;

Selasa, Disember 13, 2011

Bangkitlah Pemuda, Usah Futur

Penyakit yang seringkali dihadapi oleh para pemuda hari ini ialah futur iaitu kecundang di tengah perjuangan. Penyakit futur merupakan halangan terbesar bagi Islam mencapai kemenangan.


Pemuda yang dikenali dengan semangat yang tinggi serta kekuatan yang optimum menjadi tunggak utama dalam memperanankan sesebuah gerakan Islam. Dengan kelebihan yang ada pada pemuda, segala gerak kerja dapat dilaksanakan. Inilah yang disebutkan oleh seorang tokoh gerakan yang disegani mengenai 4 keistimewaan yang ada pada pemuda sehingga di anggap sebagai tiang ummah, iaitu :

- Keimanan atau keyakinan yang tinggi
- Keikhlasan yang nyata
- Semangat yang berkobar-kobar
- Tenaga dan pengorbanan yang tinggi

Keempat-empat ini jika digunakan dengan baik, maka pemuda tersebut mampu menggegarkan dunia sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para pemuda semenjak zaman dahulu sehingga kini.Antaranya kita dapat lihat bagaimana Usamah bin Zaid yang diamanahkan untuk menjadi panglima perang di kala usia baru mencecah sekitar 17 tahun, walaupun di sana ada para sahabat yang lain yang lebih berketerampilan. Namun, atas dasar semangat kepemudaan yang ada, beliau diberikan kepercayaan untuk mengetuai batalion tentera Islam.

Begitu juga dengan sejarah Salahuddin Al-Ayubi yang berjaya merampas kembali hak umat Islam iaitu Baitul Maqdis dari tangan tentera Salib sejak sekian lama. Sultan Muhamad Al-Fateh, yang berusia sekitar 19 tahun, telah dipilih untuk membenarkan janji Nabi SAW iaitu pembukaan Kota Kostantinopal.

Ini adalah semangat juang yang tinggi yang membuak-buak di dalam dada seorang pemuda di samping keyakinan dan keimanan yang mantap.

Namun, pemuda mestilah berhati-hati agar tidak futur di dalam perjuangan.

Tahap futur yang paling kecil ialah malas. Iaitu seseorang yang sedang dalam perjuangan, malas untuk terus berjuang atau hanya melakukan perkara yang biasa saban tahun, tidak berusaha meningkatkan keupayaan diri. Ini dinamakan malas.

Dan tahap futur yang paling teruk ialah mereka yang terus lari daripada perjuangan. Mereka yang tidak mahu lagi untuk meletakkan diri mereka di dalam dunia perjuangan.

Justeru, untuk mengelakkan diri tidak terjebak dengan penyakit futur ini, pemuda mestilah mengetahui simpton-simpton berkenaan dengannya, iaitu:-

- Terlalu ghairah mendapatkan kemenangan

Pemuda yang terlalu ghairah dan tidak bersabar dalam mengecapi kemenangan akan mudah futur. Hal ini demikian, asam garam dalam perjuangan adalah dugaan. Tidak dinamakan sebagai perjuangan melainkan dengan pengorbanan. Bahkan dakwah merupakan satu amanah yang berat serta tempohb yang berpanjangan. Mereka yang tidak sabar serta tidak menelusuri sunnah dalam perjuangan akan kecundang dengan lebih awal.

- Merasa lama dalam perjuangan

Bagi mereka yang sudah berada di dalam perjuangan juga akan merasakan malas untuk bekerja apatah lagi memikul jawatan. Hal ini demikian, antara faktor ialah merasakan diri sudah berada lama dengan perjuangan dan sudah tiba masa untuk berehat seterusnya digantikan dengan generasi yang baru. Fenomena ini selalu berlaku di kalangan pemuda yang berkecimpung lama dalam medan dakwah. Pemuda kena jelas, tempoh perjuangan adalah berpanjangan samada kemenangan Islam atau mati syahid, maka tidak ada istilah sudah lama dalam perjuangan atau sudah tiba masa berehat. Yang ada dalam gerakan Islam hanyalah pertukaran posisi dalam gerak kerja. Apa yang penting ialah terus bekerja.

- Tidak meyakini kekuasaan Allah, hanya yakin kepada usaha semata-mata

Selaku pemuda yang membawa risalah Islam, perbezaan dengan orang kafir ialah pemuda Islam bekerja dengan mengharapkan keredhaan Allah sepenuhnya di samping usaha yang gigih dikerahkan melalui perancangan yang dibuat.Menjadi masalah apabila pemuda terlalu yakin dengan perancangan sendiri sehingga alpa dengan kekuasaan Allah. Hasilnya, apabila ditimpa ujian dengan kegagalan dalam perancangan yang dilaksanakan, akan menyebabkan futur.

- Bekerja disebabkan individu

Antara faktor lain ialah pemuda yang bekerja disebabkan tertarik dengan kotokohan individu yang berjuang. Semangat perjuangan yang diberikan adalah kerana disebabkan ketokohan individu tersebut bukannya kerana dakwah itu merupakan suatu kewajipan. Apabila individu tadi bermasalah, pemuda tersebut turut bermasalah. Bahkan ia boleh menyebabkan intima' syakhsi dalam diri pemuda tersebut yang akan melarikan fokusnya dalam perjuangan. Mereka berjuang untuk individu bukan untuk melaksanakan amanah Allah.

- Semangat tanpa kefahaman

Ramai pemuda yang bekerja dengan berlandaskan semangat semata-mata tanpa kefahaman yang jelas. Ekoran fitrah pemuda yang mempunyai semangat juang yang tinggi, bekerja merupakan perkara yang tidak menjadi masalah dalam diri. Namun permasalahan yang timbul ialah tidak memahami dasar perjuangan yang dilakukan. Akhirnya, perjuangan yang dilakukan mengikut rentak isu serta habuan dunia bukannya kerana disebabkan kefahaman yang betul iaitu menjulang panji Islam di dunia. Pemuda yang hanya berkorban atas dasar semangat semata-mata perlu diberikan pengisian yang berterusan agar mendapat kefahaman yang jelas.

Ini adalah beberapa simpton yang menyebabkan penyakit futur. Bahkan terdapat beberapa lagi simpton yang perlu diketahui oleh pemuda dengan membaca buku-buku yang dikarang oleh tokoh-tokoh gerakan.

Pemuda perlu meyakini bahawa perjuangan yang mereka bawa adalah perjuangan yang benar yang diwariskan oleh para Nabi terdahulu. Tiada istilah rehat berterusan dalam dunia perjuangan. Apa yang mesti diyakini oleh pemuda ialah 2 sahaja samada kemenangan Islam atau mati syahid.

Justeru, bagi mahasiswa/wi Islam Malaysia di Mesir, medan untuk terus bekerja di lapangan dakwah adalah melalui medium PMRAM yang sudah berkecimpung dengan dunia dakwah semenjak dahulu lagi. PMRAM mahukan pemuda yang bersemangat tinggi di samping keyakinan yang mantap dengan kekuasaan Allah. PMRAM yang terus meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah menjadikannya medan untuk mahasiswa/wi ditarbiyah dan seterusnya mentarbiyah.

Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah

Muhamad Zuhaili Saiman
Presiden
PMRAM 2011

LINK: www.pmram.org

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita