Tatkala kita hidup di atas muka bumi ini, kadang-kadang banyak masalah yang menimpa kita.
Ya…selaku hamba yang menyatakan Perasaan Cinta dan Kasih yang setinggi-tingginya terhadap Maha pencipta, iaitu Allah s.w.t., usahlah kita merasa sedih, kerana ujian dan musibah itu adalah tanda Allah s.w.t. ingat kepada kita.
Tiadalah tempat berehat yang paling baik dan mulia kecuali di syurga nanti.
Tatkala kita ditimpa musibah, besar mahupun kecil, ingatlah sesungguhnya Nabi kita dahulu telah melaluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
Malah, apalah nilai sebuah dunia yang penuh liku-liku ini jika dibandingkan dengan syurga yang hakiki yang menanti kita di akhirat kelak.
Usahlah menangis kerana duniamu, tetapi menangislah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan kerana penyesalan terhadap dosa-dosamu yang lalu.
Teanangkanlah hatimu dengan ingatan Nabi yang bermaksud:
“Seandainya dunia ini di sisi Allah s.w.t. sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah s.w.t. tidak akan memberi minum terhadap orang kafir walau seteguk airpun.”
JIka kita ada teman, kawan, ibu-bapa dan sesiapa sahaja yang boleh memahami kita…mereka itu tetap manusia, dan manusia tidak akan mampu memahami masnusia sepenuhnya..Itulah hakikat manusia…Namun, sedarlah, jika kita letakkan seluruh pengaduan dan diri kita untuk Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. sajalah yang mampu memahami kita sebagai manusia. Allah s.w.t. maha pencipta, Dia telah mencipta diri manusia dan Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita sebagai manusia.
Ibnu al-Mubarak, seorang Ulama’ yang sangat masyhur, pernah mengatakan: “Aku lebih suka lantunan syair ‘Adi bin Zaid daripada istana Raja Thahir bin al-Husain.
Syair yang indah lagi mempersonakan itu berbunyi:
”Wahai orang yang bergembira,
Di atas penderitaan orang lain,
Dan selalu memburuk-burukkan masa,
Apakah kamu orang yang selamat serta terlindung,
Atau apakah kamu punya perjanjian yang kuat,
Yang menjaminmu daripada Hari ke hari,
Sesungguhnya kamu adalah orang bodoh yang tertipu.”
Ertinya: Wahai orang-orang yang sering bergembira dengan penderitaan orang lain, adakah dirimu itu punyai perjanjian bahawa dikau tidak akan ditimpa musibah sebagaimana orang yang kamu berasa gembira dengannya? dan apakah dikau punyai jaminan bahawa dikau akan selamat daripada segala bencana dan bahaya? Jika begitu, mengapa kamu bergembira dengan penderitaan orang lain, padahal engkau tidak memiliki apa-apa jaminan dan perjanjian.
Ingatlah, dunia ini hanyalah medan ujian untuk kita. Maka, kita tidak harus bergembira di atas penderitaan orang lain..sentiasalah menadah tangan dan mendoakan saudara-saudara kita yang tidak seuntung kehidupan kita.
Ingatlah juga wahai teman, walau apapun musibah yang menimpa, usahlah menangisinya kerana dunia ini hakikatnya hanyalah sebuah kehinaan yang tidak memberi sebarang untung terhadap setiap titis air mata yang kita tumpahkan kerananya.
Bergembiralah kerana Dikau punyai Allah s.w.t dan kitabullah.Tenanglah kerana rasulullah s.a.w. itu tetap hidup di sisi tuhannnya, serta mendoakan kebaikan buat Umat baginda.
Semoga hidup kalian sentiasa diberkati Allah s.w.t..Amiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan