Gambar mereka sudah beratus kali dirakamkan, tetapi dunia masih memandang sepi derita anak-anak di sini. Dalam dingin dan perut lapar, mereka terbaring di katil menunggu ajal.
Itulah gambaran biasa di kota ini. Setiap rakyat Iraq berkongsi sakit dan derita akibat sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap negara itu sejak tujuh tahun lalu.
"Sekatan menyebabkan rakyat hidup dalam kedaifan, malah jika mereka ada wang sekali pun hasil jualan segala harta dimiliki untuk rawatan anak mereka, ubat tiada di sini," kata doktor residen di Hospital Saddam di Khadimiya, Dr Imad Fadhil.
Ketua Pengarah Hospital al-Qaddassiyah, di Kota Saddam, Baghdad, Dr Kamal Askar, berkata sekatan meninggalkan kesan kepada kehidupan rakyat Iraq, terutama dalam memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan.
"Satu pun tidak terkecuali daripada menjadi mangsa sekatan. Bayangkan pada musim panas nanti. Dengan suhu mencecah 60 darjah Selsius. Apa jenis rawatan yang dapat kami tawarkan dalam keadaan sebegini?
"Jangan tanya apa yang kekurangan di sini kerana kami bertugas dalam keadaan serba-serbi kurang. Ada ketikanya, kami terpaksa meminta daripada ibu lain sedikit cecair glukos anak mereka untuk membantu pesakit lain," kata Dr Imad.
Dr Kamal menegaskan bahawa mereka hanya menerima 69 peratus daripada bekalan perubatan yang dijanjikan dalam fasa satu perjanjian pertukaran minyak-makanan daripada syarikat yang menandatangani kontrak dengan jawatankuasa perjanjian. Untuk fasa kedua hanya satu peratus sudah dilaksanakan.
"Ini bukan cerita dongeng. Anda lihat sendiri kedaifan kami. Anda lihat sendiri anak-anak kecil ini merintih kesakitan, merayu-rayu mahu sembuh daripada penyakit mereka. Selepas tujuh tahun, kami tiada apa-apa.
"Kami buka hospital jam 9 pagi, ubat habis sebelum waktu makan tengah hari. Bayangkan kami menerima 1,000 hingga 1,500 pesakit luar setiap hari," katanya.
Beliau berkata, pihak hospital hanya mampu melakukan apa yang terdaya untuk pesakit mereka.
"Jika dulu kita boleh buat 20-25 pembedahan sehari, sekarang hanya dua atau tiga saja kerana tidak cukup ubat pelali, malah sabun untuk membasuh tangan pun tiada. Katalah kami ada 10 daripada 12 barangan yang perlu untuk membuat pembedahan atau 11 sekali pun, kami tidak boleh melakukannya kerana ia perlu lengkap," kata Dr Kamal.
Pakar pembedahan di Hospital Kota Saddam, Dr Tell Abdul Fattah, berkata mereka melakukan pembedahan secepat yang boleh bagi memastikan pesakit lain mendapat bahagian mereka untuk menjalani pembedahan.
Menurutnya, mereka yang menderita bukan saja kanak-kanak tetapi setiap lapisan masyarakat, bezanya kanak-kanak paling teruk terjejas kerana sistem daya tahan penyakit mereka belum terbentuk sepenuhnya dan tanpa bekalan khasiat makanan yang mencukupi, apa-apa saja jangkitan boleh menyebabkan kematian mereka.
Ketua Pediatrik di hospital itu, Dr Mudhar A Kannuna, berkata mereka berperang dengan sesuatu yang mereka tidak nampak.
"Pada luarannya ia kabur, tetapi kesannya mendasar terhadap tunjang masyarakat, anak-anak yang bakal mewarisi keturunan mereka.
"Saya sendiri sedih dengan nasib anak-anak. Saya tahu mereka tiada masa depan jika sekatan berlarutan. Saya cuma berharap dunia melihat penderitaan anak-anak kami di sini," katanya.
Dua buah hospital ini mempaparkan banyak kisah sedih. Kami temui Barzan yang lari di seluruh hospital kerana kesakitan. Pesakit leukemia ini tiada harapan lama, kecuali diberikan rawatan di luar negara. Tetapi dia datang daripada keluarga susah, segala harta sudah dijual hanya untuk menyambung nyawanya untuk beberapa minggu saja demi kasih si ayah dan ibu.
Muna dan Amina juga menerima nasib yang sama. Jika kita di Malaysia, penyakit cirit birit dapat dirawat dengan segala jenis perubatan yang ada, tetapi di sini, sekatan menafikan segala-galanya. Ubat untuknya tiada dan mereka juga menanti ketentuan Tuhan.
Seorang lagi Nur Majid, 11 bulan, mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan cirit birit. Beratnya 7.2 kilogram sedangkan berat sepatutnya minimum sembilan kilogram.
Ayyat Jabbar, menghidap asma dan terpaksa berebut satu-satunya tong gas pernafasan yang ada di hospital itu. Dalam keadaan sejuk di hospital (kerana tiada pemanas), Dr Mudhar berkata, kadangkala mereka hanya mampu memerhatikan anak-anak ini mati.
"Ia menyedihkan kami dan sampai pada satu tahap yang kami terpaksa berjenaka dengan keadaan yang berlaku kepada kami. Mereka di sini selalu bertanya, di mana Annan (Kofi Annan, Setiausaha Agung PBB), di mana makanan, di mana ubat?" katanya.
Lawatan ke hospital berkenaan menceritakan kesan sebenar sekatan yang menghukum anak-anak yang tidak bersalah. Doktor di sini cuma dibayar gaji beberapa dolar Amerika saja, tetapi mereka tabah (ramai juga yang terpaksa berhenti dan menjual jus untuk menanggung keluarga) untuk berbakti kepada rakyat.
Kita pernah melihat derita, tetapi rakyat Iraq lebih menderita daripada kita. Bagi ibu Barzan, jiwanya remuk redam, tangisnya berpanjangan, untuk menyelamatkan anaknya.
"Kepada Allah saya meminta ihsannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan