Assalamualaikum dan Salam sejahtera buat semua teman..Moga kalian sentiasa diberikan kenikmatan Iman dan Islam untuk terus beramal dan berjuang. pada hari ini penulis ingin mengajak teman-teman berbicara sejenak tentang tajuk di atas.
Di antara tujuan rasulullah s.a.w diutuskan ke atas muka bumi ini adalah untuk menyempurnakan tuntutan berjamaah sebenarnya.
Jika kita melihat daripada sudut yang lebih luas, rahmat yang dibawa oleh rasulullah s.a.w tidak hanya melibatkan seseorang individu ataupun sekumpulan kecil manusia, bahkan ia meliputi bagi seluruh alam.
Bahkan inilah yang didapati daripada perkumpulan-perkumpulan manusia tatkala solatberjemaah, hari jumaat, menunaikan haji dan umrah dan Baitullah al-Haram dan sebagainya.
Lihatlah bagaimana rasulullah s.aw. telah mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar tatkala mereka telah sampai di Madinah al-Munawwarah, bahkan sebenarnya rasulullah s.a.w telahpun melaksanakan persaudaraan kali pertama di antara Muhajirin sebelum mereka berangkat ke Madinah. (lihat “Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah” oleh Dr Said Ramadhan al-Buthii".)
Ini tidak lain dan tidak bukan adalah menggambarkan sari penting yang terdapat di dalam Mujtama’ itu sendiri iaitu al-Ukhuwwah ataupun persaudaraan kerana tidak mungkin ukhuwwah mampu diaplikasi dengan baik hanya dengan Fardi (individu) semata-mata bahkan konsep itu perlu diaplikasikan di dalam sebuah Mujtam'a’ yang akhirnya mampu untuk menggerakan nilai-nilai dan asas-asas Islam dengan sempurna.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini, di antara pelajaran penting daripada intipati hijrah itu sendiri adalah permulaan terhadap asas menegakkan Mujtama’ Muslim ataupun yang disebut dengan masyarakat Muslim.
Ini jelas kerana masyarakat Muslim tidak mampu dibina dengan dengan seseorang individu sahaja.
Bahkan, kita juga tidak akan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab Islam dengan sebaiknya tanpa wujudnya masyarakat Islam yang baik.
Islam itu lahir sebagai Diin Ijtimaie (agama untuk seluruh masyarakat) tidak Diin Fardi (agama untuk seseorang individu)
Maka, Mujtama’ Muslim itu adalah asas terpenting terhadap intipati Jamaah itu sendiri.
Contoh yang telah diberikan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi sendiri adalah seumpama kita menunaikan solat secara berseorangan di rumah, maka di dalam al-Fatihah itu sendiri Allah s.w.t menggunakan bahasa “kami” tidak “aku” seperti dalam ayat “Hanya kepadamu kami menyembah dan hanya kepadamu kami memohon pertolongan”. Begitu juga di dalam ayat seterusnya, Allah s.w.t menegaskan “Tunjukilah kami jalan yang lurus”.
Walalupun kita hanya membaca al-Fatihah secara berseoarangan, namun asas terhadap Mujtama’ Muslim itu telah disebut secara jelas di dalam al-Quran.
Ianya merupakan penyaksian di dalam hati dan juga lisan kita sendiri.
Maka, menolaknya adalah seumpama menolak di antara asas terpenting di dalam perlaksanaan Islam.
Inilah yang telah disusun oleh Ulama’ –ulama’ Islam di dalam menjelaskan mengenai maratib-maratib Amal (susunan-susunan Amal) iaitu:
Fardu Muslim (individu Muslim)
Baitul Muslim (keluarga Muslim)
Mujtama’ Muslim (masyarakat Muslim)
Daulah Islamiah (negara Islam)
Khilafah Islamiah( pemerintahan Islam)
Secara jelas, kesemua maratib-maratib di atas diadunkan agar kita mampu memahami Islam dengan baik, seterusnya kembali kepada sistem Khilafah yang telah hilang daripada hidup Umat Islam sebagaimana kita telah bermula dengan diri kita sendiri dan semestinya kayu pengukur yang terbaik adalah Jamaah itu sendiri.
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata”.
Secara kesimpulannya, umat Islam hari ini harus dipandu agar mereka mampu hidup dalam keadaan berjamaah, berfikir dengan fikrah Jamaah, merasai semangat Jamaah, dan beramal dengan amal Jamaah sehingga mereka boleh melaksanakan seluruh tanggungjawab Islam yang telah terpundak di bahu mereka.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud:
“(Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: "Ugama Islam, Yang Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah Yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami Dengan corak Islam); dan siapakah Yang lebih baik celupannya daripada Allah s.w.t? (Kami tetap percayakan Allah s.w.t) dan kepadaNyalah Kami beribadat".
Penulis akhiri artikel ringkas pada kali ini dengan sebuah kalam Imam Hassan al-Banna yang berbunyi:
“Sesungguhnya Islam itu satu sistem yang meliputi segala bentuk fenomena kehidupan. Islam merupakan Agama dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia merupakan akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan keadilan, material dan harta-benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau ketenteraan dan fikrah sepertiman ia juga adalah ‘Aqidah yang benar dan Ibadah yang shahih, tanpa ada perbezaan”.
Wallahu’alam…
2 ulasan:
salam
maaf ya akh, ejaanya FARDHI ke FARDI ye?bukan tu dua maksud yg berbeza?
-maaf, sy budak baru belajar,belajar bhs arab pun dr kwn2 sikit, betulkan kalau sy salah-
wallahu a'lam
Teratak Daie to Perpustakaan maya- Terima kasih atas pembetulan tersebut...Aah betul, ana tak perasan pulak. Fardhu tue maknanya kewajipan, tetapi fardi tue maknanya Sakhsi/sakhsun iaitu individu.Ana dah betulkan.Syukran.
Catat Ulasan