Dengan pertaruhan tema "Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah" pada sesi kepimpinan kali ini, sememangnya PMRAM menggalas tugas yang lebih berat dan besar. Sebarang kesilapan bakal menjerumuskan PMRAM kepada kehilangan identiti dan kekuatan.
Mahasiswa dan mahasiswi di Mesir sentiasa menilai kepimpinan melalui tema yang dipertaruhkan pada setiap tahun. Namun, pemilihan tema pada kepimpinan sesi 2010 ini adalah bertitik tolak daripada dua cabaran besar, iaitu penyatuan fikrah ahli dan pemerkasaan syakhsiah ahli secara maksimum.
Sememangnya membawa dua cabaran besar di dalam keadaan masyarakat yang telah mula berubah landskapnya adalah satu tugas yang amat berat dan besar.
Mungkin juga ada sebahagian penilai dan penganalisis akan membuat satu kayu ukur untuk menilai sejuh mana kepimpinan pada kali ini mampu untuk menangani setiap isu dan cabaran semasa yang sedang dan bakal mendatang.
Dua usul yang turut menjadi pertaruhan ahli juga bakal memberi cabaran yang besar buat kepimpinan PMRAM sesi 2010 untuk melaksanakan dalam tempoh setahun ini.
Soal menggesa pihak berwajib untuk lebih serius di dalam menangani isu mahasiswa dan soal melaksanakan HISBAH dengan lebih perkasa yang merupakan dua intipati penting di dalam usul yang diterima secara sebulat suara adalah usul yang bertepatan dengan tema yang dibawa pada tahun ini.
Soalnya, mampukah PMRAM merealisasikannya agar segala ketakutan dan kebimbangan yang melanda rata-rata Mahasiswa dan Mahasisiwi di Mesir ini bakal pulih dan hilang?
Maka, jawapan yang paling menggembirakan hati ini adalah kita bersungguh-sungguh untuk melaksanakan dengan kerjasama yang terbaik..Jangan hanya menyerahkan 100 peratus kepada kepimpinan sedangkan kalian juga telah mempertaruhkan dua usul besar ini.
Ingatlah, soal amal makruf dan nahi mungkar adalah soal kita bersama..Juga kesedaran oleh pihak berwajib seperti saffarah untuk berbakti secara adil dan saksama adalah soal kewajipan yang perlu ditunaikan oleh mereka dan bakal menerima penghisaban di akhirat kelak jika ianya tidak tertunai!
Penulis yakin dan optimis, jika setiap ahli yang telah menjiwai PMRAM di dalam diri mereka sanggup untuk bersama-sama PMRAM merealisasikan tugas dan cabaran yang besar ini serta mengenepikan kepentingan diri masing-masing, kepimpinan 2010 ini tentunya akan melakar sejarah kegemilangan yang pasti dirasai bersama.
Ayuh, buktikan kesatuan dan kesungguhan kalian yang telah dilaungkan di Dewan Nadi Madinah Nasr tempoh hari...Buktikan juga bahawa kuasa mahasiswa dan Idealisme mahasiswa adalah sesuatu yang tidak boleh diperkotak-katikkan...Kami menunggu dan menagih janji-janji kalian!.
Satu Fikrah Satu Amal..Kita PMRAM!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan