;

Jumaat, November 27, 2009

Aidiladha: Erti Cinta dan Pengorbanan


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Walillah al-Hamdi

10 Zulhijjah menjelang lagi. Panggilan Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya yang bertuah untuk menjadi tetamu Allah di bumi yang suci lagi agung, Makkah al-Mukarramah bertandang lagi buat sekelian tahun..Seruan yang begitu memberi erti dan kesan ini berkumandang di mana-mana, menambah lagi kesyahduan yang telah terpateri di hati di saat menatap wajah-wajah yang bersih lagi suci, membawa bersama sekeping hati yang begitu mendambakan cinta dan redha ilahi.

Seketika insan-insan kerdil bernama hamba, berpayung panas mentari di bumi barakah Arafah yang agung, memuhasabah dan menilai kekerdilan diri dengan peristiwa-peristiwa agung yang telah tersemat jitu di dada sirah al-Nabawiyyah.

Kisah pengorbanan agung, yang beradun pada erti cinta dan sebuah pengorbanan suci, Nabi Allah Ibrahim a.s. dan Ismail a.s, memberikan kita kesan mendalam dalam jiwa untuk menjadi insan matang dalam mengenal erti cinta yang sebenar serta menterjemahkannya kepada sebuah pengorbanan.

Sesungguhnya, cinta tidak mengajar manusia yang dikurnia akal dan fitrah Insani , menjadi insan yang lemah imannya, rapuh jiwanya, buntu fikirannya, rosak akalnya, dan luluh jiwanya, bahkan cinta itu mengajar dan mendidik jiwa menjadi cekal ,teguh dan tabah dalam menghadapi liku-liku hidup.

Kita tidak menilai dengan bulatnya bumi yang berputar itu, tetapi lebih daripada itu, bumi yang sentiasa berputar umpama roda itu, jelas sekali berliku-liku serta tidak sekata isinya. Bahkandi atas bumi yang berliku itulah kita menghayunkan layunan langkah, satu-persatu demi menuju cinta abadi.

Cinta itu mengajar manusia untuk berkorban…ya benar, dengan cinta yang buta, bersandarkan nafsu amarah yang membarah dalam diri, manusia mudah sahaja berkorban untuk sesuatu yang tidak menguntungkan diri,bahkan hanya lebih memberi kesakitan pada diri yang kerdil.

Cintakan manusia, ia akan tua dan pergi…cintakan bunga, ia akan layu dan hilang serinya, cintakan harta, ia akan berkurangan, cintakan keluarga, mereka turut akan pergi jua…pastinya ia amat menyeksakan…bahkan ia mungkin saja mampu memcahkan sekeping hati yang rapuh serta lemah denyutannya….inilah cinta yang disalah ertikan!

Sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang asyik kepada seseorang, maka ia tahan jiwanya, serta ia sembunyikan, maka matinya kelak adalah mati syahid”.

Namun, cinta itu jika disandarkan kepada yang maha Pencipta, ianya tidak akan sekali-kali memberi satu penyesalan, bahkan lebih daripada itu, ianya mampu membajai jiwa serta memberikan nafas yang tidak putus dengan sumber ilham dan kekuatan iman.

Hukama ada menuturkan:

Cinta kepada harta ertinya bakhil
Cinta kepada perempuan ertinya alam
Cinta kepada diri ertinya bijaksana
Cinta kepada mati ertinya hidup
Dan cinta kepada Tuhan ertinya takwa.

Cinta itu apabila disandarkan kepada Allah ‘Azzawajalla yang maha kudus dan suci, ianya tidak akan memberikan penyelasan, kerana sesungguhnya, kita telah meletakkan pengorbanan itu di tempat terpuji yang paling tinggi.

Apalah yang ada pada cinta, kalau kita hanya mampu mendamba cinta seorang wanita yang akan pergi meninggalkan kita satu hari nanti tanpa mampu mendamba cinta sejati pada Allah s.w.t.?…maka itulah penyesalan sebenarnya, penyesalan yang tidak akan bererti di saat kita bersimpuh di hadapan Allah s.w.t. kelak.

Tepat sebagaimaan yang telah diperingati oleh Imam al-Syafie kepada kita: “Awal derita itu adalah kamu mencintai wanita yang tidak mencintai dirimu…'”

Memberikan cinta untuk manusia itu tidak salah, tapi jangan sekali-kali cintamu kepada makhluk melebihi cintamu kepada Allah, kelak kamu akan ditinggalkan oleh Allah s.w.t. dalam keadaan yang hina!

Cintanya Nabi Ibrahim kepada Allah s.w.t., bukan bererti baginda tidak sayangkan anaknya, Nabi Ismail a.s. Tidak ada seorang ayah yang tergamak untuk meyembelih anak sendiri, lebih-lebih lagi anak itu adalah seorang insan mulia yang bakal menggantikan tempatnya untuk meneruskan risalah perjuangan Islam… tetapi itulah jiwa seorang nabi, sekeping hati yang telah subur cintanya dan erti cinta dan kasih-sayang sejati. Akhirnya, Allahlah yang tetap diutamakan walau apapapun keadaanya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Saffat ayat 102-110 yang bermaksud:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.

Bukti cintanya juga kepada keluarga dan anaknya itu adalah doa yang dilafazkan oleh baginda sendiri agar dijauhkan dirinya dan diri Ismail daripada kesesatan, serta nabi Allah Ibrahim a.s meletakkan zuriat keturunan baginda di tempat yang paling mulia, iaitu baitullah al-Haram sendiri.

Firman ALlah s.w.t. di dalam Ibrahim ayat 35-41 yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat)."Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! "Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan. "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"

Benarlah…Cinta kepada Allah s.w..t itu mengajar manusia untuk berkorban segala-galanya, hatta hati dan perasaan. Jika mereka mengetahui dan beriman, pastinya mereka daripada golongan yang mendapat kejayaan.

Di saat berkumpulnya manusia di Jabal Arafah, pasti jiwa akan terasa bagai berada di zaman pengorbanan agung seorang nabi, iaitu Adam a.s…Di situlah Adam a.s bertemu dengan cintanya iaitu Hawa a.s, memadu cinta kerana Allah s.w.t. , dan terus berkembangnya zuriat hingga ke hari ini.

Kehidupan yang istimewa di dalam syurga Allah s.w.t., tidak sekali-kali menghalang untuk mereka akur kepada perintah tuhan mereka kerana mereka mengenal erti sebuah cinta sejati. Itulah merupakan sebuah pengorbanan agung, yang perlu dimuhasabah oleh manusia agar mereka ingat, jika mereka berada di atas, belum tentu selama-lamanya mereka akan berada di atas, mungkin sahaja kerana satu kesalahan mereka akan kembali berada di bawah.

Bumi tetap akan terus berputar…selagi belum kiamat!

Sabda rasulullah s.a.w. dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jagalah dirimu daripada api neraka,meskipun dengan sedekah separuh daripada biji kurma, jika tidak sebutlah perkataan yang baik”

Besarnya pengorbanan Nabi Ibrahim a.s juga dilihat daripada sudut pengorbanannya kepada keluarganya, hingga terpaksa meninggalkan isteri tercinta, Siti Hajar bersama anaknya, Ismail yang ketika itu masih kecil, di tempat yang jauh darpada manusia serta tiada tanaman sedikitpun, demi menunaikan perintah dan rasa cinta yang mendalam kepada Allah s.w.t. Kehidupannya yang senang ditinggalak demi sebuah pengorbanan. Namiun, Nabi Ibrahim tidak pernah lalai dan leka kepada duniawi yang penuh dengan fitnah, hinggalah Allah s.w.t memberi rezeki yang lebih istimewa kepadanya, Air zamzam yang terpancut daripada celahan jari Ismail a.s serta dikurniakan seorang lagi putera yang hebat iaitu Ishak a.s, bahkan keduanya adalah pewaris kenabian. Sesungguhnya itulah kurnia Allah s.w.t. yang maha pemurah kepada hamba-Nya yang taat dan patuh.

Sesungguhnya, hari raya aidiladha yang hadir pada setiap tahun ini hendaklah sama-sama dihayati sepenuhnya oleh setiap orang yang beriman. Tidak ada kehidupan yang tidak memerlukan pengorbanan. Kerana kita wajib meyakini, Allah s.w.t. telah menyediakan dunia yang sementara ini sebagai pentas latihan untuk menguji sejauh mana manusia yang diberikan akal, nafsu dan iman itu mampu untuk lahir sebagai golongan yang berjaya dan bertaqwa.Wallahua’lam…

Kata Pak HAMKA: “Cinta manusia datang dari pelbagai pintu, ada pintu kasih..pintu sayang dan pintu rindu, tetapi cinta yang paling abadi ialah cinta melewati pintu simpati”.

Selamat Hari Raya Aidiladha, 1430-H (Kullu Sanah Wa antum fi Alfikhair)

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita