ISLAM DAN INDIVIDU MUSLIM
Islam yang bererti menerima dan patuh terhadap wahyu Allah s.w.t yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w merupakan agama Allah s.w.t yang diwahyukan kepada nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s dan merupakan sebuah agama yang berintipatikan kepada keimanan dan perbuatan iaitu amal.
Muslim meriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab tentang pertanyaan seorang sahabat kepada baginda rasullullah s.a.w mengenai Islam dengan katanya:
أخيرني عن ألأسلأم قال: ألأسلأم أن لأأله ألأ ألله وأن محمد رسول ألله , وتقيم ألصلأة وتؤتي ألزكاة وتصوم رمضان وتحج ألبيت أن استطعت اليه سبيلأ
Rasulullah s.a.w bersabda: “Islam ialah membuat pengakuan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah S.W.T, engkau mendirikan sembahyang ,engkau mengeluarkan zakat, puasa bulan ramadhan dan menunaikan ibadat haji ke Baitullah jika engkau mampu (sampai ) kepadanya”.
Secara tersirat, Islam adalah berserah diri kepada Allah s.w.t dengan tauhid dan tunduk kepada-Nya dengan taat dan berlepas diri dari perbuatan syirik dan pelakunya. Barangsiapa yang berserah diri kepada Allah s.w.t, maka dia adalah seorang Muslim. Dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah s.w.t tetapi turut berserah diri kepada yang selainnya, maka dia adalah seorang musyrik. Dan barangsiapa yang tidak berserah diri kepada Allah s.w.t , maka dia seorang kafir yang sombong. Dalam erti kata lain, Islam bererti tunduk dengan patuh kepada Allah s.w.t dan melakukan segala arahan-Nya dan meninggalkan dengan penuh yakin segala larangan-Nya.
Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yYang benar (pengakuan imannya).
Seorang Muslim merupakan manusia yang menjadikan Islam sabagai agama anutan dan cara hidup mereka serta menafikan penyaksian terhadap sesuatu yang lain selain Allah s.w.t. Secara jelasnya, seorang Muslim yang sebenar pastinya akan memastikan segala amalan sama ada daripada sudut keyakinan dalam hatinya, percakapan dan amal perbuatannya adalah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t melalui agama Islam yang yang hanif. Dalam konteks yang lebih luas, Islam sebagai agama yang diiktiraf oleh Allah s.w.t dan diterima secara mutlak oleh-Nya serta dibuktikan melalui lisan nabi s.a.w.
Islam dan Muslim dihubungkan oleh penyaksian yang benar serta pengamalan yang sewajarnya terhadap kandungan yang terkandung dalam ajaran Islam itu sendiri.
Allah s.w.t menuntut setiap orang yang bergelar individu Muslim memperlengkapkan diri mereka dengan penyempurnaan hak terhadap agama Islam yang hanif. Di samping itu, Allah s.w.t menjaga kualiti setiap individu Muslim dengan menuntut mereka agar menyelamatkan dan menjauhkan diri daripada api nereka yang sangat dahsyat dan merupakan seburuk-buruk tempat kembali.
Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah yalam Segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.
Walaupun sebagai individu Muslim, mustahil bagi kita untuk mencapai martabat sebagai seorang nabi atau rasul yang telah dipilih oleh Allah s.w.t, namun sekurang-kurangnya kedudukan sebagai orang soleh (orang baik) atau golongan Abrar (orang-orang yang berbakti) atau golongan al-Faizan (orang-orang yang mendapat kemenangan) atau Ashabul Yamin (golongan yang menerima amalan dengan tangan kanan.) dapat dicapai. Inilah matlamat individu Muslim di mana mereka berperanan dalam memperlengkapkan diri bagi memastikan tahap diri mereka sesuai dengan objektif keimanan itu sendiri.
INDIVIDU MUSLIM DAN HUBUNGANNYA DENGAN KEIMANAN
Sebagai individu Muslim yang betul-betul mempraktikkan objektif ajaran Islam, maka golongan ini amat perlu memahami soal keimanan kerana di sana terdapatnya hubungan yang kuat di antara individu Muslim itu sendiri dengan keimanan. Bahkan, keimanan itu merupakan intipati asas kepada agama Islam yang syumul.
Menurut konsepnya, keimanan adalah aqidah yang berpaksikan kalimah tauhid dan pokok asas ketauhidan yang mana berdiri di atasnya syariat Islam. Seterusnya daripada pokok-pokok yang asas itu jugalah, terbentuk cabangnya. Dalam hal ini, rasulullah s.a.w bersabda:
“Demi Allah s.w.t yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan seseorangpun daripada umat ini (manusia seluruhnya), Yahudi dan Nasrani yang mendengar perutusanku, kemudian ia mati sedangkan ia tidak beriman dengan apa yang aku diutuskan dengannya melainkan ianya daripada penghuni neraka.
Al-Quran sebagai panduan ataupun manhaj perundangan Islam merangkumi persoalan keimanan ataupun tauhid yang menjadi dasar setiap individu Muslim serta asas yang paling utama, seterusnya diikuti oleh perkara yang berkaitan dengan akhlak ataupun tasawuf dan yang ketiga adalah perkara yang berkaitan dengan anggota badan dan muamalat sesama manusia, iaitu fiqh. Jadi, seseorang Muslim tidak layak digelar sebagai seorang Muslim tanpa asas yang lengkap ini.
Dalam memahami hubungan individu Muslim dan keimanan, mereka perlu jelas terhadap tahap dan dan ketagori keimanan itu sendiri. Muhammad Quraisry bin Nasr menjelaskan bahawa tiga tahap yang perlu difahami adalah seperti berikut:
a. Wajib percaya dan yakin bahawa Allah s.w.t wujud, bersifat dengan sifat-sifat keagungan, kesempurnaan dan kemuliaan serta mempunyai peraturan-peraturan yang wajib diikuti oleh semua makhluk.
b. Wajib mengetahui sifat-sifat yang wajib,mustahil dan harus bagi Allah s.w.t secara umum.
c. Mengetahui dan memahami secara menyeluruh huraian sifat tersebut sebagaimana terkandung dalam sifat 20.
Setiap individu Muslim wajib mengimani dan mengetahui dengan jelas bahawa aqidah Islamiah menghendaki hubungan di antara setiap individu Muslim daripada sudut keimanan mereka, adalah keimanan itu hubungannya dengan perbuatan, ataupun dalam kata lain aqidah dan syariat. Keduanya tidak boleh dipisahkan antara satu sama-lain yang mana natijahnya akan menghasilkan individu Muslim yang betul-betul dapat merealisasikan manifestasi pembentukan rohaniah mereka.
Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya:
Maksudnya:
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya mereka beroleh syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah Yang telah diberikan kepada Kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu Yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka Dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri Yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
Allah s.w.t juga menerangkan bahawa setiap individu Muslim yang mengertahui hakikat hubungannya dengan keimanan dengan melakukan kebaikan bakal memperolehi ganjaran berupa kehidupan yang baik dan balasan pahala yang setimpal.
Firman Allah ta’ala:
Maksudnya:
Sesiapa Yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, Dengan memberikan pahala Yang lebih dari apa Yang mereka telah kerjakan.
Jadi, secara umumnya jelas kepada kita tentang hubungan di antara setiap individu Muslim dengan konsep keimanan itu sendiri. Seterusnya, melalui hubungan yang kukuh dan tidak dapat dipisahkan ini juga, secara tidak langsung membawa kepada pembentukan individu muslim terutama daripada sudut rohaniah mereka sendiri terhadap perlaksanaan objektif yang telah digariskan dalam agama Islam terhadap nilai iman yang merupakan suatu tenaga yang mempertahankan diri daripada segala kerendahan dan keburukan, dan mendorongnya kepada segala rupa kemuliaan sebagaimana yang dibenarkan dalam al-Quran.
Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang Yang benar.
PEMBENTUKAN ROHANI INDIVIDU MUSLIM.
Setiap individu Muslim merupakan generasi pilihan Allah s.w.t. Generasi ini adalah generasi yang bertuah kerana dipilih oleh Allah s.w.t untuk mengikat diri mereka dengan agama Islam yang hanif. Ikatan ini bermaksud setiap individu Muslim telah mengikat diri mereka dengan simpulan (tali agama) yang kukuh dan tidak mungkin terputus.
Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
Tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Maka, natijah daripada itu terlepaslah diri mereka daripada digolongkan oleh Allah s.w.t sebagai penghuni kekal neraka-Nya.
Rohani merupakan tuntutan terpenting terhadap setiap individu Muslim. Allah s.w.t memperlengkapkan setiap manusia dengan unsur yang mempunyai hak untuk ditunaikan iaitu unsur rohani. Unsur rohani yang terdapat dalam diri manusia juga dikenal sebagai unsur tanah ataupun unsur roh. Hakikat inilah yang perlu diketahui oleh setiap individu Muslim bahawa hak terpenting yang perlu diaplikasikan terhadap tuntutan rohaniah ini adalah menjaga, memperkasakan dan membina tuntutan unsur rohani yang dipengaruhi oleh perasaan halus, kasih-sayang, dan kepercayaan atau I’ktikad agar bersesuaian dengan tuntutan ajaran Islam sendiri. Untuk itu, Allah s.w.t telah menjelaskan mengenai pembentukan unsur tanah dalam al-Quran.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan baunya.
Manakala Allah s.w.t turut menjelaskan tentang unsur rohani ataupun unsur roh yang terdapat dalam diri manusia dalam al-Quran.
Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan baunya. "Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadaNya.
Dalam menjelaskan mengenai pembentukan rohani individu Muslim ini, kita dapat melihat melalui sirah al-Nabawiyyah sendiri yang mana generasi sahabat (awwalun) yang pertama yang dididik, diasuh dan dipimpin sendiri oleh baginda rasulullah s.a.w semasa hayat baginda. Generasi yang mekar dengan roh tauhid dalam pengisian rohani mereka ini sebagaimana sahabat-sahabat nabi daripada kalangan Khulafa’ al-Rasyidin dan nama-nama besar lain seperti Ali bin Abi Talib, ‘Aisyah, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Zaid bin Thabit, Bilal bin Rabah dan sebagainya sebagai tokoh-tokoh ulama yang tiada bandingannya daripada dahulu hingga sekarang yang menjalani latihan Tauhid dan keimanan kepada Allah s.w.t dan kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain selama lebih kurang 13 tahun secara praktiknya. Generasi yang menjalani proses keimanan yang mentauhidkan Allah s.w.t dalam ertikata yang sebenar-benarnya, memenuhi sifat-sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah dan segala sesuatu yang berkaitan dengannya. Generasi yang ada suatu ketika dahulu, ketika menjalani latihan tauhid telah diazab dengan berbagai azab dan siksaan serta gangguan malah secara bersatu semua tenaga Jahiliyyah bagi menghalang dan menghapuskan nur Iman sebagai asas pembentukan peribadi yang kian hari semakin bersinar dan meningkat dalam usaha pembentukannya. Itu tidak dapat menyekat kemaraannya. Begitulah juga hasil yang dapat dilihat sacara praktiknya yang mana tentera Islam telah dapat menyempurnakan kemenangan mereka dalam perang Badar al-Kubra yang bersejarah.
Firman Allah s.w.t :
Maksudnya:
Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian).
Maka, kesimpulannya jelas kepada kita bahawa pembentukan rohani individu Muslim adalah antara agenda terpenting yang telah direncanakan oleh Allah s.w.t terhadap manusia. Secara tidak langsung, pembentukan rohani yang telah diketahui jelas unsurnya bukan sahaja membawa kepada pengakplikasian tuntutan ajaran Islam setelah unsur tersebut memperkuatkan jiwa individu Muslim itu sendiri, tetapi fokus yang lebih besar dalam kajian ini adalah bagaimana perang Badar al-Kubra itu sendiri memberi kesan terhadap pembentukan rohani individu Muslim yang insyaallah akan dijelaskan kemudian.
CIRI-CIRI PEMBENTUKAN ROHANI INDIVIDU MUSLIM
Sebagai individu Muslim yang benar-benar mempraktikkan ajaran Islam, maka ciri-ciri pembentukan rohaniah adalah antara asas yang penting. Telah diketahui sebelum ini, bahawa unsur rohaniah dibekalkan oleh Allah s.w.t dalam setiap jiwa manusia dan seharusnya ciri-cirinya yang jelas perlu diketahui. Ciri-ciri pembentukan ini perlu diketahui agar setiap individu Muslim jelas terhadap tuntutan rohaniah mereka serta mengetahui bagaimanakah ciri-ciri ini dapat memastikan kelangsungan terhadap jiwa yang mampu menghayati dan mengamalkan seluruh ajaran Islam dalam konteks yang syumul. Dalam kajian ini, penulis akan cuba menerangkan mengenai ciri-ciri pembentukan rohani individu Muslim dengan berpandukan kepada penilaian al-Quran dan hadith yang akan membawa kepada pembentukan jiwa individu Muslim yang kukuh dan kuat. Dengan itu, di sini dinyatakan lima ciri pembentukan rohani yang utama.
1-AQIDAH YANG BERSIH
Aqidah yang bersih (salimul aqidah) merupakan suatu asas yang sepatutnya ada pada setiap Muslim. Dengan aqidah yang bersih, seseorang Muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah s.w.t dan dengan ikatan yang kuat itu maka mereka tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan-ketentuan-Nya. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seseorang Muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah s.w.t. Abdurrahman bin Habanakah menerangkan bahawa jika suatu pengetahuan yang dominan bargabung dengan kukuh di dalam jiwa, maka hati akan menjadi tenteram. Bahkan segala bentuk emosi akan dipengaruhi olehnya dan kita sentiasa membenarkannya. Intipati inilah yang membentuk aqidah yang mantap dan dominan dalam jiwa setiap individu Muslim.
Firman Allah s.w.t :
Maksudnya:
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Al-Quran turut membandingkan aqidah itu sebagai asas yang terbina daripada keimanan yang benar. Dalam asas ini, iman dibandingkan sebagai tanah yang subur, sedangkan kekufuran, kesyirikan dan yang lainnya sebagai tanah yang tandus. Di atas tanah yang subur inilah lahirnya akan lahirnya tamadun-tamaduan yang berupa pembinaan jiwa-jiwa yang kuat seterusnya mencerminkan kepada pembinaan masyarakat dan negara yang baik, dengan syarat tamadun itu hendaklah berpaksikan kepada aqidah iaitulah keimanan itu sendiri, ketaqwaan dan amal yang salih.dan Allah s.w.t telah menyatakannya secara jelas dalam al-Quran.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
Dan negeri Yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) Dengan izin Allah; dan negeri Yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan Dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami Dengan berbagai cara bagi orang-orang Yang (mahu) bersyukur.
Kesimpulannya, jelas kepada kita bahwa asas utama yang patut ada pada setiap individu Muslim sebagai ciri bagi mencerminkan rohaniah mereka adalah aqidah yang syumul itu sendiri. Asas ini secara tidak langsung mencerminkan kepada ketulenan setiap individu dalam beragama. Seterusnya asas ini jugalah yang membawa kepada ciri-ciri yang lain sebagai nilai tambahan yang memperkuatkan pembentukan jiwa mereka.
2- IBADAH YANG BENAR
Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan
antara salah satu ciri pembentukan rohani individu Muslim yang penting juga setelah daripada wujudnya aqidah yang benar. Maka setiap individu Muslim harus memastikan ibadah yang dilakukan adalah merupakan ibadah yang benar dan diterima di sisi Allah s.w.t. Secara asasnya, ibadat yang benar telah dilazimi konsepnya secara praktikal dalam kehidupan rasulullah s.a.w sebelum baginda diangkat menjadi rasul lagi dan sebelum turunnya wahyu. Ibadat telah mengambil masa yang besar daripada kehidupan baginda dan kehidupan umat Islam di zaman permulaan dakwah. Antara ayat-ayat yang mula turun berkaitan ibadah adalah berkaitan dengan ibadah qiamulail itu sendiri.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil".
Melihat kepada persoalan ibadah yang benar sebagai ciri pembentukan rohani individu Muslim, kita boleh melihat kepada perihal perintah solat contohnya, yang diambil oleh rasulullah s.a.w melalui siri perjalanan Isra’ Mikraj yang mana ia merupakan di antara intipati daripada aqidah yang benar.
Imam Syatibi berkata:
“Maka solat misalnya, asal disyariatkan ialah tunduk kepada Allah s.w.t, dengan ikhlas mengharap kepada-Nya, meletakkan diri sebagai hamba yang lemah dan kerdil di hadapan-Nya dan mengingatkan jiwa agar selalu mengingati-Nya”.
Jadi jelas kepada kita bahawa ibadah yang benar menjadi teras yang penting terhadap ciri pembentukan rohaniah individu Muslim. Selain itu, daripada ungkapan ini juga maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap peribadatan haruslah merujuk kepada sunnah rasul s.a.w yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan. Jadi, tujuan pokoknya ibadah yang benar ini adalah secara pastinya mengharapkan zat tunggal yang disembah, dan satu-satunya tujuan kepada-Nya dalam setiap keadaan, dan disertai tujuan ibadah yang benar itu untuk mendapat kedudukan yang benar juga di hari akhirat, atau untuk menjadi kekasih Allah dan lainnya. Seterusnya tujuan-tujuan sampingan adalah kebaikan jiwa, dan mencari keutamaan.
Oleh itu, jelas kepada kita bahawa ibadah yang benar merupakan di antara cirri penting terhadap pembentukan rohani setiap individu Muslim yang mana dengan ibadah yang benar inilah memastikan ketulenan jiwa setiap individu Muslim serta setiap ibadat yang mereka lakukan akan diterima oleh Allah s.w.t.
3-AKHLAK YANG KUKUH
Akhlak yang kukuh ataupun disebut sebagai (mantiqul khuluq) juga tergolong di antara ciri pembentukan rohani individu Muslim. Dalam bahasa arab, akhlak disebut ‘خلق’ yang bermaksud budi pekerti, perangai, tingkah laku, dan adat kebiasaan seorang manusia. Menurut Imam al-Ghazali pula, akhlak yang baik dan terpuji itu lahir daripada jiwa yang mantap dan bersih. Ianya ibarat bunga yang lahir daripada benih yang ditanam di dalam jiwa.. Inilah asas kepada kemurniaan akhlak itu sendiri. Secara jelas, Ianya dapat diilihat dalam pergaulan seharian dengan masyarakat.
Oleh kerana pembentukan rohani individu Muslim itu menghendaki hubungan terhadap keimanan, maka akhlak yang kukuh dan jitu adalah di antara intipati yang wujud hasil daripada natijah keimanan yang baik kepada Allah s.w.t. Asas kepada akhlak ini sebenarnya lahir daripada keimanan terhadap Allah s.w.t dan rasul-Nya serta menepati objektif agama Islam yang hanif. Jika kita melihat daripada sudut yang lain, lantaran tidak menjadikan keimanan terhadap Allah dan rasul sebagai asas yang benar, maka masyarakat arab Jahiliyah tergolong sebagai umat yang tidak berakhlak serta dinamakan sebagai Jahiliyah walaupun mereka terkenal dalam lipatan sejarah sebagai umat yang maju. Rasulullah s.a.w sendiri sebagai contoh ikutan terbaik adalah jawapan yang tepat kepada persoalan akhlak seharian. Secara aklamasinya, Allah s.w.t mengutuskan rasulullah s.a.w sebagai penyempurna kepada akhlak umat-Nya. Perkara ini dengan terang telah dinukilkan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran yang mulia.
Firman Allah Ta’ala:
Maksudnya:
“ Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”.
Jadi, jelaslah kepada kita bahawa akhlak yang kukuh yang mana ianya berkesinambungan daripada aqidah yang syumul dan ibadah yang benar merupakan di antara ciri pembentukan rohani individu Muslim yang tidak kurang pentingnya.
4-BERJUANG MELAWAN HAWA NAFSU
Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatul linafsihi) bermaksud mengorbankan kepentingan hawa nafsu demi pembentukan rohaniah dan merupakan merupakan salah satu ciri pembentukan individu Muslim yang penting, karena setiap manusia memiliki kecenderungan kepada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada manakala seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsu. Berjuang melawan hawa nafsu juga membawa kepada tertunaikan salah satu hak pembentukan rohaniah iaitu membuang sifat Jahiliyah dalam diri sendiri. Muhammad Qutb menyatakan bahawa di antara ciri kejahiliyah secara umum adalah mengikut hawa nafsu. Jadi, tidak mengikut hawa nafsu bererti menunaikan hak terhadap kepentingan rohani individu Muslim. Jadi, hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus diupayakan supaya tunduk kepada ajaran Islam yang hanif, sebagaimana yang diperingatkan oleh rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud:
“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam) .
Dalam menjelaskan persoalan ini, Dr Afif Abdullah Fattah Tabbarah menerangkan bahawa manifestasi syukur terhadap nikmat Allah s.w.t yang telah dianugerahi-Nya adalah berupa taat kepada perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan Allah dan selalu memuji-Nya. Secara tidak langsung, ianya menolak perbuatan mengikut hawa nafsu yang jelas boleh merosakkan proses pembentukan rohani individu Muslim. Mengikut hawa nafsu juga bererti mengingkari setiap takdir Allah s.w.t sehingga sanggup mengorbankan segala yang berharga, serta sanggup menmbuang norma-norma murni daripada kehidupan mereka , serta ingkar kepada pertintah Allah s.w.t yang menghendaki manusia meninggalkan segala perkara yang boleh merosakka keimanan mereka. Dalam erti kata yang lain, ingkar bererti menggunakan nikmat Allah s.w.t pada jalan hawa nafsu, maksiat dan jalan yang paling dilarang. Secara lebih jelas, keingkaran yang lebih besar membawa kepada kukufuran adanya Allah s.w.t itu sendiri.
Allah s.w.t berfirman:
Maksudnya:
Dengan Yang demikian, Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang Yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan Yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang Yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
Dengan penjelasan yang disebutkan di atas, kita dapat mengetahui secara jelas bahawa di antara ciri pembentukan rohani individu Muslim yang penting adalah berjuang melawan hawa nafsu. Bahkan inilah jihad yang paling besar di sisi Allah s.w.t agar lahirnya individu Muslim yang betul-betul tulen dan kukuh daripada segi pengabdian mereka kepada Allah s.w.t dan mampu untuk memenuhi segala manhaj yang telah Allah s.w.t susun buat manusia yang beriman dalam agama Islam itu sendiri insyaallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan