Selasa, November 18, 2008
URGENSI PERANG BADAR Al-KUBRA DAN MANIFESTASINYA TERHADAP PEMBENTUKAN ROHANI INDIVIDU MUSLIM.
Secara maklum, kita telah dapat meneliti beberapa perkara penting sebelum ini yang mana telah dijelaskan mengenai perang Badar al-Kubra dan kedudukannya yang diselusuri melalui sirah al-Nabawiyyah yang memperlihatkan bagaimana kemenangan yang begitu berharga buat kaum Muslimin iaitu terselamat maruah Islam itu sendiri. Kemenangan itu juga jika dilihat daripada sudut individu Muslim itu sendiri adalah selari dengan tuntutan rohani mereka untuk lahir sebagai seorang Muslim yang betul-betul berkualiti daripada segala sudut kehidupan. Jadi, pasca Badar al-Kubra ini telah memperlihatkan bagaimana hubungan yang kuat di antara pembinaan rohaniah individu Muslim dengan kemenangan dalam perang ini sehinggakan para sahabat yang diharapkan oleh rasulullah s.a.w untuk memberikan sokongan terbaik telah menunjukkan komitmen dan semangat juang yang begitu tinggi serta luar biasa tanpa memikirkan segala bentuk kekurangan yang dihadapi ketika itu.
Urgensi atau juga disebut sebagai asas keperluan ilmiah dalam perang Badar al-Kubra ini telah menunjukkan kepada kita beberapa petunjuk positif terhadap perang ini. Seperti yang dijelaskan , walaupun hanya sekitar 313 orang tentera sahaja daripada kalangan kaum Muslimin, namun kemenangan besar yang telah dicapai oleh tentera Islam telah menunjukkan isyarat bahawa urgensi dalam perang badar Badar al-Kubra secara praktikalnya menjadi manifestasi terbaik terhadap pembentukan rohani individu Muslim. Jadi, secara jelasnya, prinsip kemiliteran, politik dan pemikiran adalah asas yang ketara yang dapat dilihat melalui urgensi ini.
1 . PENURUNAN WAHYU DALAM PERANG BADAR.
Urgensi yang pertama dalam perang Badar al-Kubra ini adalah wahyu-wahyu Allah s.w.t yang begitu banyak diturunkan pada setiap ketika dan tempat di dalam perang Badar ini. Asas keperluan ini adalah dilihat sebagai asas keperluan yang paling penting sekali terhadap natijah perang ini. Kebanyakan wahyu yang diturunkan dalam ghazwah ini adalah meliputi peringatan, amaran, bimbingan, pertolongan serta motivasi yang begitu berkesan sekali daripada Allah s.w.t kepada tentera Muslimin dalam perang Badar sehingga mereka berjaya mencapai kemenangan yang besar dalam peperangan ini. Allah s.w.t telah menurunkan ayat yang khusus sebagai mengiktiraf perang ini yang mana ia menjadi asbab nuzul kepada berlakunya perang ini. Di sinilah urgensi ini menjadi satu bentuk keperluan utama yang memenuhi objektif manifestasi pembentukan rohani individu Muslim itu sendiri.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksudnya:
Dan orang-orang Yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang Yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya Yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Meneliti manifestasi urgensi ini terhadap pembentukan rohani individu Muslim, maka perkara yang paling utama yang dapat dinilai adalah mengenai bimbingan bertahap yang juga disebut sebagai tarbiah. Sebagaimana Allah s.w.t menurunkan banyak wahyu mengikuti episod perang ini daripada awal hingga ke akhirnya, begitulah Allah s.w.t mendidik manusia dengan tarbiah dan pendidikan bertahap. Perkara ini jelas telah ditunjukkan oleh peribadi atau akhlak nabi Muhammad s.a.w yang menjadi suri teladan bahawa baginda mendapat tarbiah secara langsung daripada Allah s.w.t hingga keperibadian baginda dikagumi dan diiktiraf oleh orang Islam dan juga bukan Islam sendiri. Allah s.w.t menurunkan al-Quran sebagai sebuah kitab suci yang sarat dengan bimbingan yang bertahap dan berterusan hingga ke hari kiamat.
Harun Arrasyid Hj. Tuskan menjelaskan , pendidikan atau tarbiah yang perlu dilalui oleh setiap individu Muslim sangat banyak, namun empat bentuk tarbiah yang penting dapat dirumuskan sebagai berikut:
a. Tarbiah Imaniah: Iaitu pendidikan untuk menghidupkan rasa khauf (takut) kepada Allah s.w.t, raja’ (pengharapan), dan mahabbah (kecintaan) kepada-Nya serta menghilangkan kekeringan hati disebabkan jauhnya daripada al-Quran dan al-Sunnah.
b. Tarbiah Ilmiah: Iaitu pendidikan keilmuan berdasarkan dalil yang benar dan menjauhi taqlid buta yang tercela.
c. Tarbiah Wa’iah: Iaitu pendidikan untuk mempelajari siasah orang-orang yang jahat, langkah dan strategi musuh Islam serta fakta dan pelbagai peristiwa yang terjadi berdasarkan ilmu dan pemahaman yang benar.
d. Tarbiah Mutadarrijah: Iaitu pendidikan bertahap, yang membimbing setiap individu Muslim menuju kesempurnaannya dengan program dan perencanaan yang matang.
Manakala menurut Mohd Ali Hashim , objektif daripada manifestasi ini secara langsung adalah untuk melahirkan Muslim yang benar-benar beriman yang sedar tanggungjawabnya, taat setia menurut perintah tuhannya, menyedari tanggungjawabnya kepada rakyatnya, redha menerima qadha dan qadar dan yang terakhir adalah sentiasa bertaubat kepada tuhannya.
Fiman Allah s.w.t yang bermaksud:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal
Rasullullah sa.w bersabda:
لأيومن أحدكم حتى يكون هواه لما جئت به
Maksudnya:
“Tidak beriman seseorang daripada kamu hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa”
2. GERAKAN ISLAM MELAWAN GERAKAN BATIL.
Urgensi kedua dalam perang Badar al-Kubra ini memperlihatkan pula bagaimana keunggulan tentera atau disebut sebagai gerakan Islam dalam melawan gerakan batil. Keunggulan dan semangat yang telah ditunjukkan oleh tentera Islam pada masa tersebut telah menafikan bahawa jumlah yang kecil pada waktu itu ditambah lagi dengan kekurangan segala kelengkapan perang tidak akan berhasil untuk mendapat kemenangan, tetapi mereka membuktikan bahawa disiplin yang kukuh, keyakinan kepada Allah s.w.t dan doa yang berterusan akan berhasil untuk mencapai kejayaan yang gemilang.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
Maksudnya:
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan Yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan Yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam Dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding Dengan mereka sendiri. dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa Yang dikehendakiNya, Dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran Yang memberi insaf bagi orang-orang Yang berfikiran (yang celik mata hatinya).
Sepertimana yang diceritakan dalam sejarah perang Badar dalam bab sebelum ini bahawa terdapat banyak contoh yang menunjukkan tentang keunggulan tentera Islam dalam berperang sehingga mencapai kejayaan yang besar. Antara contoh yang dapat dilihat bilamana perang dimulakan, maka Mu’ad yang merupakan orang yang sangat berani berkata:
“Wahai abdul Rahman bin Auf, dimana Abu jahal?”
Ini kerana mereka berdua tidak mengetahui keadaan Abu Jahal ketika itu. Maka kemudiannya Mu’ad berkata:
“Tahukah kamu lelaki yang berperisai (sebutan bagi Abu Jahal)? Itu, dia di sana”. Mereka berkata: “Demi Allah S.W.T, pada waktu itu, kami tidak akan berpisah di antara satu sama lain hingga kami dapat memotong lehernya”.
Begitu juga dikatakan oleh Ibnu Hisyam, berkata Ibnu Ishaq: “Ukasyah bin Mahsan bin Hurathan al-Asadi, iaitu cucu Bani Abd Syams bin Abd Manaf ikut bertempur dengan pedangnya hingga pedang tersebut putus di tangan, maka datanglah rasulullah s.a.w dan memberinya tongkol kayu. Baginda berkata”:
‘Berperanglah dengan ini, wahai Ukasyah,”.
Ketika dia mengambil tongkol kayu tersebut dengan cepat, pedangnya kembali menjadi panjang, sangat tajam serta kelihatan putih berkilau. Dia bertempur dengan perang tersebut hingga Allah s.w.t memberi kemenangan kepada kaum Muslimin. Allah s.w.t turut menurunkan wahyu sebagai bimbingan terhadap keunggulan tentera Islam.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
(ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka"
Dilihat daripada sudut manifestasi urgensi yang kedua ini terhadap pembentukan rohani individu Muslim, maka jelas kita dapat melihat bahawa di antara manifestasinya adalah kewajipan tuntutan berjihad ke atas setiap individu Muslim dan perlunya tuntutan jihad tersebut dilaksanakan dengan penuh kesungguhan. Allah s.w.t memberikan kelebihan kepada setiap individu Muslim dengan membekali jiwa mereka dengan keimanan kepada Allah s.w.t. Justeru keimanan ini perlulah dipacu agar selari dengan konsep yang dikehendaki oleh pembentukan rohaniah itu sendiri.
Jihad merupakan perkara yang besar maknanya dalam Islam. Sekalipun bagaimana keluasan erti ‘jihad’ sepanjang pimpinan Islam (al-Quran dan al-Sunnah), namun hukum wajib berjihad bagi kaum Muslimin tetap berlaku sepanjang masa dan tempat kerana tidak didapati satu keterangan baik daripada al-Quran mahupun daripada hadith shahih yang menunjukkan hukum jihad telah dihapuskan . Seterusnya, orang-orang kafir, orang-orang musyrik dan orang-orang yang menganggu tersiarnya dakwah Islamiyyah akan tetap ada dan mereka sentiasa berusaha untuk meruntuhkan Islam dan memadamkan cahayanya daripada muka bumi ini. Secara jelasnya, Allah s.w.t telah menukilkan dalam AL-Quran secara khusus tentang kewajipan berjihad ini.
Allah s.w.t berfirman:
Kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Menurut keterangan para ahli tafsir yang terkemuka inilah ayat yang mula-mula sekali diturunkan buat mewajibkan sesuatu kepada kaum Muslimin supaya berperang, iaitu pada tahun kedua daripada peristiwa hijrah nabi Muhammad s.a.w.
Terdapat juga hadith nabi yang mengandungi pimpinan supaya kaum Muslimin berani berperang serta menunjukkan kesungguhan mereka untuk mempertahankan kehormatan agama Allah s.w.t, untuk meninggikan kalimah-Nya dan untuk menegakkan hukum-Nya.
Sabda rasulullah s.a.w:
من قاتل لتكون كلمة الله هي العليا فهو في سبيل ألله
Maksudnya:
“Barangsiapa yang berperang-dengan tujuan-supaya kalimah Allah s.w.t yang tertinggi, maka mereka itu- berperang-di jalan Allah s.w.t”
Begitu juga disebabkan rasulullah s.a.w sendiri membawa Islam dalam keadaan yang penuh dengan ujian, begitulah juga setiap individu Muslim perlu mengetahui mahalnya harga perjuangan mereka itu . Bukan hanya jiwa-raga yang perlu dikorbankan, tetapi juga harta, dan semuanya perlu dikorbankan dengan bersungguh-sungguh demi tertegaknya agama Allah s.w.t. Perhatikanlah bagaimana sewaktu dakwah nabi di Thaif sendiri, baginda telah dibaling batu tanpa sebarang perasaan belas kasihan oleh mereka. Tetapi petunjuk kepada kemurniaan hati nabi s.a.w sendiri adalah bilamana baginda berdoa:
“Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka belum mengerti”.
3. KEMENANGAN KE ATAS KETINGGIAN RUHIYYAH.
Urgensi yang ketiga ini pula memaparkan bagaimana ketinggian ruhiyyah itu menjadi satu keperluan terhadap tentera Muslimin untuk mencapai kemenangan yang besar dalam peperangan ini. tatkala mendapat tekanan daripada kekurangan alatan perang serta bilangan tentera pada waktu tersebut, tentera muslimin sekeliannya telah menanam keyakinan yang penuh dalam jiwa mereka bahawa Allah s.w.t akan memberikan nusrah kepada hamba-Nya yang beriman dan berjuang semata-mata kerana mendaulatkan agama Islam yang tercinta. Ini jelas menunjukkan kemenangan ketinggian dan kekuatan ruhiyyah berbanding kekuatan materialisme semata-mata. Malah pembentukan ruhiyyah tersebut telah membentuk satu momentum perjuangan yang begitu luar biasa terhadap semangat dan keyaakinan tentera Muslimin untuk memerangi tentera Quraisy dalam perang Badar al-Kubra.
Manifestasi urgensi ini terhadap pembentukan rohani individu Muslim dapat dilihat daripada sudut bagaimana setiap individu muslim membina kekuatan jiwa dengan mementingkan pembinaan ruhiyyah terdahulu kemudiaan diikuti oleh pembinaan jasmaniah. Pembinaan rohani yang mantap menjadi asas utama kepada keberkesanan gerak dakwah setiap individu Muslim terhadap masyarakat di samping menjadi sumber kekuatan yang sangat baik terhadap mereka untuk membina identiti Islam yang cemerlang dalam kondusi masyarakat yang mana mutakhir ini memperlihatkan cabaran-cabaran yang begitu besar yang perlu dilalui. Ditinjau daripada tuntutan dakwah itu sendiri, Prof. Dr. Ali Abdul Halim Mahmud sendiri telah menyenaraikan banyak tuntutan terhadap keperluan amal Islami itu. Di antaranya adalah:
a. Tuntutan waktu: Memerlukan komitmen daripada segi pemngurusan yang terbaik di antara aktiviti harian dan kepentingan dakwah.
b. Tuntutan kesungguhan: Sememangnya jelas bahawa tuntutan dakwah itu memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang begitu tinggi agar objektif pendakwahan tersebut dapat diterima secara baik oleh para mad’u.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Katakanlah (Wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang Yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu Yang beriman! bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (ingatlah) orang-orang Yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di Akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini Luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang Yang Bersabarlah sahaja Yang akan disempurnakan pahala mereka Dengan tidak terkira".
c. Tuntutan untuk berjuang dan berkorban: Tidak mungkin tuntutan dakwah akan berjaya jika tidak disertai dengan perjuangan dan pengorbanan baik berupa pengorbanan waktu, tenaga mahupun harta ke jalan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.
d. Tuntutan kemurnian: Kemurnian di sini bermaksud murni daripada sudut kebenaran yang di bawa dan selain perintah Allah s.w.t. Sedangkan yang dimaksudkan dengan tsabat (kemantapan) ialah ialah berpegan teguh pada kebenaran, saling berpesan dengannya, dan berpegang teguh dengan kewajipannya, meskipun pengorbanan yang harus dilakukan dalam menempuh jalan tersebut. Inilah salah satu bentuk kekuatan yang harus dimiliki oleh setiap individu muslim dalam lapangan dakwah.
Firman Allah s.w.t yang Maksudnya:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
e. Tuntutan Keikhlasan: Ikhlas di sini bermaksud bersih daripada niat selain selain Allah s.w.t dan bertujuan untuk mencari redha-Nya. Hal ini berlaku dalam semua perkatan dan perbuatan, baik dalam rangka sebagai seorang Muslim secara umumnya mahupun dalam dakwah fardiah khususnya. Jelasnya, tuntutan keikhlasa turut menjadi salah satu daripada tuntutan dakwah kepada individu Muslim.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar.
Sabda Rasulullah s.a.w pula yang bermaksud:
إن ألله لا ينظر إلى وجوهكم وأموالكم ولكن إنما ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم
“Sesungguhnya Allah tidak menilai tubuh dan rupamu, tetapi dia melihat (menilai) hatimu”
Secara jelasnya, tuntutan yang besar terhadap keperluan dakwah dan amal Islami inilah yang memungkinkan setiap individu Muslim untuk memastikan pembinaan ruhiyyah mereka diutamakan di samping tidak mengabaikan keperluan terhadap pembinaan jasmani agar objektif kepada perlaksanaan tuntutan tersebut dapat disempurnakan.
Moga-moga sedikit perkongsian penulis ini akan dapat dimanafaatkan bersama agar kita sentiasa tetap di atas jalan dakwah dan terus berjuang untuk mengembalikan ketinggian Islam di atas muka bumi ini. Salam Juang!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan