Kisah ini mungkin pernah didengari oleh sebahagian orang..Mungkin juga tidak pernah didengari langsung.
Namun, eloklah penulis sisipkan kembali di sini agar kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar daripadanya tentang pentingnya untuk menjaga diri daripada melakukan dosa terhadap Allah s.w.t.
Ianya telah dikutip oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki daripada kitab “al-Mukhtar min Nawaadir al-‘arab wa Tharaaifihim m/s 126 serta telah dimuatkan di dalam kitab beliau iaitu “Ma’a Auliya’ Allah al-Sholehiin” .
Kisah ini berlaku ketika mana Abdullah bin al-Mubarak, seorang ulama’ yang terkenal, sedang berjalan pada satu ketika untuk melakukan haji, tiba-tiba beliau ternampak seorang perempuan yang agak berumur sedang berjalan-jalan berhampiran dengannya. Maka beliau menuju ke arah perempuan tersebut lalu berkata kepadanya:
“Assalamualaikum Warahmatullah”.
Maka perempuan itu menjawab;
“(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani”.-Surah Yasiin ayat 85.
Maka, berlakulah beberapa dialog di antara mereka.
Abdullah: Apa yang makcik sedang buat di padang pasir ini?
Perempuan :
“Sesiapa Yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun Yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) Dalam kesesatan mereka”.-Surah al-A’raf ayat 186.
Abdullah: Apakah kenderaan yang makcik tunggangi?
Perempuan:
"Maha suci Allah s.w.t.Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin)…."-Surah al-Israa’ ayat 1.
Abdullah: Berapa lamakah makcik berada di sini?
Perempuan: “… selama tiga malam, sedang engkau di dalam keadaan sihat..”-Surah al-Maryaam ayat 10.
Abdullah: Di manakah makanan makcik?
Perempuan:
"Dan Tuhan Yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum”-Surah al-Syuaraa’ ayat 79.
Abdullah: Di manakah pula makcik mengambil air sembahyang?
Perempuan:
“Kemudian jika kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu, yang suci”- Surah al-Nisaa’ ayat 43.
Maka Abdullah al-Mubarak membawa sedikit makanan kepada perempuan tersebut dan beliau berkata: “Makanlah wahai makcik, ini adalah makanan yang halal”.
Perempuan: “…Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)…”-Surah al-Baqarah ayat 187.
Abdullah : Sekarang ini bukan bulan ramadhan.
Perempuan:
“…Dan sesiapa Yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka Sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha mengetahui...”-Surah al-Baqarah ayat 158.
Abdullah: Bukankah diharuskan berbuka bagi sesiapa yang bermusafir?
Perempuan:
“…Dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui...”-Surah al-baqarah ayat 184.
Abdullah: Wahai makcik, bercakaplah sebagaimana bahasa pertuturan saya ini.
Perempuan:
"Tidak ada sebarang perkataan Yang dilafazkannya (atau perbuatan Yang dilakukannya) melainkan ada di sisi-Nya (Allah s.w.t.) malaikat Pengawas Yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".-Surah al-Qaaf ayat 18.
Abdullah: Makcik berasal daripada suku kaum mana?
Perempuan:
"Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang telah dilakukannya".-Surah al-Israa’ ayat 36.
Abdullah: Maafkan saya di atas kesilapan yang saya lakukan.
Perempuan:
… "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu Yang telah terlanjur itu), semoga Allah s.w.t mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada Segala Yang lain Yang Mengasihani".-Surah Yusuuf ayat 92.
Abdullah: Bolehkah makcik menaiki unta saya ini?
Perempuan: “…Dan apa jua kebaikan Yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah…” –Surah al-Baqarah ayat 197.
Abdullah: Silalah naik wahai makcik.
Sambil itu, Abdullah memperhatikan perempuan yang sedang menaiki untanya itu.
Perempuan:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram),…”-Surah al-Nuur ayat 30.
Abdullah segera menundukkan pandangan, menarik untanya, dan mengatakan kepada perempuan tersebut: “Marilah kita bertolak sekarang”.
Perempuan:
"Maha suci Tuhan Yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang Kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya"- Surah al-Zukhruf ayat 13.
Insyaallah, penulis akan menyambung kisah yang menarik ini pada keluaran akan datang..Sama-sama kita nantikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan