Sambutan Maulidul Rasul kembali lagi. Setiap orang yang ingin meraikan sambutan yang mulia ini….tidak kiralah lelaki ataupun perempuan, tua ataupun muda, kecil ataupun besar, mereka tidak melepaskan peluang untuk menyambutnya. Di desa mahupun di Bandar, begema dengan alunan selawat yang memecah suasaa yang ceria diwarnai oleh Flora dan Fauna, semuanya mempunyai warna-warna yang mempersonakan. Langit yang berwarna, biru, membiaskan warna biru itu ke laut yang cantik. Sehingga laut juga kelihatan kebiruan seolah-olah ianya memang sebegitu rupa keadaannya. Awan yang berarak perlahan bersama deruan angin sepoi-sepoi bahasa, pasti membuai sesiapa jua yang ingin menikmatinya. Hendak digapai tidak mungkin kerana awan itu nun jauh di langit.. Namun, Allah S.W.T gantikan dengan tumbuhan yang berwarna –warni, hijau menghiasi bumi untuk dipegang, dinikmati dan dihidu dengan pancaindera kurniaan Allah S.W.T yang Maha Kaya.
“Alangkah cantiknya alam ini…Pastinya pencipta alam ini juga Maha Indah dan turut sukakan keindahan. Inilah tanda kekuasaan Allah S.W.T” pastinya terpacul keluar susunkata yang cantik ini daripada mulut mereka-mereka yang bisa menikmati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T yang maha indah ini. Begitu juga denganku, tidak mahu melepaskan peluang untuk mengucap rasa syukur dan terima kasih di atas anugerah ini.
Semuanya juga, dengan pakaian yang cantik seolah-olah hari raya yang baru bagi mereka, bersama-sama berarak menyusuri jalan-jalan bersama sepanduk ‘Sambutan Maulidul Rasul” sambil mengalunkan burdah selawat yang indah, memberikan satu semangat yang baru saban tahun…semangat untuk mengingati perjuangan rasulullah S.A.W, mengamalkan sunnahnya, serta ikhlas dalam beramal. Sememangnya menurut para ulama’ pun, 2 syarat inilah penentu kepada penerimaan sesuatu amalan itu, beramal mengikut sunnah Nabi serta ikhlas…Tapi, berapa ramai yang ikhlas dalam beramal ye?
Em, teringat pulak kepada sebuah pepatah arab, “Bukanlah hari raya itu untuk mereka yang berpakaian serba baru sahaja, tetapi hari raya itu adalah untuk mereka yang berambah amalnya”..Cantik pepatah nie. Namun, berapa ramai pula yang sentiasa berusaha memperbayakkan amal mereka saban tahun?
Berarak beramai-ramai sambil mengalunkan selawat memuji kekasih Allah S.W.T, membawa sepanduk, dengan semangat dan azam baru, kemudian dihidangkan dengan pengisian yang membangkitkan semangat, memang sesuatu yang sangat baik. Bahkan, seringkali ia boleh membuatkan kita menitiskan air mata..Oh, sungguh nikmat dapat mengalirkan air mata serta melepaskan perasaan kerinduan kepada kekasih Allah S.W.T. hingga terasa seperti baginda masih bersama lagi.
“Dahaga pulak tekak ini” Nasib baik ada buat air the…”Oh, roti pun ada, ini sudah bagus”…Kepanasan air berwarna keemasan dan roti yang agak keras menerobos ke lubang kerongkong yang agak sempit itu. “Ah, hampir terbatuk pulak aku dibuatnya” dihirup lagi air itu, hingga berbaki separuh. “Erm, baru lega sikit”, mulut kecilku bergerak sedikit..Tersenyum.
Bagiku ada dua golongan yang tidak turut serta sekali ikut sambutan maulid ini..masa berarak di Malaysia dulu pun, ada nampak jugak depa. Duduk di tepi-tepi jalan, sambil membunuh nyamuk dengan asap yang terhembus daripada kerongkong yang sudah lali dengan laluan asap..Ada jugak yang mengangkat suara yang tidak sedap. Mereka ini, tak tahu adab langsung. Kurang-kurang janganlah menjadi lalang di tepi jalan”. Golongan ini tak minat nak sambut Maulid nie. “Apa kelas kan, orang tua bolehlah..lagipun letih berarak ini”… Huh tak beradab langsung…Kalau taknak ikut pun, janganlah kutuk..Sakit hati jugak dengar. Kalau ikut hati tue…Sabar-sabar.
Satu golongan lagi taknak ikut Maulid sebab kata mereka Nabi tak sambut Maulid. Em, golongan ini ilmiah sikit..Memanglah Nabi tak sambut Maulid kan, tapi Nabi S.A.W meraikan hari lahir baginda dengan berpuasa sunat pada hari Isnin..Ada jugak Nabi sebut dalam hadith baginda melarang umat baginda mengangkat dan mengagungkan diri baginda, tapi Hadith ini bermaksud tidak boleh mengangkat diri Rasulullah S.A.W hingga sama macam tuhan..Memanglah Bidaah kan..Lagipun kita sambut pun sekadar untuk memperingati Nabi dan mendatangkan keinsafan dalam diri kita..Hari jadi kita pun kita sambut..kadang-kadang hari jadi orang lain pun kita raikan. “Takkan kekasih Allah S.A.W tak boleh nak rai jugak?” .Sedih pulak bila cerita pasal Rasulullah nie.. “Takpa, aku pergi cuci muka dulu”
“Alhamdulillah segar sikit rasanya” lantai yang sudah agak panas itu ku duduki kembali…maklumlah, menulis di atas lantai kan. Em takpalah, tentang hukum Maulid tue, boleh tengok perbahasan Dr Yusuf al-Qardhawi di web atau carilah mana-mana kitab yang cerita pasal hukum itu. Habis la cerita pasal dua golongan itu.
Imam Abu Hanifah pernah menyebutkan: “Orang Muslim itu terikat dengan syarat atau keadaan di tempat mereka”..Ada jugak kaedah yang menyebutkan : “Kemerdekaan seseorang individu itu terhalang oleh kemerdekaan manusia keseluruhannya”. Em cantik, kata-kata dan kaedah ini. Maknanya, meraikan uruf aau keadaan sesebuah masyarakat itu, tidaklah salah di dalam Islam selagi tidak bercanggah perbuatan dan adat tersebut dengan hukum syarak. Apa-apapun permasalahan akan kembali kepada cabang hukum yang lima, Wajib, Sunat, Harus, Makruh dan Haram. Mari rujuk sebuah firman Allah dalam surah al-Nisaa’ ayat ke-59 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”
Jadi, secara mudah, jika ada apa-apa perkara yang merungsingkan kita, maka kita sama-sama kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah yang mulia..Tak begitu?
“Em, sudah sejuk air the ini”. Maklumlah, agak lama tidak diusik setelah dihirup separuh tadi. Sekali lagi air keemasan itu menerobos ruangan sempit yang gelap..tekak.Tapi tidak lagi panas seperti tadi. “Em, manusia pun seperti air the ini. Kalau seseorang hanya duduk diam, tidak menggerakkan akalnya untuk berfikir. Maka ia, akan layu dan sejuk…sejuk seperti air the yang lama terbiar itu tadi.” Mulutku mengukir senyuman lagi. “Berguna jugak engkau wahai air the. Memberikanku sedikit inspirasi untuk menulis”
“Apa lagi aku nak tulis ye”..Em serbenarnya tiada tajuk yang khusus ingin aku sentuh. Tapi sekadar meraikan kehadiran Maulidul Nabawi pada tahun ini, elok jugak menulis sedikit kan. Bergerak jugak otak yang hampir beku dek kehadian musim sejuk di bumi Shoubro, Cahirah, Mesir ini.
Em elok jugak rasanya berkongsi tentang kisah beberapa orang sahabat Nabi S.A.W yang telah mendapat tarbiah secara langsung daripada kekasih Allah S.W.T itu. Manusia yang luar biasa akan melahirkan manusia yang luar biasa juga…Sebab apa luar biasa?...sebab nabi kita dapat tarbiah secara langsung daripada Allah S.W.T dan mentarbiah pula para sahabat baginda. Tentulah para sahabat baginda jugak luar biasa bukan?
Jadi, mari kita sama-sama lihat beberapa rangkaian peristiwa kehebatan para sahabat rasulullah S.A.W ini:
Al Bazzar meriwayatkan dalam kitab Musnadnya dari Muhammad bin Aqil katanya, "Pada suatu hari Ali bin Abi Talib pernah berkhutbah di hadapan kaum Muslimin dan beliau berkata, "Hai kaum Muslimin, siapakah orang yang paling berani ?"
Jawab mereka, "Orang yang paling berani adalah engkau sendiri, hai Amirul Mukminin."
Kata Ali, "Orang yang paling berani bukan aku tapi adalah Abu Bakar. Ketika kami membuatkan Nabi gubuk di medan Badar, kami tanyakan siapakah yang berani menemankan Rasulullah s.a.w dalam gubuk itu dan menjaganya dari serangan kaum Musyrik ? Di saat itu tiada seorang pun yang bersedia melainkan Abu Bakar sendiri. Dan beliau menghunus pedangnya di hadapan Nabi untuk membunuh siapa sahaja yang mendekati gubuk Nabi s.a.w. Itulah orang yang paling berani."
"Pada suatu hari juga pernah aku menyaksikan ketika Nabi sedang berjalan kaki di kota Mekah, datanglah orang Musyrik sambil menghalau beliau dan menyakiti beliau dan mereka berkata, "Apakah kamu menjadikan beberapa tuhan menjadi satu tuhan ?" Di saat itu tidak ada seorang pun yang berani mendekat dan membela Nabi selain Abu Bakar. Beliau maju ke depan dan memukul mereka sambil berkata, "Apakah kamu hendak membunuh orang yang bertuhankan Allah ?"
Kemudian sambil mengangkat kain selendangnya beliau mengusap air matanya. Kemudian Ali berkata, "Adakah orang yang beriman dari kaum Firaun yang lebih baik daripada Abu Bakar ?" Semua jamaah diam sahaja tidak ada yang menjawab. Jawab Saidina Ali selanjutnya, "Sesaat dengan Abu Bakar lebih baik daripada orang yang beriman dari kaum Firaun walaupun mereka sepuluh dunia, kerana orang beriman dari kaum Firaun hanya menyembunyikan imannya sedang Abu Bakar menyiarkan imannya."
Saidina Umar r.a. adalah salah seorang daripada sahabat Rasulullah S.A.W. Semenjak ia memeluk Islam kaum muslimin seakan memperoleh suatu kekuatan yang sangat besar. Sejak itulah mereka berani solat dan thowaf di Ka'bah secara terang-terangan. Saidina Umar r.a. adalah seorang yang wara', ia sangat teliti dalam mengamalkan Islam. Saidina Umar r.a. mempelajari surah al-Baqarah selama 10 tahun, ia kemudian melapor kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Rasulullah S.A.W apakah kehidupanku telah mencerminkan surah Al-Baqoroh, apabila belum maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya". Rasulullah SAW menjawab, "Sudah..."!. Saidina Umar r.a. mengamalkan agama sesuai dengan kehendak Allah S.W.T. Kerana kesungguhannya inilah maka banyak ayat di Al-Qur'an yang diturunkan Allah S.W.T berdasarkan kehendak yang ada pada hatinya, seperti mengenai pengharaman arak, ayat mengenai hijab, dan beberapa ayat Al-Qur'an lainnya.
Ibnu Asakir telah mengeluarkan daripada Az-Zuhri, dia telah berkata: Pada suatu hari Rasulullah S.A.W telah mengutus Sa'ad bin Abu Waqqash r.a. untuk mengetuai suatu pasukan ke suatu tempat di negeri Hijaz yang dikenal dengan nama Rabigh. Mereka telah diserang dari belakang oleh kaum Musyrikin, maka Sa'ad bin Abu Waqqash r.a. segera mengeluarkan panah-panahnya serta memanah mereka dengan panah-panah itu. Dengan itu, maka Sa'ad bin Abu Waqqash r.a. menjadi orang pertama yang memanah di dalam Islam, dan peristiwa itu pula menjadi perang yang pertama terjadi di dalam Islam. (Al-Muntakhab 5:72)
Ini cumalah sebahagian kisah para sahabat baginda. Banyak lagi kisah lain yang boleh diambil iktibar oleh kita semua sperti kisah Bilal bin Rabah yang diseksa, dijemur di tengah padang pasir yang terik serta dihempap dengan batu yang besar, kisah keluarga Sumayyah dan Yasir yang dibuhuh, diseksa, direbus dengan kejam, kisah Khabbab yang disalai di atas api hingga terpadam api kerana air yang jatuh daripada badannya dan jatuh ke atas api yang marak itu dan sebagainya. Bagaimana mereka boleh mempunyai iman sekental ini. Tidak lain dan tidak bukan kerana keimanan yang begitu jitu yang ada pada kekasih Allah S.W.T yang kita sambut kelahiran baginda setiap tahun.
“Oh..terasa ingin menitis air mata ini. Harap-harap aku boleh terus menulis sehingga ke penghujung tulisan.Amiin” hatiku melontarkan kata-kata semangat.
Lembaran sirah al-Nabiwayyah telah paparkan secara jelas tentang kecintaan nabi S.A.W kepada umat baginda. Di saat nabi berhadapan dengan Sakaratul Maut itupun, sempat baginda menuturkan “Ummati,Ummati,”..Allahuakbar, begitu sayangnya baginda kepada kita semua..Adakah kita sentiasa berselawat kepada baginda? Adakah kita sudah betul-berul cinta kepada baginda? Adakah kita semua betul-betul menjaga sunnah baginda? Lihatlah kepada realiti kebanyakan umat Islam hari ini. Mereka lebih suka dan cenderung untuk mengikut budaya barat yang langsung tidak menguntungkan. Alasannya supaya dapat ikut perkembagan semasa..Hanya dengan rahmat Allah S.W.T dan Syafaat Rasulullah S.A.W sahajalah yang mampu untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak.. “Semoga aku tergolong daripada golongan yang mendapat Rahmat dan syafaat baginda Insyaallah .Amiin”
“Eh, air apa pulak yang mngalir di pipiku ini?”..Oh, aku menangis rupanya..Alangkah nikmatnya dapat megalirkan air mata untuk dirimu ya Rasulullah. Aku tidak malu untuk menangis. Biarlah orang tahu. Ia lebih bermakna daripada mengalirkan air mata utuk dunia yang akan musnah ini. Aku tahu, tatkala para sahabat mendengar bahawa ajal Rasulullah S.A.W telah dekat, maka mereka menangis dengan suara yang keras. Saidina abu Bakar r.a. mengurung diri selama sehari di dalam rumah sambil menangis teresak-esak bila mana mendengar Rasulullah S.A.W membaca Firman Allah dalam surah al-Maidaah di padang Arafah. Agama Islam telah sempurna dan kamu ya Rasulullah akan pergi meninggalkan mereka semua untuk menghadap Allah S.W.T. Siapa yang sanggup mendengar berita sedemikian.
Di saat para sahabat mendengar Saidina Abu Bakar tentang dekatnya ajal kewafatan Rasululah S.A.W., mereka menangis tersesak-esak. Rasulullah S.A.W. datang kepada mereka dan bertanya: “Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?." Kemudian Saidina Ali r.a. berkata, "Ya Rasulullah SAW, Abu Bakar r.a. mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahwa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?." Lalu Rasulullah SAW berkata: "Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar r.a. adalah benar, dan sesungguhnya waktu untuk aku meninggalkan kamu semua telah dekat". Setelah Saidina Abu Bakar r.a. mendengar pengakuan Rasulullah SAW itu, maka beliau pun menangis sekuat tenaganya sehingga beliau jatuh pengsan.
“Oh..tidak sanggup lagi rasanya untukku meneruskan tulisan ini”..Mulutku sepeti berbicara..” Ku seka airmata yang tiba-tiba mengalir deras membasahi pipiku..Namun, ku gagahi juga untuk menulis sedikit lagi agar dapat berkongsi dengan mereka yang ingin menglalirkan air mata kerinduan juga. Mungkin kerana terlalu sedih jugalah Saidina Bilal tidak mampu mengungkapkan namamu ya rasulullah S.A.W di dalam Azan.
Saidina Ukhasyah R.A. pula meminta kepada Rasulullah S.A.W untuk menqisas baginda sehingga Rasulullah S.A.W membuka baju dan ternampaklah batang tubuh baginda yang mulia. Saidina Umar, Saidina Abu bakar, Saidina Ali dan tidak telepas juga cucu rasulullah S.A.W sendiri iaitu Hasan dan Husin menawarkan diri untuk menjadi pengganti tetapi dihalang oleh rasulullah S.A.W. Alangkah mulianya peribadimu ya Rasulullah S.A.W. Akhirnya saidina Ukahsyah r.a menebus rasulullah S.A.W dengan jiwanya, memeluk dan mencium baginda. Maka rasulullah S.A.W bersabda: "Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya."
Apabila ajal Rasulullah SAW. semakin dekat maka baginda pun memanggil para sahabat ke rumah Saidatina Aisyah r.a. dan baginda bersabda: "Selamat datang kamu semua. Semoga Allah S.W.T. mengasihi kamu semua. Saya berwasiat kepada kamu semua agar kamu bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan mentaati segala perintah-Nya. Sesungguhnya hari perpisahan antara saya dengan kamu semua hampir dekat, dan dekat pula saat kembalinya seorang hamba kepada Allah S.W.T. dan menempatkannya di syurga. Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kamu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain Yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku di atas balai tempat tidurku dalam rumahku ini. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar meninggalkan aku. Pertama yang akan mensolatkan aku ialah Allah S.W.T., kemudian yang akan menshalat aku ialah Jibril A.S, kemudian diikuti oleh malaikat Israfil, malaikat Mikail, dan yang akhir sekali malaikat lzrail berserta dengan semua para pembantunya. Setelah itu baru kamu semua masuk bergantian secara berkelompok bersolat ke atasku."
Setelah para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat hati itu maka mereka pun menangis dengan nada yang keras dan berkata, "Ya Rasulullah S.A.W. anda adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila anda sudah tiada nanti kepada siapakah akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?." Kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda, "Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pelajaran dari mati."
Maka setelah itulah sakit baginda bermula sehingga 18 hari lamanya. Para sahabat pula sentiasa menziarahi baginda. Ada pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W diutuskan pada hari Isnin dan wafat juga pada hari Isnin.
Ketika sakit rasulullah S.A.W bertambah berat, baginda memerintahkan kepada Saidina Bilal r.a.. supaya meminta Saidina Abu bakar menggantikan baginda S.A.W. menjadi Imam solat subuh. Maka, apabila saidina Abu Bakar r.a. mendengar berita sedemikian, beliau terus menangis dan jatuh pengsan. Begitulah cintanya saidina Abu Bakar kepadamu Rasulullah S.A.W. Maka rasulullah S.A.W. meminta bantuan Saidina Ali dan Fadh bin Abbas untuk memimpin baginda ke masjid sehingga apabila selesai solat subuh, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda, "Wahai kaum muslimin, kamu semua senantiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah S.W.T., oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan mengerjakan segala perintah-Nya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia."
Di saat malaikat Izrail datang untuk mencabut nyawa rasulullah S.A.W., baginda bertanya kepada Saidatina Fatimah r.a.: "Wahai Fatimah, siapakah di depan pintu itu." Maka Fatimah r.a. pun berkata, "Ya Rasulullah, ada seorang Arab Badwi memanggil mu, dan aku telah katakan kepadanya bahawa anda sedang sibuk sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga terasa menggigil badan saya." Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata; "Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?." Jawab Fathimah, "Tidak ayah." ."Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan kubur." Fathimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan berakhir, dia menangis sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah SAW mendengar tangisan Falimah r.a. maka beliau pun berkata: "Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku nanti."
Di saat rasulullah S.A.W melihat kedatangan Jibril A.S. untuk berada di sisi baginda maka rasulullah S.A.W. pun bertanya: "Wahai Jibril, tahukah kamu bahwa ajalku sudah dekat" Berkata Jibril A.S., "Ya aku tahu." Rasulullah S.A.W. bertanya lagi, "Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku disisi Allah S.W.T." Berkata Jibril A.S, "Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu dilangit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu." Berkata Rasulullah S.A.W. "Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti."
Berkata Jibril A.S, "Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga."
Bersabda Rasulullah SAW: "Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku." Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata: "Wahai lzrail, mendekatlah kamu kepadaku." Setelah itu, Malaikat lzrail pun memulai tugasnya, apabila ruh beliau sampai pada pusat, maka rasulullah S.A.W. pun berkata: "Wahai Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati." Jibril A.S. mengalihkan pandangan daripada Rasulullah S.A.W. apabila mendengar kata-kata baginda itu. Melihatkan telatah Jibril A.S. itu maka Rasulullah S..AW. pun bertanya: "Wahai Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku? " Jibril A.S. berkata: "Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut? "Anas bin Malik r.a. berkata "Apabila ruh Rasulullah S.A.W. telah sampai di dada maka baginda telah bersabda,
"Aku wasiatkan kepada kamu agar kamu semua menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu."
Saidina Ali r.a. berkata: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua kali, dan saya meletakkan telinga saya dan mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: "Umatku, umatku."
Oh…semakin deras mengalir air mata ini. Ku seka lagi buat sekelian kalinya. Cukuplah sampai di sini rasanya untuk sama-sama berkongsi coretan pada kali ini. Moga-moga sambutan Mulidul Rasul yang menjelang pada kali ini memberikan kita satu kekuatan untuk berubah menjadi insan yang terbaik dalam beragama. Cintailah rasulullah S.A.W, jagalah sunah baginda semampu mungkin dan hidupkanlah hati-hati kita dengan membaca dan mentadabbur isi kandungan al-Quran yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. agar baginda sentiasa hidup dalam hati kita semua.Amiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan