;

Ahad, Oktober 18, 2009

Kelebihan-kelebihan Taqwa.

Kita sering mendengar ingatan yang diberikan oleh Khatib yang membaca khutbah pada setiap hari jumaat di saat berkumpulnya umat Islam untuk menunaikan kewajipan yang telah disyariatkan pada setiap minggu itu. Kata-kata ingatan untuk bertaqwa yang kemudiannya diikuti oleh ayat Allah s.w.t. yang menyeru sekelian orang yang beriman untuk bertaqwa kepada Allah s.w.t. dalam ertikata yang sebenar-benarnya, dan tidak mati melainkan dalam di dalam keadaan ia juga bertaqwa merupakan satu rukun yang tidak akan terlekang daripada lisan Khatib yang berkhutbah di atas mimbar pada setiap hari jumaat tersebut.

Bagi kita orang-orang yang menyatakan keimanan kepada Allah s.w.t., tidak perlu tidak haruslah untuk sentiasa berusaha mencapai matlamat untuk menjadikan ketaqwaan sebagai pakaian terbaik buat kita. Tiadalah kemenangan yang lebih bermakna, melainkan ketaqwaan yang menghiasi peribadi kita setelah kita hidup bermasyarakat di atas bumi pinjaman Allah s.w.t. ini.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Taqwa tidak akan boleh diperolehi secara mudah oleh sesiapa pun kecuali mereka benar-benar menjiwai kehidupan sebagai seorang hamba kepada tuhannya. Bukankah Allah s.w.t. sentiasa meletakkan cubaan dan dugaan terhadap manusia-manusia yang diberi keimanan? Hanya mereka yang sedar mengenai cubaan dan ujian yang disediakan oleh Allah s.w.t. di atas muka bumi ini yang mana tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji sejauh mana keikhlasan seseorang hamba dalam beramal kepada-Nya, lantas menyediakan bekalan dan persediaan yang secukupnya, sudah pasti layak mendapat keampunan Allah s.wt. dan seterusnya diberi tingkatan taqwa itu sendiri.

Daripada Jabir bin Abdillah r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w.telah berkhutbah kepada kami pada hari Tasyrik khutbah al-Widaa’ (perpisahan). Maka baginda telah bersabda: “Wahai sekelian manusia, ketahuilah sesungguhnya Tuhan-mu adalah Esa, sesungguhnya bapamu adalah satu, ketahuilah tidak ada kelebihan untuk orang arab ke atas orang ‘Ajam (bukan arab) , dan tidak juga orang ‘ajam ke atas orang arab, dan tidak ada perbezaan ke atas yang berkulit hitam dengan yang berkulit merah dan tidak juga yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, kecuali dengan Taqwa (( Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang paling bertaqwa)) tidakkah kamu menerimanya”? maka mereka berkata : “Benar ya Rasulullah s.a.w.” . Lalu rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”

Kelebihan taqwa banyak disebut di dalam al-Quran oleh Allah s.w.t. .Di dalam kitab "Qhasas al-Quran" yang telah dikumpul dan disusun oleh Mahmud al-Misri (Abu ‘Ammar), penulis kemukakan di dalam penulisan pada kali ini beberapa kelebihan taqwa itu sendiri untuk di ambil Ibrah (pengajaran) oleh kita bersama insyaallah ta’ala..

Taqwa sebagai asbab (penyebab) untuk masuk syurga.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami”-Surah al-Maryam ayat 63.

Taqwa sebagai sebab untuk diterima amalan.
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanya- sanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”-Surah al-Maaidah ayat 27.

Taqwa sebagai sebab untuk dimudahkan setiap urusan.
“…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”.-Surah al-Tallaq ayat 4.

Taqwa sebagai sebab kemurahan rezeki.
“Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah s.w.. telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.-Surah al-Tallaq ayat 2-3.

Taqwa sebagai sebab kejayaan daripada kecelakaan.
“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu..Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu”. -Surah al-Maryam ayat 71-72.

“Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita”.-Surah al-Zumar ayat 61.

Taqwa sebagai penyebab untuk mengingkari keburukan dan keampunan daripada dosa-dosa.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar”.-Surah al-Anfaal ayat 29.

Taqwa sebagai penyebab teguh hati di dunia.
“Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”.-Surah Yusuf ayat 56-57.

Taqwa sebagai sebab untuk ditambahkan kebaikan, rezeki dan keberkatan.
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.-Surah al-A’raaf ayat 96

Ketahuilah…ketaqwaan itu adalah punca segala kebaikan. Barangsiapa yang mendapat ketaqwaan, sesungguhnya ia akan mendapat kebahagiaan keseluruhannya.

Telah berkata al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hambali di dalam “Jamii’ al-Ulum wal Hikam”:

“Tidak aku melihat kebahagiaan itu mengumpulkan harta, tetapi ketaqwaan itu adalah kegembiraan, dan bertaqwa kepada Allah itu sebaik-baik tambahan bekalan, dan disisi Allah s.w.t. itu ketaqwaan bertambah”

Begitulah serba ringkas kelebihan taqwa yang dapat dinyatakan oleh penulis di sini . Sesungguhnya ia merupakan janji Allah s.w.t. melalui kalam-Nya yang mulia. Maka beruntunglah bagi golongan-golongan yang diberikan oleh Allah ta'ala dengan kemuliaan tersebut. Bahkan , taqwa itu sendiri menjadi lambang kesatuan umat Islam i. Ambillah pengajaran melalui dua kisah besar di dalam sejarah umat islam iaitu kisah Habil dan Qabil, serta kisah Bilal bin Rabah yang penuh keinsafan.

Ayuh kita sama-sama perteguhkan kesatuan dan perpaduan serta menolak sebarang anasir yang boleh memcahbelahkan kesatuan kita. Bersama realisasikannya!

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita