Taat Merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Oleh kerana kita dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai seorang hamba, maka tidak lain dan tidak bukan, tugas kita adalah untuk mentaati segala perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya.
Allah S.W.T menjadikan manusia serta memilih daripada kalangan manusia ini untuk dikumpulkan di akhirat kelak bersama golongan yang mendapat naungan rahmat Allah S.W.T. Golongan ini tidak lain dan tidak bukan adalah gologan yang diberikan Hidayah dan Taufik oleh Allah S.W.T. Maka hendaklah kita sentiasa bersyukur dan menyedari bahawa kita telah dikurniakan dengan nikmat Iman dan Islam tersebut. Namun begitu, Allah S.W.T tidak hanya memilih kita sebagai hamba-Nya yang beriman , tetapi turut membekali kita dengan sedikit ujian di atas muka bumi ini untuk menilai sejauh mana kita betul-betul mampu untuk menghargai dan menjaga nikmat keimanan yang kita kecapi itu dengan sebaik-baiknya.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat yang ke 155 yang bermaksud:
“Dan sungguh akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”.
Begitu juga mengenai Amanah itu sendiri, Allah S.W.T telah memberikan amanah kepada manusia untuk mentadbir dunia ini kerana manusia telah sanggup untuk menerima amanah tersebut. Jadi, kecelakaan yang besarlah bagi manusia itu sendiri jika menyia-nyiakan amanah yang dibebani untuk mentadbir dunia ini mengikut Sibrah (Acuan) Allah S.W.T tidak dapat dipenuhi.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat yang ke- 138 yang bermaksud:
“ Shibghah Allah dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? dan Hanya kepada-Nya-lah kami menyembah”. Di sini Shibghah artinya celupan. Shibghah Allah: celupan Allah yang berarti iman kepada Allah yang tidak disertai dengan kemusyrikan.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Ahzab ayat yang ke-72 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya kami Telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,” (Yang dimaksud dengan amanat di sini ialah tugas-tugas keagamaan).
Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari daripada Abi Hurairah, rasulullah S.A.W telah menerangkan kepada penduduk sebuah kaum bahawa di antara tanda-tanda kiamat itu adalah kerana manusia telah mula mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap amanah yang telah dipikulkan ke atas mereka sedangkan mereka telah menyatakan kesanggupan untuk menerima amanah tersebut.
"Ketika Rasulullah saw. Di suatu majlis sedang berbicara dengan suatu kaum, datanglah seorang penduduk kampung dan berkata: "Bilakah kiamat itu?" Rasulullah terus berbicara, lalu sebahagian kaum berkata: "Baginda mendengar apa yang dikatakan olehnya, namun baginda benci terhadap apa yang dikatakan itu." Dan sebahagian daripada mereka berkata: "Namun baginda tidak mendengarnya." Sampai ketika baginda selesai berbicara maka baginda bersabda: "Dimanakah gerangan orang yang bertanya tentang kiamat?" Maka Ia berkata: "Hai saya wahai Rasulullah" Lalu Baginda bersabda: "Apabila amanah itu disia-siakan maka nantikanlah kiamat." Lalu Ia berkata: "Bagaimana menyia-nyiakannya?" Beliau bersabda: "Apabila perkara (urusan) diserahkan kepada selain ahlinya, maka nantikanlah kiamat."
Hadith di atas menunjukkan dengan jelas tentang kepentingan amanah itu sendiri. Sebab itulah rasulullah S.A.W memberikan peringatan yang keras tentang azab Allah S.W.T kepada sesiapa jua yang mengingkari perintah amanah ini..Sesetengah orang yang diberi amanah mungkin akan merasa tidak senang atau kurang senang bila mendengar mengenainya tetapi hendaklah mereka sedar bahawa peringatan ini adalah untuk kita semua tanpa terkecuali serta membenarkan ungkapan “Katakan yang benar itu walaupun ianya adalah pahit”. Jika kita melihat pada hari ini, apa yang diperingatkan oleh rasulullah S.A.W melalui hadith di atas telah terbukti kebenarannya. Lihatlah pada hari ini, urusan yang berkaitan dangan hukum-hukum Islam tidak dilaksanakan dengan sebaiknya di dalam Negara kita, bahkan kadang-kadang kedapatan mereka yang tidak ahli dalam urusan agama Islam ini turut mahu mengambil bahgian untuk memperkatakannya. Jadi, menyebabkan persoalan hukum terus mengelirukan rakyat itu sendiri. Jelasnya, hadith di atas menggesa supaya diserahkan segala urusan yang berkaitan dengan Islam ini kepada golongan yang selayaknya untuk menentukannya iaitulah golongan Ulama’ agar ianya tidak lari daripada ketetapan yang telah digariskan oleh Allah S.W.T..Maka selepas daripada itu, maka tugas tersebut terbeban pula kepada Umara’ atau pemerintah untuk melaksanakan segala perkara yang telah menjadi ketetapan dalam Islam di adalam sesebuah Negara agar ia bertetapanpatan dengan konsep yang dikehendaki oleh Allah S.W. iaitu “Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah”.Maka di sinilah pripentingnya hubungan di atara golongan Ulama’ dan Umara’ untuk bersama-sama melaksanakan agenda pembangunan Negara.Bukan hanya diserahkan kepada golongan Umara’ sahaja serta meminggirkan golongan Ulama’. .Jadi perkara inilah yang perlu difahami sebaik-baiknya oleh umat Islam.
Begitu juga dalam soal ketaatan itu sendiri, ia meruapakan sendi kepada sifat Taqwa. Jika manusia yang dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan keimanan ini, serta juga diberikan akal untuk menimbang sesuatu, mampu untuk memberikan ketaatan yang sebaiknya dalam urusan untuk metaati Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya, maka sesungguhnya dia telah menepati intipati dalam ketaqwaan itu sendiri. Jelasnya, Ulama’ mengatakan bahawa Taqwa itu adalah melaksanakan segala perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya. Menurut Saidina Ali K.W.J, Taqwa itu terbahagi kepada empat iaitu: Takut dan harap kepada Allah S.W.T, Beramal dengan apa yang diturunkan iaitu al-Quran al-karim, Redha degan rezeki yang Allah berikan walaupun sedikit, serta sentiasa bersedia untuk menghadapi hari kiamat. Maka, begitulah intipati yang dikehendaki dalam Taqwa itu sendiri.
Saidina Umar al-Khattab berkata: “Tidak ada Islam tanpa jamaah, tidak ada Jamaah tanpa kepimpinan, dan tidak ada kepimpinan tanpa ketaatan.”
Penulis merasa sedih bilamana melihat keadaan umat Islam pada hari ini, terutamanya golongan Muda yang begitu diharapkan untuk mengisi ruang kepimpinan Negara pada masa akan datang. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa mereka bakal hadir sebagai seorang yang beranggungjawab terhadap Negara pada suatu hari nanti. Penulis beranggapan, persepsi kebanyakan golongan muda pada hari ini adalah untuk menikmati kehidupan remaja mereka sehinggakan ada di ramai di antara mereka yang tidak ingin melepaskan sebarang bentuk perubahan kehidupan dan taraf hidup walaupun ianya bakal merosakkan diri mereka sendiri, baik Internet, permainan Video, Lepak, Rokok, berfesyen yang tidak menurut kehendak syarak, pergaulan bebas dan sebagainya. Dan sekiranya perkara ini terus berlarutan, nescaya kita akan ketandusan pemikir-pemikir serta peggerak- penggerak yang boleh membawa perubahan yang besar dalam kepimpinan Negara pada masa akan datang. Sebab itulah, pripentingnya sifat taat ini agar ia boleh memandu kita untuk terus berada di atas landasan keimanan yang sebenar-benarnya.
Persoalannya hari ini, mengapa manusia begitu suka dan gemar untuk berlumba-lumba mengejar pencapaian dunia tetapi tidak akhirat. Bahkan, dunia itu sekadar tidak lebih untuk memenuhi sedikit keperluan kita di atas muka bumi ini untuk menuju destinasi cinta abadi iaitu Syurga yang kekal hakiki.. Jawapannya adalah kerana kebanyakan manusia walaupun mereka lahir dalam keadaan yang sudah Islam namun tidak memahami soal keimanan itu sendiri. Ini kerana, Ulama’ telah menggariskan bahawa keimanan itu, bukan sahaja membenarkan dalam hati, serta bersyahadah iaitu ikrar dengan lisan, tetapi juga melaksanakan segala amalan dengan al-Jawaarih atau anggota badan. Perlaksanaan ini sifatya bukan sekadar memenuhi syarat sahaja tetapi hendaklah bersungguh-sungguh kerana dunia ini hanyalah tempat persinggahan kita untuk menyediakan bekalan yang cukup banyak untuk belayar ke hari akhirat yang tiada penghujungnya..Bayangkanlah jika bekalan kita tidak cukup atau habis sebelum kita sempat sampai ke destinasi yang kita tujui itu, bagaimanakah keadaan kita dan siapakah yang akan membantu kita nanti? Di sinilah kita perlu menjawabnya!.
Sirah al-Nabawiyyah sendiri memberikan kita jawapan yang jelas mengenai sikap golongan yang tidak taat ini adalah golongan Munafiq yang hanya inginkan sesuatu pekerjaan yang mereka lakukan itu akan memberikan keuntungan peribadi kepada mereka. Bagi mereka, tidak ada gunanya melakukan perkara yang tidak menguntungkan diri sendiri walaupun ia menguntungkan Agama Islam kerana itu hanya memberi kepenatan kepada mereka. Inilah contoh golongan yang hanya nampak habuan dunia tetapi tidak nampak ganjaran akhirat yang akan memberikan kebahagiaan dan kegembiraan selama-lamanya.
Ibnu Ishak mencatatkan dalam kitab sejarahnya, bahawa tidak dinafikan memang tokoh munafiq turut serta dalam kerja menggali parit semasa peperangan Khandak.. Bagaimanapun mereka tidak menunjukkan kesungguhannya dan acuh tak acuh serta melengah-lengahkan kerja bersama Nabi s.a.w. Begitulah sifat mereka, apabila di hadapan Nabi mereka menunjukkan bahawa mereka juga bekerja bersama-sama rasulullah S.A.W tetapi bila berada di belakang Nabi, mereka melakukan kerja secara terpaksa serta pelabagai alasan diberikan. Hanya sedikit masa yang digunakan untuk bekerja, tetapi sebaahagian besar waktu digunakan oleh mereka untuk berehat, berdalih dan sebagainya sehingga mereka tidak aktif untuk bekerja bersama dengan Rasulullah S.A.W. Malah mereka seringkali curi-curi keluar daripada medan Khandaq, pulang ke rumah untuk berehat-rehat bersama keluarga tanpa pengetahuan Rasulullah s.a.w. Ia memperlihatkan bahawa mereka tidak menghormati Nabi s.a.w. sebagai Rasulullah dan juga pemimpin perang. Sifat orang munafiq ini jelas menunjukkan perbuatan mereka yang membelakangkan Rasulullah S.A.W, melakukan sesuatu tanpa keizinan baginda serta menimbulkan pelbagai masalah terhadap gerak kerja Islam itu sendiri sehingga Allah S.W.T menurunkan wahyu-Nya sebagai mencela sikap mereka yang biadab ini.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Nur ayat ke-62 yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang sebenar-benarnya orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam suatu urusan yang memerlukan pertemuan, maka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum minta izin kepadanya.
Sesungguhnya orang-orang yang minta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka apabila mereka minta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada sesiapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Di sini jelas kepada kita semua, bahawa ketaatan sangat dititik beratkan di dalam Islam untuk membezakan di antara orang Muslim yang sebenar dengan orang Muslim yang hanya berpura-pura berjuang menegakkan Islam, tetapi di sebaliknya mereka ingin mencari habuan dan kemegahan dunia dengan keislaman mereka .Maka perkara inilah yang ditegah di dalam ajaran Islam yang Hanif ini. Hanya mereka yang betul-betul ikhlas dalam memperjuangkan agama-Nya sahajalah yang akan terhindar daripada mendapat gelaran Munafiq ini. Bahkan Dalam ayat tersebut Allah SWT menjelaskan tentang sifat orang mukmin secara peribadinya beriman dan yakin perintah Allah dan Rasul-Nya. Dalam kehidupan bermasyarakatnya pula sentiasa memberi kerjasama dalam perkara yang diminta berkerjasama. Kemudian mereka tidak meninggalkan kerja-kerja jemaah khususnya kerja yang diputuskan dalam mesyuarat, sehingga terlebih dahulu mendapat izin dari Nabi s.a.w. sebagai ketua mereka. Kerana sikap yang demikian itu menjadi tanda kepada keimanan seseorang.
Dalam surah al-Nisaa’ ayat yang ke-59, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”
Dalam ayat di atas, secara jelas Allah S.W.T telah menggunakan perkataan taat untuk menjelaskan bahawa ketaatan itu adalah sesuatu perkara yang sangat pening di dalam urusan agama ini. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa ketaatan kepada Allah S.W.T adalah dalam urusan melaksanakan segala perintah Allah dan meinggalkan segala perintah-Nya. Manakala ketaatan kepada rasul adalah pada apa yag disuruh dan pada apa yang dilarang. Secara jelasnya, ketaatan ini adalah bersifat muttak dan wajib kerana dengan jelas Allah S.W.T menggunakan perkataan taat. Tetapi ketaatan kepada Ulul Amri’ atau pemerintah tidaklah wajib secara mutlak. Bahkan Imam Juwaizi al-Mandad menjelaskan: “Ketaatan kepada Ulul ‘Amri adalah berdasarkan kepada ketaatannya kepada Allah S.W.T, dan tidak ada ketaatan kepadanya jika ia melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.” Maka, batasan ketataan seseorang kepada pemerintah itu tertakluk kepada 7 perkara sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Imam al-Qurtubi iaitu: Penyerahan harta (Dirham dan Dinar), sukatan dan timbangan, Hukum-hakam, Haji, Solat Jumaat, Hari Raya, dan Jihad. Di sini, pemerintah ditafsirkan oleh Imam al-Qurtubi menurut perkataan Jabir bin ‘Abdullah dan Mujahid sebagai ahli al-Quran dan Ilmu. Dan pilihan ini adalah juga menurut Imam Malik R.A. Sebagimana kata al-Dhahhak pula, pemerintah itu adalah al-Fuqaha’ dan Ulama’ dalam agama. Turut diceritakan oleh Mujahid bahawa mereka ini para sahabat Rasulullah S.A.W. Juga turut diceritakan oleh ‘Ikrimah bahawa ianya khusus kepada khalifah Abu Bakar bin al-Siddiq R.A. Menurut Ibnu Kaisan pula, mereka adalah golongan berakal, iaitu mereka yang mengatur peraturan kepada manusia (menjadi khalifah di atas muka bumi). Pemerintah itu juga turut termasuk sultan atau raja yang memerintah sebagaimana disebut ditasirkan oleh Imam al-tabari dalam tafsirnya melalui Hadith: “Telah memberitahuku Yunus, Telah mengkhabarkan kepada kami Ibnu Wahab, maka dia telah berkata: Telah berkata Ibnu Zaid: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah S.W.T dan taatilah rasul serta Ulul Amri di antara kamu semua”, maka telah berkata ayahku: “Mereka adalah para Sultan”. Secara jelasnya, Imam al-Qurtubi mengatakan melalui riwayat Ali bin Abi Talib R.A bahawa beliau telah berkata: “Hak ke atas seseorang Imam atau pemerintah adalah menghukum dengan adil, serta menjalankan amanah; Maka jika mereka melakukan yang demikian maka wajiblah untuk kaum muslimin mentaatinya, kerana Allah S.W.T memerintahkan amanah dan adil, dan kemudian mentaaatinya..
Di antara kisah yang menarik mengenai ayat di atas adalah mengenai riwayat Ibnu’Abbas dalam al-Shahiihaini. Beliau telah berkata : Telah turun ayat di atas kepada ‘Abdullah bin Huzafah bin ‘Addi al-Samhi ketika mana rasulullah S.A.W telah mengutuskannya untuk memimpin sebuah tentera yang kecil. Maka telah berkata Abu ‘Umar: “sesungguhnya ‘Abdullah bin Huzafah memang dikenali sebagai seorang yang suka bersenda-gurau. Di antara senda guraunya adalah apabila rasulullah S.A.W memerintahkannya untuk memimpin tentera tersebut maka beliau telah memerintahkan mereka untuk mengumpulkan kayu api, menyalakannya serta kemudian masuk ke dalam api tersebut. Lalu dia beliau pun berkata: “Tidakkah Rasullullah S.A.W memerintahkan kepada kamu semua agar taat kepadaku!”, Maka beliau menyebut sabda rasulullah S.A.W. “ Barangsiapa yang mentaati pemimpin maka sesungguhnya dia telah mentaatiku”. Lalu mereka semua berkata: “Tidaklah kami semua beriman kepada Allah S.W.T dan mengikut rasulullah S.A.W kecuali untuk menjauhkan dan membebaskan diri kami daripada api”..Rasulullah S.A.W membenarkan perbuatan mereka itu dengan sabda baginda yang bermaksud: “Tidak ada ketaatan bagi makhluk yang melakukan maksiat kepada pencipta (Allah).” Serta firman Allah S.W.T dalam surah al-Nisaa’ ayat ke-29 yang bermaksud “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu”
Setakat di sini dahulu tulisan penulis pada kali ini. Moga-moga kita akan mendapat satu panduan yang berguna mengenai amanah dan ketaatan itu, konsepnya dan batas-batasnya sendiri agar kita semua dapat menghindari diri sendiri daripada menjadi golongan Munafiq yang mendapat kutukan daripada Allah S.W.T. Nauzubillahi min Zaalik…Apa yang penting, bukan hanya pengetahuan kita tentang sesuatu perkara tetapi yang terlebih penting adalah tindakan dan praktikal terhadap apa yang kita tahu sebagaimana yang dijelaskan oleh Saidina Ali baawa Ilmu yang diamalkan itulah merupakan setinggi-tinggi Ilmu! Wallahu a’lam.
Jauhkan Dirimu daripada Cengkaman Nafsu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan