Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud:
" Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), Karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa".
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Ahzab Ayat 21 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”.
Satu perkara yang perlu kita insafi bersama adalah para pejuang Islam yang terdahulu tidak menempa martabat "خير أمة أخرجت للناس" melainkan kerana cinta dan kasih-sayang yang paling tinggi terhadap Rasulullah S.A.W.
Satu contoh yang boleh kita lihat adalah melalui peristiwa yang berlaku terhadap Sa'ad bin Rabi' R.A :Ketika beliau ingin menghembuskan nafasnya yang terakhir di medan Uhud, beliau menoleh kepada Zaid bin Thabit R.A. Dengan perlahan-lahan, beliau berkata kepada Zaid,
" Sampaikanlah salamku kepada Rasulullah S.A.W.Katakanlah bahawa aku telahpun menghidu bau syurga. Katakanlah kepada kaumku, golongan Ansar bahawa tiada apa-apa alasan bagi mereka jika Rasulullah S.A.W diapa-apakan sedangkan di kalangan mereka ada yang masih hidup". Selesai ia berkata demikian iapun menghembuskan nafasnya yang terakhir".
Lihat, di saat beliau ingin menghembuskan nafas yang terkahir itupun beliau masih begitu sayangkan Rasulullah tanpa melupakan baginda walau sesaaat pun!.
Begitu juga contoh yang ditunjukkan oleh Mus'ab bin Umair R.A:
Ibunya bersumpah tidak mahu menjamah sebarang makanan selagi ia tidak mahu keluar daripada Agama Muhammad S.A.W. lalu Mus'ab bin Umair R.A pergi menemui ibunya dan berkata kepada ibunya "Wahai ibu, Demi Allah, sekiranya ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun dan nyawa itu keluar satu persatu, namun aku tidak akan meninggalkan agama nabi Muhammad S.A.W!"
Lihat saja cinta Sawad bin Ghaziah R.A terhadap nabi Muhammad S.A.W:
Sawad bin Ghaziah R.A memeluk Rasulullah S.A.W di dalam perang badar dan Badar al-Kubra' dan menangis teresak-esak. Lalu Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya mengapa beliau berkelakuan seperti itu. lalu beliau berkata. "Ajalku hampir tiba wahai Rasulullah S.A.W, sepertimana yang kau lihat (lukaku). Aku teringin di hari-hari terakhir perpisahanku, kulitmu dapat menyentuh kulitmu ya Rasulullah.
Ummu Habibah R.Anha tidak ingin ayahnya menyentuh hamparan untuk Rasulullah kerana kasihnya kepada nabi!
Pada suatu hari bapanya Abu Sufyan yang belum masuk Islam datang berkunjung dan hendak duduk di atas hamparan khas yang disediakan untuk Rasulullah S.A.W. Beliau dengan segera menegah dan menghalang bapanya. Apabila bapanya bertanya dengan hairan mengapa beliau menghalang, Ummu Habibah R.Anha menjawab: "Ini hamparan (khas) untuk Rasulullah S.A.W sedangkan ayah seorang Musyrik yang bernoda. Oleh itu saya tidak mahu ayah duduk di atas hamparan Rasulullah S.A.W.
Banyak lagi rangkaian Sirah berkaitan Cinta kepada Rasul S.A.W, tapi cukuplah beberapa peristiwa ringkas di atas untuk mengambarkan bagaimana cinta dan kasihnya para Sahabat terdahulu terhadap tubuh badan nabi S.A.W sehingga mereka sanggup mengorbankan kepentingan mereka sendiri.
Moga-moga Allah S.W.T sentiasa mengurniakan perasaan cinta dan kasih-sayang yang tertinggi kepada kita. Gunalah keupayaan dan kemampuan yang kita ada untuk menunjukkan kasih-sayang kepada Nabi S.A.W.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan