Perkara-perkara yang menyalahi adat atau dianggap sebagai perkara yang luar biasa memang berlaku di kalangan manusia serta ia diberikan oleh Allah S.W.T kepada golongan yang tertentu untuk tujuan-tujuan yang tertentu..
Bagi para rasul, perkara yang menyalahi adat kebiasaan manusia ini diberikan kepada para Rasul-Nya untuk menjadi bukti kekuasaan Allah serta bukti bagi kaum yang diseru dakwah oleh para Rasul ini sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W, Nabi Yusuf A.S, Nabi Musa A.S dan sebagainya. Ianya dinamakan Mukjizat dan Mukjizat itu bermaksud Lemah, iaitu sesuatu yang melemahkan orang-orang yang melihatnya. Namun begitu, terdapat juga perkara yang menyalahi adat, namun diberikan oleh Allah S.W.T kepada golongan yang bukan para Rasul, tetapi ianya tidaklah dinamakan Mukjizat. Dibawah ini penulis senaraikan beberapa perkara yang menyalahi adat tetapi ia bukanlah Mukjizat, untuk dijadikan panduan bersama Insyaallah Ta’ala.
Irhas : Kalau perkara yang menyalahi adat itu berlaku kepada seseorang Rasul, sebelum ia mendakwakan dirinya menjadi Nabi, maka itu dinamakan Irhas.
Karamah : Jika perkara yang menyalahi adat itu, berlaku kepada seseorang yang nyata baiknya (soleh), lagi bersifat “al-‘Adalah” (adil) serta tidak mendakwakan dirinya jadi Rasul, perkara yang menyalahi adat itu dinamakan Karamah.
Maunah : Kalau berlaku perkara yang menyalahi adat itu kepada orang-orang awam, namun tidak nyata kesolehan (baiknya) dan tak nyata fasiqnya, maka perkara yang menyalahi adat itu dinamakan Maunah, ertinya bantuan daripada sisi Allah S.W.T.
Istidraj : Adapun jika terbit perkara yang menyalahi adat itu di tangan seorang yang fasiq, maka perkara yang menyalahi adat itu dinamakan Istidraj selaku tipu daya atasnya dan ia bertujuan untuk menambahkan lagi kesesatan ke atas dirinya..
Ihanah-Khazlan : Ada lagi yang menyalahi adat itu dinamakan Khazlan-Ihanah yang mana hal tersebut lahir pada diri seorang yang menyalahi maksudnya, menggunakannya untuk menghinakannya, sepertimana yang berlaku terhadap Musailamatul Kazzab, yang telah mendakwa diriya sebagai Rasul di zaman Nabi Muhammad S.A.W.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan