;

Sabtu, Februari 20, 2010

Motivasi Untuk Anda…Allah itu Maha Pengampun!

 

3594692033_2c019ba9a5

“Em, kenapalah aku bernasib malang…Tuhan tak sayangkan aku ke?” Luah seorang sahabat kepada temannya.

Terdengar pula luahan yang lain.. “Man, aku nie dah seminggu demam panas..Tak tahu la,mungkin tuhan nak uji aku agaknya”

“Kenapa aku sering ditimpa masalah macam nie…Mungkin Tuhan nak uji aku agaknya” Luah seorang lagi teman kepada sahabatnya.

“Ntah la…agaknya aku nie akan terus macam nie la sampai bila-bila” Luah seorang sahabat tatkala duduk termenung di atas tangga rumahnya.

Pernahkan anda mendengar luahan seperti di atas…Ataupun luahan tersebut keluar daripada lidah anda sendiri.

Mungkin banyak lagi frasa-frasa yang lain…tetapi ini di antara bentuk luahan yang mengambarkan keresahan di dalam benak penuturnya.

Teman-teman…jangan sesekali anda rasa resah dan sedih dengan keadaan diri.

Yakinlah, Allah s.w.t. itu Maha pengampun lagi Maha Penyayang.

Seumpama ibu atau bapa yang tidak sanggup membiarkan anaknya tanpa kasih-sayang dan simpati belas, maka Allah s.w.t. lebih tinggi lagi sifat kasihan belas dan kasih-sayang-Nya kepada manusia.

Jika anda berada di dusun durian contohnya, dan anda melalui  pepohonan durian yang sedang mengugurkan buahnya di malam hari yang gelap, Lalu siapakah yang tercedera akibat dihempap buah durian yang besar lagi berduri itu..Tiada bukan!

Kalaulah dengan buah durian tersebut Allah s.w.t melindungi kita, apatah lagi dengan perkara-perkara yang lebih besar.

Kadang-kadang timbul putus asa di dalam diri kita kerana masalah yang bertimpa-timpa. lalu, adakah ianya tanda Tuhan telah melupakan kita?

Tidak…malah ianya adalah tanda ingatan Allah s.w.t. kepada kita semua. Kita perlu yakin dengan pasti bahawa setiap ujian itu adalah tanda pembersihan dosa yang ada pada diri kita. bahkan, yang perlu kita risau jika tidak pernah didampingi dengan kesakitan.

Daripada Abi Hurairah, daripada nabi s.a.w, baginda telah bersabda:

Tiadalah sesuatu yang menimpa seorang Muslim baik keletihan, penyakit yang menimpa jasadnya, kesalahannya, kesempitan (keresahan) hati, sekalipun duri yang menusuknya, melainkan Allah s.w.t. telah mengampunkan kesalahnnya- Hadith riwayat Bukhari, Muslim, al-Tirmidzhi dan Imam Ahmad.

Maka, apakah lagi yang membimbangkan kita? Allah s.w.t. telah pun mengampunkan dosa-dosa kita di sebalik kesempitan hidup mahupun cubaan pada diri kita tersebut.

Sebenarnya amat beruntung bagi mereka yang ditimpa walaupun sekecil-kecil masalah kerana rasulullah s.a.w. telah memberi Isyarat syurga kepada mereka yang sakit dan ditimpa masalah.

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau telah berkata:

Telah datang seorang Arab kepada rasulullah s.a.w., lalu rasulullah s.a.w. telah bersabda kepadanya: Adakah kamu telah menghadapi demam panas?. Maka Arab itu bertanya: Apakah demam panas itu?. Maka bersabda nabi s.a.w.: ((Kepanasan di antara kulit dan daging)). Maka beliau berkata: Tidak!. lalu Rasulullah s.a.w. bertanya lagi; Adakah kamu menghadapi pening kepala?. Maka beliau bertanya: Apakah itu pening kepala?. lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: ((Angin yang masuk di dalam kepala, dan memukul urat-urat di kepala)). Maka beliau berkata: Tidak!. lalu ketika beliau berdiri, rasulullah s.a.w telah bersabda; ((Barangsiapa yang ingin melihat kepada ahli neraka!)): lihatlah kepadnya”- Hadith yang dikeluarkan oleh al-Hakim dan shahih menurut syarat Imam Muslim, dan dikeluarkan juga oleh Ibnu Hibban.

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa rasulullah s.a.w memberi amaran bagi mereka yang tidak pernah ditimpa walaupun sekadar pening kepala, ianya boleh menjadi di antara tanda-tanda ahli neraka, kerana sesungguhnya kesakitan itu adalah isyarat hidayah Allah s.w.t.

Namun, bergembiralah walaupun kita hanya terseliuh kaki di waktu bermain bola, itupun bakal menghapuskan dosa-dosa kita semua!

Dikeluarkan oleh al-Tabrani daripada Aisyah R.Anha:

Tiadalah kesakitan urat yang menimpa seseorang itu melainkan allah s.w.t. mengampunkan kesalahannya, menuliskan baginya kebaikan, dan mengangkat darjatnya”-Telah berkata al-Hafidz: Sanadnya baik.

Ada orang yang mengeluh kerana di waktu beliau sihat, banyak amalan yang mampu dilakukan…Tetapi apakah yang dapat dibuat ketika sakit. Hanya terlantar tanpa dapat melakukan ibadah dengan baik. Maka, pahala pastinya berkurang ketika itu.

Ingatlah teman-teman, Allah s.w.t. itu Maha Pengasih dan Pemurah. Sesungguhnya pahala orang yang sakit itu tidak berkurangnya sedikitpun berbanding orang yang sihat. itulah tanda rahmat Allah s.w.t. kepada seluruh hamba-Nya!

Daripada nabi s.a.w., baginda telah bersabda:

“Tiadalah seorang Muslim yang ditimpa sesuatu musibah- Kesalahan atau kesakitan-meliankan ia akan ditulis ganjaran buatnya, sekalipun duri yang menusuknya, ataupun kesakitan (yang menimpa akibat sesuatu peristiwa)”- hadith dikeluarkan oleh Muslim di dalam bab “Adab” dan al-Nasaie di dalam bab “Perubatan”.

Hadith di atas menjadi dalil bahawa pahala orang yang sakit akan terus mengalir sehingga beliau sihat kembali walaupun tidak mampu menunaikan ibadah secara sempurna. Maka, bersyukurlah!

Apa yang penting, sentiasalah istiqamah di dalam melakukan kebaikan dan amalam kepada Allah s.w.t., kelak di waktu kita sakit dan sebagainya, pahala amalan kita itu akan terus mengalir tanpa berkurang. namun, jika kita tidak melakukan ibadah di waktu sihat, lalu apabila kita sakit, kita tidak akan mendapat ganjaran pahala yang sama melainkan apa yang kita niatkan terhadap ibadah tersebut, kerana kita tidak melaziminya di waktu sihat seperti solat jemaah dan sebagainya. begitulah pandangan yang diberikan oleh Para Ulamak seperti Imam al-Nawawi, Imam al-Subki dan yang lainnya.

Daripada Abdillah bin Amru, daripada nabi s.a.w, baginda telah bersabda;

“Tiadalah seorang yang ditimpa penyakit, melainkan telah ditulis baginya seperti apa yang  dilakukannya (di waktu sihat), dan ia adalah sempurna”- Hadith shahih yang telah dikeluarkan oleh Imam Ahmad, dan Abdul Razzaq, serta dishahihkan oleh al-Hakim.

Akhirnya, semoga teman-teman mendapat sedikit motivasi pada hari ini. Sesungguhnya kita amat beruntung hidup di dalam agama Islam yang penuh dan kemuliaan, keadilan dan rahmat bagi umatnya. usahlah kalian bersedih lagi, sentiasalah istiqamah dan pohonlah rahmat Allah s.w.t.

Ingatlah, selagi kita bergelar hamba yang beriman, pasti syurga pasti menjadi tempat tinggal kita yang hakiki. Amiin Ya Rabbal a’laamiin. Wallahua’lam…

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita