta-unta itu mendengar suara merdu, mereka akan gembira, mereka akan gembira, kerana para tamu telah datang dan mereka akan disembelih sebagai hidangan jamuan”.

Dalam ungkapan itu, beliau ingin menyatakan bahawa suaminya jauh lebih baik melebihi suami perempuan-perempuan di atas yang beliau telah dengar sifat-sifatnya itu. Beliau ingin menyatakan juga bahawa suaminya seorang lelaki yang dermawan dan kaya-raya serta selalu menyediakan makanan daripada haiwan ternak kepada para tetamu.

Isteri kesebelas yang merupakan isteri terakhir berbicara: “Suamiku adalah Abu Zar’in. Tahukah kamu apa yang telah dilakukan oleh Abu Zar’in? sesungguhnya beliau telah memberikan kepadaku bermacam perhiasan, memberikan makanan yang cukup kepadaku,memanjakan aku hingga aku sangat yakin dengan diri sendiri, mengangkat darjatku daripada keluarga yang hanya memiliki beberapa ekor kambing, menjadi keluarga kaya yang memiliki banyak unta, kuda, dan haiwan ternakan lainnya. Kalau aku berbicara di hadapannya, ia tidak pernah mencelaku, kalau aku tidur, ia tidak pernah mengangguku hingga aku bangun di pagi hari dan kalau aku minum, ia akan membiarkan aku minum sehingga puas”.

Kemudian, beliau telah menceritakan tentang ibu, anak dan pembantu Abu Zar’in hingga selesai.

Isteri tersebut meneruskan percakapannya, “pada satu hari yang cerah, Abu Zar’in keluar dan kemudian melihat seorang perempuan dengan dua anaknya. Anaknya itu sedang bermain dengan puting susu ibunya bagai buah delima yang ranum. Abu Zar’in jatuh cinta kepadanya, lalu menceraikan aku dan mengahwininya. Setelah itu, aku berkahwin dengan seorang lelaki yang tampan, kaya dan dermawan. Ia selalu memberikanku aku apa sahaja yang kau mau, bahkan ia berkata: “ Makanlah wahai Ummu Zar’in, berikan seluruh keluargamu”. Namun secara jujur ingin aku katakan, bahawa apapun yang ia berikan tidak sebanding dengan sekecilpun daripada apa yang dipunyai oleh Abu Zar’in.

Hal ini adalah didorong oleh rasa cintanya yang begitu mendalam kepada Abu Zar’in.

Dengan ungkapan yang panjang ini, beliau ingin memberitahu bahawa suaminya Abu Zar’in adalah seorang yang sangat mulia dan baik akhlaknya, kaya serta dermawan, jauh melebihi para suami yang telah diceritakan oleh teman-temannya di atas. Suaminya telah membuatkannya bahagia dalam mengharungi kehidupan. Namun demikian, ia sedar bahawa kebahagiaan hidup di dunia itu tidak abadi, sehingga di tengah-tengah kebahagiaan itu beliau diceraikan oleh suaminya yang ingin berkahwin lain. Namun, oleh kerana rassa cintanya yang begitu mendalam terhadap Abu Zar’in beliau tetap merasakan suaminya yang pertama itulah yang terbaik di hatinya.

Aisyah berkata: “Mungkin dengan sebab itulah, rasulullah berkata kepadaku; “Aku untukmu adalah seperti Abu Zar’in kepada Ummu Zar’in”- Hadith riawayat al-Bukhari, Muslim, dan al-Tirmizhi.

Selain itu, di dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a: “Aku untukmu adalah seperti Abu Zar’in kepada Ummu Zar’in, hanya saja aku tidak menceraikan isteri-isteriku”-Hadith Riwayat al-Tabrani.

Maka, dalam hadith yang panjang isinya ini, ia cukup memberikan pengajaran dan nasihat kepada setiap pasangan yang ingin berkeluarga ataupun yang telah berkeluarga, agar sentiasa ingat dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. serta menjaga perhubungan dengan sebaiknya. para suami hendaklah sentiasa memberikan penjagaan yang terbaik kepada isteri, baik daripada sudut bimbingan, cinta, kasih-sayang dan segalanya agar para suami akan mendapat tempat terbaik di hati isteri dan mereka akan mampu meraih syurga Allah s.w.t. kelak sebagai tempat berbulan madu yang paing utama Insyaallah.

“Buat para suami, Jadikanlah dirimu seumpama Abu Zar’in kepada Ummu Zar’in, hanya saja tidak menceraikan isterimu. Insyaallah hidupmu akan beroleh kebahagiaan”

Sifat Lelaki Dalam Pandangan Perempuan.

c103251441797c4a

Di dalam Kitab Shahih al-Bukhari di bawah bab “Husnu al-Muasarah lil Ahli” (hubungan baik dengan keluarga), dinyatakan cerita tentang sebelas orang perempuan yang berkumpul di rumah salah seorang daripada mereka, berjanji dan berikrar untuk menceritakan watak, perilaku, sifat, peribadi suami masing-masing, tanpa menyembunyikan satu pun, baik yang baik mahupun yang buruk.

Kisah ini perlu dihayati oleh para suami untuk sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan mengetahu ibahawa adanya sekelompok perempuan yang pasti berkumpul untuk menceritakan perihal ruamah tangga masing-masing.Ianya juga menjadi peringatan kepada setiap ketua keluarga untuk sentiasa menerapkan nilai-nilai Islam di dalam diri dan keluarga masing-masing.

Dari Aisyah r.a. ,bahawa beliau berkata: “Ada sebelas perempuan yang berkumpul di salah sebuah rumah untuk membicarakan sifat, watak, perilaku suami mereka dan berjanji serta berikrar untuk tidak menyembunyikan walau satu maklumat pun”.

Isteri pertama berkata: “Suamiku bagai daging unta yang kurus, di atas puncak gunung berbatu. Sudahlah jalannya tidak rata hingga sukar diraih, dagingnya pula tidak gemuk hingga sukar diambil’.

Perempuan pertama ini ingin menceritakan bahawa suaminya seorang yang buruk akhlaknya dan sedikit pula kebaikan yang mampu dibuatnya. Umpama unta kurus yang berada di puncak gunung batu, sukar diambil isinya serta sukar dijangkau oleh manusia.

Isteri kedua bercerita: “Saya tidak mampu menyebutkan maklumat tentang suami saya, kerana dia terlalu banyak keburukannya, baik yang nampak mahupun tidak. Saya bimbang jika saya menceritakannya, masa kalian akan habis sebelum saya sempat menghabiskan cerita saya”.

Beliau ingin menceritakan bahawa suaminya seorang yang sangat buruk akhlaknya, bahkan boleh dikatakannya tiada langsung kebaikan yuang dilakukannya.

Berkata pula isteri ketiga: “Suami saya adalah seorang yang sangat tinggi, tolol, dan emosional. Jika saya menceritakan keburukannya, dia mengancam akan menceraikanku. Jika aku diam, maka dia membiarkan aku dalam keadaan yang tidak jelas; Dikatakan punyai suami, tetapi bagai orang yang tidak punya suami, dan dikatakan tidak punya suami , tetapi hakikatnya ada suami”.

Si isteri ingin mengatakan bahawa suaminya adalah seorang yang sangat buruk akhlaknya, dan tiada kebaikan sedikitpun. Memang suaminya berbadan tinggi, namun tidak ada erti.

Berkata isteri keempat:Suamiku bagaikan malam di kota Thihamah. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu dingin, tidak menakutkan dan tidak juga membosankan”.

Ertinya beliau ingin memuji suaminya sebagai seorang lelaki yang mulia akhlaknya dan baik budi pekertinya. Pandai bergaul sehingga tidak membosankan dan mampu memperlakukan isterinya dengan baik hingga tidak menakutkan. Dia sangat senang dan bahagia hidup dengan suaminya sebagaimana senang dan bahagianya penduduk kota Thihamah di malam hari yang sejuk.

Isteri kelima bercerita: “Suami aku apabila di dalam rumah seperti harimau, apabila di luar rumah seperti singa. Namun jangan ditanya apa yang telah terjadi”.

Dalam ungkapan ini, ia ingin mengatakan bahawa suaminya seorang yang berani menghadapi musuh, tetapi tidak pernah mengambil berat tentang keluarganya. dalam satu sudut beliau memujinya, tetapi mencela di dalam sudut yang lain.

Berkata pula isteri keenam: “Suamiku kalau makan dan minum tidak meninggalkan sisa, kalau tidur tidak berpaling dan menutup seluruh badannya dengan selimut. Dia tidak mahu menghulurkan tangan untuk mengambil tahu kesulitan-kesulitan yang dihadapi isteri”.

Si isteri ingin mengatakan bahawa suaminya seorang yang bernafsu serakah, banyak makan dan minum. Apabila tidur membelakangi isteri dan tidak mahu mengambil tahu kesulitan yang dihadapi olehnya, baik ketika sedang sakit, sedih mahupun kesulitan yang lain. oleh itu, perangai suaminya sangat buruk.

Isteri ketujuh mengungkapkan: “Suami saya seorang yang kelu lidahnya, sukar difahami percakapannya, dan seluruh penyakit ada padanya serta suka menyakiti dan melukaiku”.

Dengan ungkapan ini, ia ingin memberitahu bahawa suaminya seorang yang sangat buruk, baik fizikal mahupun akhlak. Sudahlah lidahnya kelu, sulit bercakap, tidak tahu jalan kebahagiaan, suka marah-marah dan menyakiti hati isterinya, serta menyakiti dirinya. Dengan itu, suaminya amat buruk, baik ucapan dan perbuatan, mahupun sikap dan perangai.

Bersambung pada keluaran akan datang..

Seminar Politik Pas- Tetap kembali kepada Dasar!

Setelah berlalunya seminar politik Pas pada 7 November lepas, maka ianya bakal menimbulkan banyak pandangan dan persepsi masyarakat. Berikutan daripada pandangan melalui analisis yang telah dikeluarkan oleh Dr Aziz Bari, dikomentar sebahagiannya di dalam blog tok Guru dan akhirnya membawa kepada tercetusnya seminar politik pada 7 november lepas sebagai menggantikan muktamar khas yang dianjurkan oleh tok guru Nik Aziz sendiri, maka ia membawa kepada banyak pandangan yang timbul daripada pelbagai sudut!


Apapun yang berlaku, ambillah isi perbincangan yang telah berlalu itu sebagai satu muhasabah buat seluruh umat yang cintakan Islam..kerana kita bukan dilahirkan untuk menjadi penghukum...tapi kita adalah sebagai Daie dan pendakwah!

Setiap orang bebas membuat sebarang analisis dan pandangan kerana akal merupakan salah satu kurniaan Allah s.w.t. kepada makhluk istimewa bernama manusia...namun, masyarakat lain juga bebas untuk menganalisi sebarang pendapat dan pandangan serta merujuk kepada fakta-fakta dan maklumat yang tepat sebagai prasyarat menerimanya...agar tidak menimbulkan sebarang perkara yang tidak diingini..Secara jelas, kedua-keduanya perlu memainkan peranan agar hasil yang didapati adalah baik dan boleh diterima.

Bagi penulis, cukuplah keyakinan kita terus padu kepada pimpinan selagimana batera Pas ini berjalan selari dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah...kita tidak layak untuk memberi hukuman sama ada TGNI ataupun TGHH betul atau salah kerana mereka adalah pimpinan yang telah menerima amanah daripada Allah s.w.t...maka, apabila kita sebagai penghuni bahtera ini mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada mereka tanpa ada nilaian, penelitian dan penyelidikan yang tepat, maka ditakuti kita turut termasuk dalam golongan yang ingkar kepada suruhan Allah s.w.t yang menyuruh untuk taat kepada para pemimpin.

Sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak ada ketaatan kepada makhluk yang melakukan kemaksiatan kepada Allah s.w.t".

Inilah yang dianjurkan oleh rasulullah s.a.w., bukanlah hanya melihat kepada satu sudut sahaja...pimpinan kita adalah manusia yang punyai akal dan iman untuk mengeluarkan sesuatu pendapat dan pandangan, malah mereka kembali kepadaa konsep syura untuk memtuskan sesuatu keputusan mereka tidak bercakap atas soal nafsu, tetapi atas kebaikan untuk umat di samping terus istiqamah melaksanakan nilai-nilai islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat.

Persoalan kamu sokong siapa?...antara dua orang tok guru nie, mana kamu sokong dan sebagainya bukan selayaknya untuk keluar daripada mulut orang-orang yang beriman kepada rukun iman yang enam itu!

Bahkan ianya hanya akan membawa kepada perpecahan yang lebih besar lagi.

Sebagaimana yang telah dikomentari oleh Us nasaruddin Tantawi di dalam blognya mengenai politik persepsi ini, maka kita perlu mghayati konsep Tabaiyyun [ nilai , teliti , halusi dan siasat kebenarannya ] itu dengan sebaiknya.

Selagi mana dasar Islam ini dipertahankan, tiada alasan untuk kita tidak mempertahankan sesiapa jua yang membawa kebenaran itu dengan penuh amanah dan keikhlasan. Lihatlah bagaimana rasulullah s.a.w. memberi ingatan jelas kepada kita bahawa jika seorang lelaki yang berkulit hitam, berambut kerinting dan tidak layak pada pandangan luaran kita menjadi pemimpin yang diberi kepercayaan untuk meminpin, maka ianya wajib ditaati...jika tidak, mengapa Bilal bin rabah yang hanyalah berstatus sebagai hamba abdi yang berkulit hitam itu mampu mendapat tempat yang sangat tinggi di sisi Allah s.w.t!.

Setiap pandangan tidak semestinya bersifat mutlak, kerana ianya tidak terlepas daripada betul ataupun salah selagi mana ianya difahami sebagi pandangan atau pendapat peribadi...Di dalam konsep usul fiqh, setiap perkara yang berlaku itu dililai daripada sudut bersebab ataupun tanpa sebab...jika ianya berlaku tanpa sebab,maka ianya dengan sendiri tertolak, keran tiada dalil ataupun asesuatu nas yang menyokong...tetapi jika ianya bersebab, maka kita nilai pula dengan al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai mizan penentuan...itulah cara yang terbaik.

Pas lahir sebagai sebuah pati yang menerima seluruh masyarakat , daripada golongan atasan hingglah golongan bawahan kerana PAS tetap berpegang kepada prinsip untuk berdakwah denagn menyampaikan dakwah Islam tanpa ada sekatan...Inilah kelebihan yang ada pada PAS berbanding Jemaah Islam yang lain..ditambah lagi dengan kehadiran PAS di dalam arena Politik negara, maka ianya memperkuatkan lagi konsep Islam yang dibawa di dalam PAS iaitu Waqi'iah (setempat).

Penulis mempunyai pandangan yang cenderung untuk mengatakan bahawa persoalan yang melanda bahtera PAS akhir-akhir ini adalah soal kefahaman ataupun Fikrah...Sebab apa Imam Hassan al-Banna sangat menekankan konsep Faham sehingga diletakkan sebagai rukun pertama di dalam rukun Baih, dan terpecah pula kepada 20 usul yang membawa kepada kefahaman yang selari dengan apa yang dikehendaki oleh al-Imam itu sendiri...ianya tidak lain dan tidak bukan adalah kerana al-Imam tidak mahu seluruh ahli dan aktivis dakwah tersilap faham konsep islam yang ingin dibawa oleh Ikhwan sendiri. Tersilap faham bakal menimbulkan banyak masalah kepada Jemaah.

Inilah yang perlu difahami dengan penuh jitu oleh seluruh ahli di dalam Pas sendiri termasuk para pemimpinnya...jika fikrah Islam tidak betul-betul ditanam,disemai dan kemudian dijiwai, maka ia akan terkadang menimbukan keraguan sehingga ada keinginan untuk melihat peluang bersama dengan UMNO. Jika tok guru Nik Aziz dengan tegas menyatakan bahawa Pas tidak akan bersama dengan UMNO selagi mana dasar Islam tidak dilaksanakan di dalam Malaysia ini, maka itu jelas. Begitu juga bilamana Tuan Guru haji hadi menyatakan ingin melaksanakan konsep U.G. untuk mengimbangi suara pembangkang di dalam parlimen dengan maksud menegakkan Islam secara lebih tegas agar Islam mampu diberi perhatian, maka prinsip itu juga jelas...Kedua-dua pimpinan ini punyai prinsip yang jelas di dalam posisi yang berbeza...tetapi ianya tetap menjurus kepada dasar yang satu...iaitu untuk memastikan dasar Islam tertegak. Tidak ada pun keluar dariapada mulut mereka kenyataan untuk bersama dengan UMNO!

Namun, menutup isu U.G itu secara rasmi adalah jalan terbaik yang menyelamatkan bahtera PAS daripada mudharat yang lebih besar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Katakanlah (hai Muhammad) setiap orang beramal di atas posisi mereka"

Tetapi yang masalahnya, bilamana kefahaman tidak betul-betul dipasak di dalam diri serta fikrah Islam yang longgar menyebabkan timbul keinginan untuk bersama UMNO...maka, perkara itu akan lebih menimbulkan masalah sekiranya ianya timbul di kalangan para pemimpin di dalam PAS sendiri.

Penulis sangat bersetuju dengan ulasan mengenai Persepsi yang diulas oleh Us Nasruddin Tantawi tersebut...Di dalam Fiqh Aulawiyyat, kita dituntut untuk menjaga lima Maqasid Syari'ah yang mana asasnya adalah mengutamakan agama dahulu,kemudian jiwa, akal, harta dan keturunan...persepsi adalah perkara yang diproses oleh akal...sama ada berasaskan iman mahupun nafsu...tetapi inya perlu kepada keutamaan yang lebih besar iaitu tugas menjaga Agama..sekiranya dengan persepsi itu membawa kepada terabai perkara yang lebih besar, maka tidak ada sebab untuk kita mengutamakan dan mengambil kira ia kerana mudharatnya juga sangat besar...Tetapi jika mudharatnya kecil, maka bolehlah kita mengambilnya kerana manafaatnya lebih besar..

Zaman sekarang orang semakin cerdik menilai..tetapi satu perkara yang perlu menjadi keutamaan, adakah nilai itu berasaskan kepada kefahaman dan fikrah Islam yang kukuh. Inilah yang perlu diteliti dan dimuhasabah bersama lebih-lebih oleh mereka yang ikhlas memperjuangkan Agama Allah yang mulia ini.

Apa yang penting sama ada kita nak atau taknak...itu saja...maka daripada itu juga persepsinya akan berbeza...Saidina Umar diberikan hidayah oleh Allah s.w.t. kerana beliau hendak tahu dengan penuh bersungguh kandungan al-Quran yang dibaca oleh adiknya sehingga memberi kesan yang sangat mendalam ke dalam jiwanya...tetapi Abu Talib, bapak saudara nabi pula tidak mahu mengetahui dakwah yang dibawa oleh rasulullah s.a.w,cuma sekadar mahu menjaga nabi sahaja. Oleh sebab itu, beliau tidak dikurniakan hidayah oleh Allah s.w.t.

Semoga kita sentiasa ditetapkan hati oleh Allah s.w.t. untuk terus teguh membawa dakwah Islam ini..Jangan timbul di dalam hati kita untuk mengkhianati perjuangan Islam kerana takut-takut Allah akan menutup terus hati-hati kita nanti.

Berilah pandangan, persepsi dan sebaginya, tetapi ingatlah bahawa tugas menjaga agama lebih besar!

Kata Fudhail bin 'Iyad, seorang ahli tasawuf : "Meninggalkan Amalan kerana manusia adalah riya', melakukan amalan kerana manusia adalah Syirik, dan ikhlas itu adalah apa yang diselamatkan oleh Allah daripada kedua-duanya".

Ingatan Bersama

Assalamualaikum buat semua teman-teman yang dihormati sekelian..

Maaf kerana agak terlewat update blog...ketiadaan internet di rumah dan beberapa masalah memberikan sedikit kesukaran untuk update..walaubagaimanapun, insyaAllah penulis akan cuba juga mencari masa terluang untuk jengah ke blog dan menambah bahan-bahan bacaan di dalam blog ini.

Baru-baru ini, di YahooGroup penulis (YG), sampai satu emel yang di forwardkan oleh rakan-rakan. Emel itu menceritakan tentang satu kejadian aneh yang berlaku di Dagestan , wilayah selatan Rusia.

Ianya sangat memberi satu bentuk keinsafan kepada seluruh umat Islam di dunia umumnya dan umat Islam di wilayah tersebut.

Malah, kejadian aneh yang berlaku jarang sekali di alam Islami ini seolah-olah memberi satu isyarat agar umat Islam kembali bersatu di bawah ikatan Aqidah yang syumul serta mengelakkan sebarang bentuk perpecahan.

Begitulah permuafakatan yang telah dicapai sebulat suara oleh majlis mufti Russia terhadap seluruh penduduk di wilayah tersebut yang mana menurut mereka, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.

gambar-gambar ini membuktikan akan kebesaran Allah s.w.t. yang dipertontonkan kepada manusia sebagai muhasabah untuk seluruh umat Islam.









Sesungguhnya apa yang berlaku kepada bayi berusia 9 bulan yang bernama Ali Yakubov adalah cebisan daripada kebesaran Allah yang tetap mempunyai hikmah-hikmahnya yang tersendiri.

Jika kejadian seperti Tsunami, gempa di Padang Indonesia, ribut Katrina, dan sebagainya juga keadaan yang berlaku pada bayi ini contohnya tidak mampu juga memberi keinsafan kepada manusia selaku hamba Allah yang menyatakan keimanan baik dengan hati, lisan dan amal perbuatan kita, maka layaklah golongan-golongan ini menerima balasan yang setimpal bagi perbuatan mereka.


Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Ankaabut ayat 2,3, dan 4 yang bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? . Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu".
Penulis sisipkan kembali berita mengenai kejadian aneh ini untuk bacaan bersama:

MOSCOW - Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.

Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.

Salah satu ayat itu bermaksud: "Allah ialah Pencipta segala yang ada.".

Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan mengalami demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.

Semasa dia dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. - Agensi

MOSCOW - Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.

Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.

Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.

"Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia menangis," kata ibunya Madina Yagubova.

Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu.

aparan mengenai kejadian aneh di Dagestan , wilayah selatan Rusia yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video YouTube.

"Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi menyedarkan penduduknya supaya bersatu," kata seorang ahli parlimen di wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. - Agensi.
Semoga kita sentiasa ditetapkan hati-hati kita bersama insyaAllah ta'ala. moga Allah s.w.t. sentiasa merahmati dan mengampunkan dosa-dosa kita . Amiin..

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat baginda siapakah golongan yang selamat;
Maka rasulullah s.a.w. bersabda: "Mereka adalah orang-orang yang mengikutiku dan mengikuti sahabat-sahabatku. Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah s.w.t. laksana berada si atas mimbar yang terbuat daripada cahaya. Mereka itu orang-orang yang berlaku adil di dalam menetapkan hukum baik kepada rakyat mahupun keluarga".- Hadith Riwayat Muslim.










Jadikan diri Kunci Kebaikan.

Alhamdulillah, selaut kesyukuran kita ucapkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana masih memberi peluang kepada kita selaku hamba untuk merasai nikmat hidup di atas muka bumi Allah s.w.t. yang tidak terhitung nikmatnya kepada kita ini, seterusnya kita dipilih pula oleh Allah s.w.t. untuk diberi nikmat Iman dan Islam yang mana tidak diberi melainkan kepada orang yang dikehendaki oleh-Nya.

Di dalam seharian kehidupan kita, kita tidak terlepas daripada bebanan dan taklifan hidup sebagai seorang hamba yang dikurniakan iman oleh Allah s.w.t. Ramai tidak menyedari bahawa kehidupan di atas muka bumi ini tidak semata-mata disediakan oleh Allah s.w.t. tanpa sebarang hadaf atau objektif, tetapi Allah s.w.t. menghendaki setiap hamba-Nya untuk menghargai hidup sebagai seorang hamba berpandukan wahyu al-Quran dan al-Sunnah yang mulia lagi agung.

Fenomena kebejatan akhlak dan aqidah yang melanda seluruh dunia islam hari ini sangat membimbangkn kita. Di Mesir umpamanya, doktrinisasi barat dan yahudi ini sangat dilihat berjaya merubah kehidupan masyarakat arab di sini. Baik pakaian, makanan seperti K.F.C dan Pepsi, coca-cola dan sebagainya, menjadi kehidupan mereka. Di salah sebuah lorong yang berdekatan dengan rumah penulis sendiri di Shoubra, Qahirah, sering menjadi tempat lepak muda-mudi terutama perempuan untuk menikmati rasa Pepsi dan Coca-cola. Di Cyber café begitu juga, tidak ada urusan ilmiah yang dibuat dengan kemudahan computer dan internet, tetapi mereka lebih suka memenuhi tempat tersebut untuk bermain game, tengok cerita dan ada yang ambil kesempatan (tengok bahan porno). Apa nak jadi tak tahulah!

Di Malaysia pun mungkin lebih kurang keadaannya.Tak perlulah penulis ulas panjang kerana ada perkara yang lebih penting untuk dikongsi di sini. Apa yang utama, kita mesti sentiasa ambil berat masalah-masalah yang berlaku disekeliling kita terutama yang melibatkan umat Islam itu sendiri.

Bagi kaum Yahudi laknatullah ‘alaih, mereka punyai tiga peranan utama yang ingin dijalankan terhadap umat Islam di seluruh dunia iaitu Komunisme, Sekularisme, Kristianisme..Cuba kita perhatikan pada tungku kaki tiga yang kita perhatikan di kampung-kampung, yang mana digunakan untuk memasak air , nasi dan sebagainya ketika kenduri yang besar. Jika salah satu kakinya dikeluarkan, sudah tentu periuk tidak mampu diletakkan dalam keadaan stabil. Begitu juga dengan matlamat yahudi ini, jika salah satu daripada matlamat mereka mampu dipatahkan, maka kekuatan mereka akan semakin lumpuh serta keadaan mereka tidak lagi stabil. Di sinilah peranan seluruh umat Islam perlu dimainkan. Jangan jadi golongan yang hanyut di dalam dunia fantasi ciptaan mereka sendiri!.

Tajuk di atas sesuai untuk mengambarkan diri kita sebenarnya. Kita sebagai orang Islam harus sedar bahawa peranan kita sangat besar. Maksudnya, kehidupan kita di atas muka bumi ini haruslah sentiasa memberi manafaat kepada diri kita dan orang lain. Di situ terbinanya peranan setiap ilmu yang kita pelajari. Apa gunanya kita diberi peluang hidup oleh Allah s.w.t. tetapi dalam masa yang sama kita tidak sedar atau buat-buat tidak sedar peranan kita sendiri!

Orang yang beruntung itu adalah orang yang sentiasa menginginkan dirinya menjadi punca kepada orang lain mendapat hidayah Allah s.w.t. Sekiranya aktiviti kita seharian tidak dipenuhi dengan perkara yang boleh menguntungkan Islam dan Ummahnya, bagaimana mungkin diri kita mampu menjadi asbab kepada hidayah Allah s.w.t..bahkan kita telah diingati tentang azab Allah s.w.t. yang sangat pedih di hari akhirat kelak akibat ilmu yang kita ada tidak mampu memberi manafaat kepada diri kita sendiri.


Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata".
Sesungguhnya syaitan tidak akan mungkin berputus asa daripada terus menghasut anak Adam hingga ke hari kiamat kelak, kerana itulah sebesar-besar janji mereka kepada Allah s.w.t.

Saidina Ali k.w.j. pernah berkata:
“Setiap nikmat itu ada kunci yang membukanya dan ada kunci menyelaknya( menguncinya). Kunci yang membukanya adalah sifat sabar dan kunci yang menyelaknya ada sifat malas”.

Sesungguhnya kesabaran di dalam perkerjaan dan amal yang kita lakukan amatlah penting untuk menjadikan diri kita sentiasa ingat kepada perintah Allah s.w.t. serta takut untuk melakukan larangan-Nya.

Daripada Sahal bin Saad r.a. berkata, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kebaikan itu laksana beberapa gudang. Dan bagi gudang-gudang itu ada anak kuncinya. Maka untung sekali bagi seseorang hamba yang telah dijadikan oleh Allah s.wt sebagai anak kunci kebaikan, penutup bagi kejahatan. Dan celaka bagi seorang hamba yang menjadi anak kunci bagi kejahatan, dan penutup bagi kebaikan.”

Tidakkah kita merasa apa-apa tatkala rasulullah s.a.w. memberi peringatan sebegitu rupa!. Mahukah kita diletakkan sebagai golongan yang mendapat kecelakaan Allah s.w.t di akhirat kelak, akibat diri kita yang memlih untuk menjadi penyebab kepada orang lain untuk melakukan kejahatan.

Ketika penulis berjalan pulang sebelum memulakan tulisan ini, penulis melihat dua orang remaja bergaduh secara serius. Tidak tahu apa puncanya. Walaupun setelah ianya terlerai, seorang remaja yang masih tidak puas hati, mengambil batu lalu membaling ke arah lawannya itu, hampir-hampir saja terkena kepada seorang perempuan yang lalu berhampiran kawasan itu. Ia mungkin fenomena biasa yang berlaku, cuma penulis ingin bangkitkan persoalan bahawa ianya datang daripada diri manusia itu sendiri. Jika dia memilih untuk menjadi anak kunci kejahatan, maka yang akan menerima kesannya adalah dirinya juga, dan tidak akan ada untungnya!

Di mana-mana pun, bila kita sudah bersatu dan membina satu kesatuan yang paksinya al-Quran dan al-Sunnah, maka kita adalah merupakan anak-anak kunci kepada kebaikan itu sendiri. Kita juga, berperanan untuk menutup pintu-pintu ini daripada sebarang unsur kejahatan yang boleh memecah-belahkan kesatuan kita semua. Jika ada di kalangan mereka-mereka yang mencipta propaganda untuk meruntuhkan kesatuan tersebut atas apa jua jenama yang mereka cipta, maka secara jelas mereka itu adalah umpama anak-anak kunci kejahatan yang ingin menutup pintu-pintu kebaikan!.

Golongan-golongan ini harus sedar inzar dan peringatan yang telah diberikan oleh rasulullah s.w.t. sendiri serta balasan yang bakal menanti mereka!

Sebagai orang Islam, kita mesti mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenaran al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, malah ia merasa bangga pula dengan kejahatan yang dilakukannya, seolah-olah dia telah menolak segala kebenaran yang terdapat pada setiap sabdaan nabi s.a.w. itu sendiri.

Daripada Ibnu Umar bin al-Ash r.a. berkata: “ Adalah aku menulis segala sesuatu yang aku dengar daripada rasulullah s.a.w., lalu orang-orang Quraisy melarang aku daripada yang demikian itu dan mereka berkata: Apakah engkau menulis segala sesuatu yang diucapkan oleh rasulullah s.a.w., sedangkan beliau adalah seorang manusia biasa yang bercakap-cakap dalam keadaaan redha dan marah! Maka aku pun berhenti daripada menulis segala perkataan rasulullah s.a.w. yang aku dengar, sehingga sampai satu masa aku menyebutkan yang demikian itu kepada rasulullah s.a.w.Maka baginda mengisyaratkan dengan telunjuknya ke arah mulutnya sambil berkata: Tulislah olehmu apa-apa yang aku katakan. Maka demi tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar daripada mulutku ini kecuali perkataan yang benar”.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Sampai di sini dahulu secebis coretan penulis pada kali ini, moga-moga setiap hari yang berlalu di dalam kehidupan kita dipenuhi dengan perkara-perkara yang memberi manafaat kepada Islam itu sendiri insyaallah. Wallahu'alam...

Fudhail bin al-‘Iyadh berkata:
“Kamu menutup pintumu dan menurunkan tabirmu dan merasa malu kepada manusia, tetapi tidak malu kepada al-Quran yang berada di dadamu dan tidak malu kepada Allah s.w.t. yang Maha Besar yang tidak ada sesuatu yang dapat bersembunyi daripadanya”





Kelebihan-kelebihan Taqwa.

Kita sering mendengar ingatan yang diberikan oleh Khatib yang membaca khutbah pada setiap hari jumaat di saat berkumpulnya umat Islam untuk menunaikan kewajipan yang telah disyariatkan pada setiap minggu itu. Kata-kata ingatan untuk bertaqwa yang kemudiannya diikuti oleh ayat Allah s.w.t. yang menyeru sekelian orang yang beriman untuk bertaqwa kepada Allah s.w.t. dalam ertikata yang sebenar-benarnya, dan tidak mati melainkan dalam di dalam keadaan ia juga bertaqwa merupakan satu rukun yang tidak akan terlekang daripada lisan Khatib yang berkhutbah di atas mimbar pada setiap hari jumaat tersebut.

Bagi kita orang-orang yang menyatakan keimanan kepada Allah s.w.t., tidak perlu tidak haruslah untuk sentiasa berusaha mencapai matlamat untuk menjadikan ketaqwaan sebagai pakaian terbaik buat kita. Tiadalah kemenangan yang lebih bermakna, melainkan ketaqwaan yang menghiasi peribadi kita setelah kita hidup bermasyarakat di atas bumi pinjaman Allah s.w.t. ini.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Taqwa tidak akan boleh diperolehi secara mudah oleh sesiapa pun kecuali mereka benar-benar menjiwai kehidupan sebagai seorang hamba kepada tuhannya. Bukankah Allah s.w.t. sentiasa meletakkan cubaan dan dugaan terhadap manusia-manusia yang diberi keimanan? Hanya mereka yang sedar mengenai cubaan dan ujian yang disediakan oleh Allah s.w.t. di atas muka bumi ini yang mana tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji sejauh mana keikhlasan seseorang hamba dalam beramal kepada-Nya, lantas menyediakan bekalan dan persediaan yang secukupnya, sudah pasti layak mendapat keampunan Allah s.wt. dan seterusnya diberi tingkatan taqwa itu sendiri.

Daripada Jabir bin Abdillah r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w.telah berkhutbah kepada kami pada hari Tasyrik khutbah al-Widaa’ (perpisahan). Maka baginda telah bersabda: “Wahai sekelian manusia, ketahuilah sesungguhnya Tuhan-mu adalah Esa, sesungguhnya bapamu adalah satu, ketahuilah tidak ada kelebihan untuk orang arab ke atas orang ‘Ajam (bukan arab) , dan tidak juga orang ‘ajam ke atas orang arab, dan tidak ada perbezaan ke atas yang berkulit hitam dengan yang berkulit merah dan tidak juga yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, kecuali dengan Taqwa (( Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang paling bertaqwa)) tidakkah kamu menerimanya”? maka mereka berkata : “Benar ya Rasulullah s.a.w.” . Lalu rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”

Kelebihan taqwa banyak disebut di dalam al-Quran oleh Allah s.w.t. .Di dalam kitab "Qhasas al-Quran" yang telah dikumpul dan disusun oleh Mahmud al-Misri (Abu ‘Ammar), penulis kemukakan di dalam penulisan pada kali ini beberapa kelebihan taqwa itu sendiri untuk di ambil Ibrah (pengajaran) oleh kita bersama insyaallah ta’ala..

Taqwa sebagai asbab (penyebab) untuk masuk syurga.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami”-Surah al-Maryam ayat 63.

Taqwa sebagai sebab untuk diterima amalan.
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanya- sanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”-Surah al-Maaidah ayat 27.

Taqwa sebagai sebab untuk dimudahkan setiap urusan.
“…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”.-Surah al-Tallaq ayat 4.

Taqwa sebagai sebab kemurahan rezeki.
“Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah s.w.. telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.-Surah al-Tallaq ayat 2-3.

Taqwa sebagai sebab kejayaan daripada kecelakaan.
“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu..Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu”. -Surah al-Maryam ayat 71-72.

“Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita”.-Surah al-Zumar ayat 61.

Taqwa sebagai penyebab untuk mengingkari keburukan dan keampunan daripada dosa-dosa.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar”.-Surah al-Anfaal ayat 29.

Taqwa sebagai penyebab teguh hati di dunia.
“Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”.-Surah Yusuf ayat 56-57.

Taqwa sebagai sebab untuk ditambahkan kebaikan, rezeki dan keberkatan.
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.-Surah al-A’raaf ayat 96

Ketahuilah…ketaqwaan itu adalah punca segala kebaikan. Barangsiapa yang mendapat ketaqwaan, sesungguhnya ia akan mendapat kebahagiaan keseluruhannya.

Telah berkata al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hambali di dalam “Jamii’ al-Ulum wal Hikam”:

“Tidak aku melihat kebahagiaan itu mengumpulkan harta, tetapi ketaqwaan itu adalah kegembiraan, dan bertaqwa kepada Allah itu sebaik-baik tambahan bekalan, dan disisi Allah s.w.t. itu ketaqwaan bertambah”

Begitulah serba ringkas kelebihan taqwa yang dapat dinyatakan oleh penulis di sini . Sesungguhnya ia merupakan janji Allah s.w.t. melalui kalam-Nya yang mulia. Maka beruntunglah bagi golongan-golongan yang diberikan oleh Allah ta'ala dengan kemuliaan tersebut. Bahkan , taqwa itu sendiri menjadi lambang kesatuan umat Islam i. Ambillah pengajaran melalui dua kisah besar di dalam sejarah umat islam iaitu kisah Habil dan Qabil, serta kisah Bilal bin Rabah yang penuh keinsafan.

Ayuh kita sama-sama perteguhkan kesatuan dan perpaduan serta menolak sebarang anasir yang boleh memcahbelahkan kesatuan kita. Bersama realisasikannya!