Sabtu, Mei 02, 2009
Bangsa bukan Ancaman!
Dimensi baru dalam menggerakkan sebuah kesatuan...adalah dengan terus mengangkat Islam sebagai tuan di atas muka bumi..
Inilah paksi kepada sebuah kesatuan yang begitu ampuh dalam menghadapi cabaran dunia alaf baru...yang boleh diungkapkan oleh penulis senada dengan golongan yang memahami pengurusan masyarakat dengan kacamata kebenaran risalah Islam...iaitulah dunia jahiliyyah abad ke-22.
Jahiliyyah..umpama pedang yang bisa memancung dan meracun seni kebenaran yang tersusun kukuh dalam wacana pengurusan bangsa yang telah berjaya diadun resepinya serta diterjemahkan aroma keindahannya oleh manusia agung, kekasih Maha Pencipta 1400 tahun yang lampau.
Jahiliyyah abad ini tidak diterjemahkan lagi sebagai jahiliyyah sebelum sinarnya Islam yang memayungi seluruh Jazirah tanah arab pada ketika itu...Tetapi Jaliiyyah yang melanda dasawarsa ini adalah umpama barah yang mengalir secara perlahan...tanpa suara sehingga tidak bisa mengejutkan sebahagian jiwa beraqidah walaupun mereka telah diresapinya..
Inilah satu fenomena yang begitu membahayakan manusia-manusia yang masih berpaut dengan nilai-nilai Islam...ia umpama api yang meratah dengan lahap kayu-kayu rapuh yang diertikan sebagai jiwa yang rapuh dengan keimanan...hanya kadang-kadang terdengar desiran api yang meratah kayu itu...ibarat nada kegembiraannya untuk merentungi kayu yang lemah tidak bermaya itu...
Teringin kembali mengungkapkan mutiara kebimbangan khalifah Islam kedua, Saidina Umar al-Khattab R.A di saat mencerna suasana umat ketika itu:
"Akan terungkailah ikatan islam satu-persatu, sekiranya seseorang yang lahirnya dalam keluarga Islam tetapi tidak mengenal erti Jahiliyyah!"
Dalam coretan hati pada kali ini, penulis ingin membawa teman-teman pembaca sekelian untuk membawa penilaian hati dan akal terhadap satu cetusan wacana yang dinilai daripada pelbagai isu yang telah melanda Negara kita mutakhir ini…
Bangsa bukan ancaman…satu ungkapan yang tercetus dalam benak hati penulis setelah melihat perubahan 50 tahun lebih kemerdekaan Negara Malaysia ini..
Hakikat yang perlu kita sama-sama jelas adalah perjuangan berasaskan bangsa bukan lagi agenda utama yang ampuh sudut teori dan praktikalnya untuk diteruskan dalam memacu survival rakyat dan umat…
Kesedaran seharusnya timbul sedari kita dibentangkan dengan hamparan jalinan sirah al-Nabawiyyah yang agung, bahawa Rasululullah S.A.W tidak pernah membawa teori perjuangan bangsa…kerana jelas sekali jika teori perjuangan bangsa benar-benar ampuh dalam melaksanakan agenda perpaduan Negara, seharusnya Nabi Muhammad S.A.W. telah membuktikannya dahulu..tetapi hakikat yang sebenarnya, Nabi Muhammad S.A.W dengan panduan wahyu Ilahi telah melaksanakan dengan begitu baik sekali satu formula dalam melaksanakan agenda pembangunan Ummah yang terjamin survivalnya dengan perlaksanaan asas-asas Islam terlebih dahulu tanpa mengangkat bangsa menjadi asas perjuangan.
Maka,setelah asas-asas Islam dalam adunan Iman dan Ilmu ini tersusun dan teradun dengan begitu baik sekali, barulah rasulullah S.A.W memacu masyarakat baru Madinah melalui agenda pembangunan Negara dan Survival Ummah secara menyeluruh dan holistik…
Hari ini, fenomena kebejatan nilai-nilai asas Islam ini tampaknya kembali menular semula dalam kondusi Umat Islam…api kejahilan yang dihidupkan dan dimarakkan oleh angin barat yang penuh dendan kesumat yang tak pernah berkesudahan telah berjaya membunuh sebahagian besar komitmen, jatidiri seterusnya survival umat Islam...ditambah lagi dengan jauhnya mereka dengan dua tunjang utama yang menjadi rangka kekuatan umat Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka kekurangan itu tampak lebih ketara lagi.
Di sinilah persoalannya…bolehkah perjuangan berasaskan bangsa diteruskan dalam keadaan nilai dan jatidiri umat Islam jatuh merudum angkara barah dunia hari ini yang menular…maka ia termasuklah muhasabah terhadap jatidiri masyarakat Melayu kita di Malaysia yang sinonim dengan Islam setelah lahirnya mereka..maka, ia tidak sesuai lagi mendahului lagi perjuangan berasaskan Survival Islam yang patut hidup subur dalam negara pada hari ini.
Setelah Malaysia bertukar pemimpin lagi…mampukah perdana Menteri untuk melakukan transformasi dalam sistem pentadbiran Negara sehingga ia betul-betul menepati piawaian survival Islam untuk mengambil alih perjuangan berasaskan bangsa..?
Inilah realiti yang patut menjadi impian setiap jiwa yang terisi dengan aqidah Islam dan keimanan untuk melihat transformasi tersebut terus berlaku dalam negara kita melalui kepimpinan perdana Menteri yang baru ini agar Malaysia boleh mampu menjadi sebuah Negara yang beridentiti!
Beberapa asas penting dalam menyatakan mengenai bangsa bukan ancaman adalah intisari surah al-Fatihah itu sendiri.
Allah S.W.T menyatakan jelas bahawa di antara doa yang terkandung dalam al-Fatihah itu adalah memohon Allah S.W.T menunjuki manusia ke jalan yang lurus, serta berlindung daripada golongan yang dimurkai dan juga golongan yang sesat…
Mengapa Allah S.W.T. tidak mengunakan perkataan Yahudi dan Nasrani secara terus dalam surah al-Fatihah sedangkan mereka adalah golongan yang mewarisi sifat-sifat sesat dan dimurkai oleh Allah S.W.T tersebut ?
JAWAPANNYA ADALAH BUKAN BANGSA YANG MENJADI UKURAN, TAPI SIFAT BANGSA TERSEBUT!
Sebelum ini,kita pernah mengetahui bahawa Bani Israil adalah golongan atau bangsa yang pernah diangkat dan dimuliakan oleh Allah S.W.T….tetapi jelas kehinaan yang besar keatas mereka disebabkan oleh sikap mereka sendiri bilamana tidak mengi’tiraf Islam sebagai agama yang tertinggi dan hukum-hukumnya adalah hukum yang terbaik …maka, kemuliaan itu beralih pula kepada umat nabi Muhammad S.A.W. Maka, tidak mustahil juga umat ini akan senasib dengan Bani Israil jika mengulangi perbuatan mereka tersebut!
Rasulullah S.A.W. ketika menghantar surat-surat seruan kepada risalah Islam terhadap raja-raja yang mempunyai kekuasaan seperti Rom dan Parsi pada ketika itu, tidak langsung menyebutkan mengenai bangsa walaupun jelas baginda adalah daripada bangsa yang terbaik…tetapi bukan itu asas perjuangan baginda bahkan yang utamanya adalah perjuangan untuk memastikan Islam berada pada tempatnya yang tertinggi.
Inilah yang harus berlaku dalam sistem politik Negara kita sekarang…Jelas jika survival Islam diperjuangkan, nescaya survival umat akan terpelihara kerana sebelum kita lagi…saidina Umar al-Khattab sendiri telah melihat perkara ini terlebih dahulu dengan kacamata kebenaran yang penuh hikmah sehingga beliau menyebutkan:
“KITA ADALAH KAUM YANG DIMULIAKAN DENGAN ISLAM…!”
Maka, berapa banyak pun bangsa..baik Melayu, Cina ,India dan sebagainya tidak akan menjadi ancaman terhadap kestabilan politik Negara jika survival Islam terus diangkat dan transformasi pentadbiran negara berjalan dengan baik…seterusnya agenda pentadibiran Negara untuk mengurus umat akan terpacu dengan baik dan lancar insyaallah…Gunakan peluang yang ada untuk menjadikan parlimen yang menjadi lambang demokrasi di negara ini tidak akan terus terpalit dengan lumpur perpecahan bangsa.
Maka jelas secara konklusinya, Survival Islam inilah bukti formula kajayaan empayar Islam Madinah yang telah berjaya membangun adab dan ketamadunan atau Hadharah Islamiyyah hingga sekarang!
Firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat-110 yang bermaksud:
Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.
Firman-Nya lagi dalam surah al-A’raf ayat -26 yang bermaksud:
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian Yang berupa taqwa itulah Yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
"Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. "
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan