;

Khamis, Ogos 06, 2009

Habil dan Qabil-Intisari keikhlasan!.







Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;

"Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;

"Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim".

Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.

Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai
celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.


Ayat 28-33 di dalam surah al-Maiidah di atas, jika dihayati secara teliti akan memberikan kita satu intisari serta motivasi dalam perjuangan Islam agar sentiasa ikhlas dalam beramal.

Apakah hikmah Allah S.W.T. merakamkan kisah pembunuhan terawal umat manusia ini di al-Quran, bahkan Allah S.W.T. merakamkannya satu persatu.

Ya...kekuatan dan keutuhan generasi umat manusia terbina kerana mereka mengkaji dan meneliti hikmah kejadian alam. Lihatlah kemodenan yang terbina hari ini, adalah hasil kajian dan penyelidikan terhadap intipati al-Quran itu sendiri.

Malangnya, umat Islam hari ini seolah-olah merelakan al-Quran yang menjadi sumber kekuatan Islam dicuri, dibedah serta dikaji, dan dijadikan peluru untuk memusnahkan dan menghancurkan kesatuan yang telah dibina. Inilah penyebab Islam semakin ditekan dan dihimpit oleh kerakusan tangan-tangan Laknatullah 'alaih...kerana sumber utama jatidiri dan kekuatan umat Islam telah berjaya dimanipulasikan oleh mereka dengan sewenangnya!

Lihatlah bagaimana Allah S.W.T. memberikan satu isyarat tentang pentingnya amalan yang disandarkan kepada keiklasan. bahkan ,inilah yang telah digariskan oleh ulama' sebagai prasyarat penerimaan Amalan iaitu hanyalah dengan keikhlasan dan mengikuti sunnah al-Rasul S.A.W. yang mulia.

Bagi mereka yang bergelar pemimpin, ataupun orang-orang yang berjawatan, tidak kiralah di peringkat negara, masyarakat ,mahasiswa, mahupun keluarga, sifat ikhlas ini sememangnya menjadi tunjang yang amat penting bagi memastikan perjalanan meyusun agenda Ummah terus terlaksana. Lihatlah, bagaimana Allah S.W.T. tidak menerima pemberian Qabil dan menerima pemberian Habil walaupun pemberian Qabil lebih bernilai daripada pemberian Habil. Ianya cukup jelas, bahawa amalan hati itu menjadi penentu bahawa amalan zahir akan diterima oleh Allah S.W.T.. dan, mereka yang tidak diberi jawatan pula perlu akur bahawa ianya satu ketentuan Allah S.W.T. dan mereka dilarang menyimpan perasaan dendam kerana ianya bakal membawa kepada kemusnahan dalam kesatuan.

Kita hari ini sibuk bercakap mengenai pembangunan Ummah, tetapi kita perlu sedar Ummah tidak boleh dibangun hanya dengan kata-kata dan semangat semata-mata, tetapi lebih jauh lagi ianya perlu dirangkaikan bersama amal yang penuh dengan keikhlasan tanpa mengharapkan material dan ganjaran. Jika perkara ini dihayati, penulis yakin bahawa proses untuk membangun Ummah akan terlaksana dengan jayanya Insyaallah.

Seterusnya, Allah S.W.T. turut merakamkan intisari penting terhadap amal keikhlasan ini, iaitu tidak mengharapkan pembalasan dalam beramal. Kita perlu sedar, sebahagian masyarakat hari ini dihinggapi satu penyakit yang mana mereka inginkan ganjaran daripada amal perbuatan mereka. Ini bukanlah satu jaminan sebenarnya terhadap sesebuah kebahagiaan.Jika, kita sendiri mendidik jiwa kita untuk mendapat ganjaran terhadap setiap amal perbuatan kita, kita pasti akan mendapati bahawa tuah tidak akan selalu berpihak kepada kita. Secara jelas, konsep ini harus lebih perlu dihayati oleh golongan pemimpin yang bekerja untuk rakyat kerana nabi S.A.W. telah mengingatkan bahawa pemimpin itu adalah menjadi khadanm kepada rakyatnya sendiri, bukan mencari populariti dengan bantuan yang dihulurkan.

Sebagaimana ingatan Saidina Ali k.w.j., ambillah teladan daripada sebatang pokok yang berbuah, walaupun kadang-kadang ia dilempar, disepak, diejek dan sebagainya, tetapi ia tetap terus berbuah kerana ia tahu bahawa tugasnya untuk berbakti kepada manusia. Maka, kita sebagai aktivis Dakwah juga harus sedar walau dimanapun posisi kita, kita tetap mempunyai amanah dan tugas untuk terus menyampaikan Dakwah Islam kepada masyarakat.

Intisari ketiga melalui kisah ini, adalah tanggungjawab kita terhadap amanah yang sedang kita pikul ini. Sebagaimana peringatan rasulullah S.A.W. kepada kita semua tentang tanggungjawab dan amanah kepimpinan yang sedang kita pikul ini, maka kita harus sedar dengan sesungguhnya bahawa setiap apa yang kita lakukan tetap akan mendapat pembalasan Allah S.W.T. kelak di hari kebangkitan.Apakah,kita sanggup melihat masyarakat yang terbina pada hari ini, terus dilanda kehinaan dan tekanan yang kuat akibat sikap kita yang mengambil enteng soal Ummah dan masyarakat. Peringkat-peringkat amalan untuk membina individu Muslim, Rumatangga Muslim, Masyarakat Muslim, Daulah Islamiah dan Khilafah Islamiah tidak boleh diambil mudah jika kita semua ingin melihat Islam kembali berada di tempatnya yang gemilang. Sebab itulah Allah S.W.T. mengisyaratkan dalam kisah ini agar Qabil bertanggungjawab dengan perbuatannya itu, namun hanya penyelasanlah buatnya kerana dia telah melakukan amal yang tersimpang daripada cahaya kebenaran.

Akhirnya, intisari terpenting yang ditekankan oleh Allah S.W.T. kepada kita sebagai generasi yang terbaik yang dilahrikan untuk menyokong dan mendokong perjuangan Islam ini, bahawa kita hendaklah menjaga perpaduan dan kesatuan atas nama Aqidah yang telah terbina dengan Islamnya dan Muslimnya kita. Jangan kita putuskan ia dengan perkara-perkara yang mencemarkan kesucian agama Islam. Realitinya inilah yang berlaku. Barah-barah yang menjangkiti Aqidah, Syariah dan Akhlak ummah telah sampai ke peringkat yang amat membimbangkan. Siapa lagi yang diharapkan akan menyelamatkan umat hari ini daripada barah-barah ini kalau bukan kitayang mencari penawarnya!.

Ingatlah,sebagaimana peringatan Allah S.W.T. kepada bani Israel tetang larangan membunuh sesama mereka, maka kita juga dilarang untuk membunuh kesatuan Islam dan Dakwah yang sedang terbina ini. Memutuskan dan membunuhnya, bererti menjatuhkan Islam itu sendiri, tetapi memperkukuhkan dan menjaganya bererti menjaga kesucian agama Islam ini.

Akhirnya, penulis berharap agar kita sama-sama dapat ingat-memperingati di antara satu sama lain serta memperkukuhkan semagat yang telah terbina dengan amalan yang benar-benar ikhlas dalam beramal tanpa menharapkan sebarang ganjaran melainkan keredhaan Allah S.W.T. jualah.Amiin.

Firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Maiidah ayat 53 yang bermaksud;

Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: "Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.

Wallahu'alam...

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita