;

Jumaat, Mei 21, 2010

Membesarkan Keagungan Allah S.W.T!

Pagi ini selepas subuh, penulis dan beberapa kawan yang lain menikmati hidangan rohani daripada anak murid Fadhilatul Syeikh 'Athiyyah Saqar, iaitu Syeikh Toha. Umurnya sudah lebih 50-an, dan merupakan salah seorang daripada tenaga pengajar di Azhar al-Syariff dan merupakan salah seorang yang mempunyai kepakaran di dalam Fiqih Empat Mazhab. Penulis pun hanya kadang-kadang berkesempatan untuk mendengar kalam-kalam yang penuh hikmah dan sarat dengan ilmu tatkala beliau membahaskan tentang tafsiran ayat-ayat Allah S.W.T. Itupun tidak setiap hari beliau ada, hanya satu atau dua hari di dalam seminggu, tidak tetap waktunya, bertempat di masjid tempat Syeikh Athiyyah Saqar selalu mengajar semasa hayat beliau di St. Theresa, Shoubra.

Pagi ini, beliau membahaskan tentang Ketauhidan. Mentauhidkan dan Mengesakan Allah S.W.T melalui zatNya yang suci.

Ayat yang dipilih adalah firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 163 iaitu:

"Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani".

Di dalam ayat yang penuh hikmah ini, Allah S.W.T telah menggunakan "Khitab" yang umum. Ini kerana Allah tidak menujukan tentang konsep Ketuhanan ini hanya kepada seorang, tetapi lafaz "kum" yang digunakan sebagai "Idhaafah" sandaran kepada lafaz "Ilah" itu adalah menunjukkan menunjukan dalil ke atas seluruh manusia, Ini membuktikan bahawa "Ilah' ataupun konsep ketauhidan itu perlu diterima oleh bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga untuk bukan Islam kerana ia ditujukan secara umum oleh Allah S.W.T untuk seluruh HambaNya.

Seterusnya, Allah S.W.T menggunakan lafaz Wahid. di dalam ayat di atas. Mengapa Allah menggunakan lafaz sebegitu?

Di dalam kaedah bahasa, Lafaz "Wahid" ini adalah menunjukkan permulaan kepada sesuatu. Ia boleh digunakan untuk menunjukkan sesuatu kata nama "Isim", atau ianya menunjukkan ke atas sesuatu sifat. Contohnya kalau kita katakan "Insaan Wahiid", maka ia menunjukkan seorang manusia atau insan yang mana sifatnya adalah seorang diri.

Hebatnya penggunaan kalimah "Wahid" di dalam ayat ini, adalah Isyarat terhadap Keesaaan Allah S.W.T daripada sudut ZatNya. Ini kerana Zat Allah S.W.T adalah sesuatu yang tidak terpecah kepada juzuk-juzuk. Ianya tetap satu dan Esa.

Seterusnya,Ia turut mengandung makna Esa daripada sifatnya. Ia bermaksud ia tidak bercampur dengan sifat yang buruk, dan ia turut tidak bercampur dengan ZatNya. Zat Allah itu Esa dan SfatNya juga Esa, Ya'ni hanya Sifat yang layak bagi Allah S.W.T. Tidak terpecah kepada sifat-sifat yang buruk kerana sifat yang baik itu satu perkara dan sifat yang buruk itu satu perkara lain. Maka, Kalimah Wahid di dalam ayat ini datang di dalam kedua-dua keadaan iaitu daripada sudut kata nama "Isim" dan juga sifat bagi Allah S.W.T.

Maka, Esanya Allah S.W.T itu daripada ZatNya, SifatNya, dan PerbuatanNya.

Seterusnya, dalil lain yang menunjukkan kepada penggunaan lafaz "Wahid" ini adalah kerana Allah S.W.T adalah permulaan terhadap seluruh penciptaan. Tidak ada yang mendahului Allah S.W.T kerana Allah S.W.T adalah Pencipta kepada seluruh Makhluk di langit dan di bumi. Maka, Permulaan itu adalah berada di tempat pertama atau "Wahid". Itulah rahsianya.

Maka, "Wahid" ini menjadi "Khabar" Prediket terhadap Lafaz "Dan Tuhan Kamu semua" tersebut, Iaitu dengan jelas Allah S.W.T ingin meletakkan keyakinan dan
I'tikad di dalam diri seluruh Umat Manusia bahawa Tuhanmu ya'ni Allah S.W.T adalah Tuhan yang Esa dan Maha Pencipta seluruh ciptaan di langit dan di Bumi, dan ia akan dibuktikan di dalam ayat yang ke 164.

Allah mendatangkan ayat dengan uslub Nafi (penolakan) dan Ithbat (penetapan) pada lafaz yang seterusnya iaitu Tiada Ilah melainkan Dia ya'ni Allah S.W.T.

Menurut kaedah bahasa Arab, lafaz Isthisna' (pengecualian) yang datang selepas penafian itu akan menungang makna Isthbat iaitu penetapan terhadap sesuatu. Dan lafaz pengecualian yang datang selepas Pengharaman itu akan mengundang maksud "al-Ibahah" iaitu keharusan sesuatu daripada sudut hukum.

Maka, di dalam ayat ini, secara jelas Allah S.W.T memberikan penetapan kepada seluruh umat Manusia agar Mentauhidkan Allah S.W.T semata-mata dan menafikan seluruh Ilah yang lain. Sebab itulah juga Allah menyembunyikan lafaz Tuhan Yang wujud/sedia ada/ yang berhak disembah melalui ayat Tiada Tuhan (di sini adalah tersembunyi lafaz iaitu Maujuudun/ Ma'buudun iaitu yang Wujud/ sedia ada/yang berhak disembah) melainkan Allah S.W.T supaya manusia mampu memperkuatkan keimanan mereka bahawa Allah S.W.T adalah sifatnya "Wajibuul Wujud" iaitu wajib sedia ada bagiNya dan dengan Rahsia Allah S.W.T melalui ayat yang penuh hikmah ini.

Kemudian, didatangkan oleh Allah lafaz yang memperteguhkan lagi penyaksian Tauhid itu dengan Firman Allah S.W.T, Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang telah menciptakan dan memberikan seluruh kemudahan di dalam kehidupan manusia itu sendiri.

Allah S.W.T telah membuktikan akan maha Pemurah dan Penyayangnya Allah S.W.T melalui ayat yang ke 164 yang bermaksud:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran".

Kalian bolehlah merujuk kembali tafsiran ayat di atas beserta ayatnya. Cuma sedikit perkongsian pada akhir syarahan Syeikh, bahawa ayat ini mengandungi bukti ketauhidan Allah S.W.T dalam ayat yang telah kita bicarakan pada awal tadi.

Bagaimana, Allah S.W.T mengungkapkan bahawa penciptaan langit dan bumi merupakan bukti Keesaaan Allah S.W.T, Siapakah lagi yang memulakan penciptaan langit dan bumi beserta isinya itu, tentunya Allah S.W.T bukan? lafaz Khalqi (penciptaan) di dalam ayat ini memberi makna keimanan manusia terhadap penciptaan Allah S.W.T. sama ada secara hakikat atau hukum dan ianya adalah termausk khilaf perbahasan Ulama'. Tetapi Syeikh memilih untuk mengambil pandangan kedua bahawa penciptaan langit dan bumi itu adalah keimanan secara hakikat dan hukum.

Asalnya, sebab turun ayat ini sebagaiman yang diriwayatkan daripada 'Atha' R.A, adalah keingkaran puak kuffar terhadap Keesaan Allah S.W.T. mereka mengatakan bahawa Allah S.W.T berhajat kepada makhluk. Maka Allah S.W.T membidas kejahilan mereka dengan menurunkan Ayat ini
.

Begitulah Allah menerangkan mengenai penciptaan langit dan bumi sebagaimana planet-planet bermula Utarid sehinggalah Pluto yang beredar melalui orbitnya tanpa berlaku perlanggaran. Allah S.W.T menerangkan bahawa "Setiap planet-planet itu bertasbih kepada Allah S.W.T"

Menariknya, tatkala Allah S.W.T berfirman tentang perubahan siang dan malam, ia jelas menunjukkan bahawa setelah siang, malam akan menyusuli dan begitulah terus-menerus tanpa henti.

.
Secara aqal dan secara kaedahnya, kita mempercayai kegelapan dan cahaya pastinya tidak boleh berkumpul sekali kerana ia jelas dua keadaan yang berbeza. Maka, jika berkumpul kegelapan dan cahaya seumpama berkumpulnya kebaikan dan kejahatan, pastinya akan terjadi musibah ataupun kefasadan.

Tetapi, Allah S.W.T menjadikan siang dan malam itu secara bersekali dan terus menerus untuk memperelokkan kehidupan manusia dan tidak merosakkannya. Sebab itulah manusia dapat menguruskan waktu mereka untuk bekerja dan berehat dengan adanya siang dan malam. Alangkah besarnya keagungan Allah S.W.T!

Seterusnya, Allah S.W.T mengatakan bahawa kapal yang belayar itu adalah untuk manafaat manusia. Sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh jangkauan akal manusia untuk membina kapal pada asalnya, namun telah diberi petunjuk oleh Allah S.W.T yang Maha Mengetahui keadaan hambaNya!.


Begitu juga, Allah S.W.T menjadikan Kapal itu sesuatu yang bergerak lurus sebagaimana maksud falak (kapal) di dalam ayat di atas adalah sesuatu yang bergerak lurus. Sebagaimana seekor anak itik yang secara tiba-tiba tahu berenang apabila turun ke dalam air, dan kapal tadi yang tahu bergerak lurus apabila berada di atas air dengan wasilah angin dan sebagainya, siapa yang mencipatakan dan menjadikannya, tentunya ALlah S.W.T!.

Akhirnya, semoga dengan sedikit perkongsian di atas akan menguatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Insyaallah. Amiin.

P/S: Sila rujuk kembali ayat yang telah disebutkan di dalam al-Quran untuk memudahkan kefahaman. Surah al-baqarah ayat 163 dan 164.

Wallahu'alam...

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita