Subuh pada hari Jumaat ini benar-benar mengajar erti “Ithar” kepada penulis.
Ithar itu ertinya mengutamakan kepentingan orang lain lebih daripada kepentingan kita…bahkan, kita akan melebihkan diri orang lain lebih daripada diri kita sendiri.
Pagi jumaat di Shoubra hari ini memang sejuk, agak mengigil penulis menunaikan solat di masjid bersebelahan rumah. Tambahan lagi, wudhuk diambil di bilik air masjid, menambahkan lagi kesejukan anggota badan tatkala angin pagi datang menerjah ke segenap ruang anggota badan yang hanya dibaluti oleh dua lapisan baju termasuk jubah.
Seusai solat subuh, dan ditambah sedikit zikir-zikir yang lazim, penulis menuruni tangga untuk berjalan pulang. Pagar rumah tidaklah jauh, hanya beberapa langkahan sampailah di rumah.
Belum sempatpun melepasi pagar utama rumah, seorang pakcik yang kebetulan turut bersolat di masjid, memakai baju sejuk yang kelihatan pada pandangan penulis agak mahal kerana diperbuat daripada kulit , tiba-tiba meletakkan baju sejuk itu di atas badan penulis.
Penulis terkejut, lalu ingin memulangkan kembali baju sejuk itu…pada ingatan penulis, mungkinlah beliau hanya ingin membaluti tubuh yang agak sejuk ini sehingga sampai di pagar rumah sahaja, dan kemudian mengambilnya kembali.
Namun sambil tersenyum, beliau memberi isyarat untuk terus mengambil baju sejuk itu, dan kemudian berjalan pulang.
Beliau kemudian kembali semula, tetapi rupanya ingin mengambil kain kecil penutup lehernya yang terjatuh.
Penulis memulangkan kembali baju sejuk itu kerana ianya baju kulit yang mahal, jadi seganlah penulis untuk mengambilnya. Namun, beliau hanya tersenyum dan terus berjalan pulang. Beliau tidak mengambil baju yang telah diberikannya itu. Malah, beliau sanggup pulang di dalam keadaan kesejukan.
Allahuakbar, besarnya kurniaan Allah s.w.t.
Sedang duduk-duduk, teringat kembali dua pasang baju sejuk yang dibeli oleh penulis pada musim sejuk tahun lepas di Port Said…harganya kalau tidak silap seratus lebih.
Namun, salah satu daripada penulis paling sayang, kerana ianya tebal dan buatannya juga cantik.
Tatkala, penulis berpindah ke rumah baru, ada beberapa barang yang masih tinggal,termasuk 2 baju sejuk itu.
Hajat ingin mengambilnya kembali, namun telah diambil oleh pelajar baru yang menetap sementara di situ di dalam keadaan tidak sengaja.
Namun, tiada rezeki agaknya, baju itu tidak dipulangkan walaupun penulis telah meminta kepadanya.
TIdak apalah, penulis redha dan meniatkannya sebagai sedekah.
Rupanya inilah satu bukti di sebalik rukun tertinggi Ukhuwwah itu iaitu “Ithar” itu sendiri.
Kita memberikan barang yang paling kita sayangi, Allah s.w.t. akan balasinya juga dengan barang yang orang paling sayangi kepada kita.
Malam itu, penulis lihatnya lagi…Tetapi dengan baju sejuk yang baru.
Semoga Allah s.w.t akan sentiasa menguatkan iman kita semua dan meletakkan kita di dalam kelompok golongan yang sentiasa diberi Hidayah dan Taufik oleh Allah s.w.t.
Wallahu’alam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan