;

Ahad, Januari 03, 2010

Keindahan Bertawakkal

 

flower_22 Sewaktu penulis menunaikan solat jumaat di Masjid Asyraf, Jabal Muqattam pada hari jumaat lepas, Syeikh Dr Yusri telah mengungkapkan keindahan bertawakkal di dalam khutbah jumaat beliau.

Kupasan sederhana panjang itu menarik hati penulis untuk dikongsi di dalam blog yang digunakan sebagai wasilah Dakwah ini.

Konsep bertawakkal jika dihayati dengan penuh keimanan akan memberikan kesan yang besar di dalam diri hamba yang bergelar Muslim serta menjadikan Taqwa sebagai pakaian mereka.

Kadang-kadang, kita sedar kita hanyalah seorang hamba, tapi tatkala kita dilanda musibah, kesusahan dan sebagainya, maka Tawakkal itu hilang dari dalam diri lalu perasaan tersebut terus disandarkan kepada yang selain Allah s.w.t.

Sebenarnya, apa yang Allah s.w.t. berikan kepada kita hanyalah sebagai satu bentuk ingatan agar kita kembali ingat kepada-Nya.

Umapama seorang ayah atau Ibu, jika anaknya melakukan kesalahan, maka akan dipukul atau dirotan bagi menyedarkannya. Maka, Allah s.w.t. lebih layak lagi untuk melakukan apa saja ke atas kita kerana hakikatnya hanya Dia-lah yang maha Mengetahui setiap sesuatu yang tersurat mahupun yang tersirat di dalam diri ktia sendiri.

Tidakkah Allah s.w.t. lebih berhak diingati, dicintai dan dikasihi melebihi daripada segala-galanya?

Ibnu ‘Atha'illah al-Sakandari menyebut di dalam bab pertama kitab Hikamnya : “Daripada tanda-tanda bersendiri di atas amalan adalah berkurangnya pengharapan di saat berlakunya kesusahan dan musibah”.

Ya…kita sering inginkan kesenangan dan kemudahan di dalam hidup kita. Malah segalanya juga kita panjatkan kepada Tuhan Rabbul Jalil..Namun, pernahkan kita muhasabah diri sendiri, adakah hak kita dengan Allah s.w.t. telah kita tunaikan seluruhnya. Setelah itu, barulah kita boleh berkira-kira untuk mendapatkan cinta dan redha Allah s.w.t. yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Allah s.w.t. telah mengungkapkan secara jelas bahawa Tawakkal itulah sebagai tanda keimanan kita.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ke atas Allah s.w.t. jualah hendaklah kamu bertawakkal, sekiranya kamu orang-orang yang beriman”.

Begitu juga, Allah s.w.t. tidak pernah memberi sesuatu ujian tersebut hanya sekadar ujian tetapi sebenarnya Allah s.w.t. telah menyediakan kejayaan dan kemudahan untuk dinikmati di akhirnya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya bersama dengan kepayahan itu adanya kesenangan”.

“Ketahuilah bahawa Tawakkal itu adalah tanda keimanan, Redha itu adalah tanda Tawakkal, Kesempurnaan itu adalah buah kepada Redha, dan tanda kesempurnaan itu adalah kamu menjalankan amanah”.

Tawakkal itu mempunyai takrifan yang cukup memberi kesan kepada kita iaitu: “Tiada ketakutan, kebingungan di saat hilangnya Asbab atau sebab”

Umpamanya, kita boleh menerima jika sesuatu musibah berlaku dengan bersebab seperti orang yang mati dilanggar kereta, diugut kerana tidak membayar hutang, rumah terbakar kerana cuai menyalakan api dan sebagainya. Ia adalah perkara yang boleh diterima akal dengan sebab-sebab yang berlaku itu.

Tetapi, jika ianya berlaku secara tiba-tiba atau tanpa sebab, apakah kita akan mampu menerimanya!

perumpamaan yang mudah, seorang tiba-tiba datang lalu mengugut untuk membunuh kita tanpa sebab yang jelas, apakah perasaan kita ketika itu?

Disinilah konsep Tawakkal begitu penting kepada kita semua…Lihatlah rasulullah s.a.w., tatkala pedang seorang Musyrik berada betul-betul tepat dengan tengkuk baginda ketika baginda sedang berehat di bawah sepohon pokok sebagaimana yang telah diceritakan di dalam sirah baginda, mungkin saja pada ketika itu, baginda boleh saja menemui ajalnya dengan sekali libasan pedang yang tajam berkilauan itu.

Namun, apakah yang rasulullah s.a.w. katakan kepada si Musyrik tersebut tatkala dia bertanya kepada rasulullah s.a.w. “ Siapakah yang mempu menghalangku daripada membunuhmu sekarang!”.

Maka Rasulullah s.a.w dengan penuh yakin dan tawakkal mengatakan bahawa Allahlah penyelamatnya.

Lalu, pedang yang sedang terhunus tajam itu, terus jatuh bersama dengan tubuh si Musyrik yang tiba-tiba longlai dan kaku.

images

Maka, rasulullah s.a.w. terus mengambil pedang yang berada di atas bumi dan menghunusnya di leher si Musyrik itu lalu baginda bertanya pula…”lalu, siapakah pula yang mmapu untuk menghalangku daripada membunuhmu sekarang!”

Maka, dalam nada yang begitu ketakutan, si Musyrik itu berkata, “Yang boleh menyelamatkanku adalah sifat pemaafmu dan akhlakmu yang mulia”

Maka, dengan ketinggian akhlak baginda, Si Musyrik itu telah dilepaskan dan dimaafkan.

Akhlak yang ditunjukkan oleh rasulullah itu telah menyebabkan Si Musyrik tadi kembali ke pangkuan tentera Kuffar lalu menyatakan “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang manusia yang paling tinggi akhlaknya”

Inilah konsep tawakkal yang sebenar. apakah kita mampu untuk melakukan sebagaimana rasulullah s.a.w. jika berada di dalam keadaan sedemikian..Apakah kita akan mampu menerimanya! namun, rasulullah s.a.w. yang telah menerima Tarbiyyah secara langsung daripada Allah s.w.t. telah memberi pelajaran yang sangat berguna buat kita semua.

Kita harus sedar, selagi mana kita tidak redha dan menerima apa jua yang berlaku di dalam hidup kita dengan tenang dan pasti, maka selagi itulah kita tidak akan mampu untuk beramal dengan konsep Tawakkal ini.

Begitu juga dengan kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang telah dilempar ke dalam api yang marak menyala…Adakah Baginda menyandarkan tawakkal dengan sesuatu yang selain Allah s.w.t…Tidak, bahkan baginda menerima dengan penuh yakin dan redha hingga Allah s.w.t. sendiri menghantar malaikat Jibril a.s. untuk menyelamatkannya dan mengambil pelajaran daripada sifat Tawakkal yang begitu tinggi yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s tersebut.

JIka dengan Tawakkal itu mampu memberi jalan keluar terhadap musibah yang sebegitu besar…apakah dengan sedikit ujian dan musibah yang kita terima di dalam kehidupan kita tidak mampu untuk diselesaikan.

Sentiasalah berlapang dada dan gembira dengan kehidupan ini…kerana tiadalah keuntungan yang lebih tinggi daripada menerima kedudukan yang terpuji di sisi Allah s.w.t. di akhirat kelak.

Ingatlah, jangan melihat ujian itu dengan pandangan mata kasar, tetapi lihatlah ia dengan pandangan mata hati, nescaya kita akan beroleh petunjuk dan hidayah Allah s.w.t. Insyaallah. Wallahua’lam…

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Taubah ayat 129 yang bermaksud:

"Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar."

Tiada ulasan:

Selamatkan Kutub Sittah

Selamatkan Kutub Sittah

Pimpinan PMRAM

Pimpinan PMRAM

Ayuh Meriahkannya

Ayuh Meriahkannya

Ingin Menjadi Usahawan Berjaya..Klik sini!

Renungan

A song for gaza

Untukmu Palestin!

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita

Pertahankan Hak Kita